Lambaian Rindu
KAKU langkah Pak Cik Farisi di sudut itu. Tergamam dia dengan keputusan yang dirasakan terlalu mendadak. Tidak pernah dia menyangka, sepantas itu Umair memutuskan kata.
"Umair tak nak fikir sekali lagi?" soal Pak Cik Farisi untuk sekian kalinya semenjak hampir beberapa jam berada di bilik berhawa dingin ini.
Umair mengangguk pasti. Dia begitu tenang di tepi almari pakaian yang pintunya terbuka sebelah itu.
"Gerak hati saya tak pernah silap."
"Macam mana dengan Rose Bakawali?" Berlegar di fikiran Pak Cik Farisi mengenai urusan syarikat, ladang dan mesyuarat penting yang perlu dihadiri dalam masa beberapa hari ini. Dia benar-benar berharap, Umair pertimbangkan semula keputusan yang dirasakan kurang wajar ini.
Melihat Pak Cik Farisi terdiam begitu membuahkan senyuman Umair.
"Saya dah uruskan semuanya. Kita hanya pergi bercuti beberapa hari. Kita akan pulang sebelum epal dituai," jelas Umair.
Kata-kata itu membuatkan Pak Cik Farisi tergamam lagi. Kemudian, ada gelengan kecil bersama senyuman yang dia lemparkan buat Umair. Umair cekap menyusun perancangan kerana hatinya terlalu ingin pulang. Seperti anak muda ini telah bersedia untuk berhadapan dengan realiti.
"Saya ditemui di perairan Laut China Selatan. Tentu tempat asal saya tak jauh dari situ," kata Umair bersahaja sambil tersenyum.
"Tempat yang berkemungkinan telah kita pergi sebelum ni. Umair takkan mampu bertahan," balas Pak Cik Farisi penuh bimbang.
"Dalam tempoh beberapa tahun ni, saya dah jadi manusia kental. Saya belajar daripada pak cik dan walid. Saya berjanji, ini yang terakhir." Umair tenang dalam bersungguh-sungguh.
Umair mula mengemas beg pakaiannya. Tidak banyak pakaian yang dibawa untuk percutian yang mendadak ini.
Pak Cik Farisi berasa lega, sekurang-kurangnya Umair tidak menyimpan hajat mahu berlama-lama di sana.
Pak Cik Farisi hanya memerhati tingkah Umair itu. Mungkin masih terlalu awal untuk dia berlapang dada. Dia melihat Umair merenung lama sehelai kemeja lusuh yang dijaga rapi itu.
"Pakaian ni pun nak dibawa bersama?"
Dengan perlahan, Umair menoleh. Ada senyuman kelat di situ.
"Inilah serpihan memori yang harus saya cantumkan. Saya cuma perlu mencari kepingan seterusnya."
Entah mengapa, Pak Cik Farisi merasakan semua ini tidak seharusnya Umair lalui. Dia bimbang jika harapan besar ini mencederakan hati dan perasaan Umair sendiri. Pak Cik Farisi berlabuh di tepi katil itu. Direnung lama wajah Umair.
"Tak terasa ke Umair terlalu memaksa diri?"
Nafas Umair tenggelam di dasar paling dalam. Lalu, dia melepaskan dengan begitu yakin.
Pertama kali juga, Pak Cik Farisi melihat senyuman itu begitu tulus semenjak ketiadaan tuan dan puan besar.
"Ini juga hajat umi dan walid. Terapung di lautan, bukan bermaksud saya tak punya keluarga." Umair membalas tenang. Penghujung ayat itu terdengar ketegasan yang sengaja dikeraskan.
"Sebab itulah pak cik risau!" balas Pak Cik Farisi spontan.
Umair menelan liur. Sayup-sayup kedengaran ombak menghempas pantai. Tidak pernah ada dalam lembaran kenangan, dia menyaksikan betapa indahnya sang berbuih yang memecah di persisiran. Ombak bagaikan hamparan duri. Bisanya mampu menembusi setiap salur saraf. Umair sendiri pun tahu. Dia mengerti kebimbangan itu. Dia melempar senyuman penuh makna.
"Pak cik sendiri kata, saya seorang yang tabah. Tentu saja saya dapat melaluinya dengan berani."
Giliran Pak Cik Farisi pula terdiam. Demi mencantum mimpi yang samar, Umair telah tetapkan hatinya. Tiada lagi perkataan yang tinggal untuk dilafazkan. Dia terus berlalu pergi. Semoga tanah kelahiran membawa seribu rahmat buat Umair.
PERJALANAN si musafir hampir lima jam itu berjalan lancar. Kereta yang disewa khas berserta dengan pemandunya itu telah sedia menunggu. Kenderaan tujuh tempat duduk penumpang ini meluncur cermat meninggalkan lapangan terbang di sebuah negeri peranginan yang terkenal di Pantai Timur ini.
Cuaca cerah sepanjang perjalanan menuju ke hotel yang juga telah ditempah dari awal lagi. Lampu isyarat bertukar warna. Kereta berhenti. Pemandangan pada waktu petang begini agak sesak kerana semuanya berkejaran ingin pulang.
Umair memandang ke luar jendela kenderaan yang cerminnya agak gelap sedikit. Dia terpaku. Di situ, terlihat seseorang yang sedang menjaja sesuatu. Segera cermin kereta diturunkan. Dia dapat meneka si penjaja pasti masih bersekolah. Lama memerhati. Hatinya mula terasa sesuatu.
"Berhenti!" ucap Umair spontan.
Tingkah Umair menimbulkan tanda tanya. Pak Cik Farisi yang duduk bersebelahan dengannya segera menoleh. Abang Reza di tempat duduk hadapan sebelah pemandu juga tertanya-tanya.
Riak Umair bagaikan melihat sesuatu yang begitu berharga jika dibiarkan sahaja. Sesekali dia memandang ke luar jendela kereta. Bimbang jika penjaja muda itu terlepas dari pandangan. Pemandu segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
"Beli kesemua jualannya," arah Umair kepada Pak Cik Farisi tanpa berfikir panjang.
Pak Cik Farisi dan Abang Reza saling berpandangan tidak mengerti. Pak Cik Farisi cuba menenangkan Umair yang terlihat resah dan gelisah itu.
"Umair nak buat apa ni?" risik Pak Cik Farisi.
Umair langsung tidak menjawab. Renungan Umair yang kelam itu semakin mengusutkan fikirannya. Dari cermin sisi pandang belakang, si pemandu itu cuba meleraikan misteri kejadian yang berlaku secara mendadak. Dia tersenyum mesra.
"Itu, Opie. Saufi. Dia tinggal di pulau, kampung nelayan. Opie selalu berniaga kat sini. Pak Cik Daud selalu juga beli ikan masin dengan dia. Sedap." Dia mencelah.
Pengenalan awal mengenai remaja itu menikam tepat rasa belas di ulu hati Umair. Dia menunduk. Tentu si penjual muda ini sedang melalui hari-hari yang sukar dalam hidupnya sehingga memilih jalan ini. Tidak adakah pilihan kedua yang lebih baik?
Pertanyaan demi pertanyaan berlegar dalam fikiran Umair dengan ligatnya. Kemudian, dia kembali mengangkat wajah. Dia terus memerhatikan Saufi.
Pak Cik Farisi dan Abang Reza juga mengamati remaja yang sedang menjaja bersama beg plastik cerah itu.
Umair tersenyum kelat. Hatinya yang tertikam bagaikan dihiris-hiris.
"Kasihan. Masih bersekolah, terpaksa pula cari rezeki demi keluarga." Bergetar bunyi suaranya.
Kata-kata itu sudah memadai buat Pak Cik Farisi. Dia mengerti. Pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Umair. Dia turun dari kereta dan segera menuju ke arah Saufi. Beg plastik itu bertukar tangan.
Dari jauh, Saufi tersenyum penuh makna dengan pulangan hari ini.
Pak Cik Farisi masuk kembali ke perut kereta. Ada bauan yang mula menyukarkan pernafasan. Namun, dia terpaksa menahan. Kemudian, perjalanan yang terhenti itu diteruskan semula.
Senyuman Umair mekar dalam diam. Sedang renungannya menjauh entah ke mana.
"Dia mengingatkan saya pada seseorang," ujar Umair perlahan setelah lama mendiamkan diri.
Cerah wajah Abang Reza mendengar kata-kata itu. "Ingat? Dah ingat?" Abang Reza teruja.
Spontan Umair tersenyum hambar. "Hanya terasa sesuatu."
Helaan nafas Pak Cik Farisi mencari kesinambungan. Siapakah dalam ingatan Umair ketika ini? Dekat benarkah dengan hati Umair sehingga meninggalkan rasa sengsara ini? Itu bukan sekadar belas kasihan. Seperti suatu rasa singgah di hati dan mencipta ruang.
KERETA yang ditumpangi berhenti di pekarangan hotel yang agak terkenal di bandar ini. Bagasi mula dibawa masuk ke lobi. Tanpa menunggu arahan Umair, Pak Cik Farisi terlebih dahulu menuju ke kaunter pendaftaran.
Abang Reza pula membantu petugas hotel memunggah bagasi ke atas troli yang telah disediakan. Deria bau pekerja ini telah terhidu sesuatu. Dia meneliti bagasi dan bungkusan tetamunya ini.
"Ikan masin? Maaf, barangan berbau tak dibenarkan sama sekali," beritahu pekerja yang menguruskan bagasi-bagasi itu.
Abang Reza tercengang sendiri.
"Ini buah tangan tuan muda kami."
Pekerja itu bersikap tenang dan menerangkan dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini.
"Maaf. Peraturan tetap peraturan." Pekerja itu tersenyum dengan lebih manis.
Abang Reza menjeling. "Tak masuk akal langsung!"
Suara marah-marah geram Abang Reza menarik perhatian Umair yang sedang memerhati persekitaran hotel. Dia menatap lama wajah si pekerja yang cuba mengawal amarah yang mula berbahang itu. Hatinya berdegup tidak sekata. Mulai kencang. Ingatan lelah mencari titik pertemuan sebelum ini.
"Kami perlu menjaga reputasi hotel. Bimbang jika bau ikan masin ni mengganggu tetamu yang lain pula. Sudah masuk akal ke sekarang ni, tuan?" Dengan senyuman yang sengaja dilebarkan, pekerja itu menyambung kata.
Kerlingan si pekerja itu membuatkan Umair tersenyum sendiri. Sempat jua dia melirik tanda nama yang terselit kemas di uniform pekerja itu.
"Saya nak berjumpa dengan ketua awak, Cik Awatif," celah Umair setelah agak lama memerhatikan kisah pendek di lobi hotel ini.
Awatif berpaling. Spontan renungan Umair beralih arah. Awatif menjeling lagi. Dia menarik nafas panjang. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur dengan permintaan itu.
Dengan wajah masam, Awatif mengerling tajam.
"Orang besar memang suka cari kesalahan orang kecil."
Rungutan itu membuatkan Umair tersenyum-senyum. Tidak lama selepas itu, Awatif kembali bersama ketuanya. Senyuman si dia yang mengenakan blazer itu ramah sekali. Wajah Awatif pula mencuka.
"Saya, Marfuah. Penyelia kat sini. Maafkan pekerja kami," ucapnya sambil menundukkan wajah tanda merendah diri.
Umair tersenyum lagi. Orang begitu menghormati, dia wajar berbahasa. Tidak molek dia membuat aduan untuk perkara sekecil ini. Keruh di wajah Abang Reza juga kian jernih.
"Bukan salah Cik Awatif. Peraturan tetap peraturan. Jadi, ambil semua ikan masin ni sebagai hadiah daripada saya. Pelanggan selalu betul," balas Umair dengan tenang.
Awatif terpukul. Marfuah mengangguk sambil menyambut pemberian Umair dengan perasaan tertanya-tanya. Hampir tergelak Abang Reza melihat drama yang baru tercetus itu.
Umair memandang sebentar ke arah Awatif yang masih menunduk itu.
"Orang kecil, orang besar? Kita?" Umair mengangkat telunjuknya ke arah Awatif dan kemudian berbalik kepada dirinya sendiri. "Siapa saya atau awak atau sesiapa saja nak rasa diri tu hebat? Sedangkan kita ni cumalah hamba ALLAH yang serba kekurangan. Ingat tu!"
Awatif rasa terpukul lagi. Tidak berani dia mengangkat wajah. Setelah langkah Umair menjauh, barulah Awatif menoleh bersama sekuntum senyuman penuh makna. Kata-kata itu membuatkan dia tertanya-tanya. Siapa sebenarnya gerangan orang asing yang bermata hijau itu? Petahnya dia menyusun kata bak pujangga. Rambutnya perang separas leher itu kemas dan rapi. Berjalan dan berbicara penuh gaya tersendiri. Pastinya pemuda itu bukan tetamu biasa.
"Awatif, cepat!" panggil Marfuah dari muka pintu untuk kakitangan sahaja itu.
Awatif tersentak seraya berpaling. Wajahnya layu.
Tentu berjela "khutbah" yang bakal didengari. Sebaik menghampiri, pantas tangannya ditarik ke ruangan rehat pekerja.
"Lihat." Marfuah memandang ke arah skrin televisyen.
Awatif terkejut besar. "Dia?"
"Hartawan muda dari Australia. Pewaris tunggal harta bernilai jutaan ringgit. Dia baru saja singgah. Ini bagus untuk hotel kita," kata Marfuah dengan gembira.
Awatif menumpu sepenuh perhatian pada berita semasa di ruangan urus niaga antarabangsa yang sedang bersiaran itu.
"What are you doing here, Tuan Muda Umair Jayden William? Business thing?"
Wartawan sedang menemu ramah di luar lapangan terbang, sebaik Umair tiba di daerah ini beberapa jam yang lalu.
"No. Just personal thing. Family matters," jawab Umair sopan sambil melebarkan senyuman dan masuk ke dalam kereta.
Awatif ternganga. Tuan Muda Umair Jayden William? Dia terduduk di kerusi. Dia tidak menjangkakan pemuda yang baru menyapanya tadi adalah seorang yang sangat terkenal. Tidak pernah menduga orangnya begitu ringkas. Terlalu sederhana sebenarnya.
"Tapi, awak baru saja ...."
Geram sungguh apabila Marfuah mengingatkan semula insiden sebentar tadi.
"Hampir merosakkan reputasi hotel kita!" marah Marfuah sambil berdiri tegap di hadapan Awatif bersama wajah serius.
Awatif tergamam.
"Err ... mungkin hanya pelanduk dua serupa." Awatif tersengih pendek menutup rasa bersalah.
"Baik awak jaga sikap dan tingkah laku. Lebih baik juga awak bina hubungan baik dengannya. Pelanggan selalu betul." Marfuah meninggalkan Awatif sendirian di bilik pekerja itu.
Awatif tersandar lesu. Fikirannya jauh mencari sekuntum senyuman dan sebaris ayat di pertemuan yang singkat itu. Terasa ada sesuatu dalam hati telah terjadi. Kejadian yang tidak dapat disebut dengan perkataan. Sehingga dia sendiri tidak memahaminya.