Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,166
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 13

Bab 13

Memasuki alam sekolah menengah

Aku memulakan tingkatan 1 di Sekolah Tinggi Muar pada Januari 1976. Aku dan Adnan Abu sahaja yang masuk ke Sekolah Tinggi Muar sedangkan kawan-kawan yang lain dari Sekolah Kebangsaan Sungai Raya dihantar ke Sekolah Menengah Tun Perak.

Sekolah Tinggi Muar antara sekolah tertua di dalam daerah Muar. Sekolah ini mempunyai sejarah panjang dan telah mengeluarkan ramai bekas pelajar yang telah mengharumkan nama negara dalam perlbagai bidang.Sekolah ini terletak di Bandar Muar.

Bertukar sekolah adalah pengalaman yang mendebarkan bagi semua pelajar. Tidak ada lagi rakan-rakan sepermainan yang  telah biasa dengan aku. Semuanya pengalaman baru bagi aku. Dari sekolah di kampung sekarang bersekolah di bandar. Kali pertama juga aku didedahkan pengalaman bersekolah dengan rakan sekolah pelbagai bangsa. Kalau dulu sekolah rendah semua rakan sekolah terdiri dari orang Melayu tetapi di sekolah menengah aku terdedah dengan pergaulan dengan pelajar bukan Melayu terutama rakan-rakan dari kaum Cina.

Segala-galanya baru bagi aku.Kalau dulu aku dikelilingi oleh rakan-rakan yang telah aku kenali selama 6 tahun belajar bersama-sama tetapi kini aku berseorangan. Aku dengan Adnan pun terpisah bila dia di masukkan  ke kelas lain.

Pada mulanya aku dimasukkan ke Tingkatan 1 G. Aku masih ingat lagi guru tingkatan kami Cikgu Yahya Puasa memnpunyai reputasi sebagai guru yang garang. Ucapan permulaan ketika masuk ke kelas cukup menggerunkan. Cikgu Yahya Puasa memulakan kata-kata menyambut kami dengan menyebut beberapa perkara yang aku masih ingat.

Dia kata “ Kelas 1 G ni ada orang sebut sebagai 1 ganas, tapi saya nak sebut 1 G sebagai satu ‘Good’.” Cikgu Yahya juga mengugut kami dengan mengatakan dia pernah mencampak pelajar dari kelas kami ke bawah. Kelas kami berada di tingkat 1 bangunan. Kecut rasa isi perut membayangkan kena campak dari tingkat 1 bangunan sekolah.

Aku mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Dulu aku dikenali di sekolah. Semua cikgu kenal aku. Semua kawan satu sekolah kenal aku. Tetapi di sekolah baru aku tidak dikenali oleh sesiapa. Aku adalah antara ratusan murid yang baru mendaftar masuk ke Tingkatan 1.

Tidak sampai dua minggu selepas masuk ke tingkatan 1G aku dipindahkan ke Tingkatan 1 B (Khas). Tingkatan 1 B (Khas) menempatkan pelajar-pelajar Melayu dari seluruh daerah Muar yang terdiri dari golongan susah tetapi berpotensi dari segi akademik.Pelajar-pelajar dalamTingkatan 1B (Khas) diberi biasiswa kecil Persekutuan RM25 sebulan dan dibayar setiap 3 bulan sekali.Setiap kali aku menerima biasiswa sebanyak RM75, aku akan mengambil RM25 untuk kegunaan aku. Bakinya sebanyak RM50 aku berikan kepada emak membantu perbelanjaan rumah.

Di dalam kelas 1B (Khas) aku berjumpa semula  ramai pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan memasuki Maktab Rendah Sains MARA tempoh hari. Pada ketika itu cuma mungkin ada 4 atau 5 sahaja Maktab Rendah Sains MARA berbanding sekarang yang telah mencecah lebih 50 buah MRSM di seluruh negara.

Pada ketika itu pelajar-pelajar tingkatan 1 hingga 3 bersekolah pada sebelah petang. Pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 sahaja yang bersekolah di sebelah pagi.

Aku masih tinggal dengan keluarga di Geli-Geli estet. Sekarang aku ke sekolah naik bas sebab Pak Jamal tidak menghantar   sampai ke Bandar Muar. Seperti yang aku pernah cerita sebelum ini, ada dua buah bas sekolah yang membawa anak-anak estet ke Bandar Muar. Kedua-dua bas dimilik dan dipandu oleh dua orang lelaki Cina. Seorang bernama Champon dan seorang lagi bernama Ah Yong.Pembaca tentu ingat bas Champonlah yang disewa oleh penduduk estet menziarah emak semasa emak ‘meninggal dunia’.

Abah dan emak memberi aku kebebasan samada nak naik bas Champon atau Bas Ah Yong untuk ke sekolah. Salah satu keputusan yang aku perlu buat. Setelah mengambil kira beberapa faktor aku memilih bas Ah Yong.

Aku memilih bas Ah Yong kerana AhYong sangat bertegas dengan budak-budak. Budak-budak yang naik bas Ah Yong tidak berani berbuat bising di dalam bas. Malahan kami dilarang berjalan di dalam bas ketika bas bergerak. Ini berbeza dengan Champon yang lebih bersikap terbuka dengan budak-budak . Champon juga tidak pernah marah dengan perangai budak-budak yang nakal dan bebas bergerak di dalam bas ketika bas sedang bergerak tanpa menghiraukan sangat aspek keselamatan. Agaknya konsep pengurusanChampon selagi budak tidak tercampak dari dalam bas tidak jadi masalah buat dia.Tempat duduk bas Champon kerap kali menjadi tempat budak-budak berpijak kaki, bukannya tempat untuk mereka duduk.

Rutin harian aku setiap kali sebelum ke sekolah adalah sama setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu apabila cuti hujung minggu. Aku bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk membantu emak.Setiap pagi sebelum emak pergi menoreh aku akan mengayuh basikal ke satu tempat yang agak jauh dari rumah untuk ‘ roll call’ atau dipangil rokal oleh penduduk-penduduk estet. Seawal pukul 6 pagi mandur akan memanggil nama semua penoreh berdasarkan senarai yang ada padanya. Aku hanya perlu menjawab ‘ada’ apabila nama emak dipanggil.

Selepas rokal selesai aku akan mengayuh basikal ke suatu tempat yang dipanggil ‘setor’ walaupun perkataan setor itu bukanlah setor seperti yang kita faham sekarang ini. Setor  sebenarnya adalah tempat pengumpulan susu getah. Apabila selesai menoreh, selepas beberapa jam susu getah akan terkumpul di dalam cawan getah yang diletakkan di setiap pokok getah. Getah cair itu kemudiannya akan dikumpulkan, proses yang dipanggil ‘membangkit’. Susu getah yang telah dikumpulkan akan dimasukkan ke dalam satu tong besi dan dibawa kesetor untuk ditimbang dan diproses. Tong yang telah kosong akan diambil pada keesokan pagi oleh penoreh. Tugas aku setiap pagi selepas rokal ialah mengambil tong dari setor dan membawanya dengan basikal ke lot di mana  emak akan menoreh.

Menoreh di estet agak sistematik berbanding dengan cara menoreh pekebun kecil getah di kampung. Di estet setiap penoreh diberikan 2 lot pokok getah. Setiap lot mengandungi sekitar 200 batang pokok getah. Penoreh akan menoreh secara bergilir setiap lot itu. Jika hari ini menoreh di lot A, besok akan menoreh di Lot B pula. Ini memberi peluang untuk pokok getah ‘berehat’ dari ditoreh setiap hari

Aku tidak pandai menoreh.Percubaan aku menoreh tidak lulus sebab mengikut kata emak, cara torehan aku ‘melukakan’ pokok.Kalau pokok banyak luka nanti mandur akan marah. Oleh kerana aku tidak boleh menoreh  aku ditugaskan oleh emak untuk ‘mengopek cawan’.’Mengopek cawan’ ialah proses mengumpulkan getah buku yang telah membeku di dalam cawan getah selepas proses membangkit yang aku terangkan di atas tadi. Selepas susu getah yang ditoreh dikumpulkan di dalam baldi masih ada lagi susu getah yang menitis ke dalam cawan akan dibiarkan beku dan selepas satu atau dua hari susu getah akan membeku dan menjadi getah buku.Setiap pagi aku akan  mengumpulkan getah yang telah beku dari dalam cawan getah dan dimasukkan ke dalam guni sebelum dibawa ke setor. Proses mengumpulkan getah buku inilah yang kami istilahkansebagai ‘kopek cawan’.

Tugas mengopek cawan bukanlah susah sangat tetapi satu kesan yang amat tidak digemari ialah bau getah buku yang teramat busuk sehingga menyengat ke hidung. Bau getah buku amat sukar hilang walaupun tangan kita telah disabun.

Kerja mengopek cawan biasanya aku berjaya siapkan sekitar jam 9 pagi. Selepas selesai mengopek cawan, aku akan berbasikal balik ke rumah dan bersedia untuk ke sekolah. Selesai mandi dan berpakain, bas Ah Yong akan mengambil aku sekitar pukul 10.30 pagi. Sementara menunggu bas Ah Yong sampai biasanya aku study setakat mana sempat sambil mendegar radio. Pada tahun 1976 bekalan letrik belum sampai lagi ke Geli-Geli Estet. Radio transistor kecil milik keluarga saja yang jadi peneman.

Salah satu rutin setiap pagi alah mendengar siaran radio drama bersiri ‘Nombor Lima Persiaran Satu’.Drama keluarga ini disiarkan setiap hari dari jam 9.30 pagi sehingga 9.45 pagi. Drama ini telah dinobatkan sebagai drama keluarga paling lama bertahan di radio.Aku percaya generasi sebaya dengan aku tentu ingat dengan drama ini.

Masa siaran drama ‘ Nombor Lima Persiaran Satu’ biasanya aku akan dengar selepas siap berpakaian untuk ke sekolah sambil menunggu bas Ah Yong.

Aku antara pelajar yang sampai sekolah paling awal. Walaupun jadual sekolah hanya bermula sekitar 1 tengahari,aku biasanya sampai sekolah sekitar pukul 11 pagi. Oleh kerana sekolah aku berhampiran dengan Sungai Muar, salah satu hobi aku ialah melihat orang memancing di tebing Sungai. Jemu melihat orang memancing aku membaca buku di Koridor Pejabat Tanah Daerah Muar yang terletak di tebing Sungai Muar dan berhadapan dengan Sekolah Tinggi Muar. Pejabat Tanah Daerah Muar ketika itu agak sunyi dan sesuai untuk aku membaca buku.Kemudiannya aku berpindah ke Perpustakaan Awam Muar.

Perpusatkaan Awam Muar pada ketika itu adalah sebuah bangunan kecil satu tingkat yang hanya menempatkan koleksi buku-buku lama dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Tidak banyak koleksi buku yang ada. Perpustakaan itu pun agak sunyi dan tidak ramai pengunjung.

Walaupun bangunannya kecil tetapi meninggalkan banyak kenangan padaku. Disitulah aku mula belajar membaca akhbar di dalam Bahasa Inggeris. Aku juga gemar membaca majalah seperti Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera. Mungkin aku minat menulis pengaruh dari membaca majalah Dewan Sastera di Perpustakaan Awam Muar semasa bersekolah dulu.

Perpustakaan itu dikendalikan oleh seorang petugas yang aku tak pernah tahu namanya. Dia berjalan agak tempang sedikit. Oleh kerana aku salah seorang pengunjung tetap di perpustakaan itu, pak cik itu pernah bertanya kepada aku tentang latarbelakang aku, tinggal di mana dan sebagainya.Rupa-rupanya  pakcik itu ada talian persaudaraan dengan Pak Jamal, yang menghantar aku kesekolah setiap pagi semasa di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya dulu.

Aku masih ingat salah satu peristiwa yang aku rasakan amat-amat lucu bila dikenangkan. Satu hari aku tengok pak cik penjaga perpustakaan itu tertidur di sofa di perpustakaan dengan menutup mukanya menggunakan sebuah akkhbar. Aku pula memang menjadi rutin harian akan mencari akhbar terbitan hari itu untuk aku baca. Bila aku melihat akhbar hari itu digunakan oleh pak cik untuk menutup mukanya untuk tidur perasaan aku serba salah. Memang dalam hati melonjak ingin membaca akhbar itu tetapi takut pula menganggu pak cik itu. Lama kelamaan perasaan ingin membaca akhbar mengatasi perasaan takut menganggu pak cik. Aku mengambil akhbar yang digunakan untuk menutup muka oleh pak cik itu. Dia yang sedang lena tidur terkejut dan air mukanya menunjukkan rasa marah kepada aku. Aku takut dengan pak cik itu tetapi mujurlah kemarahan pak cik tidak berpanjangan.

Sejak dari hari itu aku tidak lagi melihat pakcik itu tidur menggunakan akhbar untuk menutup mukanya
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.