JAM menunjukkan pukul 6.00 petang. Tamatnya waktu kerja. Rakan-rakan sepejabat sudah mula meninggalkan meja kerja mereka seorang demi seorang. Setiap seorang melambai padanya sebelum melangkah keluar. Fish menggoyang-goyangkan kaki tanda resah. Matanya dikerling pada Joshua yang masih sibuk bekerja di dalam bilik pejabatnya.
Dia tahu dia ada hak untuk pulang pada jam 6.00 petang. Ini bukan negara Jepun, di mana peraturan tidak bertulis memerlukan pekerja muda menunggu senior mereka pulang terlebih dahulu sebelum mereka boleh menamatkan kerja. Kalau ikut undang-undang buruh pun, dia tidak boleh dikenakan tindakan kerana pulang pada waktu yang sepatutnya.
Tetapi hari ini dia buat silap lagi. Hari ini, dia buat Joshua marah kerana kelewatannya. Bukan lewat pun kalau difikirkan secara teknikal, kerana waktu kerja bermula jam 9.30 pagi. Cuma Joshua memang suka datang awal dan menjangkakan Fish akan berada di pejabat sebaik sahaja dia muncul, seolah-olah Fish tidak ada kehidupan sendiri dan bermastautin di meja kerjanya.
Boleh dikatakan angin lelaki itu tidak baik sepanjang hari disebabkan kesilapan kecil Fish.
Ini semua salah Shaila! Getus Fish.
Kalau bukan kerana syaitan kecil itu buat perangai, sudah tentu dia tidak terlambat. Entah kenapa setiap hari Isnin, gadis berusia 11 tahun itu hendak menyusahkan hidupnya. Pagi tadi, Shaila buat keputusan mahu pakai uniform Faiq untuk ke sekolah, kerana katanya perempuan ada hak untuk pakai kemeja dan seluar panjang.
“Kenapa budak lelaki boleh pakai uniform yang selesa, tapi budak perempuan kena pakai baju kurung? Nak berlari tak boleh, nak jalan laju-laju pun susah.” Shaila merungut.
“Kalau tak nak baju kurung, pakailah pinafore,” ujar Fish sambil menghidang roti bakar di atas meja makan, malas mahu melayan hujah si kecil pagi itu.
“Mama Fish nak semua orang nampak seluar dalam kita bila kita panjat pokok ke?”
“Tak ada siapa suruh awak panjat pokok, Lala. Duduk ajelah diam-diam macam manusia biasa. Dah, dah. Pergi tukar baju awak dan bagi balik uniform Faiq kat dia. Jangan sampai berkedut. Mama tak ada masa nak gosok balik.”
Shaila menghentak-hentak kakinya kembali ke bilik. Fish terpaksa tunggu lagi sepuluh minit untuk Shaila menukar pakaian.
“Oh my God, pukul berapa budak kecik ni nak siap, ma? Nana dah lambat ni! Woi, cepatlah! Aku kena bersihkan kelaslah pagi ni!” Shaina, si kakak yang berusia 16 tahun menjerit dari meja makan.
“Sabarlah, bodoh!” Shaila membalas dari arah biliknya di tingkat dua.
“Mama Fish, Lala kedutkan baju kita!” adu Faiq sambil menuruni tangga dengan bibir terketar-ketar tanda mahu menangis.
“Ya ALLAH…” ucap Fish, lalu meninggalkan roti bakar yang baru hendak dimakan lantas mendapatkan si cembeng di tangga.
Dia segera menyelitkan bahagian yang berkedut itu ke dalam seluar.
“See, dah tak nampak kedut kan?” ujar Fish.
“Lala, cepatlah! Kau ni bodoh macam siput sedutlah!” jerit Shaina lagi.
“Nana, jangan jerit-jerit pagi-pagi buta ni. Pergi tolak Aril masuk kereta dulu. Biar mama tunggu Lala,” ujar Fish.
Shaina mengeluh panjang, lantas menolak kerusi roda adik lelakinya, Shairil keluar. Tahun ini, Shairil masuk sekolah menengah dan buat masa ini Fish lega kerana si remaja tidak mengalami sebarang masalah sekalipun dalam keadaannya yang begitu.
Fish menuang air Milo ke dalam cawan untuk Faiq dan menghidang sekeping roti bakar buatnya. Faiq makan dengan diam. Sekalipun dia muda tiga tahun daripada Shaila, adakalanya Fish rasa Faiq lebih munasabah berbanding gadis itu. Ada kalanya Shaila berkelakuan lebih macam budak lelaki berbanding Faiq. Faiq suka membaca buku dan bermain basikal. Teratur dan sopan. Shaila pula lebih suka memanjat pokok dan mencari gaduh dengan anak jiran dan adik-beradiknya.
Shaila menuruni tangga tidak lama kemudian, itu pun selepas Fish mengugut untuk meninggalkannya di rumah seorang diri. Rambutnya tidak diikat. Lengan baju kurungnya dilipat sampai ke siku. Bedak di muka ditepek macam opera Cina.
