Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
24,028
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“CIK Arisa nak pergi mana?” tanya Kelvin lembut. Dia menunduk hormat sebaik sahaja melihat Arisa turun dari tangga. Tatkala melihat Arisa berpakaian dress labuh dan diselitkan selendang di lehernya, dia tahu Arisa ingin keluar.

Cumanya dia sedikit terkejut dengan penampilan Arisa hari ini. Kerana kebiasaannya Arisa lebih suka mengenakan kemeja ataupun t-shirt bersama seluar. Tetapi hari ini gadis itu mengenakan dress labuh berlengan panjang. Mungkin Arisa sedang mengubah gayanya. Dia cuba berfikiran positif.

Arisa terkedu. Segera dia mengawal riak wajahnya. “Saya nak keluar kejap.”

Kelvin mengangguk faham. Belum sempat dia berlalu, Arisa bersuara lagi.

“Ah, saya rasa nak drive hari ni.” Arisa tersenyum manis. Mengharapkan rancangannya berjalan dengan lancar. Setiap masa ke mana sahaja dia ingin pergi, lelaki itu akan menemaninya. Hakikat sebenarnya, itulah spy yang dihantar oleh keluarganya untuk mengawal dirinya.

“Maaf Cik Arisa, Tan Sri tak benarkan Cik Arisa memandu,” ujar Kelvin, bernada lembut.

“Hah? Apasal pula tak boleh? Saya dah ada lesen kan?” tanya Arisa bersama kerutan di dahi. Berpura-pura seperti tidak tahu apa-apa.

“Maaf Cik Arisa, kalau Cik Arisa nak keluar, saya akan temankan,” kata Kelvin lagi.

Arisa membisu. Dia tidak sangka daddynya masih tidak membenarkan dia untuk memandu kereta sendirian. Jadi untuk apa dia dibenarkan mengambil lesen kenderaan sedangkan tidak pernah diberi peluang untuk memandu apatah lagi bersendirian. Biarpun dia berada jauh dari mereka, mereka telah menghantar Kelvin untuk memerhati tingkah lakunya dan mengawal kehidupannya.

“Daddy tak ada kat sini. Abang Naz tak ada kat sini. Awak pejamkan aje mata awak, pura-pura tak nampak apa yang saya buat.” Arisa cuba mengajar Kelvin.

“Cik Arisa...” Kelvin menegur lembut. Barangkali tidak suka dengan cadangan itu.

“Kelvin, tak boleh ke kalau saya nak bersendirian? Saya perlukan privasi.” Arisa cuba mencipta alasan. Kalau Kelvin menemaninya, sudah tentu keadaan akan jadi lebih tegang.

“Maaf Cik Arisa, saya ditugaskan untuk jaga Cik Arisa dengan baik. Itu tanggungjawab saya untuk pastikan Cik Arisa dalam keadaan baik,” jawab Kelvin penuh adab.

Arisa ketawa sinis. Jaga? Itu bukan jaga, itu kawal namanya! Dia tahu Kelvin tidak salah tetapi ahli keluarganya sudah melampau. Hampir semua perkara yang dia ingin buat disekat oleh mereka.

“Okey.” Arisa menarik nafas kemudian mengangguk faham.

Dia tahu tiada guna memarahi lelaki itu. Lagipun semenjak berada di Perancis, dia mengenali Kelvin. Dia tahu sikap Kelvin bagaimana. Tegasnya bersebab. Lelaki itu hanya menurut perintah ahli keluarganya sahaja. Ketika dia bersedih, lelaki itu memahaminya. Ketika dia membuat onar, lelaki itu sabar melayan kerenahnya. Tetapi situasi mereka tidak membenarkan untuk mereka menolong sesama sendiri.

“Cik Arisa nak pergi mana?” tanya Kelvin lembut bersama senyuman.

“Saya nak melawat kubur abang Adriz,” jawab Arisa tenang.

Serta merta wajah Kelvin berubah. Lelaki yang berumur 40-an itu terdiam sebentar.

“Kenapa?” tanya Arisa bersahaja. Melihat riak wajah Kelvin, dia sudah tahu apa yang berada di fikiran lelaki itu.

“Maaf Cik Arisa, Tuan Muda tak benarkan...”

“Kalau saya pergi juga?” Arisa cuba berkeras.

Kelvin jadi serba salah. “Tuan Muda Nazrul akan datang ke sini untuk bawa balik Cik Arisa ke Perancis semula.”

Arisa tersenyum sinis. Kemudian dia ketawa. Ketawa yang sangat perit. Dia sudah menduga jawapan itu. Jadi dia langsung tidak terkejut mendengar kata-kata itu.

“Cik Arisa...”

Kelvin tidak mampu bersuara. Dia cuma menurut perintah sahaja. Arisa tidak dibenarkan keluar sendirian tambahan pula hendak melawat kubur Adriz. Arisa dikawal ketat sepenuhnya agar tidak berurusan atau melakukan sesuatu yang berkaitan dengan Adriz.

Arisa menunduk lemah. Kakinya melangkah ke satu demi satu anak tangga dengan langkah yang longlai. Sudah dua bulan dia pulang ke Malaysia namun niatnya hendak melawat kubur Adriz masih tidak tercapai. Selamanya dia akan terus dikawal. Selamanya dia akan terus menjadi boneka abangnya yang sentiasa diperhatinya.

Kejamnya dunia...




TAN Sri Adrian membisu selepas mendengar kata-kata anak sulungnya. Sedangkan sebelum ini Nazrul nekad dengan keputusannya. Jarang Nazrul hendak mengubah keputusan tanpa sebarang sebab.

Sewaktu dia sibuk menguruskan kerjanya di dalam bilik bacaan sebentar tadi, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Nazrul muncul bersama wajah tenang dan memberitahunya ingin membincangkan sesuatu.

“Naz kata Naz nak papa buka cawangan baru dekat Malaysia. Kenapa tiba-tiba berubah fikiran pula?” tanya Tan Sri Adrian yang merupakan pemilik Asian Sweet Delight Restoran di Perancis. Sebuah restoran bertaraf 5 bintang yang menyediakan makanan dari seluruh asia.

Selepas Arisa mengambil keputusan pulang ke Malaysia, Nazrul mencadangkan untuk membuka cawangan restoran mereka di Malaysia pula untuk Nazrul uruskan sekaligus membolehkan anak sulungnya memerhati Arisa di sana. Sewaktu mereka berbincang, isterinya juga berpendapat yang sama. Jadi mereka mengambil keputusan untuk cari tempat baru untuk membuka cawangan baru di Malaysia. Tetapi hari ini dengan tiba-tiba Nazrul berubah fikiran, ingin membatalkan perancangan membuka restoran di cawangan baru. Dia jadi bingung.

“Naz boleh balik ke Malaysia setiap bulan. Urusan kerja di sini, Naz akan aturkan sendiri. 4 hingga 5 hari dalam sebulan, Naz ambil cuti untuk urusan di Malaysia,” jawab Nazrul tenang.

 “Habis tu Rie macam mana?” tanya Tan Sri Adrian lagi.

Nazrul membisu sebelum menarik nafas dalam. “Setakat ni Rie masih mampu dikawal.”

Mengenangkan apa yang berlaku beberapa hari lepas, dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk terus berada di Malaysia. Hubungannya dengan Arisa tidak baik. Malah dia tahu Arisa sememangnya sengaja mengurungkan diri di dalam bilik kerana tidak mahu bertemu dengannya. Bukan dia berkecil hati tetapi andai dia terus berada di situ, Arisa akan berterusan berkurung di dalam bilik tanpa keluar makan.

Dia bimbang. Dia juga takut andai tangannya sekali lagi akan menderakan Arisa lebih teruk. Cukup baginya Kelvin ada di situ menjaga adiknya. Arisa masih mampu dikawal meskipun berjauhan dengan mereka.

“Naz yakin?” Tan Sri Adrian menduga anak sulungnya. Sebenarnya agak sukar untuk dia melihat Nazrul bersangka baik pada Arisa selepas apa yang berlaku. Boleh dikatakan setiap apa yang dilakukan oleh Arisa, pasti ada salahnya.

Nazrul mengangguk penuh yakin. Beberapa hari yang lepas dia memantau Arisa dalam diam. Gadis itu tidak banyak kerenah. Hanya meluangkan masa dengan kawan-kawannya sahaja. Dia juga mendapatkan jawapan positif dari Kelvin. Jadi dia yakin Arisa tidak membuat perangai seperti dahulu lagi.

“Kenapa Naz ubah fikiran? Naz tak risau ke andai tiba-tiba Rie buat perangai dulu semula?” soal Tan Sri Adrian, ingin menduga reaksi Nazrul.

Sebagai anak sulung, Nazrul banyak tanggungjawab dalam keluarga terutamanya mengawal tingkahlaku Arisa. Anak keduanya pula lebih selesa dengan kehidupannya sendiri di perantauan jadi dia tidak mahu menganggu. Paling membimbangkannya adalah anak bongsunya, Arisa. Kerana itu Nazrul banyak bertegas dalam membuat keputusan.

“Rie banyak berubah lepas kejadian tu. Jadi untuk 3 tahun ni, Naz bagi peluang untuk Rie. Daddy sendiri cakap bagi peluang pada Rie untuk pilih kehidupan dia sendiri. Tapi andai Rie buat masalah, Naz takkan teragak-agak untuk bawa dia balik ke sini semula,” jawab Nazrul tenang.

“Daddy dah pernah pesan pada Naz, jangan gunakan kekasaran. Daddy tahu Naz nakkan yang terbaik untuk Rie. Daddy cuba faham. Tapi disebabkan kekerasan tu, Rie dengan caranya, Iz dengan caranya. Hubungan adik beradik dah tak macam dulu lagi. Daddy tak terkejut kalau Rie tiba-tiba buat sesuatu yang tiada siapa yang boleh sangkakan...” ujar Tan Sri Adrian penuh makna mendalam.

“Maksud daddy?” Dahi Nazrul berkerut.

“Naz tahu tak baru berapa hari Naz balik sini, Rie dah mula buat onar.”

Nazrul terkedu.

“Kelvin bagitahu daddy yang Rie nak pergi ziarah kubur Adriz.”

Seakan-akan memahami apa yang bermain di fikiran Nazrul, Tan Sri Adrian memberitahunya dengan nada tenang. Dia tahu lambat laun Nazrul akan tahu juga. Dia juga tahu Nazrul pasti akan mengamuk. Tidak mustahil hari ini juga lelaki itu akan terbang ke Malaysia semula.

Nazrul mengepal penumbuk. Amarahnya meluap-luap.




“RIE!”

Arisa melepaskan keluhan. Dia memandang Kelvin dengan pandangan tajam. Dia sudah ditipu hidup-hidup oleh lelaki itu. Fikirnya mummynya, rupanya abang sulungnya.

“Nak apa?” tanya Arisa kasar. Namun untuk seketika dia tersenyum sinis. Bagaikan tersedar tentang sesuatu. Matanya mengerling sekilas memandang Kelvin yang berdiri tidak jauh darinya.

“Ah... pasal pagi tadi tu ke? Cepatnya dah sampai berita. Jadi abang nak buat apa? Nak suruh Kelvin kurungkan Rie dalam bilik? Atau abang nak sekat hidup Rie macam dulu lagi? Ah atau abang nak bawa Rie balik Perancis?” tanya Arisa sinis.

“Adriana Arisa!” Suara di talian menengking kuat.

Serentak itu Arisa terus menekan butang, mematikan talian mereka. Dia tahu kalau dia terus mendengar, pergaduhan akan jadi lebih teruk. Tidak mustahil hari itu juga abangnya akan datang ke Malaysia dan bawa dia pulang.

“Saya takkan angkat panggilan telefon dari awak lagi, Kelvin!” Arisa menghempas ganggang telefon dengan kasar. Wajah lelaki itu direnung geram.

“Cik Arisa, saya minta maaf. Tuan Muda Nazrul yang suruh saya cakap macam tu.” Kelvin serba salah.

Arisa terus meluru masuk ke dalam biliknya. Benci! Sedangkan dia tidak sempat keluar pun. Berbaloi la kalau dia kena maki sekalipun kalau dia dia benar-benar dapat ziarah kubur Adriz. Ini belum pun dia keluar dari rumahnya, dia sudah ditengking sebegitu.

Pintu biliknya ditutup kasar. Dia mengunci pintu biliknya dan meluru ke arah meja solek. Wajahnya yang merah padam di pandang dari cermin. Arisa menunduk. Kemudian dia ketawa perit. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Mengapa hidupnya menyedihkan? Mengapa dia perlu lalui semua itu? Hanya kerana kejadian itu, hidupnya berubah 100%. Tidak layakkah dia hidup seperti orang lain?

Tatkala itu Arisa mula bertindak agresif. Segala benda yang berada di atas meja solek itu ditolak kasar. Berdetum bunyinya. Tidak cukup dengan itu dia menghempas pula pasu bunga yang berada di atas mejanya. Berkecai bunyinya. Dia ketawa dalam tangisan.

“Arghh!!” jeritnya Arisa sekuat hati. Di saat itu dia hanya mampu terduduk di penjuru hujung katil dan melepaskan tangisannya sepuas hati. Hatinya terluka.

“Cik Arisa! Cik Arisa!” Suara itu memanggil namanya berkali-kali diselangi dengan ketukan pintu bertalu-talu. Terkejut mendengar bunyi yang kuat dari bilik Arisa. Jeritan gadis itu membuatkan dia bimbang.

“Pergi...” ujar Arisa lemah. Dia hanya bersandar lemah sambil memerhati keadaan biliknya itu.

“Buka pintu ni, Cik Arisa...” Kelvin cuba memujuk. Itulah kali pertama dia melihat Arisa bersikap begitu. Arisa tidak pernah melemparkan barang apatah lagi menjerit seperti itu. Sepertinya panggilan dari Perancis tadi benar-benar membuatkan gadis itu mengamuk.

“Pergi! Jangan ganggu aku! Pergi!” jerkah Arisa kuat. Dia memeluk erat kakinya dan menyembamkan wajahnya ke lututnya.

Letih. Penat. Dia sudah tidak berdaya lagi menahan semua itu.

Kenapa tidak aku aje yang mati?

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni