Home Novel Cinta Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 13:57:44
739
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

RENUNGAN Umair menembusi jendela kaca bilik hotel ini. Rintik-rintik hujan yang kasar itu sederas hatinya mencari bayangan Saufi. Sudah tibakah dia di perkampungan itu? 

"Bas terakhir pukul 7.00 malam, tuan muda." Pak Cik Daud masih menunggu di ruangan bilik ini jika ada yang ingin Umair bertanya lanjut mengenai bas terakhir itu.

"Pak cik rasa dia sempat tak naik bas tu?" Umair bimbang.

Pak Cik Daud tersenyum. "Harap-harap begitulah."

Gelora dalam hati Umair bagaikan enggan berhenti. Deru angin bagaikan menyeru namanya. Kian lama kian kuat. Ah, dia berpaling! Telefon bimbitnya dicapai laju. Dia segera membuka pintu. Tercegat Pak Cik Farisi dan Abang Reza di hadapannya.

"Umair nak ke mana lagi?" soal Pak Cik Farisi dengan kening yang berkerut.

"Mungkin ada seseorang yang belum makan dan kebasahan. Mungkin juga dia sangat memerlukan pertolongan. Saya tak mahu jadi abang yang gagal," balas Umair sambil terus melangkah pergi.

"Abang?" soal Pak Cik Farisi.

Pak Cik Farisi dan Abang Reza saling berpandangan. Riak penuh tanda tanya. Pak Cik Farisi mula mengerti. Kini, Saufi ada di mana-mana sahaja! Pak Cik Farisi laju mengejar langkah Umair. Senyuman Umair menyambut langkah seiringan itu. Pak Cik Daud memandu cermat menuju ke pusat bandar. Di hujung sana, terlihat Saufi yang resah gelisah di tepi perhentian bas.

"Masuk!" arah Umair setelah menurunkan cermin keretanya.

Saufi tercengang. Dia berasa serba salah. Siapa dia untuk duduk di dalam kereta besar itu?

"Tak mengapalah. Opie akan ...."

Umair mengerling. Hujan kian lebat. Masih juga Saufi mencari alasan.

"Tentu ada seseorang yang akan risaukan Opie, kan?"

Kata-kata itu mengingatkan Saufi kepada Dini dan ibu. Kerisauan Jusoh memungkinkan banyak situasi yang bakal berlaku.

Saufi terus masuk ke dalam perut kereta. Tanpa membuang masa, Pak Cik Daud memulakan perjalanan. Hampir satu jam perjalanan, mereka tiba di situ. Samar-samar cahaya lampu jalan, menampakkan pokok-pokok  kelapa di kiri dan kanan.

"Sampai kat sini saja, Pak Cik Daud. Saya akan naik bot dari jeti," kata Saufi sopan.

Kereta berhenti di bahu jalan yang lengang itu. Saufi keluar dari perut kereta. Dia menghulur salam. Beberapa keping wang kertas diletakkan di dalam tangan Umair. Umair kebingungan.

"Berniaga tak ada rasa belas. Kejujuran dan tolak ansur itu dah cukup," kata Saufi sambil melempar senyuman bermakna.

Umair mengangguk sambil tersenyum. "Apabila kita bersikap jujur dan ikhlas dalam perbuatan, maka ALLAH berikan ganjaran yang lebih. Tak perlu tunggu di akhirat." Umair memulangkan wang itu kepada Saufi semula.

Tindakan Umair membuat Saufi tersenyum sendiri. Umair mengangkat tangannya sambil menutup cermin kereta. Kemudian, tanpa menunggu lama, Pak Cik Daud memulakan perjalanan pulang ke bandar.  Sedang Saufi masih berdiri di situ bersama wang kertas di tangan.

"Ya, kita akan berjumpa lagi," kata Saufi sendirian bagaikan menjawab pertanyaan Umair petang tadi. Siapa Umair yang berjiwa besar ini? Jiwa itu dipenuhi dengan kasih sayang maha tulus. Umair bukan suatu perbandingan. Dia perlambangan bak matahari pagi.

SAUFI berjalan riang dari jeti menuju ke rumah. Laju dia menaiki anak tangga dengan senyuman masih tidak lekang.

"Balik dengan apa tadi? Kata nak cepat-cepat pulang?"

Sapaan Jusoh itu membuat langkah Saufi terhenti sebentar. Dia mendongak. Jusoh yang sedang berdiri di serambi rumah itu, merenungnya dengan penuh tanda tanya. Saufi tersenyum.

"Kawan hantar sampai ke jeti Pokok Rhu," balas Saufi pendek.

Jusoh kehairanan. "Kawan?"

Saufi mengangguk laju. "Ya, kawan. Kawan baru." 

Renungan Jusoh dipenuhi tanda tanya dan rasa ingin tahu yang menebal. Sedang soalan dalam benak Jusoh semakin menimbun, langkah Saufi laju menuju ke dalam rumah.

Jusoh mengekori adiknya dengan rasa aneh. 

"Siapa dia tu?"

Soalan Jusoh sayup-sayup singgah di telinga Saufi. Namun, dibiarkan hilang bersama angin berdesis. Girang hati Saufi mencari si ibu yang senyap di sudut bilik di hujung rumah.

"Ibu!" panggil Saufi tanpa menjawab pertanyaan Jusoh.

Suara ceria Saufi membuatkan ibu menoleh perlahan. Segaris senyuman terlukis membasahkan bibir ibu yang kering. Saufi bersila di hadapan ibu. Senyumannya menguntum indah.

"Hari ni, Opie berkenalan dengan seseorang. Dia dari luar negara. Dia baik, sopan dan berbudi bahasa. Dia ada ladang buah-buahan yang sangat luas." Saufi teruja mendepakan tangan bagi menggambarkan berekar-ekar tanah yang dimiliki oleh Umair.

Perenggan berkenalan dengan kawan baru itu menarik perhatian Jusoh yang sedang berdiri di muka pintu. Dia menanti rangkap seterusnya. Sabar menunggu. 

"Dia sangat berbeza," kata Saufi dengan senyuman yang kian lebar. "Bukan. Dia memang berbeza," sambung Saufi lagi.

Renungan Jusoh juga menjauh mencari bayangan orang asing yang baru menjadi kawan kepada adiknya ini. Terdengar sungguh hebat. Apakah wujud hati sehebat penampilan tuan empunya diri? Jusoh tertanya-tanya, adakah jutawan mempunyai kekayaan jiwa seperti yang dikhabarkan ini?

PAGI masih dingin. Saufi menyusuri jalan yang sesekali sayup-sayup terdengar bunyi enjin bot-bot nelayan yang keluar mencari rezeki. Bot kecil milik Pak Cik Bakar ditumpangi lagi meredah muara tenang. Biasan kenangan bermain dalam fikiran.

Saufi teringatkan seseorang. Seseorang yang ibu nantikan saban hari. Ayah atau Hambali? Saufi pun tidak pasti. Kata Abang Jusoh, ayah lelaki yang berjiwa kental. Segagah ombak. Sekuat geloranya. Ayah telah pulang. Pulang tanpa sempat Saufi mengukir banyak kenangan bersamanya. Begitu juga dengan Hambali. Bagaimanakah rupa dan perwatakan mereka? Itu juga Saufi tidak tahu!

"Nak tumpang?" Suara itu menghambat sepotong memori yang bermain dalam minda Saufi.

Saufi berpaling. Lantas, dia tercari-cari arah datangnya suara itu. Kabus yang bersisa mengaburkan penglihatan. Putihnya mula menipis apabila disapa angin pagi. Kelihatan seseorang berdiri di tepi kereta mewah itu. Di sisinya pula ada dua orang lelaki yang menjadi peneman setia.

"Abang Umair?" Saufi mengerutkan keningnya. Ada senyuman meniti di bibir. Ada tanda tanya mula menyoal diri.

Belum sempat Saufi utarakan rasa hati, Umair seperti sudah dapat meneka dengan tepat persoalan itu. 

"Kebetulan Abang Umair lalu kat sini," jawab Umair ringkas.

Tertawa Saufi mendengar alasan itu. 

"Kebetulan? Jauh betul Abang Umair menyimpang dari laluan asal."

Umair merenung tepat wajah ceria Saufi. Hati Umair berasa tenang. Jauh di dasarnya ada rasa yang terusik. Dia tidak faham. Setiap kali bertemu Saufi, rasa syahdu dalam hatinya ini seperti ditarik-tarik. Pedih itu membawa rasa rindu. Dia tahu itu memang rindu. 

"Mungkin inilah laluan yang sebenarnya. Tak siapa tahu," sambut Umair bersahaja. Penuh makna. 

Kata-kata itu disambut ketawa kecil. Saufi mengangguk. Mengakui seperkara yang kini menjadi nyata.

"Abang Umair memang tak mahu lepaskan Opie, kan?" balas Saufi sambil tersenyum.

Tiada sahutan. Hanya renungan Umair yang kian dalam. Pak Cik Farisi membuka pintu kereta. Tanpa bersoal jawab lebih panjang, Saufi masuk ke perut kereta itu bagi melengkapkan pelawaan. Kereta bergerak cermat. Diam memenuhi suasana. Umair banyak memerhati ke luar jendela. Seolah-olah sedang mencari sesuatu. Mengamati. Barangkali.

"Abang Umair nampak lain." Saufi berkata jujur.

Umair pantas menoleh. Ada reaksi sedikit terkejut.

"Lain?"

Saufi mengangguk. "Ya. Abang Umair macam sedang fikirkan sesuatu."

Umair tersenyum. Dia kembali membatukan diri sambil terus memerhati ke luar jendela.

"Mencari, mengamati dan memahami memang perlukan masa."

Wajah Saufi keliru. Tidak faham dengan kata-kata lelaki itu. 

Umair menunduk sebentar. Kemudian, mengalih perhatiannya ke luar jendela semula. Lama.

"Ada ketikanya masa banyak menyimpan rahsia. Mungkin tersembunyi di sepanjang laluan ni," sambung Umair dengan ayat yang masih berteka-teki. Tertawa kecil Saufi. Dia berasa hairan.

"Abang Umair tu sebenarnya yang menyimpan banyak rahsia."

"Ketara benar ke?" soal Umair kembali. 

Umair dan Saufi saling berpandangan. Cuba memahami maksud yang tersembunyi. Mungkin cuba memahami semua yang berlaku sejak kali pertama mereka bertemu lagi.

"Abang Umair datang dekat dan berkawan dengan Opie. Semuanya tiba-tiba. Abang Umair bawa kejutan di luar jangkauan." 

Kejujuran kata-kata Saufi membuatkan Umair terdiam seketika. 

Umair melempar sekelumit senyuman terpaksa. Dia mengimbau detik pertama bertemu remaja ini. Demi rasa itu, dia mahu mengenalinya. Demi rasa itu, dia mahu memahaminya.

"Dalam hidup ni, tak ada perkara yang tiba-tiba. Semuanya dalam aturan ALLAH. Manalah tahu ada sesuatu di antara kita berdua."

Keliru lagi. Saufi merenung lama wajah Umair. "Abang Umair ni memang penuh dengan tanda tanyalah."

Tertawa Umair mendengar ayat itu. "Abang Umair berharap Opie dapat beri semua jawapan tu."

Saufi memandang Umair dengan wajah yang makin keliru.

Hati Umair bagaikan digeletek. Dia tertawa kecil dan tersenyum-senyum sendiri.

"Banyak yang Abang Umair nak tahu dan nak tanya sebab dah penat jadi bingung. Boleh Opie tolong Abang Umair?" soal Umair lagi.

Saufi merenungnya dengan wajah sedikit serius. "Sekarang, Opie yang bingung."

Umair menepuk mesra bahu Saufi. "Opie kata, Abang Umair bawa kejutan di luar jangkauan. Anggap ini salah satu daripadanya."

"Ada lagi selepas ni?" Segera Saufi menyoal.

Umair tidak mahu mengulas lanjut. Cukuplah Saufi tahu, pertemuan ini bukan yang terakhir. Cukuplah Saufi sematkan dalam hati, perhubungan ini bukan hanya sampai di sini.

"Kita dah sampai," kata Umair sebaik kereta yang dipandu Abang Reza berhenti di hadapan sekolah menengah. 

Salam bertaut. Saufi menutup pintu kereta. Kemudian, kereta itu mula meninggalkan pekarangan sekolah. Tatkala itu, rakan-rakan sekolah mula berbisik-bisik.

Tertanya-tanya gerangan pemilik kereta besar itu. Saufi masih lagi terpaku. Selepas ini, apa pula?

LEWAT tengah hari itu, Saufi berjalan menuju ke pintu pagar sekolah. Cahaya terang menembusi awan. Terik matahari membuatkan diri berasa kurang selesa. Langkah laju Saufi terkaku di hadapan pintu utama. Dia menghampiri kereta itu. Cermin kereta itu diturunkan secara automatik.

"Abang Umair tunggu Opie?" soal Saufi sewaktu bertentang mata dengan Umair.

Umair mengangguk. "Abang Umair hantar Opie balik."

Tanpa bertanya lanjut, Saufi masuk ke perut kereta. Dalam hati seperti ada yang tidak kena. Saufi percaya, Umair pasti ada sebab sendiri atas kehadirannya di sini. 

"Abang Umair memang nak sangat jadi abang kandung Opie, ya?" seloroh Saufi.

"Jika boleh."

Saufi mengerling. "Abang Umair tak menyesal?"

"Lebih menyesal kalau tak mengenali Opie dengan baik," balas Umair bersahaja.

Rancaknya perbualan itu membuatkan Abang Reza mengerling dari cermin pandang belakang. Sesekali dia tersenyum. Dia tumpang gembira apabila melihat Umair begitu ceria sejak akhir-akhir ini. Pak Cik Farisi di sisi Umair tidak mencelah. Hanya memerhati.

"Opie seriuslah!" sambut Saufi tegas.

"Abang Umair pun!" Kata-kata Umair ternyata lebih tegas.

Saufi terdiam. Raut Saufi mulai kelam. Dengan bahasa apa yang perlu dia katakan, bahawa dia bukanlah orang yang layak menerima kunjungan Umair? Kata-kata apa yang harus dia diucap agar penolakan ini tidak melukakan Umair?

"Orang kata, kehidupan di sini adalah sebenarnya kehidupan. Abang Umair hanya nak tahu keindahannya. Hanya mahu melaluinya," sambut Umair dengan nada yang lebih tenang.

Jika air mata, menahan lapar dan makan sekadarnya adalah suatu keindahan, tidak perlulah Saufi bersusah payah mencari kehidupan yang lebih baik di luar sana. Benarkah indah? Dari sudut manakah Umair melihatnya? Saufi terkedu sendiri.

"Opie harap, Abang Umair tak menyesal," kata Saufi perlahan. 

Kereta yang dipandu Abang Reza bergerak cermat. Pak Cik Daud tekun memberi tunjuk ajar selok-belok jalan di sekitar kawasan ini. Pada hemat Saufi, Abang Reza bakal tinggal lama di sini. Kereta yang dinaiki menuju ke destinasi pertemuan pagi tadi.

Setiba di situ, Abang Reza memberhentikan kereta di bahu jalan. Dia menoleh untuk bertanya arah jalan seterusnya.

"Kereta kena letak kat sini," kata Saufi sebelum sempat Abang Reza bertanya.

Abang Reza kurang mengerti. Namun, dia segera menurut kata.

Saufi keluar dari perut kereta. Hari masih awal. Rasa gembira juga kerana tidak perlu berlama-lama di dalam bas yang tidak mempunyai penyaman udara.

Saufi memandang Abang Reza yang masih terkebil-kebil.

"Tak ada feri. Hanya bot penumpang." 

Abang Reza tersengih. Kemudian, Umair dan Abang Reza menyusul langkah Saufi yang teratur. Bot penambang yang sudah lama bersedia menunggu di jeti itu, menyusur pergi dengan perlahan. 

Sebuah pemandangan yang tidak pernah terlukis dalam fikiran Umair. Pokok nyiur melambai-lambai. Pohon-pohon rhu ditiup angin. Dia diam dalam dingin tangan dan kaki yang hampir menjadi beku. Pucat mukanya menahan gelora muara yang dilanda ombak-ombak kecil.

"Sakit ke?" Pak Cik Farisi merenung Umair penuh rasa bimbang.

Umair tersenyum seolah-olah menghantar jawapan bahawa semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Hampir 45 minit perjalanan, mereka tiba di situ. Di sebuah destinasi yang tidak ada dalam senarai lawatan sepanjang berada di sini. Perjalanan diteruskan lagi hingga ke hujung kampung.

"Rumahnya dekat dengan laut," kata Pak Cik Farisi perlahan.

Umair kelihatan tenang. "Hanya dekat." 

Terjongket sedikit kening Pak Cik Farisi mendengar jawapan ringkas Umair. Dia tidak percaya, Umair cepat benar mengabaikan keselamatan diri. Jantung Pak Cik Farisi berdegup laju. Dia ingin menghalang, tetapi bagaimana?

"Umair tahu akibatnya." Pak Cik Farisi sengaja memberi isyarat.

Umair berpaling. Tenang sungguh air mukanya. Jernih renungannya. Sebersih hati yang benar-benar tulus dengan hajatnya ini.

"Macamlah saya tak biasa dengan semua tu. Saya akan terus kuatkan hati."

Pak Cik Farisi mengeluh. "Macam mana jika dia bukan orang yang Umair cari?"

"Biar gerak hati yang menentukan." Senyuman Umair mekar sendiri.

Pak Cik Farisi masih bimbang. "Umair ...."

"Saya mohon pada ALLAH agar pandu hati yang sering tertanya-tanya. Arah ini bukan saya yang pilih," pintas Umair.

Dia terus menyusul jejak Saufi, Pak Cik Daud dan Abang Reza yang beberapa langkah di hadapan. 

"Mengapa degil sangat?" Pak Cik Farisi mengerling geram.

Umair terkekeh ketawa lalu memaut mesra bahu Pak Cik Farisi. Anggukan lesu Pak Cik Farisi tanda mengalah. Dia tahu, Umair akan tetap dengan pendiriannya. Jika begitu kata hati Umair, Pak Cik Farisi hanya mengikut rentaknya. Semoga ALLAH melindungi.

"Kat sana tu, rumah Opie!" kata Saufi sebaik terlihat rumah berpagar buluh yang sudah usang. Malah sebahagiannya sudah roboh. Reput. 

Sesekali deru ombak singgah di pendengaran. Kian hampir. Kian jelas. Hati Umair bergetaran. Akal berselirat meleraikan pertanyaan hati. Sedaya upaya mencairkan seberkas ingatan yang sudah lama menjadi ketulan ais!

Pak Cik Farisi sedar akan perubahan wajah Umair. Pucat nan lesi. Langkah demi langkah Umair kian perlahan.

"Umair tak apa-apa ke?" Pak Cik Farisi memegang tangan Umair dengan penuh bimbang. 

Umair tersenyum nipis seraya menggeleng. Wajahnya semakin pucat. Terketar-ketar dia meneruskan langkah. Dia tiba di laman rumah itu. Hatinya tertikam! Air mata ingin luruh. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Dikesat air mata yang mula berjatuhan. Sedang hatinya terus menyoal. Mengapa rasa ini sungguh pedih?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.