Kanak-kanak Nakal
Aku tinggal bersama dengan nenek yang dipanggil Tok Jemaah (nama sebenar nenek Jemaah binti Derun) dengan damai.Nenek memang menjaga aku dengan penuh kasih sayang. Seminggu sekali abah dan emak serta adik-adik akan datang menziarah aku dengan nenek di kampung.
Nenek akan memanaskan air setiap pagi sebelum aku pergi ke sekolah.Air panas yang siap mendidih akan dicampurkan dengan air biasa di dalam baldi supaya aku tidak kesejukan mandi nak ke sekolah. Zaman itu belum ada lagi orang kenal dengan pancuran mandi air panas seperti sekarang. Mungkin teknologinya sudah ada tapi belum ada lagi penduduk Kampung Batu 6 ketika itu yang menggunakannya. Memasak pun masih menggunakan dapur kayu.
Banyak kenangan aku semasa tinggal dengan nenek. Aku boleh dikatakan anak yang terlalu dimanjakan. Setiap permintaan aku nenek akan cuba tunaikan.Semasa aku berumur 8 atau 9 tahun aku diberi kepercayaan oleh nenek untuk keluar bersama dengan kawan-kawan menonton televisyen di rumah Pak Long Kahar bersama dengan kawan-kawan, walaupun kadang-kadang dia agak tegas dalam soal mengaji AlQuran dan Solat. Tentu pembaca masih ingat kisah akau disorok hantu.
Antara perisitiwa yang aku tak boleh lupa kenangan tinggal dengan nenek bila dia menjahit lencana sekolah aku terbalik. Dulu lencana sekolah perlu dijahit di atas poket baju sekolah. Nenek seorang yang buta huruf. Dia menjahit lencana aku terbalik, yang atas jadi kebawah, yang bawah jadi ke atas.
Walaupun aku memang sudah boleh mambaca ketika dalam darjah 1 lagi tapi aku pun tak perasan lencana yang aku pakai itu terbalik sehingga ditegur oleh kawan-kawan sekolah.Seharian aku di sekolah memakai baju dengan lencana sekolah yang terbalik.
Aku pernah berbual dengan nenek samada dia boleh membaca atau tak. Dia jawab dia tak boleh membaca sebab tak pernah ke sekolah. Aku tanya dia lagi, boleh membaca tulisan jawi atau tak.Nenek menjawab dia tidak boleh membaca tulisan jawi. Jawapan nenek membingungkan aku kerana dia mengajar AlQuran tetapi tidak boleh mambaca jawi.Jawapan nenek, Al Quran ada baris sedangkan tulisan jawi tidak ada baris. Aku memang kurang puas hati dengan jawapan yang nenek berikan tapi aku tinggalkan saja topik tidak boleh membaca itu.
Nenek seorang yang kuat latah.Ramai budak-budak yang suka mengusik dan dia menjadi hiburan anak-anak muridnya bila dia latah. Paling merisaukan aku bila ada budak-budak yang mengusiknya ketika dia memegang pisau, takut-takut dalam latahnya dia akan menikam orang.Alhamdulillah, tidak ada sesiapa pun yang terbunuh atau tercedera akibat dari latahan nenek.
Pak Ngah Timan, bapa saudara sepupu aku seorang yang rajin bekerja dan rajin membeli tanah. Pembaca mesti ingat Pak Ngah Timan, orang yang dijerit namanya ketika aku tak mahu mengaji Quran dan nak pergi menonton televisyen dalam bab disorok hantu.
Setiap kali Pak Ngah Timan membeli sebidang tanah yang biasanya tanah hutan atau belukar, kami orang kampung dipelawa olehnya untuk menumpang bercucuk tanam di tanahnya. Kami masing-masing akan membahagikan tanah kepada ‘lot’ masing-masing dan akan bercucuk tanam. Antara tanaman yang biasa ditanam ialah jagung dan ubi kayu.Tidak tahulah siapa yang mendapat idea memikirkan sistem yang begitu kreatif ini. Dengan cara ini tanah hutan yang baru dibeli akan dibersihkan oleh orang kampung secara sukarela tanpa dibayar sesen pun. Sebagai timbal balas orang kampung boleh menumpang bercucuk tanam untuk sementara waktu sehingga pokok getah yang biasa ditanam dah cukup besar dan tanaman selingan diantara anak-anak getah tidak lagi boleh dilakukkan.
Idea ini mengingatkan aku kepada kisah Francis Light membuka Pulau Pinang. Dikatakan Francis Light telah menembak ke dalam hutan wang menggunakan meriam. Orang kampung yang berebut hendakkan wang akan masuk ke dalam hutan,. Akhiranya, mereka dengan tanpa sedar telah membersihkan hutan bagi pihak Francis Light. Tidak pasti sejauh manakah kebenaran cerita itu atau sekadar legenda sahaja tidaklah aku tahu.
Berbalik semula kepada cerita tanah Pak Ngah Timan (nama sebenar Pak Ngah ialah Abu Bakar bin Abdul Hamid), nene ktelah mengambil satu ‘lot’ tanah dan kami telah menanam jagung dan ubi kayu.Abah dan emak juga membantu kami bercucuk tanam. Aku pada ketika itu berusia 8 atau 9 tahun tidaklah pandai sangat dalam bercucuk tanam tapi lebih sekadar menyibukkan diri membantu setakat mana yang termampu.
Suatu hari nenek telah meminta aku ke kebun untuk mencabut ubi kayu. Nenek kata dia terasa nak makan ubi rebus.Aku yang berusia 8 atau 9 tahun membawa guni dan parang ke kebun yang agak jauh perjalanannya merentasi kebun getah. Dengan kudrat anak kecil aku berjaya mecabut satu atau dua batang ubi kayu dan aku muatkan ke dalam guni yang dibawa tadi. Setelah memuatkan guni dengan ubi kayu baru aku sedar yang aku tidak berkeupayaan mengangkat guni berisi ubi yang agak berat. Aku heret perlahan-lahan guni berisi ubi kayu sehingga sampai ke rumah.
Rupa-rupanya ‘kejayaan’ aku membawa balik ubi kayu dari kebun menjadi satu kebanggaan buat nenek. Nenek akan bercerita tentang itu kepada sesiapa juga yang datang ke rumah. Aku sendiri pun kembang hidung dipuji oleh nenek.Pada usia 50an sekarang ini, bila aku bandingkan dengan anak-anak zaman sekarang memanglah kejayaan aku menarik dua batang ubi kayu tanpa bantuan dari sesiapa adalah kejayaan yang memang dikira hebat. Memang patut dianugerahkan dengan pingat agaknya.
Berhampiran dengan kebun Pak Ngah Timan ada parit yang cetek. Kami budak-budak kampung memang gemar sangat mandi di dalam parit itu terutamanya kalau selepas hujan bila air parit agak dalam.Perkataan mandi rasanya kurang tepat untuk digunakan tetapi berkubang rasanya perkataan yang lebih sesuai. Walaupun kami semua menyembunyikan aktitiviti kami tapi orang tua kampung berjaya menghidu perbuatan kami yang suka berkubang.Mereka tak perlu pergi jauh untuk mencari bukti.Badan kami akan kelihatan berlumpur selepas ‘mandi’ di parit. Sebab itu orang tua-tua gunakan istilah kami berkubang di dalam parit.
Aku teringat ada satu ketika Pak Ngah Timan menyergah kami dengan rotan ketika kami sedang mandi di parit.Lintang pukang kami berlari menyelamatkan diri, membawa lari pakaian takut dirotan Pak Ngah Timan.
Tidak jauh dari parit itu ada satu lagi parit yang agak dalam. Parit Sarif namanya. Aku pernah juga mengikut kawan-kawan ke situ tapi aku tak berani berenang di Parit Sarif sebab airnya yang dalam. Aku lebih suka parit yang pertama sebab airnya paras lutut berbanding dengan Parit Sarif yang boleh menenggelamkan seluruh badan. Ramai kawan aku yang belajar berenang di Parit Sarif. Sifat penakut aku kepada air menyebabkan aku tidak pandai berenang sampai sekarang.
Oleh kerana fizikal aku yang kecil dan tak sekuat kawan-kawan yang lain, aku jarang menyertai aktiviti aktiviti yang agak lasak yang biasa dilakukkan oleh budak-budak kampung.
Namun begitu aku selalu memikirkan sesuatu yang tak pernah difikirkan oleh rakan sebaya.Yang menghairankan aku, idea gila aku diterima mereka tanpa soal.
Dulu jalanraya tidak sesibuk sekarang. Kalau waktu malam, kereta mungkin Lalu selang 4 atau 5 minit sekali. Malahan kami anak-anak kampung menggunakan jalanraya sebagai gelanggang kami bermain galah panjang atau sesetengah tempat dikenali dengan main belon.Apabila nampak cahaya kereta dari jauh kami akan berhenti bermain dan menyambung semula permainan selepas kenderaan itu berlalu.
Kami kanak-kanak selalu ke rumah Pak Long Kahar untuk menonton televisyen. Kalau malam tiada tayangan gambar Melayu tidak ramai yang menonton. Satu malam aku bersama dengan 4 atau 5 orang kawan berjalan kaki balik ke rumah selepas menonton televisyen. Seperti biasa kami akan bersembang-sembang sambil berjalan.
Tiba-tiba aku mendapat satu idea.Aku mencadangkan kami duduk di atas jalanraya dan sesiapa yang paling lewat sekali bangun ketika kenderaan menghampiri dialah yang paling berani di kalangan kami semua. Mereka bersetuju dengan cadangan aku. Kami duduk di atas jalanraya dengan membuat bulatan sambil berzikir yang entah apa-apa. Semakin cahaya lampu kereta menghampiri kami semakin berdebar. Aku orang pertama yang lari meninggalkan jalanraya. Aku fikir biarlah aku tidak jadi orang paling berani dalam kampung. Yang penting nyawa aku selamat. Apabila kereta sudah terlalu hampir, kawan-kawan aku juga bertempiaran lari.
Pemandu kereta memberhentikan kenderaan. Hanya aku yang kelihatan berdiri di tepi jalan. Yang lain sudah bersembunyi di dalam semak. Aku tak ingat apa yang diucapkan oleh pemandu kereta itu tetapi apa yang aku ingat ialah pemandu kereta itu tidak marahkan aku.Kalaulah dia tahu aku sebenarnya perancang kepada semua ini aku tak tahulah apa tindakan dia kepada aku.
Sebaik sahaja pemandu kereta itu pergi kawan-kawan aku yang bersembunyi dalam semak pun keluar dan memarahi aku atas idea gila aku. Sehingga sekarang tidak ramai yang tahu kisah ini kecuali mereka yang terlibat sahaja. Apabila kami bersembang dalam group whatsapp sekarang ini antara cerita yang kami bualkan dan menjadi kenangan kami semua.
Kami bernasib baik tidak ada kemalangan jiwa mungkin kerana kereta tahun 1970an tidaklah selaju kereta di zaman sekarang. Kalaulah kereta dulu selaju kereta sekarang rasanya ramai juga antara kami yang dah jadi arwah pada malam itu.
Semasa aku bersekolah dari darjah 1 aku belum pandai menunggang basikal. Seperti yang pernah ceritakan sebelum ini, aku pergi dan balik sekolah dengan berjalan kaki. Jaraknya kira kira 10 minit perjalanan.Pada ketika itu tidak ramai ibu bapa yang mengambil atau menghantar anak ke sekolah. Pelajar ke sekolah samada dengan menunggang basikal atau berjalan kaki.
Jalanraya yang menghubungkan pekan Bukit Pasir dan Simpang Sungai Terap (jaraknya sekitar 4 atau 4 kilometer) begitu lurus. Sehingga sekarang pun jika kita berdiri di lampu Isyarat Simpang Sungai Terap kita akan nampak lampu isyarat pekan Bukit Pasir dengan jelas. Sekolah Kebangsaan Sungai Raya terletak di tengah-tengah perjalanan antara Bukit Pasir dan Simpang Sungai Terap.
Ketika itu masih ada lagi menggunakan perkhidmatan kereta lembu untuk menghantar barang-barang terutamanya barang-barang pembinaan rumah seperti kayu dan simen .Ketika itu ada kilang papan di Bukit Pasir. Perkhidmatan kereta lembu digunakan untuk mengangkut kayu ke kawasan kampun-kampung sekitar untuk pembinaan rumah dan sebagainya.
Sebaik sahaja kami keluar sekolah pukul 12.30 atau 1 tengahari kami yang berjalan kaki akan melihat ke arah pekan Bukit Pasir, kalau-kalau ada kereta lembu yang sedang bergerak ke arah sekolah kami. Kami sanggup menunggu sehingga kereta lembu sampai di depan sekolah. Tujuannya ialah untuk menumpang naik kereta lembu. Tak perlu berjalan kaki balik ke rumah.
Tapi bukan semua dapat naik kereta lembu. Biasanya pak cik yang membawa kereta lembu hanya membenarkan seorang atau dua orang sahaja yang naik kereta lembu . Itu pun jika beban yang dibawa tidak terlalu banyak. Kami yang lain-lain hanya memadai berpuas hati dapat menumpang menyangkut beg sekolah di kereta lembu dan berjalan di bawah bayang-bayang kereta lembu. Itu pun sudah cukup menggembirakan hati kami.