Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 30)

BAB 30

QUE terus berlari masuk ke kamarnya. Dihentak pintu sekuat hati menghantar rasa marah yang menebal. Berdegang bunyinya. Bersandar sebentar di situ sebelum perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh ke bawah. Terduduk bersandar di pintu itu dan tanpa sedar Que melepaskan tangis yang di kawal esakannya. Hati Que tercalar. Hati Que terluka. Hati Que sakit! Terlalu sakit hingga kesakitan itu menjalar ke serata tubuh. Menggigit tangkai hati. Perit. Hingga Que rasa tidak mampu berpijak di bumi nyata kerana apa yang terbentang adalah sebuah kenyataan yang sirna. Terlalu sirna.

Seketika kemudian, dia bangun perlahan-lahan dan melepas pandang tanpa haluan di sekitar biliknya. Langkah diatur lemah menuju ke meja solek. Dia berdiri kaku di depan cermin dan merenung kosong bias wajahnya di arca cermin tersebut. Lama di beradu pandang dengan bias dirinya di arca cermin.

Seketika...

“Arghhh!” jeritnya tiba-tiba sambil melibas apa saja yang berada di atas meja solek itu.

Tangannya bergerak pantas diayun ke kiri dan kanan. Habis semuanya jatuh bersepah. Tidak cukup dengan itu, Que membaling apa saja yang dapat dicapai oleh tangannya ke arah cermin solek sambil menjerit melepaskan marahnya. Tindakan tidak terkawal darinya.

“Que benci! Que benci semua ni!” jeritnya lepas.

Macam orang mengamuk lagaknya. Tidak dihiraukan keadaan bilik yang sudah berselerak. Hasil kerjanya juga. Kerja seni yang dirinya saja dapat menafsir apakah maksud di sebaliknya.

“Kenapa semua orang tak percaya Que? Semua nak salahkan Que? Kenapa? Que tak buat! Que tak pernah nak malukan sesiapa!” jeritnya lagi. Lebih lantang dari tadi.

Terdengar lagi benda jatuh bersepai. Berderai. Itu pun, Que masih tidak puas hati. Dia melayangkan tubuh ke atas katil. Meniarap sambil menyembamkan wajah di atas bantal dan bahunya terenjut-enjut menahan tangis. Dia berkeadaan begitu hingga tertidur. Que berkurung seharian. Tanpa makan dan minum. Semua tidak dihiraukan. Dia hanya mahu melepas rasa. Meredakan sedikit kekecewaan yang bergumpal di jiwa. Menyesakkan.

Nasib baiklah ketika itu hujung minggu. Hari Sabtu. Tidak perlu pergi bekerja. Tidak perlu bersemuka dengan seorang lagi insan yang bakal membuatkan kepalanya berserabut. Kusut. Dia tidak tahu bagaimana mahu menghadapi hari Isnin nanti. Rasa jiwa goyah untuk berhadapan dengan El. Tidak mampu menelah apa yang bakal berlaku nanti. Arghhh! Itu, kes hari Isnin. Tidak perlu hendak difikirkan sangat. Ini, yang kes hari ini. Lagi serabut tahap tidak ingat! Sesak mindanya.

Que masih meniarap di atas katilnya. Matanya terpisat-pisat memerhati keadaan ruang bilik yang sunyi. Pabila peristiwa pertengkaran antara dia dan papanya melayari tabir ingatan, sayu hati terasa tanpa dipinta. Meruntun kalbu. Mencarik harapan. Tanpa sedar, air matanya gugur lagi bila mengenangkan apa yang terjadi. Dia menangis sepuasnya. Melepaskan segala jenis rasa yang berbuku di jiwanya. Terlalu sarat. Tidak terbendung walau sudah dicuba sedaya upaya.

Hati mana yang tidak retak. Jiwa mana yang akan terus tenang jika apa yang terbentang untuk di lalui selepas ini bukan jalan yang dia sendiri pilih. Skala hidupnya sudah ditetapkan oleh papa. Tanpa persetujuan atau setidak-tidaknya papa mesti bertanya dan berbincang terlebih dahulu. Bukan membuat keputusan sebegini. Menjentik hati dan perasaan. Sangat-sangat! Hingga terbias rasa tidak puas hati itu walaupun tanpa sedar.

Que semakin rasa diri jauh dari papa. Terlalu jauh hingga papa sanggup mengambil keputusan sebegitu. Sengaja mahu menjarakkan hubungan mereka yang sudah sedia renggang. Papa sengaja! Papa tidak adil! Papa mahu seksa jiwa Que! Papa tidak sayangkan Que. Calarnya perasaan Que saat itu. Tergores luka. Pedih. Que bangun dari baringannya. Kaki ditarik dan dia duduk memeluk kedua kaki dengan wajah disembamkan ke lutut. Masih teresak-esak kecil. Sesungguhnya, dia tidak mampu menahan sebak di dada. Jiwanya terdera.

Seketika, dia mengangkat sedikit wajahnya dan mengubah hala wajah memandang ke sebelah kanan. Masih jua kepala diletakkan di atas lututnya sambil memandang lepas ke luar jendela. Pandangan kosong yang kabus dek rembesan air mata, Que lepaskan. Menghindar hiba dalam menjemput tenang yang masih tidak kunjung tiba. Masih tidak terjangkau. Minda semakin bercelaru dalam memilih arah tuju. Mahu lari dari rumah? Semakinlah dia dianggap anak yang bermasalah. Hendak terus tunggu dan duduk di situ? Hmm... Jalan hidup yang bukan pilihannya sudah disediakan oleh papa. Jadi, apa yang mesti dia lakukan? Semuanya hanya menemukan jalan buntu. Que jadi keliru.

‘Kenapa semua ini jadi kat aku? Apa salah aku? Apa dosa aku?’ rintihnya pilu. Mata dipejamkan. Menyeru tenang yang tidak jua kunjung datang.

Pintu bilik dibuka tiba-tiba. Berkeriut bunyinya. Que masih juga begitu tanpa niat mahu menoleh siapakah yang mengganggu dirinya saat itu. Dirinya terlalu sarat dengan perasaan amarah yang sukar dibendung. Juga dibelenggu kekeliruan yang tiada penghujung. Kerdipan matanya yang lemah mewakili jiwanya saat itu. Terlalu lemah untuk menghadapi kenyataan yang sebegitu. Tapi, dia harus bangkit. Tidak boleh terlalu mengikut perasaan itu. Dia kena kuat. Dia mesti kuat. Mesti!

“Que...”

Panggilan itu melemahkan jiwanya semula. Que mendengus halus. Kacau daun betullah! Baru hendak pasak semangat untuk terus kuat. Baru bercita-cita mahu jadikan hati sekeras waja. Suara abangnya memusnahkan segalanya. Dia mana boleh mogok lama-lama dengan Along dan Uda. Dua minit pun sudah kira lama sangatlah.

“Along nak apa?” tanyanya tanpa beralih pandang. Masih dalam kedudukan tadi dengan mata menala ke luar jendela.

“Uda ni, bukan Along, Que.”

Que menoleh lemah. Betullah Uda. Dia yang salah dengar agaknya. Suara Along dengan Uda pun, sudah tidak mampu untuk dibezakan. Hmm... Sadis! Macam inilah kalau asyik hendak marah saja. Semua benda tidak kena. Suara orang pun sudah tidak cam. Bahaya betul. Cuba bayangkan kalau El yang datang tadi. Tidak ke haru-biru? El dapat lihat keadaan dirinya yang tidak terurus.

Eh! Chop!!! Kenapa pula lelaki itu masuk dalam cerita dia yang tengah berduka lara? Apa kes lelaki itu hendak datang cari dia di rumah ini? Tidak ada kena mengena langsung. Dia dipaksa berkahwin dengan Ray. Adik El. Bukan dengan El pun. Hai... Betullah otaknya memang sudah mereng. Sadis ganda dua.

“Uda nak apa?” ulangnya lagi. Kali ini menggunakan nama yang betul.

Pandangannya masih dilepaskan ke luar jendela meskipun dia sudah duduk santai di hujung katil. Hampir dengan tingkap. Kedua belah tangan ditegakkan dan menekan ke belakang sedikit agar selesa duduknya. Kedua kaki dijuntaikan ke bawah dan diayunkan perlahan. Mencipta rentak agar tidak canggung tingkahnya.

Look at these mess. Apa ni, Que? Bukan begini caranya nak lepaskan marah,” tegur Uda sambil jalan menjingkit, berhati-hati takut terpijak serpihan kaca yang masih berserakan di sekitar situ. Kepala digelengkan beberapa kali.

Que hanya senyum tawar. Langsung tidak dipandang wajah Uda yang sudah duduk hampir dengannya. Hanya terlihat dia menarik nafas dalam. Tiada jiwa untuk berkongsi rasa saat itu. Bagi Que, semua orang tidak mungkin akan faham dirinya. Tidak mungkin. Untuk apa berkongsi cerita jika akhirnya dia tetap kena mengikut telunjuk papa. Akur dengan keputusan papa. Untuk apa? Lagipun, semua tahu bahawa tiada sesiapa berani membantah cakap papa. Tidak kedua abangnya, apatah lagi mama yang sentiasa taat pada papa. Hanya dia. Dia saja yang berani melawan cakap papa. Sebab itu dia jadi seperti anak terbuang.

“Que... Dahlah tu. Tak payah nak panjangkan hal ni. Papa tengah marah. Sebab tu dia cakap yang bukan-bukan. Tak adanya papa nak kahwinkan Que tanpa usul periksa,” pujuk Uda lagi.

