Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,173
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 11

Bab 11

Peperiksaaan Penilaian Darjah 5

Aku pelajar yang boleh dikatakan cemerlang dalam persekolahan. Setiap kali peperiksaan aku sentiasa mendapat tempat pertama kecuali sekali saja mendapat tempat kedua semasa dalam darjah 2.Dikalahkan oleh seorang pelajar perempuan bernama Hasnah Hussin.

Sebagai sekolah luar bandar pencapaianku mungkin biasa-biasa sahaja kalau nak dibandingkan dengan pelajar bandar tapi pencapaian aku di sekolah sumber kebanggaan abah dan emak. Aku juga kerap dijadikan contoh di dalam masyarakat Geli-Geli Estet.

Pada ketika itu belum ada lagi UPSR. Kami mengambil peperiksaan penilaian darjah 5. Untuk peperiksaan Penilaian Darjah 5 pelajar-pelajar perlu mengambil 5 matapelajaran. Matematik,Sains, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Geografi.

Pada ketika itu pencapaian 5A amat jarang diperolehi. Sekolah Kebangsaan Sungai Raya tidak pernah ada yang mendapat 5A jika dibandingkan Sekolah Rendah Bukit Pasir yang pelajar-pelajarnya lebih cemerlang.

Guru-guru kerap kali mengulang harapan agar aku orang pertama dari Sekolah Kebangsaan Sungai Raya yang berjaya mendapat 5A walaupun aku sendiri tidak langsung merasa tertekan untuk memenuhi  harapan guru-guru. Aku sendiri pun tidak meletakkan sebarang matlamat dalam peperiksaan.

Aku menduduki peperiksaan Pernilaian Darjah 5 pada tahun 1974. Apabila keputusan diumumkan pada penghujung tahun aku mendapat 2A, 2B dan 1C. A untuk Bahasa Malaysia dan Geografi, B untuk matematik dan Sains serta C untuk Bahasa Inggeris. Aku tidaklah terlalu kecewa dengan keputusan itu. Tetapi yang buat aku rasa kecewa apabila dua lagi rakan sedarjah dengan aku berjaya mendapat 3A. Seorang bernama Adnan Abu dan seorang lagi pelajar perempuan bernama Rasilah Karib.

Pad tahun 1975 aku masuk kedarjah 6. Guru darjah kami ketika itu Cikgu Rashid. Walaupun cikgu Rashid airmukanya serius tapi hatinya baik. Dia gemar bercerita tentang perkara berkaitan dengan orang Melayu dan survival orang Melayu. Walaupun kami ketika itu baru berumur 12 tahun dan tidak faham langsung tentang perjuangan bangsa dan sebagainya namun sehingga sekarang aku masih beranggapan cikgu Rashidlah orang yang menanam semangat nasionalisma yang tinggi dalam jiwa aku sehinngga sekarang. Antara kata-kata cikgu Rashid yang aku masih ingat sampai sekarang ialah “ Orang Melayu yang malas-malas sepatutnya dimasukkan sahaja ke dalam kapal  dibawa ke tengah laut dan dibom sahaja.” Cikgu Rashid jugalah yang mengajar kami agar bersedekah AlFatihah setiap kali nama Dato’ Onn Jaafar, penentang Malayan Union dan pengasas UMNO disebut. Aku ketika itu tidak faham apakah tujuan cikgu Rashid menyebut begitu tetapi apabila umur aku meningkat dewasa barulah aku mula faham apa yang disebut oleh beliau.

Cikgu Rashid juga seolah-olahmenganggap aku sebagai anak angkatnya walapun dia tidak pernah berkata begitu.Semasa aku dalam darjah 6 aku menjadi Ketua Darjah. Setiap hari aku ditugaskan oleh cikgu Rashid untuk ke kantin sebelum waktu rehat dan menyampaikan pesanan untuk dia makan sewaktu rehat. Setiap hari juga aku diberi wang oleh cikgu Rashid untuk membayar harga makanan yang dipesan olehnya dan membawa makanan ke bilik rehat guru. Baki wang pembayaran diberi kepada aku sebagai upah. Seingat aku selama setahun aku bertugas menghantar makanan dari kantin ke bilik rehat guru cikgu Rashid memesan makanan yang sama, kuih ondeh-ondeh dan air kopi. Setiap kali juga akan ada baki 10 sen yang akan jadi milik aku. Wang 10 sen pada tahun 1975 besar nilainya. Boleh beli sepinggan mi goreng yang mengenyangkan kanak-kanak berusia 12 tahun.

Aku masih ingat lagi kata-kata cikgu Rashid, “ Awak ni kalau tak masuk angin, awak akan berjaya dalam hidup. Tapi ada aja budak yang baik tapi bila dah besar masuk angin,  jadi rosak.”

Salah satu hobi cikgu Rashid membaca akhbar ketika dalam bilik darjah. Pada satu hari ketika kami semua sedang tekun membuat kerja sekolah cikgu Rashid pula membaca suratkhabar,rutinnya setiap hari. Tiba-tiba dia bertanya’ Jais, periksa penilaian hari tu dapat berapa A?”. Dia mengandaikan saja aku pelajar yang pencapaian tertinggi.Dia tidak bertanya kepada orang lain. Aku menjawab “ 2 A , 2B dan 1C cikgu.”

“ Ini ada iklan untuk masuk MRSM.Awak dapat 2A, 2B, 1C layak memohon. Siapa lagi yang dapat 2A? “ Tanya cikgu Rashid. Ketika itu barulah dia tahu yang Rasilah dan Adnan dapat 3 A.

Cikgu Rashid menguruskan permohonan memasuki MRSM. Kami bertiga tidak tahu apa-apa. Malahan ibu bapa kami pun tak pernah tahu permohonan yang dilakukan oleh sekolah bagi pihak kami bertiga.

Apabila borang permohonan masuk MRSM diterima oleh pihak sekolah kami diminta mengisi maklumat peribadi seperti kebiasaannya. Nama bapa, alamat, pekerjaan bapa, keputusan Peperiksaan Penilaian dan maklumat  berkaitan yang lain.

Dalam borang permohonan itu juga pemohon diminta menulis satu karangan 100 patah perkataan dalam Bahasa Inggeris bertajuk “ Why I sould study in Maktab Rendah Sains MARA’’ (Kenapa saya perlu belajar di Maktab Rendah Sains MARA).Bagi anak kampung tak usahkan nak menulis karangan dengan 100 patah perkataan dalam Bahasa Inggeris, nak menulis satu ayat pun rasanya agak mustahil untuk kami. Tapi cikgu Rashid ada penyelesaian kepada masalah itu. Dia meminta jasa baik cikgu Khalid untuk membuat karangan dan kami hanya perlu menyalin sahaja karangan yang dibuat oleh Cikgu Khalid.Walaupun cikgu Khalid terkenal dengan garangnya tetapi dia membantu membuat karangan yang amat-amat kami bertiga perlukan.

Semua urusan surat menyurat dan penghantaran borang permohonan yang telah siap diisi dilakukan oleh pihak sekolah. Ibu bapa kami pun tak pernah tahu apa yang dilakukan oleh pihak sekolah. Berbeza dengan zaman sekaraang dimana kebanyakan urusan dilakukan oleh ibu bapa dan pelajar sendiri.

Selang beberapa lama kami bertiga menerima surat penggilan menghadiri ujian bertulis memasuki MRSM. Ujian bertulis diadakan di dewan Sekolah Tinggi Chung Hwa di Jalan Junid Muar.Sebaik sahaja menerima panggilan menghadiri ujian bertulis cikgu Rashid bertanya kepada kami bertiga samada ada ibu bapa kami yang boleh membawa kami bertiga keSekolah Tinggi Chung Hwa untuk ujian bertulis.

Abah tak boleh menghantar aku sebab berkerja di estet sukar untuk mendapat cuti. Nasib baik abang saudara Adnan bersetuju membawa aku dan Adnan ke Sekolah Tinggi Chung Hwa menaiki bas.Rasilah pula pergi dengan bapanya.

Aku, Adnan dan abang saudaranya sampai ke sekolah Tinggi Chung Hwa sekitar 8.30 pagi. Ujian bertulis yang diadakan di Dewan Sekolah Tinggi Chung Hwa melibatkan ratusan pelajar dari seluruh daerah Muar.

Ujian bertulis itu agak mencabar.Aku gagal masuk ke MRSM tetapi pelajar yang gagal ke MRSM dimasukkan ke dalam program yang dipanggil Rancangan Khas. Selepas darjah 6 aku dan Adnan ditawarkan masuk ke Sekolah Tinggi Muar sementara Rasilah pula masuk ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar. Kawan-kawan satu sekolah yang lain masuk ketingkatan 1 di Sekolah Menengah Tun Perak.

Walaupun aku telah meninggalkan sekolah Kebangsaan Sungai Raya tetapi adik-adik aku masih ramai yang bersekolah di sana. Dari semasa ke semasa aku kerap bertanya kepada adik-adik tentang perkembangan cikgu-cikgu di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya terutamanya cikgu kesayanganku, Cikgu Rashid. Setiap tahun aku tak lupa menghantar kad ucapan Hari Raya kepada Cikgu Rashid sehingga lama kelamaan hubungan kami terputu sapabila  cikgu Rashid berpindah sekolah.

Pada tahun 1987 sekembalinya aku dari pengajian di Amerika aku mencari cikgu Rashid di rumahnya. Pada ketika itu beliau telah bersara. Walaupun dia tidak berapa ingat pada aku, almaklumlah guru mempunyai ribuan anak murid sepanjang kerjayanya namun aku tidak pernah lupa jasa semua guru di sekolah Kebangsaan Sungai Raya yang menyumbang kejayaan hidupku.

Kehadiran aku di rumahnya disambut mesra. Seingat aku ketika itu tidak ada orang lain di rumahnya.Selepas bersembang panjang, ketika nak meninggalkan rumahnya aku sempat menghulur wang RM10 kepada beliau.Bukannya banyak sangat pun. Maklumlah baru mula kerja  gaji  pun ciput lagi.Aku masih ingat lagi bagaimana cikgu Rashid megucup wang RM10 yang aku hulurkan kepadanya. Dia bukan orang susah tetapi dia kelihatan benar-benar menghargai pemberian tak seberapa dari bekas anak muridnya.

Selepas itu aku pernah juga terserempak sekali dua dengan beliau di Bandar Muar dan dia ingat pada aku.

Alfatihah untuk Allahyarham Cikgu Rashid.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.