BAB 25
AISY IDHAM tersenyum lebar melihat
Que. Rindunya pada Que tidak mampu dinafi. Hanya Que seorang saja adik
perempuan yang dia ada. Adik yang manja dan tidak banyak kerenah sebenarnya.
Que sangat berdikari. Walaupun usianya masih terlalu muda, dia sudah mengenal
erti kerja keras. Dia bukan seperti anak-anak gadis lain, yang sering dimanja
berlebihan. Tidak keterlaluan jika di katakan Que tidak merasa semua itu,
terutama dari papanya sendiri. Que sudah biasa hidup ‘sendiri’ dalam usia yang
sebegitu muda. Que mampu menampung hidup dengan hasil usaha dia bekerja tanpa
bantuan papanya pun. Que independent.
Atas sebab itu, Aisy Idham selaku
abang, sangat-sangat mengambil berat akan hal kebajikan adiknya itu. Begitu
juga dengan Aisy Iqram. Mereka berdua sangat mementingkan Que berbanding hal
lain setakat ini. Que kurang mendapat perhatian papa. Jadi, dengan mereka
berdualah Que selalu mengadu dan bermanja. Dari merekalah, Que mendapat kasih
sayang seorang ayah dan abang.
Walaupun papa tidak pernah membuang
Que dari hidupnya, kerenggangan hubungan antara mereka berdua pasti menimbulkan
rasa terkilan di hati Que. Que tidak pernah meluahkan secara terang-terangan.
Memang tidak. Tapi, mereka tahu akan hakikat itu. Terlalu tahu. Sebab itu
mereka tidak mahu Que rasa terasing dalam keluarga itu.
Tiba saja di tempat Que menanti, dia
terus memeluk adiknya itu. Huluran tangan Que yang ingin bersalaman dengannya,
sedikit pun tidak dia endahkan. Que tergamam. Uda ini pun... Kalau mahu
lepaskan rindu pun, agak-agaklah. Tengah orang ramai begini pula dia buat
perangai ‘orang putih’nya. Teruk betul!
“Da, apa ni peluk-peluk orang. Nanti
apa pula orang lain kata. Menjolok mata,” protes Que tidak bersetuju dengan
cara abangnya itu.
Memanglah mereka adik-beradik. Tapi,
orang lain yang lalu lalang sekitar situ sudah pandang dua, tiga macam. Bukan
mereka tahu pun yang mereka adalah mahram. Yang mereka tahu, seorang lelaki dan
seorang perempuan, berpelukan di tengah orang ramai. Kalau pun ada yang
merumuskan mereka ‘halal’ berbuat begitu, tidak kurang juga yang akan
berpandangan serong terhadap mereka.
“Biarlah... Uda kan peluk adik Uda,”
mudah Aisy Iqram menjawab.
“Memanglah kita adik-beradik. Tapi,
mereka semua tak tahu, Da. Tengok tu, orang sekeliling pandang kita macam kita
buat salah.” Lembut Que mengingatkan. Mulutnya sedikit memuncung. Tanda protes.
Uda, kadangkala bukan ambil endah
semua itu. Baginya, apa yang betul dan tidak melanggar hukum agama, tidak perlu
dipersoalkan. Mudah benar dia merumuskan. Tapi, orang sekeliling yang bercakap hanya
berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar, tanpa meneliti terlebih dahulu kebenarannya,
perlu juga di ambil kira. Akan timbul fitnah jika tidak berhati-hati. Itu Uda
tidak fikir pula. Entahlah...
Aisy Idham melonggarkan pelukan.
Tapi, tangan kirinya masih memeluk bahu Que. Que hulurkan semula tangan
kanannya sebagai tanda untuk bersalaman. Kita orang timur. Kena kekalkan adat
dan budaya bangsa. Kena hormat abang dan saudara yang lebih tua. Aisy Idham
tersenyum melihat perlakuan adiknya. Sejuk hatinya. Lantas dia menyambut mesra
huluran tangan Que. Seperti biasa, Que akan mencium lama tangannya ketika
bersalaman. Diusap kepala Que mesra. Tanda kasihnya.
“Okey, sorry...”
balasnya sambil menurunkan tangan yang tadi melingkar di bahu adiknya. “Adik
Uda ni janganlah muncung macam ni. Tak comellah.
Senyumlah sikit. Uda rindu dengan senyuman Que. Lama tak tengok Que senyum,
kurus Uda dibuatnya. Tengok ni, badan Uda tinggal tulang aje,” pujuk Aisy Idham
lembut.
Mahu tidak mahu, Que tersenyum juga.
Uda, pakar memujuk. Merajuklah macam mana pun, Uda tahu cara untuk
mengembalikan senyumnya. Uda memang hebat
dalam bab begitu. Tapi, tidak tahulah pula kalau hendak memujuk perempuan lain.
Sampai hari ini pun tidak pernah mendengar yang dia ada teman wanita. Atau, Uda
sengaja berahsia tentang itu. Tidak pastiah pula.
“Jom makan. Uda laparlah. Kita pergi
restoran yang biasa tu, ya? Uda teringin nak makan masakan kampung kat situ.
Rindu...”
“Amboi! Baru jejak kaki kat sini dah
sibuk pasal makan pula! Tak nak balik dulu?”
“Alah... Rumah tu bukan boleh lari
pun.”
“Restoran tu pun bukan boleh lari
pun...”
“Tapi, masakan kat situ yang lari
nanti. Jomlah, karang lambat-lambat, habis pula lauk kegemaran Uda. Dah nak
petang ni...”
“Tak lari ke mana gulai tempoyak
ikan patin dengan sayur pisang muda masak lemak tu, Uda. Esok, lusa pun tetap
ada. Kan tu memang menu utama restoran tu.”
“Tak kira! Uda nak makan sekarang
juga.”
Lantas ditarik tangan adiknya
lembut, memaksa Que mengikut langkahnya. Que tersenyum bahagia. Bahagia kerana
kedua-dua abangnya kini berada dekat dengan dirinya. Along, memanglah tinggal
di situ juga. Uda, cuma balik untuk tempoh waktu yang tertentu sebelum
menyambung pengajiannya. Itu, kira sudah cukup baik dari dia tidak balik
langsung semasa cuti. Sekurang-kurangnya, menurun juga bebanan rindu yang sarat
selama ini. Terlerai rindu walau hanya seketika. Ini pun, kira bernasib baik
dia boleh tinggal agak lama di sini kerana syarikat tempat dia bekerja
meluluskan cutinya. Dapatlah dia bermanja lebih kali ini.
**********
MEJA sudah penuh dengan lauk-pauk
pilihan Uda. Mak datuk! Kalau tengok, macam lima orang yang hendak makan.
Banyak gila Uda pilih lauk! Biar betul! Uda ini, ada bela hantu raya, ke? Makan
bukan ikut sunah jika begini. Ini namanya makan ikut nafsu. Isy! Isy! Isy!
Macam setahun tidak makan gaya Si Uda ini. Semua dia hendak. Semua dia ambil.
Tapi, bukan dia ambil banyak pun.
Nampak saja banyak hidangan di atas meja tapi semuanya dalam kuantiti yang
sedikit. Cukup untuk dua orang makan saja. Yang sebetulnya, Uda mahu rasa semua
makanan yang dia mahu. Betullah agaknya dia rindukan masakan Malaysia. Di
negara orang, mana hendak dapat segala jenis gulai macam ini. Bahan untuk
memasak gulai pun belum tentu dapat juga di sana. Kesian Uda. Patutlah Uda
nampak kurus sedikit. Mungkin makanan di sana tidak menepati seleranya.
Nampak mata Uda pun, bukan main lagi
bersinar tengok segala macam hidangan itu. Tersenyum lebar sepanjang masa.
Mesti sudah tidak sabar mahu makan. Maklumlah, sudah lama tidak makan masakan
kampung. Seperti biasa, bila Uda membaca doa, Que pasti akan mengaminkannya.
Lumrah dalam keluarga mereka. Ajaran agama yang menjadi asas kehidupan mereka.
Itu, memang mereka tidak pernah lupa. Itu juga yang sering ditekankan oleh mak.
Alhamdulillah... Mereka adik-beradik tidak pernah kurang didikan agama. Syukur
alhamdulillah...
Baru saja hendak menyuap makanan ke
mulut, telefon bimbit Que berbunyi, menandakan ada mesej masuk. Que buat muka
bosan. Mesej ini pun, hendak masuk tidak agak-agak. Masa macam ini jugalah
menjadi pilihan. Potong stim orang mahu makan. Tapi, digapai juga telefon yang
terdapar di tengah meja. Mana tahu ada mesej penting pula, kan? Jadi isu pula
jika tidak dijawab nanti.
Lantas, dia membuka peti simpanan
mesej, membaca mesej dari siapa. Jess! Masa
untuk bergosip! Lebar senyumnya... Uda hanya memerhati, juga dalam
senyuman. Dia menggelengkan kepala beberapa kali, melihat telatah adiknya itu.
Rancak benar Que berbalas mesej
dengan Jess. Maklumlah, dia bercuti hari tersebut. Mahu jemput Uda di lapangan
terbang punya pasallah. Sepatutnya, itu Along punya tugas. Tapi, di sebabkan
Along ada mesyuarat penting hari tersebut, Que yang bermurah hati menawarkan
diri untuk mengambil alih tugas tersebut. Lagipun, dia bosan bekerja. Asyik
hendak bergaduh dengan bos saja.
Ini pun, Jess menghantar mesej
kerana ada ‘benda’ yang berlaku di pejabat. Hmm... Tidak rugi berbaik dengan
Jess. Masa bercuti pun, masih dapat cerita panas mengenai apa yang berlaku di
pejabat. Seronok! Katanya, El sudah setengah hari tidak masuk pejabat.
Sebelumnya, El bertekak dengan Azira sampai semua staf naik kecut mendengar
suara mereka. Selepas itu, El keluar tanpa sebarang pesan dan tidak kembali ke
pejabat sampai detik itu.
Apa keslah mereka berdua itu, kan?
Lelaki itu memang tidak boleh berbaik dengan perempuan agaknya. Dengan Azira,
asyik bertekak. Dengan dia pun sama juga. Eh! Tidak juga. Dengan Jess dan staf
perempuan lain, dia okey saja.
“Que, dahlah tu... Nanti, sambung
mesej tu. Makan dulu. Uda dah nak habis makan dah ni. Que belum mula makan
lagi,” tegur Uda lembut.
Begitulah kebiasaannya. Dia, sehabis
mungkin akan berlembut bila bercakap dengan Que. Tidak mahu hati adiknya
tersentuh. Sudahlah papa sangat keras dengan Que. Jadi, dia dan Aisy Iqram,
mengambil langkah sebaliknya. Mereka tidak mahu Que terus rasa tidak
diendahkan. Itu juga pesan mama agar sentiasa ‘dekat’ dengan Que dan menjaga
hatinya selalu.
“Kejaplah, Da. Tengah seronok, ni. Sikit aje lagi, okey.”
Sahut Que tanpa menoleh sedikit pun pada abangnya.
Semakin ralit dia menekan keypad
telefon bagi membalas mesej dari Jess. Cerita panas yang tidak mungkin dia
lepaskan. Bukan untuk apa. Sekadar untuk pengetahuan dirinya sendiri saja.
Tiada niat untuk menyampaikan atau memanjangkan pada orang lain.
Aisy Idham menggelengkan kepala.
Que, tidak berubah. Kalau sudah ralit buat sesuatu perkara, memang macam itu.
Jadi leka. Perkara lain, sudah tidak di ambil peduli. Hatta, bab makan juga.
Aisy Idham mendekatkan kerusinya dengan Que. Dia membetulkan duduknya agar
menghadap Que dari sisi.
“Meh sini, Uda suapkan. Tunggu Que
habis bermesej, entah bila nak makan. Buka mulut...” arahnya lembut. Dia sudah
bersedia dengan sudu yang sudah berisi nasi serta lauk. Tinggal hendak disuakan
ke mulut Que saja.
Que menoleh ke arahnya. Secarik
senyum dilemparkan pada Aisy Idham. Kemudian, senyumnya melebar. Sukalah itu,
sebab Aisy Idham akan memanjakan dirinya. Menyuapkan makanan lagi. Amboi! Dia
dilayan bak tuan puteri. Lantas, Que membetulkan duduknya agar menghadap Aisy
Idham juga. Pantas pula dia menganga bila sudu disuakan hampir ke mulutnya.
Manja! Dalam pada itu, dia tetap ralit dengan telefonnya.
Aisy Idham menggelengkan kepala
sekali lagi. Namun, dia tetap sabar melayan kerenah Que. Timbul rasa kesian
terhadap adiknya yang kurang kasih sayang seorang ayah. Jadi, sebagai ganti,
dia dan Aisy Iqram, menumpahkan kasih sayang yang secukupnya buat Que. Suapan
demi suapan disuakan pada adiknya, hinggalah hampir licin nasi di pinggan
mereka.
“Que ni... Comot bibir tu. Sini, Uda
lapkan.”
Pantas saja Que menyuakan wajahnya
hampir dengan Aisy Idham, sedang mata dan tumpuannya masih pada skrin telefon.
Kalau ikutkan hati, mahu saja Aisy Idham merampas telefon tersebut dan disimpan
ketika itu. Que hilang tumpuan pada yang lain bila sudah ralit begitu. Tapi, tidak
sampai hati pula untuk berbuat begitu.
Dia tahu, Que tidak ramai teman yang
rapat. Jadi, bila Que sudah ralit begitu pastinya dengan seseorang yang boleh
dikatakan agak rapat dengannya. Jika tidak, dia pasti tidak akan leka begitu.
Mungkin juga topik yang mereka bualkan menarik minat adiknya untuk terus
berbalas mesej begitu.
“Pandang sinilah, sayang... Uda tak
nampak nak bersihkan comot kat bibir Que ni.” Kata Aisy Idham lagi sambil
mendorong muka Que agar bertentangan dengannya. Kemudian, dengan penuh kasih
dia mengelapkan bibir adiknya yang comot sedikit. Sangat berhati-hati.
“Uda ni... Orang tak habis lagi taip
mesej ni,” rengeknya manja.
“Kejaplah... Lepas ni, sambunglah
balik taip mesej tu. Nak air?”
Laju Que mengangguk.
“Nak!”
Tersenyum senang dia.
Aisy Idham menyuakan jus epal kepada
adiknya. Que menyedut melalui straw hingga tekaknya rasa lega dibasahi
jus tersebut. Cuaca pun tengah panas sekarang ini. Dapat air sejuk macam itu,
memang melegakan.
“Nak makan lagi, tak?”
Que geleng kepala.
“Dah kenyang. Thanks, Da!”
Aisy Idham turut tersenyum melihat
keceriaan adiknya. Nanti, bila dia kembali semula menyambung pengajiannya,
detik-detik sebeginilah yang bakal dia rindu. Dia akan rindu dengan keletah Que
yang manja. Kadang-kadang, boleh jadi seorang yang keras kepala. Tapi, jiwanya
tetap lembut dan mudah tersentuh. Tentu dia akan merindui semua itu.
Pastinya...
Nun di satu sudut, segala
tindak-tanduk mereka menjadi perhatian sepasang mata. Kemesraan yang tergambar
dari perlakuan keduanya, sungguh meraih perhatian. Dari awal sehingga habis
makan, tidak lepas-lepas mata itu menyaksikan setiap babak tersebut. Hatinya
jadi nanar. Rasa diri tercabar. Dalam hati tertanya-tanya, apakah hubungan
mereka berdua? Mereka terlalu mesra. Mengapa dengan dia, Que tidak begitu?
Mengapa dengan dia, Que bagai membina jurang yang dalam? Mengapa juga di antara
mereka bagai ada tembok sebagai pemisah? Siapa lelaki itu pada Que? Siapa???