BAB 15
“AWAK perasan mata Zira tadi? Asyik
tengok awak aje. Bukan main lagi dia perhatikan awak. Pantang ada peluang, mata
dia tak lepas menilik awak. Betul tak apa yang saya cakap, dia langsung tak cam
awak, kan?” El memulakan ketika mereka sama-sama melangkah keluar dari dewan
yang tadi amat menyesakkan. Riuh dengan suara bualan dan muzik yang
membingitkan. Sudah semakin jauh mereka tinggalkan.
Tapi, memang benar. Penampilan Que
malam itu amat memukau. Jauh lari dari Que yang dia kenali selama ini. Que
malam ini penuh dengan kelembutan dan sangat terserlah keayuannya. Solekan yang
tidak terlalu tebal berjaya ‘melarikan’ wajah Que yang biasa. Que bagai jadi
orang lain. Sangat lain. Yang nyata, dia amat tertarik dengan Que yang berada
di depannya sekarang ini. Sangat tertarik!
“Hmm... Perasan juga. Tapi, dia
bukan pandang saya seorang. Orang yang di sebelah saya pun, dia pandang. Saya
memang tak mahu pandang dia sangat, sebab dia pandang orang di sebelah saya
dengan senyuman. Tapi, dia pandang saya dengan jelingan. Tajam menikam dia
jeling saya. Macam nak ditelannya saya. Seram,” Que tergelak kecil.
Kelakar bila mengenangkan sikap Zira
sebentar tadi. Asyik mencuri pandang pada dia dan El. Tajam pandangan mata Zira
bila El sengaja merapatkan dirinya dengan Que. Bagai mahu terkeluar bola
matanya. Itu, belum El pegang tangan atau letakkan tangannya di atas bahu Que.
Mesti Zira lebih cemburu, kan?
“Biarlah dia. Janji dia tak ganggu
saya lagi lepas ni. Tentu dia ingat saya dah ada teman istimewa,lepas apa yang dia saksikan malam ni.
Lega saya.”
“Oh! Jadi, tujuan bos bawa saya ke
sini sebab nak jadikan saya alasan supaya Zira tak ganggu bos lagi? Macam tu?”
“Apa bos-bos ni... Kan saya dah
cakap, panggil saya dengan apa yang awak selesa tapi bukan bos. Lupa?”
Que tersenyum manis.
“Bos yang lupa. Kan perjanjian kita
tentang itu hanya setakat masa kat dalam dewan tadi aje. Selepas itu, balik macam biasa. Itu yang betul.”
“Lanjutkan sikit masa tu, tak boleh,
ke? Saya dah mula suka keadaan kita macam ni.”
Que pandang El macam tidak percaya.
Apa sajalah yang dia ini cakapkan. Hendak kata mabuk, minum air haram itu pun
tidak. Pening-pening lalat agaknya.
“Jangan nak mengada-ngadalah, bos.
Perjanjian tetap perjanjian. Tak baik langgar perjanjian tau. Jadi orang yang
munafik.”
“Hmm... See. Macam mana saya
tak suka. Awak ni memang elok berpakaian macam ni selalu. Lemah lembut dan tak
adalah nak cakap lepas macam selalu. Kata-kata awak pun, berunsur nasihat. Saya
suka.”
“Bos... Saya ni, budak penghantar surat.
Kalau pakai macam ni, mana gaya saya nak naik motor, hantar surat? Habis
rabaklah baju cantik-cantik macam ni, bos.”
El ketawa lepas. Entah apa yang
kelakar sangat pun tidak tahulah. Pada Que apa yang dia cakap itu memang
berasas. Tidak kelakar langsung.
“Setelah lihat awak yang begini,
saya lupa apa pekerjaan awak, Que.”
Que pula ketawa kecil. Sah! El
memang tengah tidak berapa betul. Bahaya begini. Tidak elok untuk kesihatan.
“Saya dah ingatkan... Jadi, bos kena ingat semua itu.
Berbalik pada soalan saya tadi, betul ke apa yang saya fikir tu?”
El memandangnya agak lama. Namun,
bibir lelaki itu tetap menyuakan senyuman. Que sabar menanti. Selebihnya, dia
memang ingin tahu sangat. Sekadar ingin tahu. Itu pun, jika El ikhlas mahu
menjawab. Jika tidak, dia tidak akan memaksa. Bukan penting sangat pun perkara
itu padanya. Isu itu, dia bangkitkan dalam perbualan hanyalah sekadar mengisi
ruang kosong antara mereka. Itu saja. Lagipun, dia tidak tahu hendak bangkitkan
isu apa untuk dibualkan. Tiada topik yang sesuai.
“Yes and no.” Akhirnya El
bersuara, menyatakan jawapannya.
“Hah? What does that mean?”
El merenungnya lagi. Isy! Mata itu,
suka benar menjelajahi wajah Que. Tidak jaga langsung!
“Let me explain it to you.
Macam ni, niat saya yang utama hanya mahu awak temankan saya. There was no
other reason besides that.Tapi, bila saya dapat tahu yang Zira turut serta
dalam majlis tadi beberapa hari lalu, secara tak langsung saya mengharapkan
dengan adanya awak malam ini akan membuka mata Zira bahawa saya memang tak
boleh terima dia. Macam yang awak fikir tu. But, that was not my intention
in the first place.”
“Jadi, betullah bos pergunakan saya,
ya?”
El senyum sedikit. Dia sudah memeluk
tubuh sambil merenung Que. Que jadi serba salah. Mata itu, memang hendak kena!
“Que, jangan salah faham. Saya tak
maksud begitu. Saya cuma perlukan pertolongan awak seperti yang saya cakap dan
pinta dari awak hari itu. Pertolongan, Que. Tapi, kalau definasi awak tetap
‘pergunakan’, saya minta maaf.”
Que menunduk sambil mencarik senyum
nipis. Sedang memikir-mikir. Sebenarnya, apa jua alasan lelaki itu, sudah jatuh
nombor dua. Dia tidak kisah akan itu. Memang dia datang malam ini hanya dengan
sebab mahu menolong. Tolong teman Si El seperti yang diminta oleh lelaki itu.
Kalau pun lelaki itu ada underline intention, bukan masalahnya. Selepas
malam ini, mereka tetap menjalani hidup seperti biasa. Seperti yang dia kata
sebelum ini, balik seperti biasa.
El, bos dan dia, pekerja. Tiada ‘saya’ dan ‘awak’ seperti malam ini lagi. Tutup
buku.
“Hmm... Okey, saya faham. Bos tak
perlu minta maaf. Saya hanya perlukan penjelasan. Tak marah pun.”
El senyum lebar sambil melirik pada
Que yang langsung tidak memandang padanya.
“Terima kasih kerana amat memahami
situasi saya. Beruntung saya dapat staf seperti awak.”
“Jangan puji saya lebih-lebih, bos.
Nanti saya minta imbuhan lain karang.”
“Saya sanggup tunaikan. Awak, nak
apa? Lagipun, awak dah tolong saya, kan? Jadi,
memang patut awak dapat imbuhan,” pantas El menyahut.
Que ketawa. Manja nadanya. Itu Que
tidak sedar. El, sudah separuh nanar menahan rasa.
“Bos, saya bergurau ajelah. Apa
serius sangat ni?”
“Oh! Bukan nak betul-betul, ke?”
El buat muka kelam. Que ketawa sambil geleng
kepala, menandakan dia hanya bergurau.
“Saya buka peluang ini sekali aje,
Que. Lepas ni, awak dah tak boleh tuntut apa-apa lagi tau.”
“Saya tak nak apa-apa. Niat saya
juga cuma satu, nak tolong bos. Itu saja.”
