Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
108,400
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 17

SUARA bingit di dalam jeriji besi itu sedikit menganggu pemuda yang sedang bersandar di belakang dinding batu yang kasar. Bau hancing yang kurang menyenangkan juga membuatkan kepalanya terasa sedikit pusing. Berkerut-kerut dahi Hud Aidan cuba untuk menyabarkan hatinya yang bergelegak panas. Sungguh, dia kurang selesa. Sesekali, dia memberikan pandangan tajam ke arah sekumpulan lelaki yang sedang berbual seolah-olah mereka seronok berada di dalam lokap sementara menunggu keputusan perbicaraan dilakukan oleh pihak mahkamah.

Namun, memikirkan keputusannya yang lebih memilih untuk menjatuhkan reputasi sendiri dengan memilih masuk ke dalam lokap berbanding membayar ganti rugi membuatkan segaris senyuman sinis terukir di bibirnya. Di sini, dia tahu ada ancaman yang sedang menantinya. Nanti bila dia masuk ke dalam penjara dia bertambah yakin bahawa ada figura yang diberikan tugas untuk menghapuskan riwayat hidupnya. Manakan tidak, saat ini Hud merasakan hidupnya tidak lagi aman!

Demi Naurah Afrina, dia sudah bertindak gila. Dia seolah-olah kembali kepada Hud Aidan yang hanya mahukan kematian seperti lima tahun yang lalu. Nyawa Afrina sedang berada dalam keadaan bahaya kerana dirinya. Hud tidak mampu berfikir rasional lagi setelah kejadian Afrina hampir menjadi mangsa tembakan musuh misteri. Kalau dengan kematiannya ini akan membebaskan Afrina, Hud sanggup. Kerana mereka mengancam nyawa Afrina hanya sebagai titik kelemahannya sahaja.

KREK!

Bunyi jeriji dibuka mematikan fikiran konyol Hud. Kelihatan, seorang pegawai polis membuka jeriji dan tiga orang lelaki yang kelihatan bengis masuk ke dalam sel sementara itu. Semakin sesak dirasakan saat penghuni sel semakin bertambah sehingga Hud terpaksa mengengsot bersandar di penjuru dinding. Keluhan berat terlepas dari bibirnya sebelum matanya dipejam rapat.

Tiga orang lelaki yang baru masuk ke dalam sel sudah melilau mencari seseorang. Arahan yang diberikan oleh ketua langsung ditunaikan. Mereka hanya berdiri membelakangi pintu sel seakan-akan mereka itu penjaga sel yang tak berbayar. Penjaga sel agar tiada siapa yang akan lari daripada kekejaman mereka yang sengaja membuat jenayah untuk masuk ke dalam. Semuanya atas arahan ketua mereka sahaja.

Tatkala laungan azan Subuh kedengaran, tatkala itu pandangan salah seorang daripada mereka yang berbadan tegap dengan potongan gaya rambut mohawk tertancap ke arah seorang pemuda yang sedang bertayamum. Perlahan-lahan, dia menghampiri ingin melihat wajah itu dengan lebih dekat. Menyedari dia sedang diperhatikan, Hud mengalihkan pandangannya ke figura itu.

"Hud Aidan?" soal si lelaki. Ada nada dingin yang terbias di sebalik suaranya. Wajahnya yang bengis dengan sorotan mata yang tajam umpama seekor helang tertancap di kornea mata Hud Aidan.

Namun, Hud tidak mengendahkan soalan itu. Dia terus mencapai surat khabar yang dijadikan sebagai alas untuk dia solat selama dua hari ini seraya dibentangkan mengikut arah kiblat. Dalam keadaan lokap yang kotor, Hud tiada pilihan lain. Apa yang dia tahu, sebelum kematian menjemputnya dia mahu mengabadikan diri dengan yang Maha Esa.

Tiga orang lelaki sudah saling berpandangan. Ada anggukkan daripada si lelaki berambut panjang paras bahu untuk memulakan aksi mereka. Itu peluang yang ada apabila mangsa sudah khusyuk. Sesekali, mereka menjenguk ke arah luar sel meninjau kalau-kalau ada pegawai yang sedang berada di luar. Melihat 'lampu hijau' berpihak kepada mereka, si lelaki berambut mohawk lantas meluru ke arah Hud sebelum tendangannya ditujahkan ke pinggang Hud yang sedang bersujud.

Tak semena-mena, tubuh Hud terhempas ke belakang dinding. Sakitnya bukan kepalang! Dahinya sudah berkerut menahan sakit. Namun, Hud kembali bersujud untuk rakaat pertama. Sekali lagi solatnya diganggu apabila kali ini, rambutnya pula dijambak kuat dari belakang sehingga dia terbangun dari bersujud. Tak semena-mena, Hud diserang hendap lagi dengan tendangan lutut yang dihayunkan ke tulang rusuknya bertubi-tubi oleh si lelaki berambut panjang!

Akibatnya, Hud hampir melorot setelah rambutnya dilepaskan seraya tertunduk menahan sakit yang semakin mencengkam tulang temulangnya. Nafasnya terasa sempit di dada apabila tendangan itu seakan-akan mematahkan tulang rusuknya. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit yang semakin mencengkam. Apabila dia mendongak, terpampang tiga figura yang sudah berdiri di hadapannya dengan wajah yang sinis. Seakan-akan mengejek dirinya yang tidak melawan.

"Kau orang... nak bu... nuh..."

Tak semena-mena, Hud kematian kata saat bajunya dicengkam sebelum tubuhnya yang semakin longlai ditarik menghadap tiga figura itu. Segaris senyuman sinis terukir di bibirnya apabila renungan tajam si lelaki berambut mohawk menyapa kornea matanya.

"Jahanam! Kau suka kena belasah macam ni ke? Baik! Ni ada kiriman rasmi daripada bos kita orang!" jerkah lelaki itu seraya menghayunkan buku limanya ke rusuk Hud Aidan bertubi-tubi. Melepaskan amarah setelah Hud memberikan senyuman menjengkelkan kepadanya.

Kali ini, Hud sudah melorot di belakang dinding apabila tumbukan yang tajam itu sudah meragut seluruh kekuatannya. Hud terbatuk-batuk sehingga darah terpercik keluar dari mulutnya. Dengan pandangan yang samar-samar, dia melihat ada buku lima yang sedang digenggam oleh si lelaki berambut mohawk. Patutlah! Tumbukan kali ini dirasakan begitu tajam dan seakan-akan merodok isi perutnya. Mereka benar-benar ingin membunuhnya!

"Kau ingat kau masuk sini, kau akan aman? Huh! Ketua aku tak akan sesekali buat hidup kau aman walau kau nak sembunyi kat mana sekali pun!" jerkah si lelaki berkepala botak lantas menendang kuat wajah Hud sehingga pemuda itu terlentang di atas lantai. Pandangan Hud semakin berpinar-pinar. Kudratnya sudah hilang untuk terus bertahan. Bau hanyir darah membuatkan tekaknya berasa loya. Maka, penyeksaan buat seorang Hud Aidan pun ditujahkan ke tubuhnya tanpa henti.

Dia seakan-akan sebiji bola apabila tubuhnya ditendang dan dipijak bertubi-tubi oleh orang suruhan musuh misteri. Bahkan, sesekali wajahnya yang sudah dibasahi dengan darah ditumbuk bertubi-tubi. Hud hanya mampu mengerekot dan terbatuk-batuk saat tubuhnya terus ditujah dengan tendangan tanpa henti. Dia tidak akan melawan. Ini keputusannya. Kalau kematiannya ini akan membebaskan Afrina, Hud sanggup. Walau hanya kebencian yang dilemparkan kepadanya juga Hud Aidan sanggup. Asalkan gadis itu selamat dari terus menjadi mangsa!

RUMAH agam yang tersergam di hadapannya membuatkan gadis itu mengeluh berat. Sebaik mungkin, Afrina cuba mengawal dirinya dari melayan emosi. Ini hal pekerjaan jadi dia mahu bertindak profesional walaupun dia tidak mahu melibatkan diri dalam keluarga Hud Aidan selepas insiden nyawanya terancam bahaya.

Pagi tadi, usai sahaja Afrina melangkah masuk ke dalam Atma Home Nursing, dia terus diberikan pesanan ringkas daripada Khadijah yang telah menggantikannya. Bahkan, pesanan ringkas itu mencetuskan perbalahan di antara dua orang jururawat.

"Datin Khalida nak kau masuk hari ni. Amboi... bukan main lagi kan kau guna-gunakan datin tu sampai dia nak jumpa kau. Aku tengok anak dia si Encik Hud tu pun asyik tanya pasal kau saja. Agaklah Afrina kalau nak main cinta dengan majikan sendiri. Tak sangka kau ni pun jenis menggedik dengan anak orang berada," ujar Khadijah dengan nada yang sinis. Dia mencebik geram apabila Afrina dipanggil semula ke rumah Datin Khalida. Tak pasal-pasal dia tak dapat berdepan dengan Zanif, kekasih gelapnya.

Afrina sekadar tersenyum sinis sambil mencapai beg berisi ubat-ubatan yang akan dibawa ke rumah pesakit. "Kau yang tak pandai ambil hati dia nak buat macam mana, kan? Kau cuma tahu ambil hati menantu dia yang miang tu saja. Ni aku nak tanya kau, dah berapa kali kau ambil kesempatan bila Sherina tak ada kat rumah?"

Tak semena-mena, wajah Khadijah jadi kelat dengan soalan maut Afrina. Dia menghempas pintu lokernya seraya berdiri bertentangan dengan pesaingnya itu. Dengan kening kiri yang dijongketkan dan tangan kanan mencekak pinggang, dia berdiri bertentangan dengan Afrina.

"Kau tuduh aku..."

"Aku tak tuduh kau. Tapi benda betullah kan? Aku tahu kau tu skandal Zanif sebab tu kau tak suka bila datin panggil aku kerja dengan dia semula. Well, aku masih ingat bila kau bukan main teruja lagi bila aku bagi kau ganti tempat aku memandangkan tak ada yang berani nak kerja dengan Datin Khalida. Tu dah cukup buktikan pada aku yang kau ada hubungan sulit dengan lelaki miang itu!" pintas Afrina. Riak wajahnya yang sinis membuatkan Khadijah berasa jengkel lantas tangannya dinaikkan ingin menampar pipi Afrina.

Malangnya, Afrina lebih tangkas mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan Khadijah dengan kuat sehingga kukunya mencengkam pergelangan tangan gadis itu. Sorotan mata mereka yang tajam seolah-olah membuatkan suasana menjadi dingin. Berkerut dahi Khadijah apabila pergelangan tangannya seolah-olah dipulas kuat.

"Sakit? Itu akibatnya kalau berani nak naik tangan dengan misi Naurah Afrina ye misi Khadijah. Kau jangan nak main-main dan nak sebar fitnah pada aku! Antara aku dengan Encik Hud tak ada apa-apa melainkan hubungan antara majikan dengan pekerja!" tegas Afrina dalam nada yang berbisik seraya melepaskan pergelangan tangan Khadijah dengan kasar. Senyuman sinis terukir di bibirnya melihat wajah Khadijah yang semakin kelat. Puas!

Itu kisah pagi tadi. Kini dia berhadapan dengan seorang lagi perempuan yang sering mencabar kesabarannya. Datin Khalida yang sering sahaja mencacinya sesuka hati. Namun, Afrina kaget apabila tiada cacian yang dilontarkan kepadanya melainkan soalan cepumas yang membuatkan Afrina diam seribu bahasa.

"Afrina, kau dengar tak mama tanya ni? Mana abang Hud pergi? Kenapa dia arahkan kau untuk jaga Dina? Tu anak aku! Mana boleh sesuka hati dia nak suruh kau jaga," suara Sherina yang sedang memicit bahu ibunya kedengaran. Resah hatinya melihat ibunya yang demam dengan kehilangan abang kesayangannya yang hanya memberikan pesanan agar dia menjaga diri. Dia takut andai Hud menghilangkan diri lagi selepas kejadian Hud dibuang keluarga dulu. Hud itu pelindungnya!

"Maaf datin. Saya tak tahu Encik Hud ada kat mana sekarang. Saya cuma diberikan tugas dan upah untuk saya jaga Dina. Dia risau benda buruk jadi dengan Dina bila dia tiada kat rumahni," jawab Afrina sambil memandang wajah Datin Khalida yang sedang terbaring lesu. Lagi lagi dia dikaitkan dengan Hud Aidan.

"Aku tak sedap hati. Tolonglah Afrina, bagi tahu aku mana Hud pergi? Aku hubungi dia... dia langsung tak jawab. Semalam aku mimpi buruk pasal dia. Naluri aku sebagai ibu kuat mengatakan dia dalam bahaya!" lirih Datin Khalida sambil mengenggam tangan Afrina. Tiada lagi ego melainkan sebuah rayuan agar Afrina berpihak kepadanya. Dia tahu, Hud seakan-akan akrab dengan Afrina apabila anaknya itu sering mengusik Afrina setiap kali Hud menemaninya mendapatkan rawatan daripada Afrina.

Afrina buntu melihat wajah cemas Datin Khalida dan Sherina. Tambahan pula genggaman tangan Datin Khalida yang semakin kuat membuatkan Afrina kelu untuk berbicara. Bahkan dia kini bagaikan pesalah yang sedang disoal siasat tanpa dia sendiri tahu jawapannya.

"Maaf datin. Saya memang tak tahu Encik Hud ada kat mana sekarang ni. Beginilah, apa kata Sherina tolong hubungi Ibrahim memandangkan Ibrahim rapat dengan Encik Hud. Kalau tanya saya pun, sungguh saya tak tahu!" tegas Afrina. Dengan harapan agar dua beranak itu mempercayai kata-katanya. Itu sahaja yang terzahir di bibir Afrina. Berterus terang itu lebih baik daripada mendiamkan diri.

Keluhan berat terlepas di bibir saat jawapan Afrina semakin mengecewakan. Sherina meraup wajahnya kasar dengan arahan yang diberikan oleh jururawat muda itu. Mati dia dikerjakan oleh Zanif andai dia menghubungi Ibrahim! Suaminya itu jenis cemburu buta. Tak semena-mena, Sherina semakin tertekan. Tiba-tiba, tepukan di bahunya membuatkan Sherina tersentak. Dia menjatuhkan tangannya dan memandang wajah sugul ibunya.

"Mama rehatlah dulu. Mama demam ni. Jangan fikir banyak sangat. Nanti Sherin tanyakan pasal abang Hud dekat Rahim. Mama tidurlah dulu ya," pujuk Sherina sambil mengucup lembut dahi ibunya. Apabila pandangan Afrina dan Sherina saling bersatu, dengan isyarat mulut Sherina memberikan arahan kepada Afrina.

'Tolong aku!'

Ketika ini, Afrina hanya mampu mengangguk. Entah mengapa terzahir sikap simpati kepada dua wanita kesayangan Hud Aidan itu. Sebahagian dari hati Afrina pula seakan-akan mengejek apabila dia mengambil berat akan perihal keluarga Hud Aidan. Manakan tidak, kejadian 14 tahun yang lalu sudah meninggalkan parut di hati Afrina namun gadis itu masih mahu membantu keluarga lelaki yang menjadi punca dia kemurungan dahulu!

"Aku nak minta tolong kau hubungi Rahim. Tanyakan pasal abang, boleh? Aku takut Zanif tangkap aku call Rahim sebab dia tu bila-bila masa saja boleh bertindak gila! Aku tak nak kena marah dengan laki aku," arah Sherina sambil mengerutkan dahinya sebaik sahaja dia dan Afrina keluar dari kamar ibunya.

"Saya tak faham kenapa Puan Sherina dan mak puan beria-ia libatkan saya dalam hal kehilangan Encik Hud ni. Saya tak ada kena mengena. Ni urusan keluarga..."

"Sebab abang nampak rapat dengan kau. Abang nampak sukakan kau dan aku nampak cara dia layan Farisha berbeza sangat dengan kau, Afrina! Sebab tulah kita orang rasa kau tahu abang ada kat mana. Maybe dia ada rahasiakan apa-apa daripada pengetahuan kami? Kau tahu apa jadi dengan abang maybe?" pintas Sherina dengan nada suara yang semakin terdesak. Itulah yang dia lihat selama ini. Setiap usikan Hud Aidan kepada Afrina seolah-olah menunjukkan lelaki itu menyukai gadis itu. Sherina perasankan hal itu bila mana layanan dingin sahaja yang diberikan oleh Hud kepada Farisha. Bahkan, Hud juga tidak pernah mengusik Khadijah seperti yang dilakukan buat Afrina.

Afrina mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Sherina saat kata-kata itu membuatkan dia tersentak. Aneh sekali rasanya bila ramai yang mempersoalkan mengenai perasaan Hud kepadanya. Mustahil! Lantas, keluhan berat terlepas dari bibirnya. Saat ini pula dia menjadi target utama di atas kehilangan Hud Aidan. Ya ALLAH, Afrina rasa dia mahu lari agar dia tidak terlibat dalam masalah keluarga ini.

"Afrina..."

Deringan telefon pintar Afrina kedengaran. Perbualan cemas Afrina dan Sherina terbantut apabila Afrina mendapat panggilan daripada adiknya. Lantas, Afrina menyentuh punat hijau menjawab panggilan.

"Akak tolong Isha! Isha tak tahu nak buat macam mana dah ni. Tayar kereta Isya boleh pula pancit kat parking fakulti. Isha call abah tak jawab-jawab pula!" suara Arisha yang nyaring menambahkan kekusutan di benak fikiran Afrina. Ini lagi satu anak manja yang jarang berfikiran kritis walapun umur sudah menginjak ke usia 24 tahun!

"Itulah! Akak suruh Isha belajar tukar tayar asyik cakap tu kerja orang lelaki. Haish! Duduk sana diam-diam dan hantar location!" bentak Afrina seraya menyentuh punat merah.

"Okey! Nanti aku tanya Rahim pasal abang kau tu. Sekarang, tugas aku dah selesai kat rumah ni. Nanti apa-apa aku inform dekat kau," tegas Afrina seraya berpamit pergi. Tiada sudah panggilan formal yang diujarkan ketika emosi lebih menguasai Afrina berbanding bertindak profesional. Manakan tidak, tugasnya hanya sebagai seorang jururawat bukannya penyiasat!

SEBAIK sahaja kornea matanya tertancap ke laman wajah seorang gadis, Ibrahim lantas meluru ke arah misi bernama Naurah Afrina yang seakan-akan terkial mencari sesuatu di kawasan kotak parkir fakulti undang-undang di UKM.

"Hey, awak buat apa kat sini?"

Terhinggut bahu Afrina saat dia disergah dari belakang. Apabila dia kalih, dahinya serta merta berkerut memandang figura Ibrahim. Matanya kembali melilau di sekeliling kotak parkir sebelum kembali memandang wajah pemuda bertopi di hadapannya.

"Something fishy here," ujar Afrina sambil mengenggam tangannya.

"Apa dia?"

"Jangan cakap budak-budak tu dah kenakan kita. Dari tadi saya cari adik saya tak jumpa-jumpa pun," tebak Afrina. Nada suaranya kedengaran semakin tegas di pendengaran Ibrahim.

Ibrahim tersenyum kecil melihat raut wajah Afrina yang tegang. "Nampaknya memang dia orang saja kut nak buat kita terserempak kat sini. Saya sepatutnya ambil adik saya dari kelas tapi bila saya sampai sini katanya dah balik dengan Arisha," kata Ibrahim seraya menggelengkan kepalanya. Tidak menyangka nasibnya sama dengan Afrina. Dikenakan oleh adik sendiri.

Sebaik sahaja kata-kata itu dituturkan, Afrina lantas tertawa sinis sambil menggaru pelipisnya yang tak gatal. Dinding hatinya sudah melepaskan berbakul sumpah seranah buat Arisha. Lantas, nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Sabar. Dia perlu sabar.

"Maaf, Rahim. Adik saya dah pedajal kita..."

"Tak ada apalah. Saya okey. Lagi pun bukan sekali dia orang kenakan kita. Nampak sangat dia orang betul-betul nak satukan kita, kan?" pintas Ibrahim sambil ketawa kecil. Kalau Afrina marah, hati Ibrahim tercuit lucu dengan setiap tingkah adik-adik mereka yang sentiasa cuba menyatukan mereka.

Tambah berkerut dahi Afrina dengan omongan Ibrahim. Dia punyalah rasa bersalah dan Ibrahim boleh pula berlagak seolah-olah lelaki itu menyukai apa yang dilakukan oleh adik-adik bertuah mereka itu.

"Awak dah makan? Kalau belum, jom kita makan tengah hari sekali," ajak Ibrahim.

"Belum. Tapi saya dah bawa bekal dari rumah. Saya minta diri dululah ye. Lagi pun masa rehat saya tak banyakni," kata Afrina seraya berpamit pergi. Dalam keadaan dia tertekan, dia tidak mampu berhadapan dengan Ibrahim. Takut kalau-kalau dia mengujarkan sesuatu yang menyakitkan.

Namun, langkahnya tiba-tiba terbejat tatkala teringat akan salah satu perkara yang menyumbangkan kepada tekanannya. Hud Aidan!

"Oh ya. Awak tahu tak mana Hud hilang? Family dia dah aim saya tapi saya sendiri tak tahu dia ada kat mana sekarang ni," kata Afrina setelah berpaling memandang wajah Ibrahim.

Tak semena-mena, riak wajah Ibrahim bertukar keruh. Tiada lagi wajah manis yang terbias di sebalik wajah lelaki bermata sepet itu. Ditelan mati emak diluah mati bapa! Sungguh, sukar untuk dia sampaikan ke mana menghilangnya Hud Aidan. Risau kalau persahabatannya dan Hud renggang kerana ini amanah yang diberikan oleh Hud kepadanya.

"Ibrahim! Hud kat mana?" soal Afrina dengan julat suara yang semakin meninggi. Kenapalah hari ini semua orang seolah-olah mencabar kesabarannya?

"Dia ada kat hospital! Lepas dia kena serang," jawab Ibrahim serta merta. Kaget apabila suara Afrina naik seoktaf. Inilah kali pertama dia berhadapan dengan kemarahan seorang Afrina.

Tiba-tiba, terimbas di ingatan Ibrahim detik dia mengetahui Hud dibelasah teruk di dalam sel sementara. Sebagai sahabat, dia tahu Hud Aidan bukan jenis yang mudah disentuh. Tapi kali ini Hud memang gila. Gila kerana gadis bernama Naurah Afrina!

"Ni bukan Hud Aidan yang aku kenal. Kenapa dengan kau ni? Kau dah mengalah? Kau dah gila ke biarkan dia orang belasah kau sampai macam ni sekali! Kenapa? Kau nak mati..."

"Kalau kematian aku ni boleh puaskan dia orang, kenapa tidak? Kalau kematian aku ni boleh kembalikan keamanan dalam hidup Afrina dan tebus semua kesalahan aku pada dia, aku sanggup! Aku sanggup mati kalau kematian aku ni boleh selamatkan nyawa Afrina yang tak bersalah! Sebenci mana sekali pun dia pada aku, aku akan tetap lindungi Naurah Afrina selagi aku masih bernyawa!" jerkah Hud sebelum menolak kasar tubuh Ibrahim yang sedang mencengkam bajunya. Nafasnya turun naik melepaskan kemarahan apabila Ibrahim asyik memprovokasi dengan apa yang sedang dia lakukan demi seorang Naurah Afrina.

"Ibrahim! Awak dengar tak saya cakap apa?" jerkah Afrina lagi. Detak jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Kaget dengan berita yang disampaikan oleh Ibrahim. Bagaimana dia mahu memberitakan kepada Datin Khalida yang menghidap penyakit jantung? Buntu! Emosi marah membuatkan Afrina buntu.

"Awak cakap apa tadi?"

"Hantarkan saya ke sana sebelum marah saya ni bertambah! Awak dengan kawan awak ni dua-dua menyesakkan kepala saya tahu tak!" marah Afrina sambil mengetap giginya. Wajahnya semakin membahang kemerahan akibat kemarahan yang semakin memuncak.

Saat itu juga, Ibrahim mula ditujah dengan persoalan. Mengapa dengan Afrina? Ada sedikit kerisauan terbias di sebalik wajah itu. Adakah Afrina juga mempunyai perasaan yang sama seperti Hud Aidan? Kalau benar, itu bukanlah berita baik buat Ibrahim yang mula tertarik dengan gadis itu.

"KAU..."

Kata-kata pemuda yang sedang bersandar di belakang kepala katil terbejat tatkala wajah manis itu terpampang di depan matanya. Bahkan, gadis itu meluru ke arahnya bersama dengan tangan yang sudah dihayun ingin menampar wajahnya yang memar.

Keluhan berat terlepas di bibir apabila akal Afrina menegahnya untuk mencederakan Hud. Hanya pandangan yang terbias dengan kemarahan sahaja dilemparkan kepada pemuda yang kelihatan kaget dengan kedatangannya.

Dia tidak tega. Melihat wajah Hud yang dipenuhi dengan kesan lebam membuatkan akal Afrina membejatkan perlakuannya. Hud benar-benar kelihatan teruk di pandangan Afrina. Dengan tangan kanan berbalut dengan kain anduh, mata kiri yang ditutup dengan kesan lebam membuatkan Afrina merasakan di hadapannya ini bukan lagi Hud Aidan yang gagah melawan musuh.

"Kenapa kau tak melawan? Kenapa kau sanggup jatuhkan reputasi kau? Kenapa kau nak berkorban untuk aku? Kenapa kau sanggup mati untuk aku? Kenapa!" soal Afrina bertubi-tubi sebelum suaranya bergema di dalam wad privasi yang ditempatkan oleh Hud Aidan. Kemarahan sudah menguasai dirinya 
tika ini. Tiada lagi ketenangan yang mampu dirasakan.

Hud semakin kaget dengan soalan yang ditujahkan oleh Afrina. Raut wajah yang disimbah dengan kemarahan itu ditatap dalam-dalam. Ibrahim pasti sudah membongkarkan semuanya. Jadi, Hud tiada asbab untuk terus berahasia lagi.

"Sebab aku... aku nak tebus... kesalaha n aku pada kau. Kesalahan sebab aku... kau terpaksa tempuhi bahaya. Kesalahan aku dah lukakan kau. Kesalahan... 14 tahun yang lalu, Naurah Afrina," jawab Hud dengan nada suara yang lembut. Menenangkan. Seolah-olah dia baru sahaja mengungkapkan perasaannya buat gadis itu. Walaupun yang tinggal hanyalah sebuah penyesalan.

Afrina kelu. Dia kematian diksi. Tiada kata yang mampu diucapkan lagi. Hatinya tiba-tiba jadi sebu dengan jawapan daripada Hud. Lebih-lebih lagi apabila Hud mengujarkan perkara 14 tahun yang lalu. Entah mengapa kata-kata itu meruntunkan hatinya yang diserang amarah.

"Aku masih ingat siapa kau, Naurah Afrina. Aku faham kenapa kau bencikan aku. Tapi aku nak kau tahu, aku cuma nak tebus kesalahan aku pada kau. Dengan melindungi kau," tambah Hud lagi bersama segaris senyuman terukir di bibirnya yang merekah.

'Dan aku sedar yang aku dah mula sayangkan kau, Naurah Afrina.' Kata-kata itu hanya mampu dilafazkan melalui dinding hati Hud Aidan sahaja. Dia sedar, dia tidak layak untuk gadis itu.

Bersambung...


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa