Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
40,741
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4

SEMUANYA berubah sekali lagi. Semalam, katil Shairil masih berada di tepi tingkap. Tetapi hari ini ia sudah beralih dan berada di tengah-tengah, lebih dekat dengan bilik air. Sementara itu, katil Shairil pula sudah tidak ada. 

Fish mengeluh panjang. Tidak ada perabot di rumah itu yang akan kekal lama berada di tempatnya. Tidak ada kuali yang kekal tergantung, tidak ada permaidani yang kekal terbentang dan tidak ada baju yang kekal berada di dalam almari. Kalau bukan Shaila yang mengubah kedudukan perabot untuk memudahkannya berlari dan melompat dan menerkam, pastinya Shaina yang meminjam itu dan ini dan tidak meletakkan barangnya kembali. 

Shairil juga sama. Kalau Fish seluk celah tempat duduk kerusi roda remaja lelaki itu, pasti dia akan menemui pelbagai jenis benda, daripada pisau pemotong buah, hinggalah pek makanan ringan yang lupa hendak dibuang. Tidak kisahlah berapa kali pun Fish cuba menakutkan Shairil dengan mengatakan semut akan membuat sarang di dalam kerusi rodanya, Shairil tetap akan menyelitkan sampah di tempat duduknya.

Katil yang berubah arah itu pasti kerja Shaina. Beberapa hari lalu, gadis itu berkata yang dia sudah ada ‘passion’ baru. Dia ingin menjadi seorang pereka hiasan dalaman. Mungkin terpengaruh dengan program televisyen House Doctor yang ditontonnya di YouTube. Dia tidak pasti berapa lama ‘passion’ yang dimaksudkan akan bertahan, kerana baru minggu lepas Shaina kata dia mahu jadi pramugari.

Fish menghela nafas panjang lantas menyangkut beg tangan di belakang pintu. Di belakangnya, Faiq masih tersedu-sedu setelah kucing bunting yang diselamatkannya dibawa pergi oleh seorang sukarelawan dari pusat perlindungan kucing. 

Dalam perjalanan pulang dari pejabat, Fish sempat menghubungi Haidir, teman karibnya yang telah membantu Fish menjemput keempat-empat anak-anak itu dari sekolah petang tadi. Bila ditanya apa yang harus dilakukannya, Haidir mencadangkan agar Fish menempatkan kucing bunting yang diselamatkan Faiq di cat shelter.

“Jangan stres sangat, Fish. Kalau Faiq merajuk karang, kita bawak dia orang semua makan kat McD, terpujuklah dia nanti,” ujar Haidir dengan lembut.

“Aku mana ada bajet. Minggu depan nak kena renew road tax dan insurans kereta.”

“Laa... tak payahlah. Aku belanja.”

Selepas panggilan kepada Haidir dibuat, dia terus menghubungi pemilik Republik Kucing dan meminta mereka untuk membantunya. Dengan empat orang budak dan seekor tikus belanda, rumahnya sudah tidak ada ruang untuk seekor lagi haiwan peliharaan.  

“Faiq, mama dah kata, nanti Uncle FU dan Aunty Kat akan jaga Dobby baik-baik. Dia orang jaga banyak kucing. Semua sihat, semua cantik,” ujar Fish, apabila dilihat tangisan Faiq masih belum reda. Dia duduk melutut, lantas menyeka air mata Faiq.

“Dory. Nama dia Dory,” balas Faiq.

“Okey, sorry. Dory. Dory okey aje nanti. Kat Republik Kucing, dia orang ada doktor sendiri yang boleh tengokkan Dory bila dia beranak nanti. Kat sini tak boleh. Tak ada siapa boleh jaga. Lagipun, kucing makan tikus. Kalau Dory atau anak-anak dia tinggal kat sini, esok lusa, dia orang makan Jerry macam mana?”

Faiq terdiam seketika sebelum mengangguk faham. Mungkin baru teringat tentang tikus belanda kesayangannya.

“Dia orang ada katil untuk Dory ke?” soal Faiq.

“Ada katil, ada tempat makan, ada semualah. Mama pernah pergi situ dulu. Ada banyak kucing kat situ. Ada yang main, ada yang tidur. Semua happy. Nanti, bila kita ada masa lapang, kita pergi melawat Dory, okey?” 

Faiq mengangguk.

“Okey. Good. Ni, mama nak tanya. Kak Nana ke yang kemas bilik mama?”

Faiq mengangguk lagi.

“Mana dia letak katil Aril?”

“Kak Nana kata, katil Abang Aril tak sesuai letak dalam bilik mama sebab nanti tak cantik.”

“Dah tu, dia letak kat mana?”

“Kat bilik dia. Dia dengan Lala yang angkat,” ujar Faiq.

Fish mengurut-urut dahi. Adakalanya, dia mempersoalkan kebijaksanaan gadis yang satu itu. Rumah teres yang didiami mereka merupakan rumah teres dua tingkat. Ada empat bilik semuanya. Tiga bilik di atas dan sebuah bilik di bawah, bersebelahan dengan bilik air. Dahulu, ketika rumah itu didiami kakaknya Farahani dan Faiq, si kakak yang mendiami bilik utama. Dua bilik di tingkat atas dikosongkan dengan niat untuk dijadikan bilik tidur Faiq dan adiknya yang bakal lahir apabila mereka sudah besar kelak. Impian itu tidak menjadi kenyataan.

Apabila ketiga-tiga beradik itu berpindah ke rumah mereka, Fish berikan Shaina bilik tidur utama sementara Shaila dan Faiq pula ditempatkan di kedua-dua bilik yang tidak digunakan sebelum ini. Fish sendiri memilih untuk berpindah ke bilik bawah bersama Shairil supaya dia dapat menjaga remaja lelaki itu dalam proses Shairil menyesuaikan diri untuk menggunakan kerusi roda. Sekalipun dia berpindah ke bilik bawah, hakikatnya Fish lebih banyak tidur di atas sofa di ruang tamu. Shairil sudah remaja dan Fish tahu pada usia itu, dia perlukan privasi. 

“Mama nak bawak turun katil saya ke?” soal Shairil, yang muncul dari dapur bersama sepinggan nasi goreng di atas riba. Pastinya digoreng Shaina selepas balik dari sekolah tadi.

“Tak apa. Tak payahlah. Aril tidur atas katil mama aje.”

Tidak ada gunanya dia menghabiskan tenaga membuat kerja yang sia-sia.

“Mama! Tengoklah Nana ni! Bodohlah!” Jeritan Shaila kedengaran dari tingkat atas.

“Faiq, pergi siapkan kerja sekolah. Aril, pergi makan kat meja. Mama nak tengok apa lagi isu budak perempuan dua orang tu,” ujar Fish.

Dia tidak menunggu jawapan kedua-duanya, lantas terus mengorak langkah menuju ke tingkat atas. Shaina dan Shaila berada di bilik utama, sedang berebut sehelai tudung.

“Ni kenapa ni?” soal Fish.

“Nana curi tudung kita!”

“Kakak. She’s your eldest sister. Panggil dia Kak Nana,” tegur Fish.

“Yalah. Kak Nana yang bodoh ni curik tudung kita!”

“Kau bukan pakai pun. Lagipun, ni tudung ibu. Bukan tudung kau!”

“Tapi ibu bagi aku!”

“Siapa cakap?”

“Mama Fish yang kata!”

Kedua-dua adik-beradik itu serentak memandangnya. Fish hanya bersilang tangan memandang mereka berdua.

“Ya, memang mama ada cakap. Nana, ada banyak tudung lain. Kenapa nak berebut tudung tu jugak?” soal Fish.

“Ma, seriously? Lala bukan pakai tudung pun. Kenapa dia sibuk nak berebut tudung ni dengan Nana?” Shaina membantah.

“Sebab ni tudung ibu yang ibu bagi kat aku!” bentak Shaila, lantas meragut tudung itu dari tangan si kakak. 

Dia segera melipatnya lantas disorokkan ke dalam pijamanya supaya tidak dapat direbut lagi oleh si kakak.

“Mama!” Shaina merengek.

“Nana, sekali ni aje, boleh tak mengalah aje dengan Lala? Mama letihlah. Tadi, bos mama dah marah mama sebab datang kerja lambat.”

“Tu salah Lala. Dia yang mengada-ngada nak pergi sekolah pakai baju Faiq sampai semua orang lambat.”

Shaila menjelir lidah pada si kakak. Tetapi kemudian si adik mengalihkan pandangan pada Fish dan dengan suara yang perlahan, berkata, “Sorry, mama.”

Fish mengangguk. Sekalipun keempat-empat anak tanggungannya itu sentiasa memeningkan kepala, sukar sekali untuk Fish kekalkan kemarahannya pada mereka dengan lama. Lagipun, banyak yang telah anak-anak itu hadapi tanpa perlu untuk dia menambah kesakitan dalam hidup mereka

“Mama sampai ofis pukul berapa pagi tadi?” soal Shaina.

“Pukul 9.30,” jawab Fish.

“Bukan tu memang waktu kerja mama ke?” 

“Ya, tapi hari Isnin mama kena masuk awal sebab ada morning discussion. Bila ada morning discussion, Joshua nak sarapan awal,” jelas Fish.

“Bos mama tu memang teruklah. Asyik nak marah orang aje. Kalau rasa nak sarapan, pergilah beli sendiri. Tak ada kaki ke? Hari tu, dia bising mama balik tepat pada waktunya. Hari ni, dia marah pulak bila mama pergi kerja tepat pada waktunya. Dia nak apa?” Shaina mencebik seolah-olah dia pula yang telah dimarahi.  

“Dia duduk mana? Biar Lala dengan Na… dengan Kak Nana pergi cari rumah dia. Nanti Lala calarkan kereta dia. Arop kata, kita boleh calarkan kereta dengan duit 50 sen. Abang dia pernah buat,” ujar Shaila.

Fish ketawa besar, sekalipun dia juga bimbang dengan buah fikiran gadis berusia 11 tahun itu yang sentiasa memilih balas dendam sebagai jawapan bagi semua masalah. 

Fish menarik lengan Shaila dengan lembut agar duduk di atas pangkuannya. Shaila menurut tanpa banyak soal. Sekalipun dia kasar, secara fizikalnya Shaila agak kecil bagi usianya manakala Fish pula agak tinggi lampai. Bila Fish memangkunya, gadis kecil itu terasa muat-muat dalam pelukan.    

“Tak payah buat semua tu. Memang mama buat salah pun, jadi memang patut mama kena marah. Jadi orang dewasa memang macam tu, Lala. Bukan semuanya boleh diselesaikan dengan calarkan kereta orang,” ujar Fish. 

Shaina mengengsot ke arah Fish lantas menyandarkan kepala di bahu si mama.

“Agaknya dulu ibu dan abah macam tu tak? Selalu kena marah dengan bos tak? Sebab dulu pun kita orang selalu buat perangai dan lambat pergi sekolah. Kadang-kadang ibu kena tunggu sampai Lala masuk kelas dulu, baru dia bertolak pergi kerja,” ujar Shaina.

“Ibu Nana dulu buat business sendiri. Tak ada siapa marah dia kalau dia lambat pergi kerja,” ujar Fish.

“Lala rindu ibu…” Suara Shaila perlahan. 

“Kita semua rindu ibu Lala. Tapi bila rindu tu, maksudnya kita kena doakan dia kat sana. Jadi lepas solat Isyak nanti, jangan lupa doakan ibu tau?” Fish mengusap-usap lembut rambut si kecil dalam pangkuannya. 

Shaila dan Shaina mengangguk.

Fish terbayang wajah si wanita yang dirindukan semua. Sudah lebih tiga tahun Akma meninggal dunia, tetapi tidak sedikit pun kesakitan dek kehilangannya pudar dalam hatinya, apatah lagi di hati tiga beradik itu. 

“Dah, pergi siap untuk solat isyak. Lepas tu, kita keluar hantar Kak Nana awak pergi study group dan terus pergi makan kat McDonald’s. Uncle Haidir kata, dia nak belanja,” ujar Fish.

“Yeay! Dah lama tak makan McD!” Shaila teruja.

Fish tersenyum. Rasa kasihan pun ada pada Shaila. Hendak makan di McDonald’s pun dia harus berkira-kira. Mujur ada Haidir yang sudi melayan mereka.

Dia harus lakukan sesuatu untuk berterima kasih kepada si teman.



“NAH, Happy Meal untuk Lala dan Faiq, bubur ayam untuk Aril dan double cheeseburger untuk mama dia orang yang mata macam panda,” ujar Haidir sambil meletakkan satu per satu hidangan McDonald’s di atas meja. 

Shaila dan Faiq segera mengambil kotak Happy Meal mereka lantas beralih ke arah ruang taman permainan untuk menikmati makanan mereka di sana. Si gadis mengoyakkan kotak itu dengan rakus, lantas mengeluarkan permainan percuma. Seketul figura Robin daripada animasi Teen Titans. Berbeza pula dengan Faiq, yang menguis-nguis kotak itu agar tidak merosakkannya sebelum figura Raven daripada animasi yang sama dikeluarkan.

“Alah, aku suka yang tu. Tukar, Iq!” Shaila terus merebut Raven daripada tangan Faiq.