“Hmm... Kan betul apa yang saya
cakap, beruntung dapat staf macam awak ni. Tak berkira sangat. Kalau orang lain,
mungkin dah minta lebih,” balas El sambil menjongket bahu. Mungkin sesuatu
melintasi mindanya saat itu.
“Itu orang lain. Saya, tetap saya
dan janji tetap janji. Tak akan saya mungkiri. Saya tak nak jadi...”
“Orang munafik. Saya tahu,” potong
El pantas.
“Yes, exactly.”
Kedua-duanya saling berbalas senyum.
“Let say, lepas ni, Zira buat
kecoh cerita pasal apa yang dia lihat tadi kat ofis. Apa yang bos akan buat?”
El berdiam agak lama. Kedua belah
tangannya di masukkan ke dalam poket seluarnya. Dia sedang berfikir.
“Hmm... Biarkan saja. Kenapa? Awak
takut? Atau, awak risau?”
“Bos lupa lagi... Dia tak cam saya. Jadi, saya tak perlu takut, apa lagi
nak risau. Tapi, bos tu yang perlu fikir pasal itu. Dia nak tarik perhatian bos,
bukan saya.”
“Oh! Kiranya awak risaukan sayalah
ni, ya? Beruntungnya saya... Ada orang yang ambil berat tentang saya.”
“Bos jangan nak perasan lebih-lebih,
ya. Saya sekadar bertanya. Salah ke, kalau saya nak tahu?”
“Nak tahu tu, kira ambil berat juga,
kan?”
“Lebih kuranglah. Tapi saya tak
ambil berat.”
“Then?” tanya El pantas. Lain
macam pula cara Que bercakap. Jadi ingin tahu El dibuatnya. Kedua tangannya
sudah menyeluk poket semula.
“Saya ‘ambil ringan’ aje. Suka-suka
bergossip. Tak larat nak ambil beratlah. Patah riuk saya nanti. Saya ni kan,
kurus.”
'Hahaha...'
Que ketawa lepas kali ini tapi tetap
terkawal. Pantas dia menutup mulutnya. Comel
sangat tingkahnya itu. El mengecilkan matanya, memandang Que. Geram
kerana dalam tidak sedar, Que sengaja mengenakannya. Pandai betul dia. Nakal!
“Yalah... Kenakan saya, ya? Karang
saya tak bagi awak balik, baru tahu.”
El merapat.
“Bos tak bagi saya balik? Nak buat
apa pula dengan saya?”
“Adalah... Macam-macam yang saya
boleh buat.”
“Contohnya, bos.”
El semakin merapat.
“Banyak sangat! Tak perlu nak
contoh-contohlah. Terus buat pun boleh.”
El maju setapak lagi.
Que pandang semacam pada El yang
sudah berdiri hampir di depannya.
“Okey. Kalau macam tu saya ‘buat
bodoh’ ajelah.”
Que cuba menahan tawa.
“Que! Awak ni memang tau!”
Pecah juga tawa Que akhirnya.
“Saya memanglah saya. Takkan jadi
Zira pula, kan? Mungkin tidak tu...” balasnya dalam tawa yang masih bersisa.
“I’ll show you what I can do to
you right here, right now, Que.”
Wooo!!! Bahaya macam ini!
El merapat lagi.
“Bos...nak...buat apa, ni? Janganlah
rapat...sangat, bos?” Kali ini Que bersuara agak cuak. Hampir tersekat-sekat
suaranya. Jadi tidak lancar.
El langsung hilang senyumnya.
Mata Que mencuri pandang ke arah
sekeliling. Mereka sudah agak lama berdiri di situ sebenarnya. Tadi, ramai yang
bersaing dengan mereka menuju ke arah kawasan itu. Baru Que perasan, hanya
tinggal mereka berdua sahaja di kawasan parkir itu dan keadaan sudah sunyi
benar. Ada dua, tiga buah kereta tapi agak jauh kedudukannya.
Hanya dia dan El berada di kawasan
situ. Kawasan yang agak terlindung dan sunyi sepi. Yang lelaki ini pun, boleh
pula dia parkir kereta di kawasan yang gelap macam ini. Apa kes? Merinding bulu
romanya bila El semakin mendekatkan tubuhnya. Kedua-dua tangannya sudah
dikeluarkan dari poket.
“Bos?!”
Que sudah tersandar di kereta El.
Langsung tidak mampu bergerak ke mana–mana kerana kedua-dua tangan lelaki itu
sudah mengepung dirinya.
“Silent, Que.”
Que semakin mengecilkan diri di
dalam kepungan El.
“Bos, jangan!!” rayunya lagi.
“I said silent, Que. Don’t kill
my mood.”
Ya! Allah, apa dia hendak buat ini?!
Tiada perasaan ke, dia? Que memejamkan mata. Hanya pada Dia, Que berserah.
“Tolonglah jangan buat saya macam
ni. Saya minta maaf kalau kata-kata saya tadi buat bos terasa. Maafkan saya kalau bos marah. Saya
bergurau aje. Janganlah buat saya macam ni. Saya janji tak akan buat bos marah
lagi,” omelnya dalam mata yang masih terpejam dan kedua tangan sudah melekap di
pipi sendiri.
Wajahnya sudah kelihatan pucat
sedikit. Semakin cuak sebenarnya. Di dalam hati, dia terus berdoa. Agar Allah
jauhkan perkara yang tidak diingini. Dia berjanji akan jaga lidah dan
kata-katanya selepas ini. Dia tidak akan buat orang lain terasa dengan
kata-katanya lagi. Dia janji.
“Que, I said shut up or else I’ll
kiss you to make you shut your mouth.”
El sudah menjatuhkan kedua tangannya
ke sisi. Mood sudah lari beb!
“Bos nak buat apa sebenarnya ni?”
Que bertanya takut-takut. Sedikit demi sedikit dia membuka kelopak mata.
“Kiss you!”
“Bos?!” Que bersuara terperanjat.
Terus bulat matanya memandang El.
Kala itu El hanya berdiri santai
sambil merenung Que geram. Perempuan ini pun, tidak reti hendak bertenang, ke?
Sentap tidak tentu pasal saja.
“What?! Saya nak lihat wajah
awak puas-puas sebelum kita balik. Takkan itu pun salah. Tak penat ke awak
membebel? Hilang fokus saya pada awak bila mulut awak tak berhenti bercakap.
Teruk betul awak ni, tau. Tak romantik langsung.”
“Laa...”
“Kenapa?”
“Saya ingat bos nak buat tak senonoh
pada saya.”
“Tengok... Awak selalu
pandang serong pada saya.”
“Sekurang-kurangnya saya
berhati-hati dalam semua hal.”
“Itu betul dan bagus untuk awak,
Que. Tak salah ada pandangan serong pada orang lain tapi kena tengok orang
jugak. I won’t do that to you. I won’t harm you, Que. You can count on me.”
“Trust no one!Saya tak
percayakan sesiapa.”
“That’s so bad!”
“Apa pula! Eloklah tu. Langkah
berjaga-jaga.”
“Whatever.”
El angkat bahu. Tidak mahu terus
bertekak. Memang segala mak nenek mood romantik sudah terbang melayang
dibuatnya. Si Que inilah. Boleh pula buat aksi terperanjat tahap petala
kelapan. Makin lama di situ, makin panjang pula mereka berdebat nanti. Mahu
sampai pagi. Teruk karang anak dara orang ini kena ‘mind torture’ dengan dia.
Baru kena ‘test’ macam itu pun, Que sudah gelabah. Belum buat betul-betul lagi.
Mahu segala mak nenek bunga silat terkeluar karang. Hmm... Que, Que...
‘Trust no one, tapi berani
pula ikut aku malam-malam buta macam ini? Que, Que...’ gumam El dalam hati
sambil mencuri pandang pada Que yang sedang asyik menjawab panggilan telefon.