“Lala, mama baru gosok elok-elok baju awak…”
“Rimaslah. Rimas,” ujar Shaila.
Dia mencapai sekeping roti bakar, lalu dikemam di mulut sementara tangannya sibuk menyarung stoking. Fish pula menghampiri, cuba mengikat rambutnya yang tidak terurus. Mungkin dia patut mengesyorkan agar Shaila mula bertudung supaya dia tidak perlu menguruskan rambut gadis itu setiap pagi. Mungkin bukan niat yang betul untuk bertudung, tetapi sekurang-kurangnya satu masalahnya selesai.
“Cepat sikit. Kak Nana awak dah bising tu. Nanti mama lambat sampai ofis,” ujar Fish sambil melirik jam di tangan.
“Hehaphah,” balas Shaila. Roti bakar masih di mulut.
Sepuluh minit kemudian, Fish berjaya memasukkan pelajar sekolah terakhir ke dalam Proton Exora-nya dan meleraikan pertengkaran di antara Shaila dan Shaina yang entah apa-apa. Dia menghidupkan enjin kereta. Tetapi belum pun sempat dia berundur keluar melepasi pagar rumah, tiba-tiba Shairil bersuara.
“Mama…”
“Kenapa?”
“Nak pergi toilet.”
“Aduh…” Serentak yang lain mengeluh.
Akibatnya, semua orang terlambat. Bila sampai di sekolah, Fish terpaksa keluar dari kereta untuk menjelaskan kepada guru Shaina dan Shairil apa yang telah berlaku dan merayu agar mereka tidak dikenakan denda, kemudian mengulang perkara yang sama kepada guru kelas Shaila dan Faiq di sekolah rendah yang terletak bersebelahan dengan sekolah menengah. Usahanya untuk tiba awal di pejabat tidak berjaya direalisasi disebabkan keadaan yang secara teknikalnya dicetuskan oleh Shaila.
Telefon pintar tiba-tiba berbunyi. Fish tahu siapa pemanggilnya. Pasti Shaina, bertanyakan pukul berapa Fish akan sampai di rumah.
“Mama balik lambat sikit hari ni,” ujar Fish sebaik sahaja dia menerima panggilan.
“What? Mama, Nana ada study group malam ni. Nana tak boleh tunggu lama-lama kat rumah.” Gadis itu mula merengek.
“Bos mama marah sebab mama masuk lambat hari ni, mana boleh mama balik awal. Balik nanti mama hantar.”
Shaina mengeluh.
“Okey. Tapi jangan lama sangat tau?”
“Ya, cik puan.”
“Oh by the way, tadi lepas Uncle Haidir hantar balik, Faiq jumpa kucing bunting dalam longkang. Dia kata dia nak bela. Dia letak kucing tu bawah katil mama.”
“Apa?”
“Okey, bye…” Shaina ketawa. Panggilan ditamatkan.
Kepala Fish terasa pening.
Setengah jam kemudian...
FISH melirik jam di dinding pula, kemudian ke arah Joshua di sebalik cermin yang memisahkan mereka. Masih sibuk melayari internet dan menaip sesuatu di komputer ribanya. Lelaki itu nampak khusyuk sampai tidak mempedulikan anak rambut yang jatuh menyapu sudut matanya. Tidak ada tanda-tanda seperti dia akan menyelesaikan kerjanya dalam masa terdekat.
Fish mengeluh panjang, lantas memeriksa senarai tugasnya untuk memastikan semua kerja sudah diselesaikan.
Invois dan salinan purchase order sudah difailkan. Follow up payment? Sudah. Atur jadual temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran? Sudah. Sediakan slip gaji? Sudah.
Dia cuma menunggu arahan Joshua yang seterusnya dan berharap agar kemarahan lelaki itu padanya sudah reda.
Tuk! Tuk! Tuk!
Dinding cermin tiba-tiba diketuk, mematikan lamunan Fish. Fish pantas menoleh. Joshua mengisyaratkan dengan tangan agar Fish masuk ke dalam bilik pejabatnya.
“Ya, Josh?”
Lelaki itu menuding jari ke arah pinggan dan gelas yang diletakkan di tepi meja.
“Clean it up. Lepas tu, pergilah balik. Tak payah tunggu I suruh,” ujar lelaki itu dengan nada jengkel.
Pasti sejak tadi dia menyedari tingkah laku Fish yang resah gelisah dan sudah hilang sabar.
Fish tidak menjawab. Dia mengutip pinggan dan gelas yang dikatakan lantas dibawa ke pantri untuk membersihkannya. Kemudian, dia kembali ke mejanya lantas mencapai beg tangan yang diletakkan di bawah meja. Dia menjenguk ke dalam bilik Joshua.
“Josh, kalau perlu apa-apa, call I ya?”
“Just go home, Fara.”
“Okey…”
Dengan pantas Fish meninggalkan pejabat. Ada kucing bunting yang harus dihalau keluar dari biliknya!