Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,337
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
1

JARI-JEMARI diketuk-ketuk di meja, sementara matanya melirik ke arah jam yang dipakai di tangan kanan. Sudah pukul 9.25 pagi. Kopi dan salmon quiche yang ditunggu masih belum tersedia, akhbar masih belum diletak di atas meja dan sekejap lagi staf bahagian editorial akan masuk untuk memulakan mesyuarat.

Where are you, Fara…

Dia cuba menahan kemarahan. Kata ahli terapi yang ditemuinya sebelum ini (walaupun ia cuma satu temujanji), dia harus belajar untuk let go, untuk tidak cuba mengawal semuanya. 

Mungkin dia patut gunakan duit yang dilabur untuk berjumpa ahli terapi itu untuk mengupah eksekutif pentadbiran merangkap pembantu peribadi yang lebih baik. Buat apa dia membayar gaji perempuan yang seorang itu kalau si dia sukar menepati masa?

“Josh, boleh start sekarang?” Kepala Taufiq terjengul di pintu.

“Not yet,” balas Joshua. Matanya masih tidak beralih daripada jam di tangan.

“Okey.”

Tepat jam 9.30 pagi, pintu utama dibuka. 

Ketika syarikat kecil itu baru dibuka dan masih dalam proses renovasi, Joshua sengaja memilih untuk meletakkan biliknya dekat dengan pintu utama, agar dia boleh lihat siapa yang masuk dan keluar, siapa yang sampai cepat dan siapa yang lambat, dan siapa yang balik awal dan lambat. Buat masa ini, rekod keluar, rekod sampai lambat dan rekod balik awal semuanya dipegang oleh wanita yang sama, iaitu si dia yang bernama Naila Farafisha.

Dia menggajikan gadis yang dipanggil Fara itu tahun lalu dalam keadaan terdesak kerana pembantu peribadinya yang ketiga telah berhenti dalam tempoh 24 jam. Dia tidak membaca pun resume gadis itu, yang sebenarnya datang untuk ditemuduga sebagai pembantu editor. Gaji pembantu editor tidak mahal. Joshua kata, “I will pay you double if you be my new administrative executive” dan gadis itu segera mengangguk bersetuju. Semudah itu dia mendapatkan pembantu peribadi yang baharu.

Joshua hanya memerhatikan aksi gadis itu. Hari ini, gadis itu muncul dengan tudung yang tak berlipat, kemeja hitam (kalau difikirkan, hampir kebanyakan pakaian gadis itu berwarna gelap) dan seluar yang agak berkedut, seolah-olah dia sudah bekerja seharian dan bukannya baru sampai. Surat khabar Joshua bergulung di celah ketiaknya, sebelah tangan memegang bekas kopi Gloria Jeans, sementara tangan yang satu lagi memegang beg kertas berisi salmon quiche. Beg tangannya yang tidak berjenama diselempang di bahu. Tidak ada solekan di muka melainkan krim BB dan secalit gincu berwarna neutral.

Si gadis baru hendak membelok ke kiri menuju ke pantri apabila Joshua memanggil namanya.

“Mana you nak pergi tu? I need my coffee now.”

Si gadis menuding ke arah pantri dengan tangannya yang masih memegang bekas kopi Joshua, mengisyaratkan dengan pergerakan tangannya yang satu lagi bahawa dia mahu menghidangkan sarapan Joshua dengan lebih teratur. 

Joshua menggeleng, lantas memberi isyarat kepada pembantu peribadi merangkap eksekutif pentadbirannya itu untuk masuk ke dalam pejabatnya.

“I needed my breakfast half an hour ago.”      

“Sorry, Josh.”

“Tinggalkan aje kat situ.” Lelaki itu memuncung pada meja kerjanya.

Si gadis melakukan seperti yang diminta. Kopi Joshua diletakkan di bahagian kiri meja, jauh daripada komputer riba. Salmon quiche (mujur pekerja kiosk bungkus sekali dengan pinggan plastik), garpu dan pisau plastik diletakkan di bahagian kanan meja. Surat khabar yang dikepit di celah ketiak dibuka lantas dipisahkan setiap bahagiannya. Berita utama, berita politik, berita ekonomi, bahagian hiburan, bahagian sukan. Semuanya disusun di hadapan Joshua. 

“Fara, dah berapa lama you kerja kat sini?” soal Joshua, yang hanya memerhati kerja gadis itu.

“Setahun dua bulan.”

“By now you should know I come early on Monday and I needed all these before the morning meeting, kan?”

Si gadis mengangguk.

“Jadi?” Joshua menunggu alasan.

“Sorry, Josh. I akan cuba tak lambat lagi.” Suaranya perlahan.

“Stupid. Slow and stupid.” Joshua mengeluh. “Just go.”

Dia mahu gadis itu memberi alasan supaya dia boleh menengkingnya dan berkata, “Jangan suka bagi alasan!” tetapi pembantunya itu tidak pernah memberi sebarang alasan yang selalu digunakan oleh para pekerja lain. Dia tidak pernah kata, “Jalan jam” atau “Sakit perut” atau “Kereta rosak tengah jalan”. Dia cuma akan meminta maaf dan menerima apa sahaja kata-kata kesat yang Joshua akan hamburkan padanya.

Si gadis mengangguk lantas kembali ke meja kerjanya. Mejanya ditempatkan di luar pejabat Joshua yang dipisahkan dengan dinding cermin. Dengan cara itu, mudah untuk Joshua memanggilnya bila lelaki itu memerlukan apa-apa. Joshua hanya perlu mengetuk cermin setiap kali dia mahukan sesuatu. Ia juga terletak berhadapan dengan pintu utama, jadi sedikit sebanyak dia juga boleh dikatakan bekerja sebagai penyambut tetamu tidak rasmi syarikat itu.  

Joshua sekali lagi memerhatikan tingkah laku gadis itu. Beg tangan diletakkan di bawah meja. Komputer dihidupkan sebelum dia melabuhkan punggung di kerusi. Kemudian, si gadis mengeluh panjang seolah-olah dia sudah bekerja selama berjam-jam sedangkan dia baru tiba di pejabat.

“Sekarang boleh?” Taufiq muncul lagi di depan pintu pejabatnya. 

Perhatian Joshua beralih pada ketua editornya itu. Dia mengangguk, membetulkan kedudukannya lantas menghirup Americano yang dipesannya sementara menunggu para staf bahagian editorial mengambil tempat di ruang mesyuarat. Salmon quiche di atas pinggan plastik terasa masih panas. 

Sekurang-kurangnya, Fara ingat untuk suruh pekerja kiosk panaskan dulu sarapan aku! Getusnya.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.