“Okey,” balas Faiq, sekalipun pertukaran itu telah pun berlaku sebelum sempat dia bersetuju.

Haidir dan Fish saling berpandangan.

“Memang hari-hari pun macam tu,” ujar Fish sebelum sempat Haidir memberi sebarang komen.

“Dia tak kisah ke?” soal Haidir, memaksudkan perasaan Faiq setiap kali Shaila membulinya.

Fish geleng kepala.

“Dia kata dia suka Lala walaupun Lala layan dia macam tu, sebab bila kat sekolah, Lala protect dia. Budak-budak lain takut dengan Lala. Jadi, tak ada siapa boleh buli dia kat sekolah kecuali Lala.”

Fish turut mengerling ke arah Shairil untuk memastikan remaja lelaki itu tidak mengalami sebarang masalah. Shairil fokus menonton program di YouTube menggunakan telefon pintarnya. 

“Kadang-kadang, aku tertanya-tanya mana dia dapat perangai dia yang sweet sangat tu. Kakak aku tu memanglah baik, tapi taklah sebaik tu. Tak mungkin perangai baik dia tu datang daripada bapak dia yang setan tu,” ujar Fish. 

“Dia dapat daripada kaulah, bodoh. Kau tu yang sweet. Dia mewarisi perangai kau,” ujar Haidir sambil menunjal lembut kepala si teman dengan kentang goreng.

“Hei, berminyaklah, ngek!”

Haidir ketawa ketika si teman mengelap dahi dengan tisu, lantas menyambung makan. Fish cuba menyembunyikan senyuman sesekali mengerling pada si teman.

Sudah lebih 10 tahun Fish dan Haidir berkawan baik sejak kali pertama mereka bertemu di minggu orientasi universiti yang sama. Malah, apabila tragedi buruk yang menimpa kakaknya Farahani berlaku, diikuti pula dengan kemalangan yang meragut nyawa kakak angkatnya Akma, Haidir sanggup berpindah ke rumah ibunya supaya dekat dengan Fish di Kelana Jaya, dan menjalankan tugas sebagai ‘bapa tak rasmi’ budak-budak itu.

Adakalanya imaginasi Fish melayang, membayangkan mereka berdua sebagai pasangan suami isteri yang sah. Haidir si bapa yang penyayang, menghantar keempat-empat anak tanggungannya ke sekolah, manakala dia isteri yang mithali, yang menyiapkan sarapan buat keluarganya.

Tetapi Fish tidak pernah meluahkan apa yang dia rasa. Pertama sekali kerana dia rasa dia tidak cukup cantik dan menarik untuk menawan hati lelaki seperti Haidir.  Fish juga berasa rendah diri kerana dia sentiasa berpakaian selekeh, tidak seperti teman-teman wanita Haidir sebelum ini ataupun Haidir sendiri yang sentiasa tampak bergaya. Sejak dia membuat keputusan untuk memelihara keempat-empat tanggungannya, Fish korbankan keperluan dirinya sendiri. Dia tidak lagi membeli-belah di pusat pakaian berjenama. Baju tidurnya dibeli di pasar, manakala baju hariannya dan pakaian kerja dibeli di Tesco. Sambil membeli barang dapur, boleh beli baju sekali! Dia berhenti memakai alat solek melainkan krim BB dan gincu. Itu pun semata-mata kerana Joshua menegurnya tidak lama dahulu kerana sentiasa kelihatan pucat.

Siapalah dia kalau hendak berada di samping Haidir yang mampu menarik perhatian mana-mana wanita.

“Aku sebenarnya ajak kau dengan budak-budak ni makan kat sini sebab ada benda aku nak cakap,” ujar Haidir tiba-tiba. Wajahnya serius.

“Ada apa?”

Pemuda itu melarikan jari-jemarinya pada bekas minumannya.

“Aku mungkin akan ke Australia tahun depan,” ujar lelaki itu setelah agak lama membisu.

“Kau sambung study ke apa?” 

Haidir menggeleng.

“Bukan aku. Bakal isteri aku,” ujarnya.

Serentak itu, angan-angan Fish hancur berderai.

“Bakal isteri? Kau tak cakap pun kau nak kahwin? Kau kena tangkap basah ke?” Fish, cuba berjenaka.

Haidir tersenyum.

“Pilihan family, Fish. Mak aku berkenan sangat dengan anak kawan dia ni. Dah lama dah. Tapi sebelum ni aku tolak sebab aku rasa macam belum sampai waktu. Lagipun, masa tu aku baru aje break dengan Dayah.”

“Jadi sekarang dah sampai waktu ke?” soal Fish.

“Aku ni bukan makin muda, Fish.”

Kita ni, getus Fish. Haidir bagaikan terlupa yang mereka berdua sebaya. 

“Jadi, kau akan kahwin tahun depan dan pindah Australia ikut dia?” soal Fish lagi, cuba menahan getar dalam suara dan pergerakan tangannya. 

“Pindah Australia tahun depan. Kahwin akhir tahun ni.”

Fish segera bangkit. Haidir terkesima seketika melihat reaksi gadis itu.

“Sorry, aku nak pergi bilik air. Kau tengok-tengokkan budak dua ekor tu kejap ya?” pinta Fish dengan percubaan untuk mengeluarkan nada suara yang paling normal, lantas terus beredar sebelum sempat Haidir menjawab apa-apa.

Sebaik sahaja Fish melangkah masuk ke dalam tandas dan menutup pintunya, dia terus membenamkan muka ke tapak tangannya. Dia tidak sangka begitu sekali rasa hiba di hatinya mendengar berita itu, tetapi perasaan sedih yang mula berakar dalam dirinya tidak berjaya membohongi hatinya. Kini dia sedar, rasa yang dia pendam terhadap Haidir lebih dalam daripada yang dia akui, yang dia benarkan dirinya untuk akui.

Haidir nak kahwin dengan perempuan lain.

Fish rasa tak berupaya. Tidak ada apa yang boleh dilakukannya. Siapa dia untuk menghalang rakan karibnya itu daripada berumah tangga? Apa yang dia ada untuk ditawarkan kepada Haidir? Empat orang tanggungan dan hutang keliling pinggang? Seorang wanita selekeh yang tidak punya masa untuk dirinya sendiri apatah lagi untuk seorang suami? Kalau ya pun Haidir mahu terima dirinya, adakah keluarga Haidir mahukan Fish? Fish tahu ibu Haidir tidak berkenan si anak asyik ke sana ke mari membantu Fish dengan anak-anak tanggungannya. Tidak mungkin si ibu mahu mereka dalam keluarga mereka.

Fish cuba menenangkan perasaannya.

Telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi. Nama Haidir tertera di skrin. Fish berdehem membetulkan suara sebelum menjawab panggilan. 

“Kau okey ke? Anak kau dua orang ni dah start bergaduh apa benda entah, aku tak tahu nak leraikan macam mana,” ujar Haidir.

“Haa... kejap…”

Fish melihat refleksinya di cermin, lantas mencuci muka. Mujur dia dapat menahan diri daripada menangis. Fish cuba mengukir senyuman pada refleksinya sebelum dia keluar. Dari tandas, dia boleh dengar suara Shaila dan Faiq bergaduh.

“Apa hal ni?” soal Fish tanpa menoleh ke arah Haidir yang berdiri di sebelahnya.

“Lala makan burger kita…” Faiq cembeng.

“Dia makan separuh, lepas tu biar aje. Kita ingatkan dia dah tak nak,” balas Shaila.

“Tak ada mulut nak tanya dulu ke? Tak apa. Nanti mama beli baru. Tak payah menangis,” pujuk Fish.

“Mana boleh macam tu. Kalau beli untuk Iq, maksudnya dia dapat satu setengah burger dan dua toys. Mana adil!” Shaila membantah.

“Awak makan burger dia separuh, maksudnya awak pun makan satu setengah. Adillah tu. Mama beli burger aje, tak ada toys,” balas Fish. 

Dia beredar ke kaunter sebelum sempat Haidir mengatakan apa-apa. Usai membeli burger untuk Faiq, Fish kembali ke meja lantas mengemas barang-barangnya. Sendal kerusi roda Shairil dilepaskan, lalu dia mula menolaknya keluar daripada meja. Shairil akur tanpa bicara.

“Jom, balik. Dah pukul berapa ni. Esok nak sekolah,” Fish memanggil Shaila dan Faiq.

“Eh, biarlah dia orang main dulu. Awal lagi ni. Nana pun belum selesai study group lagi.” Haidir memeriksa jam di tangan.

“Tak apa, Dir. Biar budak-budak ni balik dulu. Kalau lambat sangat, esok dia orang buat perangai lagi, nanti aku lambat sampai ofis lagi. Nana tu nanti kejap lagi aku pergi jemput. Jomlah.”

Haidir berkerut dahi memandang Fish, tetapi akhirnya akur pada permintaan si teman sekalipun dia sedar Fish langsung tidak menjamah burgernya. Sementara gadis itu sibuk dengan anak-anaknya, Haidir mengambil burger keju Fish yang masih berbungkus, lalu dibawa bersamanya.



“KAU betul ke okey ni?” soal Haidir sebaik sahaja Fish menolak Shairil masuk ke dalam rumah.

Gadis itu menoleh, melihat si teman masih berdiri di luar pintu sambil bersandar di dinding. Dia memaksa senyuman lantas mengangguk perlahan.

“Sorrylah, tiba-tiba aje aku nak balik. Sebenarnya, bos aku call masa kat McD tadi. Dia suruh masuk awal lagi esok sebab dia ada meeting dengan investor.”

Fish terasa bangga pula dengan dirinya kerana berjaya mereka-reka cerita dan mempergunakan nama Joshua sebagai alasan. 

“Oh…” Haidir mengangguk-angguk. “Sebenarnya, apa bidang tugas kau ni? Kau dah kerja situ lama tapi aku masih tak faham konsep kerja kau.”

“Kau kena faham. Company tu kecik, memang sesuai dengan nama dia, Kuaci tu. Mungkin nama jawatan tu lain tapi bidang kerja sebenar tak tertumpu pada satu aje. Contohnya, budak ofis aku si Taufiq tu ketua editor, tapi dia tetap buat kerja wartawan, dia jugaklah jadi photographer. 

Samalah macam aku. Walaupun dalam kad aku tertulis administrative executive, aku buat macam-macam benda. Akulah HR, akulah mak cik cleaner, akulah receptionist, semualah. Tapi kalau kau tanya Joshua kerja aku apa, pada dia, aku ni macam semi-PA. Personal assistant tak rasmi,” jelas Fish.

“Patut banyak gaji kau dapat tu.”

Fish tersenyum.

“Aku dapat kerja ni pun dah cukup bagus, Dir. Bukan senang nak dapat kerja sekarang. At least aku tak payah kerja sampai jauh malam macam ofis sebelum ni.”

Sebelum ini, Fish bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Hampir setiap waktunya dipenuhi dengan urusan kerja, apatah lagi bila dia di bawah penyeliaan seorang pengurus workaholic yang sering mengganggu staf di luar waktu kerja. Dia langsung tidak punya masa untuk diluangkan bersama anak-anak tanggungannya. Sebaik sahaja dia mendapat kerja di Kuaci Media, Fish segera menghantar surat pemberhentian. 

Sekalipun Joshua sentiasa berang dan suka mencari kesalahannya, sekurang-kurangnya majikannya yang satu itu tidak pernah mengganggunya di luar waktu kerja atau meminta dia datang pada hujung minggu. 

“Kau pergilah masuk tidur, Fish. Biar aku jemput Nana,” ujar Haidir.

“Eh, tak payahlah. Dahlah kau jemput budak-budak ni siang tadi, lepas tu belanja McD pulak. Takkan jemput Nana pun kau jugak.”

“Kau dah keletihan sepanjang hari ni, Fish. Makan pun tak sempat.” 

Lelaki itu meraba-raba beg selempangnya sebelum mengeluarkan burger Fish yang tidak dijamah gadis itu tadi.

“Ni, burger kau. Busy sangat buat benda lain sampai makanan sendiri pun tak berjamah.”

Fish tenung burger dalam tangan Haidir sebelum mengambilnya. Ditahan emosi yang mula berakar dalam diri.

“Aku tahu kau sayang budak-budak ni. Tapi kau pun kena jaga diri jugak. Nanti bila aku dah tak ada macam mana? Siapa nak tolong simpankan burger kau? You have to take care of yourself, Fish,” ujar Haidir dengan suara yang lembut.

Fish mengangguk.

“Kau rehat aje ya? Biar aku pergi jemput Nana.”

Fish mengangguk lagi.

Haidir menghadiahkan senyuman yang paling manis sebelum meminta diri untuk beredar. Fish ketap bibir melihat Haidir melangkah masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin lalu berundur keluar dari kawasan rumahnya.

Dia menutup pintu, menanggalkan tudung lantas berbaring di atas sofa di ruang tamu, sofa yang sudah dialih Shaila dari menghadap pintu cermin dan kini berada di tengah-tengah ruang tamu membelakangkan televisyen. Tangannya masih memegang burger yang berbungkus itu ketika dia tertidur dalam kekecewaan.










































Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.