Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,960
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

ASHRAF ketawa terbahak-bahak mendengar cerita itu. Eryna pula sudah tidak berani untuk bersuara apatah lagi melihat riak wajah Arisa sudah berubah. Kheiry seperti biasa, dengan wajah sebeku aisnya.

“Setahu aku Rie bukan jenis orang yang boleh diarah apatah lagi dibuli sampai macam tu. Dahsyat kau Eiry, ilmu apa kau pakai bagi tunduk perangai ego Rie ni?” tanya Ashraf masih dengan tawanya sehingga berair matanya.

Mendengar cerita berbaur aduan daripada Arisa dek layanan sebeku ais dari Kheiry membuatkan dia hampir tidak percaya. Mana tidaknya, sebentar tadi tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan Arisa ke bilik Majlis Perwakilan Pelajar. Diperkenalkan pula sebagai ahli baru. Dia yang jadi naib pengerusi pun terkebil-kebil dengan keputusan itu.

Arisa merengus geram. Sejurus itu dia mengangkat buku limanya lagak hendak menumbuk Ashraf.

“Aku cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai pengerusi.” Selamba sahaja Kheiry menjawab. Dia menyedut jus epal tanpa reaksi. Wajah geram Arisa yang duduk di hadapannya langsung tidak dihiraukan.

“Tapi kan, kesalahan apa yang Rie buat sampai kau hukum dia macam tu?” tanya Ashraf. Baginya agak aneh mengenangkan sikap Kheiry yang selama ini lebih suka membuat hal sendiri kini mengenakan denda kepada Arisa yang membuatkan lelaki itu naik darah untuk kali pertama pertemuan mereka.

“Kesalahan pertama, pakai uniform lelaki pada hari pertama masuk akademi. Kesalahan kedua, buat kecoh di hadapan bilik MPP,” jawab Kheiry.

Ashraf mengangguk. Logik juga kalau Kheiry mengenakan hukuman kepada Arisa kerana kesalahan kecil itu.

“Apasal tiba-tiba abang Eiry ubah fikiran pula?” tanya Eryna.

Dia tertanya-tanya apa yang membuatkan Kheiry tiba-tiba mengubah fikiran. Selama dia mengenali lelaki itu, Kheiry jenis seorang yang tetap pendirian. Kalau putih yang dia kata, maka putihlah jawapannya. Tiada siapa yang boleh mengubahnya. Mungkin kerana itu Kheiry diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan tinggi di dalam akademi itu.

“Saja.” Ringkas sahaja jawapan Kheiry.

Arisa mencebik. “See? Dia ni tak boleh bagi jawapan yang betul-betul memuaskan hati orang.”

Sebaik sahaja mendapat jelingan tajam Kheiry, Arisa terus menghala pandangan ke arah Ashraf. Tangannya mengacau-gacau jus epal di hadapannya. Kalau dia teruskan kata-katanya, silap-silap esok hari kena mop satu bilik MPP pula. Bukan boleh harap sangat. Nampak aje macam pendiam, budak baik, budak nerd yang sentiasa dengan buku. Tapi sekali keluar perangai tanduknya, hilang terus muka innocent itu.

Ashraf dan Eryna memandang Kheiry penuh dengan tanda tanya. Semenjak pergaduhan pertama itu, mereka melihat sesuatu kelainan pada diri Kheiry. Tiba-tiba sahaja Kheiry cepat naik angin apabila berhadapan dengan Arisa. Tiba-tiba juga Kheiry sendiri mengenakan hukuman pada Arisa. Mereka perasan semenjak Arisa datang, Kheiry sedikit berubah.

“Eiry, sejujurnya kedatangan Rie buat kau berubah kan?” celah Ashraf tiba-tiba.

Sejurus itu Kheiry terus menutup bukunya dan memandang Ashraf. “Kau mengarut apa?”

“Entah kau ni. Gila dah ke?” sambung Arisa pula. Entah apa-apa la Ashraf ni!

“Kau pun Rie. Setahu aku, kau jenis keras kepala. Apasal kau biarkan Eiry buli kau pula?” tambah Ashraf lagi.

Eryna pula hanya membisu. Jauh di sudut hatinya, dia menyokong kata-kata abangnya.

“Mana ada buli!” Arisa dan Kheiry berkata serentak. Sejurus itu mereka memandang sesama sendiri. Arisa merengus manakala Kheiry berpaling ke arah lain.

Ashraf ketawa. “Comel pula aku tengok korang berdua ni.”

“Kau nampak tak penumbuk ni? Kau rindu penumbuk aku ke?” Arisa sudah naik angin.

“Tak apa, Eiry ada untuk selamatkan aku,” bidas Ashraf selamba bersama makna tersirat.

Pergaduhan Arisa dan Ashraf meriuhkan meja mereka. Mujurlah mereka berada di satu sudut yang agak tersorok daripada pandangan awam. Kalau tidak sudah tentu mereka menjadi tatapan percuma.

Kheiry hanya memerhati tanpa suara. Dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku pada dirinya. Dia juga tidak tahu mengapa fikirannya berubah. Apakah kata-kata Ashraf ketika itu mengubah persepsinya terhadap Arisa? Dia tidak mengenali gadis itu tetapi ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan dia tertanya-tanya.

Sehingga sekarang dia masih terfikir, apa yang menyebabkan dia tinggikan suara kepada Arisa pada kali pertama pertemuan mereka. Sedangkan sebelum ini dia masih boleh mengawal perasaannya. Jangankan tinggikan suara, hendak melemparkan sesuatu pun dia tidak buat.

Kedatangan Arisa membuatkan hidupnya berubah. Menjadi huru hara!




JAM ditangannya dikerling sekilas. Sudah hampir pukul 7 malam. Gara-gara melepak di kafe bersama Ashraf, Eryna dan Kheiry, dia hampir tidak sedar masa berlalu dengan pantas.

Untuk kali pertamanya, dia menerima orang lain selain daripada Eryna dan Ashraf. Meskipun masih belum ada tanda-tanda dia dan Kheiry menjadi seorang kawan rapat seperti hubungannya dengan dua beradik itu, tetapi lelaki itu seakan-akan cuba membuka peluang untuk didekati. Meskipun sedingin salju.

Tatkala itu langkah terhenti seketika apabila melihat satu batang tubuh yang sangat dikenali berada di ruang tamu. Senyumannya mati dengan tiba-tiba. Jiwanya bagaikan tersentap seketika. Kedua tangannya digenggam erat. Mencari kekuatan.

Dia hampir lupa tentang itu. Seperti yang mummynya cakap, setiap bulan abang sulungnya akan datang menjenguknya. Dan keadaan itu benar-benar berlaku. Tanpa dia sedar, sudah sebulan lebih dia berada di situ.

Dia berjalan melintasi ruang tamu itu namun untuk seketika langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil oleh lelaki itu. Arisa tidak berpaling namun dia merasakan abang sulungnya sedang mendekatinya.

“Pergi mana baru sekarang nak balik?” tanya Nazrul tegas.

“Jumpa kawan,” ringkas jawapan Arisa.

“Rie jangan ingat bila Rie dah jauh dari semua orang, Rie boleh buat sesuka hati Rie,” ujar Nazrul dengan nada yang keras.

Arisa membisu. Tangannya menggenggam geram. Bibirnya digigit perlahan.

“Abang kalau datang sini semata-mata nak kawal Rie, lebih baik abang balik ajelah!” Sejurus Arisa menuturkan kata-kata itu, dia terus naik ke tingkat atas. Pintu biliknya dibuka dan dihempas kasar. Terus dia melemparkan tubuhnya ke atas katil empuk. 

Moodnya terus hancur. Baru sahaja dia seronok menikmati kehidupannya di bumi Malaysia, kedatangan abangnya hanya menghancurkan segalanya. Tak pernah sekalipun abangnya cuba untuk memahami apa yang dia mahukan.

Nazrul membisu tanpa suara. Matanya dipejam rapat. Nafas dihela perlahan.

Adakah salah apa yang dia cuba lakukan pada adiknya itu? Dia sayangkan Arisa tetapi dia terpaksa bertegas. Hubungan mereka semakin lama semakin rengang. Ketika ini mereka hanyalah seperti orang asing.

‘Adik abang bukan macam ni! Risa yang abang kenal seorang yang lemah lembut, sensitif dan manja!’

Memori dahulu mula bermain di fikirannya. Waktu itu dia benar-benar marah dengan Arisa. Arisa bukan lagi Arisa yang dia kenal dahulu. Tiba-tiba sahaja Arisa jadi seorang yang sangat asing baginya. Gadis itu mula jadi pendiam. Adakalanya bersikap gila-gila dan suka menimbulkan masalah. Sikapnya juga mula kasar. Pakaiannya juga mula berubah. Segala tentang adiknya mula berubah selepas berpindah ke Perancis.

‘Abang yang buat Rie jadi macam ni!’

Kata-kata itu masih terniang-niang di telinganya. Wajah Arisa yang memandangnya penuh kebencian. Arisa yang tidak pernah tinggikan suara, sudah mula melawannya. Itulah permulaan hubungan mereka menjadi rengang. Selepas dari itu, setiap kali mereka terserempak, hanya mengundang pergaduhan sahaja.

Salah diakah? Pertanyaan itu berterusan bermain di mindanya.




ARISA memandang sekeping gambar yang terselit di sebalik diari warna putihnya. Dia mengusap perlahan wajah lelaki yang berdiri di sebelahnya. Dia rindukan senyuman itu. Dia rindukan suara itu. Dia rindukan kenangan mereka bersama.

“Abang Riz...” Arisa menyebut perlahan nama itu. Air matanya menitis perlahan. Setiap kali dia memandang gambar itu, air matanya tidak berhenti mengalir.

6 tahun lalu mengubah segalanya. 6 tahun lalu dia kehilangan seorang yang dia sayang. Seseorang yang membuatkan dia kenal pada dunia seni. Seseorang yang membuatkan dia jatuh cinta pada seni. Tetapi insan itu sudah tiada di muka bumi.

Kerana kisah itu, hubungan kekeluargaannya jadi haru biru. Abang sulungnya mula berkeras. Abang keduanya keluar dari rumah. Mummy dan daddynya seperti biasa, masih sibuk dengan kerjaya. Akhirnya tinggal dia seorang diri. Di bumi yang sangat asing baginya.

Bermula dari situlah, segalanya berubah.

Matanya dipejam rapat. Sebelum ini lelaki itu adalah kekuatannya. Tetapi kini dia hanya sendirian. Sepi dan sunyi. Di dunia yang penuh kekejaman ini, dia berjalan seorang diri. Tiada lagi tangan yang menghulur kepadanya di saat dia perlukan pertolongan. Segalanya sendirian.




8 TAHUN LALU

ARISA menutup buku latihan matematiknya. Ah! Dia sudah kebosanan menghadap nombor-nombor itu. Terasa berpinar-pinar matanya.

“Aik? Takkan dah habis?” tanya Adriz sambil mengerut dahinya. Belum sempat dia mengambil buku itu dari tangan Arisa, Arisa sudah menyorokkan buku itu disebalik tangannya.

“Bosan. Risa bukan pandai matematik macam abang,” rungut Arisa. Subjek yang paling dia tidak suka adalah matematik. Dia tidak suka mengira. Disebabkan itulah mummy dan daddynya meminta pertolongan Adriz untuk mengajarnya matematik.

“Risa...” Panggil Adriz perlahan, cuba memujuk Arisa. Lelaki yang tua 2 tahun dari Arisa itu hanya mampu tersenyum kecil. Memandang Arisa yang baru berumur 10 tahun, yang sangat membenci matematik dalam hidupnya.

“Yelah, yelah. Risa buat,” gumam Arisa geram. Terus dibuka buku latihannya, tangan kirinya mencapai pensel dan terus menjawab soalan matematik itu.

“Dah siap semua abang belanja kek.”

Sejurus mendengar kata-kata Adriz, mata Arisa sudah bersinar-sinar. Kek! Perkataan itu sudah cukup membuatkan semangatnya membuak-buak.

Sejam sudah berlalu. Arisa menunjukkan buku latihannya yang sudah siap kepada Adriz. Hanya kerana kek, dia sanggup siapkan latihan subjek yang dia tidak minat.

“Abang Riz,” panggil Arisa. Matanya hanya memandang Adriz yang sedang menyemak jawapannya.

“Emm...” Adriz masih fokus pada buku itu.

“Abang makan apa sampai semua subjek abang dapat A?” tanya Arisa lurus.

Serujus itu Adriz tertawa kecil. “Kenapa?”

“Risa nak jadi pandai macam abang Riz juga,” rengek Arisa.

Adriz memandang Arisa, diusap lembut kepala itu. “Kalau Risa nak pandai, Risa kena rajin buat ulangkaji, fokus waktu cikgu mengajar, selalu bertanya pada cikgu bila tak faham,” ujarnya lembut.

Arisa mengangguk faham.

“Apa cita-cita abang Riz bila besar nanti?” tanya Arisa petah.

“Abang Riz nak jadi pelukis. Abang nak buka galeri sendiri dan biar semua orang dalam dunia ni kenal dengan lukisan abang,” ujar Adriz penuh bersemangat.

“Seronok ke melukis?” Arisa memuncungkan mulutnya. Setiap hari dia melihat Adriz bersama dengan kanvas putih. Tidak jemukah?

Adriz mengangguk. “Mestilah. Melukis buat kita gembira.”

“Emm... kalau macam tu besar nanti Risa nak jadi pelukis macam abang juga la. Nanti boleh la kita buka galeri sama-sama,” ujar Arisa sambil menayang gigi putihnya yang tersusun elok.

 “Bukan ke Risa nak jadi pereka fesyen macam mummy Risa?” tanya Adriz pelik. Setahunya dari kecil lagi Arisa sudah berangan ingin membuka butik seperti mummynya. Entah berapa banyak buku Arisa habiskan dengan melukis tentang fesyen pakaian. Tiba-tiba sahaja hari ini mahu mengubah cita-cita pula.

“Tak nak. Risa nak ikut abang. Risa nak jadi macam abang. Pandai dan terkenal,” jawab Arisa penuh bersemangat.

Adriz hanya ketawa. Dia tidak menidakkan bahawa Arisa mempunyai bakat melukis. Seringkali Arisa menunjukkan kepadanya hasil lukisan fesyen yang diimpikan. Biarpun masih berumur 10 tahun tetapi fikiran Arisa lebih ke hadapan. Minatnya dalam fesyen barangkali daripada mummy Arisa sendiri yang merupakan seorang fesyen designer. Jadi dia tidak hairan kalau minat Arisa lebih ke arah itu.

“Betul? Kalau macam tu Risa kena belajar rajin-rajin. Bila besar nanti kita buka galeri sama-sama ye,” ujar Adriz lembut. Bibirnya tersenyum manis.

“Emm! Mulai hari ini Adriana Arisa akan belajar rajin-rajin dan buka galeri dengan abang Riz!” Arisa mengangguk penuh semangat.




AIR mata yang menitis di lengannya menyedarkan dia dari bayangan memori silam itu. Bibirnya cuba mengukir senyuman. Perit. Janji itu hanya tinggal janji. Kini hanya dia sahaja yang berusaha lebih untuk memenuhi impian mereka berdua.

Dia mengenali Adriz sejak sekolah rendah lagi apatah lagi kediaman mereka berdekatan. Waktu itu Adriz tinggal bersama mama dan datuknya manakala papanya bekerja di luar negara. Kerana hubungan mummy dan mama Adriz, mereka mula berkenalan. Hubungan mereka semakin rapat selepas mummynya meminta Adriz untuk mengajarnya matematik.

Sehingga sekarang dia masih mengagumi lelaki itu. Kerana Adriz adalah orang yang hebat, memiliki IQ 200 dan merupakan seorang pelukis muda yang terkenal di serata dunia. Sejak berumur 6 tahun, Adriz sudah banyak memenangi pertandingan melukis termasuk pertandingan antarabangsa. Bakat luar biasanya bukan hanya pada melukis malah dari segi akademik juga sangatlah menganggumkan. Kerana itulah dia ingin menjadi seperti lelaki itu.

Kerana cita-cita lelaki itu, dia berada sehingga tahap itu. Apa yang dia inginkan dahulu, tercapai juga ketika dia berumur 14 tahun. Nama Adriana Rie menjadi sebutan di dunia seni. Nama Adriz terus tenggelam dari dunia seni. Kerana muncul bakat baru, bakat lama dilupakan.

Arisa tahu dia mahu menjadi pelukis kerana Adriz. Namanya terkenal pun hanya kerana Adriz. Dia ingin menjadi seperti Adriz. Dia ingin penuhi impian Adriz yang tidak tercapai.

Kalaulah dia tidak menelefon Adriz waktu itu, sudah tentu Adriz tidak terlibat dalam kemalangan. Kalaulah dia tidak pentingkan diri, sudah tentu Adriz masih berada di sisinya sehingga sekarang. Kalau kejadian itu tidak berlaku, mungkin ketika ini dia dan Adriz sedang ketawa gembira kerana berjaya merealisasinya impian mereka sejak kecil. Kalaulah segalanya tidak terjadi, dia tidak perlu menjalani kehidupan yang menyiksakan itu.

Arisa menggenggam erat jemarinya. Mencari kekuatan. Nama Wan Adriz bin Wan Sofian sentiasa berada di dalam hatinya.

“Maafkan Risa, abang Riz. Semuanya salah Risa...”

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni