Home Novel Cinta Isteriku Bekas Banduan
Isteriku Bekas Banduan
Kasturi Madu
26/12/2020 06:27:16
84,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1
Mawar Saffiyah mengesat peluh peluh kasar yang merembes keluar disekitar pelipis dahinya. Kepala didongakkan ke atas memandang ke arah langit. Jelas kini cahaya matahari mula memancar ke seluruh kawasan kebun getah, tempat dimana dia dan ibunya Puan Zubaidah mencari rezeki. 


Sejak dia berusia 15 tahun, dia telah mengambil upah menoreh getah dikampung tempat dia tinggal. Kini dia sudah pun berusia 20 tahun, sudah hampir 5 tahun dia mengabadikan dirinya dikebun getah ini bersama sang ibu. 


Semuanya kerana keadaan keluarga yang terlalu daif dan dia hanya mampu bersekolah sehingga di tingkatan dua sahaja. Ditambah pula apabila bapanya pergi menghadap Ilahi. 


Jadi sebagai anak sulung, dialah yang harus memikul segala tanggujawab demi membesarkan kedua-dua orang adik perempuannya, Melati Shuhada dan Dahlia Shahirah yang masih bersekolah. Sudah menjadi kewajipan dia membantu meringankan beban si ibu. 


"Mawar, kamu punya kawasan dah siap ke belum?," laung Puan Zubaidah.


Mawar tersentak apabila mendengar laungan sang ibu. Segera dia menoleh ke arah empunya suara.


"Sikit lagi mak, kejap lagi siaplah ni," sahut Mawar.


"Cepat sikit hari dah nak masuk tengah hari ni," jerit Puan Zubaidah.


"Iyelah.." Mawar lekas menyiapkan kerja kerjanya yang tergendala sebentar tadi.


Selang beberapa minit kemudian, Mawar segera mengemaskan peralatan menoreh yang telah digunakan dan berlalu ke arah Puan Zubaidah yang sudah duduk berehat disebuah pondok yang berada didalam kebun getah itu. Punggung dilabuhkan bersebelahan sang ibu. Sapu tangan yang berada di pinggangnya dibuka dan dilap peluh peluh yang merenik keluar. Air teh dituangkan ke dalam cawan kosong dan diminum rakus.


"Tak lama lagi dah nak masuk musim hujan, nampak gayanya susahlah kita nak menoreh lagi. Tak menoreh tak berasaplah dapur rumah kita tu," ujar Puan Zubaidah memecahkan kesunyian diantara mereka berdua.


Mawar segera menoleh ke arah ibunya. Nafas dihembus perlahan. Mata kembali terarah kepada pokok-pokok getah yang menjadi punca rezeki mereka sekeluarga.


" Mak jangan risau pasal duit, nanti kalau tak boleh menoreh, Mawar ingat nak cuba buat kuih jual dekat kedai makan Pak Abu. Hari tu Mawar dah tanya dia pun setuju nak bagi Mawar tumpangkan kuih-kuih Mawar dekat kedai dia," ucap Mawar ceria. 


"Hmm.. Kalau itu dah kata kamu, mak ikutkan aje mana yang baik," jawab Puan Zubaidah.


Mawar hanya mengangguk faham.


"Mak jomlah kita balik, kejap lagi Melati dengan Dahlia nak balik sekolah dah tu," tangan ligat mengemaskan segala peralatan yang telah digunakan.


"Iyelah," sahut Puan Zubaidah.


Kedua-dua beranak itu akhirnya berlalu pulang ke rumah mereka dengan hanya berjalan kaki.





~~~~~





"Assalamualaikum.. Saya hantar makanan," laung seorang lelaki yang memakai pakaian seragam berwarna pink. Jelas dibajunya tertulis perkataan 'Food Panda'.


"Waalaikumusalam.. Sekejap..." jerit seorang wanita berusia pertengahan 30 an dari dalam rumah.


Beberapa minit kemudian, wanita itu keluar sambil tersengih seperti kerang busuk.


"Maaf lambat.. Akak tak sedar awak dah sampai. Ni duitnya," not berwarna hijau tua dihulurkan. Jelas wang bernilai RM50 ringgit. 


"Takpe kak.." sahut si penghantar makanan. Dia segera menyambut huluran wang yang diberikan. Bungkusan makanan yang dipegang bertukar tangan.


"Kejap kak, saya bagi bakinya," ujar si lelaki.


"Eh tak payahlah anggap je rezeki awak."


"Betul ke ni kak?" soal si lelaki.


"Iye akak ikhlas," jawab wanita itu.


"Terima kasih kak. Semoga Allah membalas kebaikan akak dan keluarga," bersungguh sungguh si lelaki berkata.


"Sama sama. Hati hati bawak motor tu," pesan si wanita.


"Baik kak.. Saya gerak dulu ya.. Assalamualaikum," usai memberi salam motor EX5 milik lelaki itu dihidupkan. Dia kemudian berlalu pergi.


Aizat Aiman, jejaka berusia 25 tahun itu adalah graduan lepasan Universiti dalam bidang perniagaan. Namun disebabkan peluang pekerjaan yang agak sukar jadi dia terpaksa berkerja sebagai penghantar makanan demi kelangsungan hidup di ibu kota Kuala Lumpur.  


Walaupun ramai yang memperlekehkannya namun sedikit pun tidak menjejaskan semangatnya untuk terus maju ke hadapan. Dia bukanlah berasal daripada golongan keluarga kaya raya. Bapanya cuma seorang pesara kerajaan, manakala ibunya hanya seorang suri rumah tangga sepenuh masa. 


Namun begitu Aizat sebenarnya mempunyai satu impian yang menggunung. Impiannya adalah ingin membuka sebuah kedai makan yang menjual perbagai jenis masakan kampung suatu hari nanti.


Disebabkan itulah dia tidak kisah jika perlu bersusah payah meredah hujan dan panas, kerana dia sebenarnya sedang dalam proses mengumpul modal bagi merealisasikan impiannya itu. Tekadnya kerana dia tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya cukuplah mereka membesarkannya selama ini.
















Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.