Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,328
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

KUNCI rumah dicampakkan ke dalam mangkuk yang diletakkan di atas rak kasut. Mangkuk kristal yang dihadiahkan Elanne ketika dia baru berpindah ke pangsapuri itu sepatutnya digunakan untuk meletakkan buah-buahan, tetapi akhirnya menjadi bekas untuk segala jenis benda. Kalau diintai ke dalamnya, ada klip kertas, rantai kunci yang sudah tercabut, penutup pen, beberapa helai post-it note serta timbunan habuk. Habuk yang boleh dikesat dengan jari.

Beg yang diselempang di bahu dicampak pula di atas sofa. Tali leher yang sudah ditanggalkan dilontar di atas meja, berserta kemeja dan tali pinggang. Lantas dia berbaring di atas sofa kulit sebelum ibu jari kaki kanan menolak stoking kaki kiri. Dia mengulang perbuatan yang sama dengan kaki kirinya. Kedua-dua belah stoking dibiarkan jatuh di atas lantai sementara kedua-dua kaki disilangkan.

Dia merenung siling. Sudah dua tahun sejak dia berpindah ke pangsapuri itu dan sudah lima tahun sejak dia meninggalkan kampung halaman untuk memulakan bisnesnya. Semuanya disebabkan pergaduhannya dengan si bapa yang mahu dia menjual syarikatnya dan kembali menguruskan perniagaan keluarga. 

Joshua tidak pernah berminat. Dia juga seorang businessman, tetapi bukan ahli perniagaan yang licik seperti bapanya. Dia tidak pernah mewarisi bakat Jeremy. Dia tidak pernah ada keinginan untuk belajar tentang produk atau pasaran. Dia cuma mahu menjadi seorang penulis dan bekerja dalam bidang media.

Kali pertama dia menyatakan hasratnya, Jeremy mentertawakannya.

“You? Writing? Do you even have the talent, boy?”

Joshua ingin sekali menunjukkan semua artikel yang pernah ditulis di sekolah, semua anugerah yang pernah dimenanginya dalam bidang penulisan dan semua hasil karya yang pernah diterbitkan sejak dia di usia remaja. Tetapi Jeremy tidak pernah tahu semua itu. Dia tidak pernah ambil peduli tentang bakat dan kemampuan anak-anaknya. Tidak ada yang lebih penting berbanding subjek utama yang perlu anak-anaknya skor untuk mencapai cita-citanya.

Cita-cita Jeremy, bukan cita-cita anak-anaknya. Tidak Joshua, Jane, mahupun Jason.

Ya, Joshua turutkan semua kehendak Jeremy pada mulanya. Selama sepuluh tahun dia lupakan impiannya dan akur pada kemahuan Jeremy untuk membantu menguruskan perniagaan keluarga. Tetapi semua itu berubah selepas ibunya meninggal dunia.

“What do you want in life, Josh?” soal ibunya, Louisa pada suatu hari ketika Joshua muncul di biliknya lebih lima tahun yang lalu.

Sekalipun mereka berada di bilik ibunya di rumah mereka ketika itu, si ibu dikelilingi mesin seolah-olah mereka berada di hospital. Wajahnya cengkung, bibirnya pucat. Tidak sama seperti si ibu yang dikenalinya selama ini. 

“What do you mean ‘what do I want’? I have everything here. I have you,” ujar Joshua.

“You won’t have me for long, my love. When I’m no longer here, would you still believe that you have everything?”

Joshua tidak menjawab.

“Josh, I know you. This is not what you want. We’ve given you everything that money can buy, and yet it has never been the things that you need. I want you to be happy, love. Find the things that make you happy.”

Beberapa bulan selepas kematian si ibu, Joshua buat keputusan untuk meletakkan jawatan. Jeremy mengamuk dan mengugut untuk membuang Joshua daripada keluarganya. Jane memujuknya agar tidak membuat keputusan melulu, tetapi Joshua nekad. Maka si adik memberi restu dan sokongan buatnya.

Dari Pulau Pinang, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan menghubungi Razman, rakan karibnya di universiti dahulu. Dia ada idea yang sudah lama dipendam untuk membuka perniagaannya sendiri, yang langsung tidak ada kaitan dengan perniagaan si bapa dan ada kaitan sepenuhnya dengan minatnya dalam bidang penulisan.

Mereka tubuhkan Kuaci Media atau kuaci.com, iaitu sebuah syarikat media kecil yang mengkhususkan kepada gaya hidup, fesyen, hiburan dan sukan. 

Joshua sukakan kerjayanya, sekalipun dia tidak dapat merealisasikan cita-citanya untuk fokus pada penulisan disebabkan sibuk menguruskan Kuaci Media daripada sudut business. Dia suka menggajikan penulis berbakat, menghadiri majlis pelancaran dan sidang media, beramah mesra dengan ramai orang daripada industri yang berbeza-beza. 

Dia juga berkenalan dengan Elanne melalui satu daripada majlis yang dihadirinya. Elanne yang muda sepuluh tahun daripadanya, yang sentiasa memastikan Joshua sentiasa up-to-date dengan trend terkini.

Sudah tiga tahun mereka bersama sebagai pasangan, tetapi Joshua masih belum bersedia untuk berumah tangga. 

Telefon pintar tiba-tiba bergetar tanda ada panggilan masuk. Dia menyeluk poket, lantas mengeluarkan telefon itu. Nama Elanne muncul di skrin.

Telefonnya dicampak, lalu jatuh telangkup di atas tali lehernya yang bergumpal di atas meja. Dia tidak punya masa untuk membincangkan hal yang sama dengan Elanne. 

Kahwin. Elanne mahu berkahwin. Mungkin tidak pernah disebutnya secara terang-terangan, tetapi sejak akhir-akhir ini teman wanitanya itu kerap melakukan benda-benda yang jelas sekali memaksudkan hasratnya untuk dilamar. Dua minggu lalu, ketika mereka menyambut hari jadi Elanne di sebuah restoran yang terletak di tingkat atas sebuah bangunan pencakar langit, gadis itu ada menyebut tentang usia Joshua sendiri dan bagaimana kebanyakan rakan Joshua sudah berumah tangga.

“You know, they say 40 is the new 20. Which means, I am younger than you,” balas Joshua sambil mencampak lilin angka 2 dan 6 yang sudah dikeluarkan daripada kek red velvet Elanne ke arah gadis itu dengan niat mengusik. 

“Haven’t you realised by now that I was born when you were in form two, old man? It’s a bit creepy when you think about it. And yet here I am, still wanting to be with you,” balas Elanne, tidak ada sedikit pun nada bercanda.

Beberapa hari selepas itu, ketika mereka keluar bertemu janji di sebuah gudang membeli-belah, Elanne tiba-tiba berhenti di hadapan sebuah butik perkahwinan. Katanya, dia mahu ‘survey harga’ beberapa helai gaun pengantin buat teman karibnya Aisyah yang bakal berkahwin tidak lama lagi. Tetapi Joshua sedia maklum yang Aisyah berhijab dan tidak mungkin akan menyarung gaun potongan duyung Pnina Tornai dengan bahagian belakang yang terdedah dan belahan dada yang curam.

Dua hari lalu, ketika mereka sedang mendaki Bukit Broga, Elanne bercerita tentang bagaimana dia dan rakan-rakan sepejabatnya berbincang tentang jenis batu permata yang mereka suka. 

“Safina likes sapphire and Joanna said that she prefers Turkish zultanite…” Dia berhenti separuh jalan, nampak sangat mahu Joshua mencelah dan bertanya, “And what do you like?” 

Tetapi Joshua tak makan umpannya. Jadi, Elanne menyambung, “But I think I am more traditional. It’s diamond all the way.”

Telefon berhenti bergetar buat seketika sebelum ia bergetar sekali lagi beberapa saat kemudian. 

Bukan Joshua tidak mahu berkahwin. Dia juga cemburu melihat Razman melayan dua orang anak perempuannya setiap kali si teman datang ke pejabat untuk melihat progress perniagaan mereka. Tetapi entah kenapa, setiap kali dia melihat Elanne, dia tidak dapat membayangkan gadis itu sebagai isterinya. Dia tidak dapat membayangkan Elanne bangun pagi dan menyiapkan sarapan buat anak-anak mereka. 

Dia tidak dapat membayangkan bagaimana rupa anak-anak mereka sama ada mereka akan mewarisi hidungnya yang mancung atau matanya yang Elanne gambarkan sebagai ‘soft eyes’ atau mewarisi senyuman Elanne yang lebar dan mesra. Dia tidak dapat bayangkan mereka berdua di usia tua, duduk di pangkin menghadap deruan ombak pantai.

Tetapi dalam masa yang sama, Joshua sedar dia sudah berusia 40 tahun dan Elanne adalah sebaik-baik bakal isteri yang boleh dia dapat pada usianya. Dia tidak pasti dia mahu kembali menjadi lelaki bujang dan mencari teman wanita lagi. Dia tidak suka proses perkenalan itu. Berjumpa, berkenalan, berbual tentang perkara-perkara enteng seperti berapa ramai adik-beradik, kerja apa?, tinggal di mana dan oh, you mean that Jeremy? Of Captain J’s Oats?

Ya, semua perbualan itu akan sentiasa kembali kepada Jeremy dan empayar sarapan pagi mereka. Dia boleh pilih untuk tidak menyebut tentang si bapa, tetapi dia tahu lambat-laun Jeremy akan dapat tahu tentang hubungan cintanya dan akan cuba mengorek lebih banyak tentang gadis yang disukainya dan si gadis akan tahu siapa Joshua yang sebenarnya. Ya, si bapa yang mengatakan dia sudah buang Joshua daripada keluarga itu tetap mahu menyibuk dengan kehidupan peribadinya.

Telefon bergetar buat kali ketiga dan terakhir. Kemudian, ia kembali sunyi. Joshua menghela nafas panjang. Setelah lama dia termenung dalam keadaan terlentang, Joshua akhirnya bangkit mencapai telefon pintarnya. Seperti yang dia jangkakan, ketiga-tiga panggilan tidak berjawab datang daripada Elanne. Gadis itu juga menghantar pesanan WhatsApp.


Joshy, where ru? Just wanna tell u I’ll be flying off to Srwk tom. Dad hospitalised. CU next week. xx” - 9.31pm  


Dia tahu dia patut hubungi Elanne semula untuk bertanya keadaan bapa teman wanitanya. Dia patut tanya sama ada Elanne mahu ditemani ke Sarawak. Tetapi dia juga tahu semua jawapan bagi soalan-soalan itu. Elanne pasti mahu. Dia pasti gembira untuk membawa Joshua bertemu ibu bapa dan sanak saudaranya di sana. Kalau itu berlaku, sama sahaja seperti Joshua mengiakan impian Elanne untuk mereka berumah tangga.

I really am a scum… getus lelaki itu. 

Dia tidak terus membalas mesej itu. Joshua beralih pada aplikasi GrabFood, lantas memesan kombo Mexicana Wrap dari Texas Chicken. Televisyen dihidupkan, kemudian dia beralih ke Netflix dan mula menatal satu demi satu tajuk filem dan siri yang ada. Dia berhenti pada siri Better Call Saul dan menekan punat OK. 

Siri televisyen itu ditonton sementara dia menunggu makanannya sampai, sekalipun dia tahu sudah tiga malam berturut-turut dia makan hidangan yang sama dan menonton rancangan yang sama. Sendirian.

Joshua sukakan status quo.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.