Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
24,034
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

UNTUK kali pertamanya, dia mengambil keputusan untuk ponteng kelas. Dia cuba boikot. Sedang menunjuk protes terhadap Nazrul hanya kerana dia tidak dapat melawat kubur Adriz. Dia yakin Nazrul akan tahu melalui rekod kehadirannya. Memandangkan akademi itu milik bapa saudaranya, tidak mustahil untuk Nazrul menyelidik semua urusannya di akademi itu.

Moodnya hilang. Hendak masuk kelas apatah lagi. Ikutkan hati dia tidak mahu datang ke akademi itu. Lebih selesa memerapkan diri di dalam bilik yang masih berselerak dek kejadian semalam. Tetapi dia yakin berita akan lebih cepat sampai kalau dia berada di rumah. Tidak mustahil Nazrul akan menariknya seperti binatang lagi.

Sewaktu dia tiba di akademi, dia terus berlalu ke bilik Majlis Perwakilan Pelajar. Mujur dia ada kunci lain. Lagipun dari awal tujuannya untuk jadi ahli perwakilan pelajar hanya kerana seronok-seronok sahaja. Tempat itu sesuai untuk dijadikan tempat persembunyiannya ketika diperlukan. Seperti sekarang.

Tanpa kebenaran Ashraf apatah lagi Kheiry, dia menyelinap masuk ke situ. Lagipun dia bukan hendak melakukan apa-apa yang merosakkan nama akademi pun. Dia cuba mahu tumpang ‘berehat’ sebentar. Ketika ini tiada tempat yang lebih baik daripada tempat itu.

Lincah tangan Arisa membuat lipatan demi lipatan pada cebisan kertas yang tidak digunakan lagi. Sekejap dia menggulung, sekejap dia merenyukkan sehingga menjadi gumpulan kecil seperti bola. Entah berapa muka surat pada bukunya dikoyakkan. Dia menulis kemudian dia mengoyakkan. Dia melukis kemudian dia mengoyakkan. Hingga hampir menipiskan bukunya.

Telinganya dipasang earphone. Muzik instrument piano oleh Yiruma dimainkan. Volume ditinggikan sehingga dia tidak mendengar apa-apa melainkan muzik itu sahaja. Itu dunianya. Itu sahaja caranya untuk dia menenangkan fikirannya.

Memikirkan sikapnya semalam, dia jadi bimbang dengan dirinya sendiri. Tangannya sudah mudah mencapai barang yang berdekatan. Ada satu aura yang membuatkan dia ingin mengamuk. Selama ini meskipun dia terlalu marah dengan Nazrul, dia hanya berkurung di dalam bilik ataupun menyelubung dirinya di dalam selimut. Tetapi semalam dia sudah membuatkan bilik menjadi kucar kacir.

Arisa memejam mata. Dia tidak mahu menjadi seperti Nazrul. Seorang yang panas baran dan mudah naik tangan. Dia tidak mahu ada sifat itu.

“Rie... anggaplah semalam kau cuma terlalu letih...” Arisa cuba memujuk dirinya sendiri. Mengharapkan kejadian semalam tidak berulang kembali.

Pintu dibuka dengan tiba-tiba membuatkan tangannya berhenti mengoyak. Dia memandang satu batang tubuh yang berdiri di muka pintu dengan wajah terkejut.

Glup! Macam mana boleh Kheiry boleh muncul pada waktu sebegini? Arisa menelan air liur. Agak terkejut dengan situasi itu.

Kheiry segera mengawal riak wajahnya kemudian dia melangkah masuk tanpa menghiraukan Arisa yang duduk di situ. Pantas dia mengambil tempat di atas sofa. Buku di tangannya dibuka dan dibaca tanpa mempedulikan Arisa yang duduk di atas lantai.

Hakikat sebenarnya dia tidak sangka akan bertemu dengan Arisa di situ. Apa yang Arisa buat di dalam bilik itu seorang diri? Dia tidak mendengar apa-apa daripada Ashraf tentang Arisa.

Arisa menanggalkan earphone dari telinganya. Dia memandang Kheiry yang kusyuk membaca. Lelaki itu buta ataupun pura-pura buta? Dah terang-terang ada orang lain di dalam bilik itu. Tegur la sikit!

“Kau ponteng kelas ke?” tanya Arisa sekadar berbahasa. At least nak bagi lelaki itu sedar yang dalam bilik itu ada orang lain. Macam pelik aje kalau dia tidak tegur sedangkan dah terang-terang masing-masing terkejut tadi.

Diam. Tiada balasan dari lelaki yang bernama Kheiry itu.

Arisa mencebik bibir. Sombong macam selalu! Dia merengus geram. Terus dikoyak kertas sehingga menjadi kepingan kecil-kecilan. Kemudian dia merenyuk-renyukan menjadi bola sebesar tapak tangannya. Untuk seketika dia tersenyum nakal. Seakan-akan ada agenda jahat bermain di fikirannya.

Satu gumpalan bola itu mengenai bahu Kheiry. Kheiry mengalihkan pandangan ke arah Arisa namun kembali fokus pada bukunya.

Hah? What? Dia ni manusia ke alien? Waras ke tidak? Arisa terkebil-kebil dengan reaksi itu. Tertanya-tanya sendiri selepas melihat reaksi itu.

“Ceh! Sombong!” desis Arisa geram. Dia mengumpal lagi kepingan kertas itu sehingga menjadi bola yang lebih besar dari saiz tadi. Dia tersenyum nakal. Tangannya terus melontarkan gumpalan ke arah lelaki sedingin salju itu.

Tap! Sekali lagi gumpalan itu mengenai mengenai bahu Kheiry.

Kheiry terus mengambil gumpalan itu dan merenung tajam ke arah Arisa.

“Apa masalah kau?” tanya Kheiry tegas.

“Oh, ada mulut rupanya. Aku ingat kau bisu,” ujar Arisa selamba.

Kheiry kembali fokus pada bacaannya. Dia tidak tahu apa yang gadis itu buat seorang diri di dalam bilik persatuan pelajar itu. Cumanya waktu dia masuk tadi, dia melihat gadis itu sedang bergoyak-ngoyakkan kertas. Dah tak ada kerja sangatkah?

“Ni bukannya ais, ni batu dah gayanya,” sindir Arisa sendiri. Dia mengerling sekilas ke arah Kheiry namun lelaki itu hanya beriak selamba sambil fokus pada bukunya.

Ah! Lelaki ini memang tidak normal!

Arisa berdeham. Kemudian dia terus mengoyak kertas dari bukunya dan membuat gumpulan. Kali ini lebih besar. Selepas mengumpul, Arisa mengenyitkan sebelah matanya untuk fokus pada sasaran. Tangan kirinya sudah bersiap sedia untuk membaling. Dan...

Tap!

Kheiry terkedu. Dia menggosok hidungnya lalu berpaling ke arah Arisa dengan renungan tajam.

Manakala Arisa sudah membuat gaya ‘yes’. Macam tak percaya balingannya tepat mengenai hidung Kheiry. Bunyi pun boleh tahan kuat juga. Namun untuk seketika dia terkedu apabila Kheiry bangun dari sofa. Kedengaran buku yang dibacanya ditutup dengan kasar.

Glup! Arisa menelan air liur.

Kheiry mengambil gumpalan yang dilemparkan ke arahnya tadi. Dia menggabungkan kertas itu lalu direnyuk menjadi satu. Dia berjalan ke arah Arisa yang duduk di atas lantai.

“Weh, aku gurau ajelah.” Arisa sudah cuak. Alamak! Dia marah aku ke?

Kheiry menunduk memandang arisa. Laju dia melemparkan gumpulan itu di lantai. Tepat di hadapan Arisa.

Mata Arisa tidak berkelip memandang gumpulan yang dilempar itu. Fikirnya lelaki itu mahu baling ke arahnya.

“Sekali lagi kau buat sepah dalam bilik ni, aku akan pastikan kau cuci semua tandas yang ada dalam setiap bangunan ni!”

Cuci tandas? Arisa menelan air liur. Wajah Kheiry yang merah padam itu dipandang. Sama seperti kali pertama perjumpaan mereka yang lepas. Merah seperti udang terbakar.

Oh my god! Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar dah naik angin!




ARISA bersiar-siar menikmati kawasan akademi itu. Sememangnya seharian ini dia tidak masuk ke kelas langsung. Bertalu-talu mesej dari Eryna bertanyakan tentang dirinya tetapi dia bertindak mendiamkan diri.

Selepas kejadian di bilik tadi, dia akhirnya meminta diri untuk keluar. Kalau tunggu lama-lama, tak pasal-pasal kena mop satu bilik itu pula. Bukannya kecil!

Arisa hanya mengikut langkah kakinya. Namun terhenti di satu sudut di tepi bangunan itu. Melihat sekelilinginya dipenuhi dengan pokok bunga yang bermacam-macam jenis dan juga bermacam-macam warna.

“Wah... tak sangka ada tempat macam ni dalam akademi ni. Tak ubah macam kat Perancis.” Arisa bersuara sendirian.

“Meow...”

“Emm?” Dahi Arisa berkerut. Dia yakin dia terdengar bunyi kucing tetapi dia tidak nampak sebarang kucing berada di sekitar itu.

“Meow...” Kucing itu mengeow sekali lagi lalu berjalan keluar dari tempat persembunyiannya. Kemudian kucing itu duduk sambil menjilat-jilat kakinya di hadapan Arisa seolah-olah inginkan perhatian.

Arisa tersenyum kecil. Dia merapati kucing itu dan duduk mencangkung di hadapan kucing putih itu. Tangannya menggosok-gosok tubuh kucing gebu itu. Matanya bulat berwarna hazel. Entah dari mana datangnya kucing itu. Manja sahaja gayanya.

“Hai Encik Meow...” Arisa mengusap kepala kucing itu. Kemudian dia mencuit pula hidung dan mengusap leher kucing itu.

“Meow. Meow...” Kucing putih itu mengeow. Manja gayanya. Ia mula mendekati Arisa dan menggesel di kaki Arisa.

“Manjanya kau ni. Kali pertama kau jumpa aku pun kau dah manja ye,” ujar Arisa bersahaja. Dia mengusap tubuh kucing itu. Bertemu dengan binatang itu membuatkan hatinya tenang.

“Alangkah bagusnya kalau mamat ais tu macam kau. Tak sombong bila bertemu dengan orang,” adu Arisa kepada kucing itu. Geram pula bila difikirkan mamat ais itu. Seringkali ada aura tembok menggelilingi lelaki itu, memberitahu bahawa dilarang untuk didekati tanpa sebab.

“Ceh!” Arisa merengus. Terus tangannya menggosok-gosok kucing itu. Malas hendak memikirkan tentang mamat ais itu. Masalah hidupnya pun masih tidak selesai, hendak difikirkan pada lelaki itu pula.

Arisa tersenyum sendiri memandang kucing manja itu. Sekurang-kurangnya ada penemannya jua ketika kesunyian.

“Encik Meow... kau rasa sampai bila aku perlu jadi macam ni?” adu Arisa kepada kucing itu.

“Meow...” Kucing itu mengeow.

Arisa ketawa kecil. “Sampai bila-bila?”

“Meow...”

“Apa? Bahagia?” Arisa mengajuk kucing seakan-akan ditanya soalan begitu.

Arisa tersenyum perit. “Emm aku tak bahagia... tapi aku terpaksa...” Perlahan Arisa menuturkan kata-kata itu.

“Meow... Meow...” Kucing itu bangun dan menggesel kaki Arisa, seakan-akan memahami apa yang Arisa katakan. Barangkali kucing itu cuba memberi semangat kepadanya agar terus kuat.

Kepala kucing digosok perlahan. “Okey aku faham apa yang kau kata. Kau nak cakap aku kena hadap juga semua ni kan?”

“Meoww...”

“Tapi aku dah letih. Kalau boleh aku nak lari dari semua ni. Tapi tak boleh...” ujar Arisa lagi.

Kucing itu terus menggesel di kakinya. Mengeow berkali-kali seperti memahami apa yang Arisa katakan.

Arisa ketawa. Gila. Dia sudah gila. Dia mengharapkan kucing itu menjawab pertanyaannya. Hakikatnya dia sendiri yang membuat soalan, dia juga yang memberi jawapan.

Air matanya menitis perlahan di pipinya. Dia tersedar lantas mengesat lembut dengan hujung lengan baju kemejanya.

“Kau ni... buat aku sedih la meow.”

“Meoww...”

Dari jauh ada satu batang tubuh yang berdiri kaku di sebalik dinding di situ, mendengar perbualan itu.




SEDARI tadi Kheiry hanya termenung sendirian. Bukunya dibuka tetapi tidak dibacanya. Tatkala itu fikirannya tidak mampu fokus pada buku. Fikirannya penuh dengan gadis yang bernama Arisa itu.

Mengenangkan kata-kata Arisa pada kucing itu. Dia tertanya-tanya sendiri. Apa maksud gadis itu sebenarnya?

‘Emm aku tak bahagia... tapi aku terpaksa...’

Apa maksud Arisa tidak bahagia? Apa yang menyebabkan gadis itu terpaksa? Apa yang berlaku pada hidup gadis itu sebenarnya? Mengapa Arisa ingin melarikan diri?

Bertalu-talu soalan bermain di fikirannya. Hari ini sekali lagi dia melihat satu sudut lain Arisa yang tidak terlihat selama ini. Sewaktu dia melihat tangan itu mengesat mata, dia tahu Arisa menangis.

Tetapi mengapa? Arisa yang dia kenal seorang yang gila-gila. Kejadian di bilik Majlis Perwakilan Pelajar tadi pun sudah cukup membuatkan dia geram. Dia menggelarkan Arisa seorang yang selalu mendatangkan masalah kepadanya. Tetapi mengenangkan apa yang dia lihat dan dengar, dia hilang kata-kata.

Siapa Arisa sebenarnya? Mengapa sikapnya sukar dijangka. Ada satu masa, Arisa jadi kecoh. Ada satu masa, Arisa jadi pendiam. Mana sifat Arisa yang sebenarnya? Mengapa seringkali dia terlihat sesuatu yang tersimpan di dalam diri gadis itu?

Diibaratkan penuh kedukaan dan kesunyian. Wajah itu mungkin nampak bahagia tetapi hakikatnya ada sesuatu yang tersimpan semat di dalam hati yang barangkali tiada siapa yang tahu.

Arisa selalu mendatangkan masalah kepadanya. Hampir setiap kali mereka bertemu, tidak pernah hendak serasi. Ada sahaja yang berlaga pendapat.

Ah! Tidak! Bukan masalahnya untuk fikir masalah Arisa! Kheiry membentak sendirian. Terus dia mencapai bukunya. Cuba nyahkan kejadian itu daripada fikirannya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni