Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,188
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 10

Kehidupan di Estet

Untuk kali kedua aku tinggal di Geli-Geli Estet semula selepas emak membuat keputusan membawa aku semula untuk tinggal dengannya. Walaupun kebanyakan anak-anak estet bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paya Panjang yang terletak lebih hampir dengan Geli-Geli Estet tapi emak masih mengekalkan aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya.

Kalau kawan-kawan lain bersekolah dengan menaiki bas aku menaiki kereta yang dibayar secara bulanan oleh emak.Pak Jamal, yang membawa kereta kebetulannya mempunyai beberapa orang anak yangj uga belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya. Aku dah tak ingat nama anak-anaknya kecuali yang sebaya dengan aku yang bernama Usop. Setiap pagi aku bersama Besah, adik nombor dua akan dihantar Pak Jamal ke sekolah bersama-sama dengan anak-anak dia. Isteri Pak Jamal, yang aku panggil Mak Leha bekerja sebagai salah seorang dari pengasuh di kandang. Tentu pembaca bab terdahulu ingat kandang yang dimaksudkan ialah puasat asuhan kanak-kanak.

Pergi ke sekolah naik kereta PakJamal ada keistimewaanya. Aku tak perlu bangun terlalu awal kalau dibandingkan dengan kawan-kawan yang naik bas ke sekolah. Ada dua buah bas yang membawa anak-anak estet ke sekolah. Kedua-dua bas dipandu oleh lelaki Cina. Seorang bernama Ah Yong dan seorang lagi bernama Champon. Pembaca tentu ingat bas Champonlah yang disewa oleh kawan-kawan emak untuk menziarah emak apa apabila mereka mendapat tahu emak telah ‘meninggal dunia’.Bas Ah Yong biasanya akan sampai ke kawasan rumah pekerja seawal 5.30 pagi. Bas Champon agak lewat sedikit, mungkin sekitar 6.30 pagi.

Aku dan Besah beruntung sebab tidak perlu bangun seawal 5 pagi sebab Pak Jamal hanya menghantar aku dua beradik dan anak-anak dia saja ke sekolah. Timbul masalah lain pula bila naik kereta Pak Jamal. Dia terlalu lewat menghantar kami ke sekolah sehingga setiap hari kami akan  sampai ke sekolah apabila kelas dah bermula atau ketika berlangsungnya perhimpunan pagi.

Ketika aku di darjah 6, aku dilantik cikgu menjadi Ketua Pengawas. Aku merasa bersalah kerana setiap kali diadakan perhimpunan akulah orang yang paling lewat sampai ke sekolah. Sebagai Ketua Pengawas tentulah aku bukan contoh yang baik kerana kerap lewat sampai ke sekolah. Aku pernah memaklumkan ingin meletak jawatan sebagai Ketua Pengawas kepada Cikgu Rashid, guru yang menjaga hal ehwal pengawas tetapi permohonan meletak jawatan aku ditolak oleh Cikgu Rashid.

Setiap hari emak membekalkan aku dan Besah makanan yang dimasukkan ke dalam mangkuk tingkat. Setiap kali sampai waktu rehat, aku dan Besah akan makan di bawah tangga bangunan sekolah bersama dengan kawan-kawan lain yang membawa bekalan.

Aku masih meneruskan pengajian sekolah agama pada sebelah petang sebaik sahaja tamat persekolahan biasa pada sebelah pagi. Besah dan anak-anak Pak Jamal tidak bersekolah agama lagi pada masa itu. Mereka balik lebih awal. Pak Jamal akan mengambil aku semula sebelah petang selepas tamat sessi  sekolah agama.

Kehidupan di estet memang seronok. Tempat penempatan kami yang dipanggil Kongsi Baru  seperti yang pernah aku ceritakan dalam bab terdahulu adalah penempatan terbesar berbanding dengan kongsi-kongsi yang lain.Ada empat kongsi atau penempatan kesemuanya iaitu Kongsi 1, Kongsi 2, Kongsi Baru dan Batu 15.

Di Kongsi Baru terletaknya sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil. Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil terdiri dari sebuah bangunan yang menempatkan 3 bilik darjah dan bilik guru. Kelas 1dan 2 digabungkan dalam satu bilik darjah. Begitu juga dengan kelas 3 dan 4,dan kelas 5 dan 6 yang juga digabungkan.

Di Kongsi Baru juga ada sebuah padang bola tempat kami bermain pada petang hari. Aku selalu juga bermain bola dengan kawan-kawan biasanya pada awal petang sebelum padang itu dikuasai oleh pemain bolasepak yang lebih dewasa. Apabila abang-abang mula menggunakan padang,kami kanak-kanak akan berpindah bermain bolasepak di kaki lima sekolah rendah kebangsaan Tamil.

Banglo pengurus Estet terletak di atas bukit. Estet di tadbir oleh pengurus utama yang dipanggil sebagai Tuan Besar dan dbantu oleh penolong pengurus yang dipanggil pekerja sebagai ‘Tuan Kecik’.Ketika itu Tuan Besar disandang oleh bangsa Eropah.

Bagi penduduk Melayu ikatan sesama kami agak kuat. Setiap malam Jumaat diadakan majlis bacaan Yassin dan penduduk mengambil giliran menjadi tuan rumah. Surau juga dibina sekitar tahun 1975 atau 1976. Dengan adanya surau, kegiatan orang Islam lebih berfokus kepada aktiviti di surau. Penduduk Melayu di situ dipimpin oleh seorang mandur Melayu yang bernama Mandur Mat atau dipanggil juga dengan panggilan ‘Mat Keras’. Aku pernah tanya kepada abah kenapa Pak Mat mandur dikenali dengan panggilan Mat Keras. Abah jawab sebab cara dia berjalan kelihatan ‘keras’.

Semua penduduk Geli-Geli Estet adalah pekerja ladang. Pekerja ladang ada dua kategori. Kategori pertama adalah terdiri dari pekerja am atau buruh yang dikenali dengan panggilan ‘Kuli Kong’atau ‘Kusi Kong’. Aku pun tidak pasti dari mana istilah itu diperolehi. Secara mudahnya, kuli kong  atau kusi kong adalah pekerja yang dibayar gaji harian. Satu lagi kategori pekerja ialah penoreh getah. Penoreh getah secara umumnya memperolehi pendapatan yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan pekerja harian. Abah dan emak  bermula dengan menjadi perkerja harian tetapi kemudiannya menjadi penoreh getah.

Selain dari dua kategori pekerjaan ada juga staf sokongan yang lain seperti pemandu, mandur dan pekerja kilang getah. Secara umumnya kami memang bahagia tinggal dalam komuniti berbilang bangsa walaupun kami semua miskin.

Pekerja estet secara umumnya tidak meletakkan kepentingan pelajaran kepada anak-anak mereka. Bagi kebanyakan ibu bapa mereka menghantar anak ke sekolah sekadar untuk boleh membaca dan menulis. Malahan ada di kalangan ibu bapa yang langsung tidak menghantar anak mereka ke sekolah dan anak membesar menjadi buta huruf.

Aku sendiri pun tidak pernah membuka buku sebaik sahaja balik dari sekolah. Kalau dulu ketika tinggal bersama dengan Pok Long dia berjaya menerapkan sedikit sebanyak disiplin tetapi aku kembali ke perangai asal tidak membaca buku kecuali ketika berada disekolah.

Aktiviti kebanyakan pekerja ladang pada sebelah petang hanyalah sekadar bersembang kosong sesama sendiri.Bagi anak muda pula bermain bolasepak adalah salah satu aktiviti utama setiap petang. Kadang-kadang ada juga perlawanan persahabatan diadakan diantara estet kami dengan estet yang berhampiran. Kadang-kadang pasukan pelawat datang berkunjung ke tempat kami. Ada ketikanya kami bertandang ke tempat lawan. Kalau bertandang ke tempat lawan kami beramai-ramai akan naik lori .Aku ingat ada sekali pasukan bolasepak dari Kampung Batu 6 datang berkunjung ke Geli-Geli Estet untuk perlawanan persahabatan bolasepak. Pasukan bolasepak Geli-Geli Estet dengan mudah mengalahkan pasukan bolasepak Kampung Batu 6. Memang pekerja estet kuat-kuat kerana biasa melalukan kerja yang memerlukan tenaga. Walapun pasukan Geli-Geli Estet bukanlah pasukan yang kaya tetapi rasa bangga juga ada di kalangan kami yang berjaya ke peringkat lebih tinggi dengan mewakili pasukan bolasepak negeri Johor pada satu ketika.

Salah satu peristiwa yang dinanti oleh seluruh warga Geli-Geli Estet ialah sambutan Hari Kemerdekaan pada 31haribulan Ogos setiap tahun.Pada 31haribulan Ogos pihak majikan mengadakan sambutan besar-besaran. Pekerja dberi perlepasan dari bekerja dan majikan menganjurkan karnival sambutan kemerdekaan. Terdapat banyak gerai jualan dibuka. Selain dari itu ada juga pertandingan sukaneka yang diadakan di padang.Perlawanan bolasepak antara divisyen juga diadakan. Pertandingan akhir bolasepak adalah acara kemuncak sambutan yang diadakan biasanya pada petang.Pada sebelah malam pula ada acara yang berlainan. Biasanya 3 acara akan diadakan serentak untuk 3 kaum utama di estet. Untuk kaum  India akan diadakan tayangan wayang gambar Tamil atau sekarang dikenali dengan wayang pacak. Untuk kaum Cina pula ada opera Cina tidak berapa jauh dari situ. Untuk orang Melayu pula akan ada kugiran jemputan. Biasanya tayangan filem Tamil dan opera Cina akan tamat lebih awal dari persembahan kugiran.Sebaik sahaja tamat wayang dan opera Cina kesemua akan tertumpu ke persembahan kugiran dan kerap kali majlis ditutup dengan joget lambak.

Selepas itu untuk sekurang-kurangnya dua minggu berikutnya topik perbualan akan berkisar disekitar sambutan Hari Kemerdekaan.

Abah pernah berkongsi membuka gerai jualan ketika sambutan Hari Kemerdekaan. Abah berkongsi modal dengan seorang lagi kawannya yang dipanggil nama Che Din. Aku masih ingat lagi aku dan abah mengayuh basikal seawal pukul 5 pagi menuju ke jalan raya yang jauh  dari estet untuk menunggu bas membeli barang keperluan untuk gerai abah di pasar Muar. Walapun letih, tapi aku merasa seronok. Malangnya projek gerai jualan abah tidak menguntungkan. Itulah kali pertama dan terakhir abah berniaga.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.