“ALISSA, ini
meja awak, yang itu bilik bos awak, Syed Hadif. Kami di sini panggil dia Tuan
Syed. Orangnya handsome, tapi dah
kahwin.” Puan Latifah ketawa di hujung ayatnya.
Alissa tersenyum, sedari tadi dia dibawa melawat
sekitar kawasan syarikat itu dari tingkat 10, 11 dan pejabatnya terletak di
tingkat 13. Dia diperkenalkan kepada kakitangan syarikat dan diberi sedikti
taklimat tentang perjalanan syarikat. Orang terakhir yang akan ditemuinya ialah
Syed Hadif. Puan Latifah sempat berpesan supaya berhati-hati dengan Syed Hadif,
katanya lelaki itu sukar dijangka sifatnya, wajahnya serius, agak payah hendak
melihat Syed Hadif mengukir senyuman.
Puan Latifah mengetuk pintu bilik Syed Hadif.
“Masuk.”
Daun pintu ditolak cermat. Alissa mengekori langkah
Puan Latifah, debaran di dada semakin memuncak, lelaki itu masih menunduk
sambil menulis sesuatu di atas meja.
“Selamat pagi Tuan Syed,” sapa Puan Latifah.
“Latifah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Syed
Hadif masih serius, dikerling sekilas ke arah gadis yang berbaju kebaya labuh
di sisi Puan Latifah, pegawai dari jabatan sumber manusia di syarikat tersebut.
“Saya bawa orang yang Tuan Syed nantikan,” jawab Puan
Latifah sambil menjeling ke arah Alissa di sisinya.
“Hah… bagus, banyak kerja saya tergendala, nak taip
surat pun terkial-kial,” komen Syed Hadif.
“Alissa, ini bos awak, Tuan Syed.”
Syed Hadif bingkas bangun, dihulurkan tangan untuk
berjabat dengan gadis itu, gayanya masih muda dan mentah. Kelihatan takut-takut
saja bila berhadapan dengannya.
“Okey, saya kena pergi sekarang, so Tuan Syed dia hak you sekarang.” Puan Latifah ketawa sebaik
sahaja menghabiskan ayatnya, disambut senyuman sinis di bibir Syed Hadif.
Puan Latifah meninggalkan ruang pejabat Syed Hadif
untuk kembali ke pejabatnya, meneruskan tugasnya yang tergendala sebentar tadi.
Syed Hadif merenung Alissa, dari atas ke bawah, gadis
itu tertunduk malu.
“Duduklah, siapa nama awak tadi ?” tanya Syed Hadif.
“Alissa,” jawab Alissa gugup.
“Okey, ini dokumen-dokumen yang perlu dimasukkan ke
dalam fail. Fail-fail yang berkenaan ada di luar, kalau awak tak faham apa-apa
awak boleh bertanya dengan Puan Noriah atau bertanya dengan saya.” Syed Hadif serahkan
dokumen-dokumen yang bersusun di atas mejanya ke tangan Alissa.
“Tolong siapakan surat ni segera, saya perlukan lepas lunch nanti,” ujar Syed Hadif sambil
meletakkan kertas yang berconteng dengan tulisan tangan di atas timbunan
dokumen di tangan Alissa.
Alissa segera mengangguk. Apa lagi yang boleh
dibuatnya selain mengangguk seperti burung belatuk
Syed Hadif tersenyum. Gelihati pula melihat Alissa
yang pucat wajahnya. Entah apa yang Puan Latifah sampaikan tentang dirinya pada
gadis tersebut. Gadis polos yang masih baru dalam dunia pekerjaan.
Alissa mengatur langkah dengan hati yang bercampur baur.
Baru hari pertama bekerja dia sudah dibebankan dengan tugas yang banyak. Dokumen
yang perlu dimasukkan ke dalam fail setinggi lima inci, surat yang perlu ditaip
melebihi dua muka surat. Dikerling jam di tangan, hadiah hari ulang tahun dari
Ilham. Walaupun jam itu tidak mahal, tapi cukup berharga buatnya. Setiap hari dia
memakai jam tersebut dan setiap saat matanya pasti teralih ke arah jam itu dan
setiap detik, hatinya pasti teringatkan Ilham yang disayangi, sumber ilham
untuk meneruskan perjuangan hidupnya. Alissa tersenyum, mengingati Ilham
membuatkan hatinya terasa cukup bahagia.
Alissa memulakan tugasnya, tinggal 2 jam sahaja lagi sebelum
waktu makan tengahari. Dia perlu menyerahkan surat tersebut ke tangan Syed
Hadif. Tangannya lincah menaip dengan skil yang dipelajari sewaktu di kampus dulu.
Dalam masa dua puluh minit sahaja dia berjaya menyiapkan surat yang ditulis
dengan tangan sehingga dua helai, dimampatkan menjadi sehelai selepas ditaip
menggunakan perisisan Microsoft Word.
Alissa menekan butang print, sebuah printer sudah
tersedia di sebelah mejanya. Sewaktu dibawa melawat oleh Puan Latifah sebentar
tadi dia menyedari sesuatu, setiap meja setiausaha disediakan sebuah printer. Dia tersenyum lebar, kerjanya
siap sebelum waktu yang diminta.
Pintu bilik Syed Hadif diketuk perlahan selepas
berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Masuk.” Suara Syed Hadif meminta dia masuk cukup
jelas kedengaran.
“Tuan Syed, saya dah siapkan surat yang Tuan Syed
draft tadi.” Alissa hulurkan sekeping kertas putih yang sudah bercetak dengan
ayat-ayat yang dikarang oleh Syed Hadif.
Alissa berdiri di hadapan Syed Hadif, memerhatikan
lelaki itu membaca isi kandungan surat tersebut. Bulat matanya melihat Syed
Hadif membulatkan beberapa perkataan di atas kertas tersebut, bukan satu atau
dua perkataan tapi lebih dari sepuluh perkataan yang menjadi mangsa contengan Syed
Hadif.
“Betulkan semula, check
spelling sebelum print, guna recycle paper, jangan membazir.”
Dicapai kertas yang dihulurkan oleh Syed Hadif dengan
hati yang berkecamuk, hasil kerja pertamanya mendapat kritikan Syed Hadif. Silap
dia juga kerana tidak menyemak ejaan bahasa inggeris terlebih dahulu. Itulah
akibatnya, terlalu teruja dengan kerjanya.
Alissa kembali ke mejanya, dibetulkan semula surat
tersebut seperti yang dikehendaki Syed Hadif. Diteliti isi surat tersebut
selepas membuat pembetulan. Siap… tapi betulkah sudah sempurna? Berdebar-debar
dadanya hendak bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik Syed Hadif. Dia
teringatkan kata-kata Puan Latifah tentang sifat garang Syed Hadif.
Alissa masuk semula ke dalam bilik Syed Hadif, jam
sudah mencecah ke angka 12, jika sedikit sahaja pembetulan, tentu kerjanya
dapat disiapkan. Seperti tadi, Syed Hadif menanda lagi kertas tersebut, kali
ini dengan pen berdakwat merah. Marahkah Syed Hadif? Kata orang penulis yang
menggunaan pen berdakwat merah, tandanya orang itu sedang marah, tapi memang Syed
Hadif memegang pen tersebut sewaktu dia masuk tadi.
“Betulkan semula, saya nak keluar lunch sekejap lagi, saya nak surat ni siap bila saya balik nanti,”
pesan Syed Hadif tanpa memandang ke arah Alissa.
Dicapai surat yang sudah berconteng semula, perlu
dibetulkan lagi, Alissa mengeluh perlahan.
“Banyak kerja bos
bagi,” sapa Puan Noriah yang berdiri di hadapan mejanya.
“Kena buat surat kak,” ujar Alissa.
“Dah berapa kali kena conteng?” Tanya Puan Noriah.
Alissa mengangkat muka, soalan itu membuatkan dia
terkejut, memang begitukah sifat Syed Hadif.
Puan Noriah tersenyum, dapat dibaca riak kekejutan di
wajah gadis manis itu.
“Tuan Syed tu memang cerewet sikit. Dah 3 orang setiausaha
dia, semua tak tahan dengan perangai dia. Alissa setiausaha yang keempat,” ujar
Puan Noriah.
Alissa menelan liur, apakah akan ada setiusaha Syed
Hadif yang ke lima selepasnya. Puan Noriah ketawa geli hati.
“Jangan risau, Tuan Syed tu baik sebenarnya, cuma
cerewet sikit, biasalah, surat untuk client
mesti sempurna kalau tidak dia yang kena dengan client bukannya kita.” Puan Noriah tertawa kecil kemudian meminta
diri untuk ke tandas.
Alissa hanya tersenyum, terasa pahit di kerongkongnya,
dapatkah dia bertahan dengan kerenah Syed Hadif kalau tiga setiausahanya yang sebelum
ini menarik diri.
“Lis, bos ni bukan semuanya teruk, ada juga yang okey,
pasal cerewet ni perkara biasa, mereka memang nak kerja kita perfect.” Pesanan Siti Hawa berlegar di
ingatannya. Mungkin Syed Hadif berada dalam kategori yang dimaksudkan oleh Siti
Hawa.
Alissa meneruskan tugasnya, terukir senyuman di
bibirnya sebaik sahaja surat yang diminta itu disiapkan. Syed Hadif masih
berada di dalam biliknya. Alissa menahan debar, kali ketiga dia masuk kebilik
itu membawa surat yang sama, yang sudah dibetulkan sebanyak dua kali.
“Tuan Syed.” Alissa hulurkan surat yang dicetak
menggunakan kertas terpakai ke tangan Syed Hadif.
Lelaki itu segera menyambut helaian kertas tersebut
kemudian diletakkan di atas mejanya.
“Okey, siapkan surat ni sebelum balik.” Dua helai
kertas bertulis tangan di serahkan pada Alissa. Gadis itu hanya mengangguk
sambil mencapai kertas di tangan Syed Hadif, diatur langkah keluar dari bilik Syed
Hadif dengan hati yang lega. Namun kelegaannya cuma seketika apabila namanya
dipanggil sekali lagi.
“Alissa.”
Alissa segera berpaling, digagahi bibirnya mengukir senyuman
walaupun dalam hatinya tuhan saja yang tahu. Apa lagi yang tidak kena dengan
surat tersebut.
“Yang ini tak betul, turunkan skit lagi,” ujar Syed
Hadif sambil menconteng kertas di atas mejanya.
“Betulkan yang
ini, turunkan sedikit, surat rasmi mesti mengikut format yang betul, kita
berurusan dengan syarikat luar, saya tak mahu kerja setiausaha saya
diperlekehkan,” sambung Syed Hadif.
“Tak apa Tuan Syed, saya boleh betulkan,” dicapai
kertas di tangan Syed Hadif, terubat juga hatinya mendengar kata-kata Syed
Hadif, alasan itu boleh diterima akal. Alissa melangkah keluar dari bilik Syed
Hadif, tiga kali dia membetulkan surat yang sama.
“Print atas
kertas baru, lipat masuk dalam sampul. Sekejap lagi saya keluar saya nak surat
tu,” pesan Syed Hadif ketika Alissa sudah menyentuh combol pintu.
“Baik Tuan Syed.”
Alissa segera keluar dari bilik Syed Hadif. Seperti
yang diminta atau sebenarnya arahan Syed Hadif, Alissa membetulkan surat
tersebut dan mencetak menggunakan kertas yang bersih. Mujur juga sampul surat yang
dicarinya sudah berada di atas mejanya, tidak perlu dia tercari-cari lagi.
Daun pintu bilik Syed Hadif ditarik ke dalam, lelaki
itu hanya berkemeja tanpa mengenakan tai, overcoatnya juga sudah ditanggalkan.
“Alissa, surat tadi dah siap?” tanya Syed Hadif.
“Sudah.” Alissa hulurkan sampul surat tersebut ke
tangan Syed Hadif.
“Thanks. Ini
kunci bilik saya, kalau ada call
cakap saya keluar makan,” pesan Syed Hadif.
Alissa mengangguk, dicapai kunci yang dihulurkan oleh Syed
Hadif.
“Awak tak keluar makan ?” tanya Syed Hadif.
“Sekejap lagi Tuan Syed,” jawab Alissa sambil
tersenyum.
“Okey.” Syed Hadif berlalu.
Alissa hanya memandang langkah lelaki itu, lega hatinya.
Surat Syed Hadif sudah disiapkan, tapi surat yang kedua perlu disiapkan sebelum
balik.
“Alissa, jom kita makan.” Puan Noriah tercegat di
hadapan Alissa.
“Kak Noriah makan di mana ?” tanya Alissa. Bimbang
juga dia jika Puan Noriah menjamu selera di tempat yang mahal harganya.
“Gerai mamak depan tu saja.”
Alissa mengeluarkan dompet dari dalam beg tangannya.
Beg tangan itu kepunyaan Siti Hawa, sahabatnya yang menyuruh dia menggunakan
beg tersebut sebelum dia mampu membeli beg sendiri.
Suhaila dan Yuhanis juga mengikut mereka makan
tengahari di gerai mamak. Alissa berasa lega kerana harga makanan yang
diambilnya berpatutan, dia perlu berjimat kerana wang yang ada padanya tidak
seberapa. Abah menghulurkan duit belanja, ALia juga turut memberi. Ilham
kekasih hatinya sempat menghulurkan sedikit duit untuk belanja. Duit deposit
dan sewa rumah sudah dibayar, kasut dan pakaian juga perlu dibeli selepas
mendengar nasihat Siti Hawa.
“Kesian awak, baru masuk kerja dah kena buli dengan
Tuan Syed.” Suhaila menghulurkan simpati. Dia melihat Alissa masuk dan keluar
dari bilik Syed Hadif beberapa kali.
“Tuan Syed memang macam tu, sebab tu setiausahanya
semua tak tahan, cabut lari.” Suhaila dan Yuhanis ketawa serentak. Puan Noriah
menjeling, kurang senang dengan kata-kata rakan sekerjanya.
Alissa hanya tersenyum, dia akan lakukan apa sahaja
untuk menyenangkan hati Syed Hadif. Dia datang ke Kuala Lumpur dengan rasa syukur
yang teramat, diberikan rezeki oleh yang maha esa, pekerjaan itu sangat dinanti
setelah empat bulan lamanya dia menganggur. Masakan dia harus lari hanya kerana
Syed Hadif. Dia harus kuat, walau bagaimana sekalipun sifat Syed Hadif.