Que mendengus kecil. Uda tidak faham perangai papa. Uda tidak kenal papa yang sebenar. Tapi dia kenal benar. Terlalu kenal siapa papa mereka.

“Papa memang maksudkan apa yang dia cakap, Da.”

“Tak. Percayalah, Que. Papa tengah marah tu.”

Que mengeluarkan telefon bimbitdari saku seluarnya. Menekan keypad, mencari sesuatu. Setelah bertemu dengan apa yang dicarinya, telefon bimbit tersebut diserahkan kepada abangnya. Aisy Idham menyambut penuh tanda tanya.

“Uda bacalah. Takkan Ray nak main-main pulak kan pasal semua ni. Keluarga dia nak jumpa Que dan nak bincang pasal ni. Bincang soal kahwin kita orang, Da. Sebenarnya, papa dah berjumpa dengan parents Ray. Cuma papa tak nak bagi tahu kita. Papa dah beri kata putus, ikut aje kalau itu yang mereka nak. Sampai hati papa buat Que macam ni.”

Aisy Idham membaca dalam hati. Berkerut wajahnya. Beberapa kali diulang baca untuk mensahihkan apa yang tertera di skrin tersebut.

“Takkan sampai macam ni sekali? Isy! Keluarga dia ni pun, takkan kolot sangat. Benda tak jadi apa pun, kan? Nak suruh bernikah buat apa? Banyak lagi cara lain untuk selesaikan hal ni. Que dengan dia bukan ditangkap basah. Kebetulan mereka terserempak Que dengan Ray dalam keadaan yang agak mencurigakan. Papa pun satu. Main setuju aje tu, kenapa? Pelik betullah!”

“Nak buat macam mana kalau keluarga dia tetap anggap perkara ni serius sampai boleh jatuhkan maruah dan nama baik mereka, kalau perkara ni tersebar.”

“Bukan mereka anak-beranak aje ke, yang ada masa tu, Que? Kalau tersebar pun, mereka jugalah yang buka cerita. Keluarga kita, tentulah tak mahu perkara ni tersebar. Of course, kita pun nak jaga nama baik keluarga kita juga. Maruah kita.”

“Hai... Entahlah, Da. Que dah tak tahu nak fikir macam mana. Que buntu. Que bengang. Serabut, Da. Que tahu ini semua silap Que. Tapi, kenapa sampai macam ini jadinya? Papa pun macam sengaja nak ‘lepaskan’ Que. Papa nak ‘buang’ Que dari keluarga ni dengan cara terhormat, Da. Bila perkara ni terjadi, lagi mudahlah buat papa, kan?”

“Que... Jangan cakap macam tu. Papa sayangkan Que. Tak baik Que tuduh papa macam tu.”

“Hmm... Sayang sangatlah, Da. Sampai sanggup serahkan Que pada lelaki yang dia sendiri tak kenal tanpa usul periksa.”

“Nanti Uda bincang dengan papa, okey?”

“Tak perlulah, Da. Bukan uda tak tahu papa tu macam mana. Kalau hitam kata dia, hitamlah. Kalau putih, tak akan jadi kelabu. Que tahu apa nak buat. Masalah Que, biar Que yang selesaikan.”

"Kenapa cakap macam tu? Que kan adik Uda. Apa-apa hal, Uda tetap akan bantu. Itu tanggungjawab Uda. Along pun sama. Akan sedia bantu Que bila-bila masa pun."

"Tak apalah, Da. Que tak mahu papa marahkan Along dan Uda pula lepas ni. Que mampu tangani masalah ni. Uda jangan risau."

“Habis tu? Que nak pergi jumpa mereka, ke?”

“Pergi ajelah, Da. Mana tahu boleh settle cara lain. Que kena juga jumpa mereka. Que kena terangkan apa yang berlaku sebenarnya. Que tak akan terima macam tu aje, apa yang mereka nak ni. Benda ni melibatkan masa depan Que, Da. Kalau papa berkeras nak ikut aje cadangan mereka, Que kena buat sesuatu.”

“Que nak buat apa? Jangan buat perkara yang bukan-bukan, Que. Makin panjang nanti kes ni. Uda tak nak apa-apa berlaku pada Que.”

“Uda jangan risau. Que masih waras lagi. Que akan ikut rentak papa. Itu yang papa nak, kan?”

Que mencarik senyum sedikit. Hambar. Matanya terus ditalakan ke luar. Tajam pandangannya dilepaskan ke satu arah. Tunak. Perlahan-lahan senyumannya melebar dengan mata semakin dikecilkan. Mindanya bekerja. Entah apa yang terangka di dalam benaknya, jauh untuk Aisy Idham meneka. Tidak terjangkau. Hanya Que seorang yang tahu.

Previous: (BAB 29)
Next: (BAB 31)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin