Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
108,293
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 16

IBRAHIM benar-benar cemas dengan kegawatan yang sedang berlaku di kawasan itu setelah dia menerima laporan mengenai tembakan rambang yang dilepaskan oleh orang yang tak dikenali di sebuah auditorium. Tambahan pula auditorium yang dimaksudkan merupakan auditorium tempat Afrina berada untuk menyaksikan persembahan Dina. Itu yang disampaikan oleh gadis itu sendiri ketika mereka berbalas mesej semalam. Mujur sahaja dia menemui Afrina selamat bersama Hud Aidan.

"Kau dah buat satu kesalahan besar, Hud Aidan," ujar Ibrahim tatkala pandangannya saling bersatu dengan sahabatnya. Berat sungguh mulutnya untuk mengujarkan ayat yang seterusnya. Sesekali, pandangannya tertancap ke laman wajah Afrina yang sedang tercungap-cungap dengan wajah yang pucat tak berdarah. Jelas, gadis itu kelihatan keresahan.

Hud sekadar mengangguk dengan kata-kata Ibrahim. Tidak perlu dia bertanyakan kesalahan apa yang telah dia lakukan kerana dia juga pernah menjadi rakan sepasukan Ibrahim walaupun dalam unit yang berbeza. Dia tahu undang-undang dan kesalahan jenayah yang sudah dia lakukan hari ini. Mencetuskan pergaduhan. Walaupun niatnya sekadar untuk mempertahankan Afrina, namun dia masih melakukan sebuah kesalahan di bawah Seksyen 160 kerana mencetuskan pergaduhan di rumah judi yang masih menjadi kawasan umum.

"Sebelum kau nak sumbat aku masuk dalam lokap tu, aku ada benda nak buat sikit. Kau boleh tolong aku?"

"Kau boleh bayar ganti rugi sebanyak RM 1000. Aku tak nak kau masuk dalam tu sebab reputasi kau..."

Tak semena-mena, Hud ketawa sinis dengan omongan Ibrahim. Bahu sahabatnya ditepuk bertalu-talu seakan-akan mengejek setiap kata yang keluar daripada mulut Ibrahim. Sesekali, ekor matanya memandang Afrina yang masih dalam keadaan terkejut sambil memeluk tubuh Dina yang sedang menangis teresak-esak. Dahi berkerut Afrina itu sahaja sudah menjelaskan kepada Hud bahawa gadis itu sedang tertanya-tanya dengan keadaan tegang tika ini.

"Reputasi aku dah lama hancur sejak lima tahun yang lalu lagi. Semuanya musnah sekelip mata sahaja! Kau jangan risaulah kalau ada yang nak bunuh aku dalam tu nanti. Lebih baik aku dikurung dari hadap segala kesesakan dalam kepala aku. Lagi satu, kau jagalah Afrina tu baik-baik. Aku risaukan keadaan dia," ujar Hud dengan nada suara yang penuh dengan kedinginan. Seolah-olah dia merasakan bahawa dia sudah berputus asa untuk menghadapi dugaan yang maha hebat ini. Apa yang diperlukan oleh seorang Hud Aidan hanyalah rehat buat sementara waktu.

"Apa kau merepek ni? Kau jangan buat kerja gila..."

"Jangan lengahkan masa aku! Sebelum kau sumbat aku masuk dalam lokap tu, aku nak kau hantar Afrina balik. Dalam situasi bahaya, aku tak yakin nak bagi dia balik seorang diri. Lagipun aku tak yakin yang dia sedang okey. Dia nampak betul-betul terkejut dan takut sekarang ni," pintas Hud. Ketegasan di sebalik suaranya membuatkan Ibrahim sudah terkelu untuk berbicara. Lebih-lebih wajah Hud yang semakin tegang menandakan pemuda itu sedang mengujarkan sebuah autoriti. Kedegilan Hud itu sememangnya bisa mencabar kesabarannya. Oleh itu, Ibrahim hanya mampu diam dan mengikut rentak yang ingin dilakukan oleh Hud Aidan.

Usai memberikan arahan kepada Ibrahim, Hud berpaling menghampiri Afrina dan Dina. Dia mengeluarkan dompet di poket seluarnya seraya mengeluarkan enam note berjumlah RM 50 lalu dihulurkan kepada Afrina. Gadis itu semakin terpinga-pinga dengan tindakan spontan Hud. Tangan kanan masih ligat mengusap belakang tubuh Dina yang kelihatan tak berdaya.

"Ni sebagai duit upah kau jaga Dina dan tolong belikan keperluan Dina sepanjangan ketiadaan aku kat rumah mama nanti. Aku tahu kau dah tak nak libatkan diri dalam keluarga aku tapi kali ni aku merayu sangat dekat kau tolong aku jaga Dina. Bawa dia balik rumah kau. Aku tak yakin selama pemergian aku dia akan selamat kat rumah mama nanti. Bila hal aku dah selesai aku akan ambil Dina semula. Aku janji lepas ni aku tak akan susahkan kau lagi," kata Hud. Tiada lagi senyuman mahupun usikan yang selalu diberikan kepada Afrina. Hal itu membuatkan Afrina seolah-olah terkelu untuk berbicara. Bagaikan dia tidak lagi berhadapan dengan Hud saat ini. Manakan tidak, Hud Aidan itu jarang sekali bertindak serius ketika berhadapan dengan Afrina. Sehingga Afrina sendiri tidak menyukai dengan tingkah tak semenggah Hud.

"Kenapa? Bukan kau suka kalau aku tak usik kau ke? Huh? Tak payahlah buat muka terkejut macam tu cik misi. Lepas ni kau akan aman dan aku tak akan kacau hidup kau lagi. Ambil duit ni sebagai upah dan tolong belikan keperluan Dina," tambah Hud lagi. Julat suaranya semakin tegas kedengaran di telinga Afrina. Hud sedikit tertekan apabila Afrina seolah-olah kaku seperti patung cendana. Malahan, hanya pandangan redup Afrina yang menyapa kornea matanya. Seolah-olah ada kata-kata yang tak mampu disampaikan oleh gadis itu.

"Pak cik... Dina takut. Dina nak balik. Jomlah kita balik nanti orang jahat tu kejar kita lagi."

Suara lirih Dina yang menyapa halwa telinga mematikan renungan tajam Hud terhadap Afrina. Dia tunduk memandang wajah Dina yang merah. Perlahan-lahan, Hud duduk bertinggung dengan segaris senyuman yang terasa pahit terukir di bibirnya. Sisa air mata Dina dikesat lembut. "Dina balik ikut Kak Afrina. Pak cik ada banyak kerja yang pak cik kena buat. Nanti bila dah selesai, pak cik ambil Dina. Okey. Pak cik janji lepas ni pak cik belikan Dina aiskrim coklat banyak-banyak," pujuk Hud sambil mengusap rambut Dina dengan lembut. Berat hatinya untuk meninggalkan anak kecil itu. Tapi, ini risiko yang harus dia tanggung. Dia yang memulakan dan dialah yang harus bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

Melihat tingkah Hud dan Dina membuatkan Afrina semakin ditujah dengan persoalan. Pelik sungguh tingkahnya Hud Aidan tika ini. Bahkan, melihat wajah tegang Ibrahim juga menambahkan persoalannya mengenai Hud. Apa yang ingin dilakukan oleh Hud sehingga nekad merayu kepadanya menjaga Dina? Entah, Afrina buntu. Afrina tahu keakraban Hud dan Dina yang kadangkala seperti ayah dan anak itu. Sukar direnggangkan kerana Hud sering memanjakan anak buahnya. Afrina buntu dengan perilaku aneh Hud tika ini. Malahan, dia semakin buntu dengan diri yang sentiasa lancang dalam berkata-kata namun seolah-olah diam seribu bahasa apabila tiada lagi usikan daripada Hud Aidan.

SUASANA rumah Encik Talib semakin meriah dengan kehadiran Dina di rumah itu. Gelak tawa Dina yang nyaring bersama Arisha menambahkan keceriaan keluarga Encik Talib. Tak henti-henti Dina melukis wajah Arisha dengan menggunakan alat solek gadis itu. Arisha sendiri terhibur apabila wajahnya menjadi permainan si gadis kecil. Arisha redha sahaja kerana dia sememangnya suka dengan kanak-kanak. Sama seperti kakaknya.

"Seronok betul rumah ni kan abah, mama kalau ada budak-budak. Ada je karenah yang nak dilayan. Tak adalah bosan malam minggu Isha kalau kena layan budak-budak kecil," ujar Arisha sambil mencuit hidung Dina yang masih ralit memakaikan pemerah pipi ke hidungnya.

"Isha cepat-cepatlah kahwin. Nanti tak adalah asyik tukar boyfriend setiap semester. Abah pun risau tengok perangai tak semenggah kamu ni asyik tukar boyfriend je setiap semester. Cuba matang sikit dari terus nak berseronok saja," ujar Encik Talib yang sedang menonton buletin utama di siaran TV3.

"Eh, mana boleh macam tu. Isha kena bagi Kak Afrina lepas dululah baru Isha pula. Tak naklah langkah bendul kakak sendiri. Lagi pun, kalau abah dengan mama nak tahu Kak Afrina dah mula berkenalan dengan abang Rahim merangkap abang kawan baik Isha tau! Hah, itu satu perkembangan yang cukup baik!" kata Arisha dengan nada yang ceria. Itu topik kegemarannya dan Diana setiap kali mereka bertemu. Wajah Afrina yang sedang bermain telefon membuatkan senyumannya semakin meleret.

"Betul ke Afrina?"

Afrina hanya diam. Dia seolah-olah dengan dunianya sendiri. Langsung tidak fokus dengan perbualan ahli keluarganya malam itu. Sejak kejadian petang tadi, Afrina hanya diam seribu bahasa. Hanya berbicara jika dia perlu berbicara sahaja. Masakan tidak, kejutan mereka diserang hendap masih menjadi bayangan menakutkan buat gadis itu. Lebih-lebih lagi dia semakin pelik dengan tingkah Hud yang tiba-tiba bertindak serius terhadapnya.

Insp.Ibrahim

'Awak macam risaukan dia je. Kau orang ada apa-apa hubungan ke? Sebab saya rasa cara dia pandang awak macam dia dah mula sukakan awak je 😏'

Sebaik sahaja WhatsApp itu disampaikan kepadanya, Afrina 
mengeluh berat. Tubuhnya disandarkan di belakang sofa. Pelipisnya dipicit apabila kepalanya mula terasa berdenyut. Matanya dipejam rapat apabila moodnya untuk memberikan peluang kepada Ibrahim berkenalan dengannya tiba-tiba sahaja hilang. Berbicara mengenai Hud Aidan bukanlah kegemaran seorang Afrina. Dia lelah. Terlalu banyak unsur negatif andai memikirkan mengenai gerangan itu. Ada sahaja marabahaya andai dia bersama dengan Hud. Saat ini, marabahaya yang sering dihadapi apabila dia bersama Hud seolah-olah pita rakaman yang kembali terimbas di benak fikiran Afrina.

"Afrina sakit kepala ke?"

Afrina tersentak saat rambutnya yang dibiar lepas diusap lembut oleh ibunya. Dia mencelikkan mata memandang wajah Puan Sofea yang duduk di sebelahnya. Gadis itu hanya menggelengkan kepala sambil mengenggam tangan ibunya.

"Afrina nampak pucat ni. Afrina ada masalah ke? Ni Isha kata Afrina dah berkenalan dengan abang kawan dia. Tak nak kongsi apa-apa dengan mama ke?"

Tak semena-mena, Afrina ketawa sinis dengan omongan ibunya. Bibirnya diketap menahan geram. Panahan matanya yang tajam sudah tertancap ke arah Arisha yang masih ligat bermain bersama Dina. Tak semena-mena, kusyen yang berada dalam pelukan dipukul ke tubuh adiknya dengan kuat. Melepaskan geram apabila berita itu disampaikan kepada ibunya. Sudah berkali-kali Afrina berpesan biar mereka berdua sahaja yang mengetahui hal ini. Tapi, Arisha sudah mungkir janji.

"Sakitlah! Mama, abah. Tengok Kak Afrina ni kerja nak pukul orang..."

"Apa kata Isha je berkenalan dengan abang Rahim kesayangan Isha tu. Mesti kau orang nampak secocok kan. Yelah dia tu kan abang kawan Isha juga. Hah nanti bolehlah beripar duai dengan bestfriend Isha tu. Dina, dah! Jom naik atas. Esok kakak kena pergi kerja jadi Dina kena tidur awal," tegas Afrina seraya mengucup tangan ibunya dan abahnya. Itulah rutin hariannya sebelum dia tidur. Memohon maaf kepada ibu bapanya. Tangan Dina lantas ditarik menaiki anak-anak tangga meninggalkan tiga beranak yang sudah terpinga-pinga dengan kemarahan Afrina.

"Hah! Padan muka. Dah banyak kali dah abah dengan mama pesan jangan pandai-pandai jodohkan kakak kamu tu. Benda dia tak suka jugalah kamu buat," omel Encik Talib sambil menggelengkan kepala. Ada-ada sahaja ragam keluarga kecilnya ini. Anak sulung yang pemarah dan anak bongsu yang kuat merajuk.

"Ala abah! Sampai bila abah dengan mama nak tengok Kak Afrina macam tu? Umur dia dah nak dekat 30 tahun dah. Dia macam tak boleh move on daripada arwah abang Umar walaupun dah lima tahun berlalu. Isha kesian je tengok mama dengan abah ni tak dapat-dapat cucu lagi. Kesian juga kat Kak Afrina kalau dia tak boleh buka hati untuk lelaki lain," kata Arisha sambil mengelap wajahnya dengan tisu basah. Wajahnya ditelek di hadapan cermin muka yang dipegang. Dengan gincu di kedua belah pipi dan dahi, pemerah pipi di hidung serupa badut sahaja wajahnya tika itu.

"Naurah Arisha! Jaga sikit mulut tu. Mahunya dengar kakak kamu tak pasal-pasal dia terasa nanti. Ya, mama faham apa yang Isha cuba buat tapi biarlah Kak Afrina yang buat keputusan untuk hidup dia sendiri. Cukuplah mama tengok Kak Afrina murung lepas je arwah tunang dia meninggal. Mama tak nak tengok dia sedih lagi. Banyak kali dah mama pesan benda sama. Degil! Baik kamu jelah yang kahwin. Nak?" marah Puan Sofea. Terasa bergelegak panas dinding hatinya tatkala Arisha berkata lancang di hadapannya. Tipulah kalau dia tak mahukan cucu tapi dia mengerti anak sulungnya itu setia pada yang satu sahaja. Hanya Umar yang bertakhta di hati seorang Naurah Afrina.

Bibir Arisha sudah muncung ke hadapan apabila dia dimarahi oleh kedua orang tuanya. Salahkah jika dia mahu melihat kakak yang disayangi bahagia?

"Hah! Buat mulut macam tu. Nak mama sumbat dengan cili padi mama ke?" tegas Puan Sofea. Wanita itu pantang sungguh bila anak-anaknya membuat muka tak puas hati bila ditegur.

"Okey Isha tak buat mulut dah. Mama ni janganlah marah Isha. Cukuplah kakak je marah Isha. Okey fine! Orang kat rumahni dah tak sayangkan Isha dah kan. Sikit-sikit ada je kesalahan Isha dekat mata semua orang," omel Arisha seraya mengemas alat soleknya. Bibirnya sudah menggeletar menahan tangis. Sebak rasanya bila dia dimarahi oleh keluarganya. Benda yang dia rasakan benda baik pun bisa membuatkan semua orang marah kepadanya. Lantas, anak-anak tangga dinaiki seraya meluru masuk ke dalam bilik.

Tak semena-mena, Encik Talib ketawa melihat telatah Arisha. Apabila pandangannya saling bersatu dengan si isteri, lantas dia menggamit Puan Sofea duduk di sebelahnya.

"Anak-anak kita tu sajalah tu nak bagi kita peluang beramah mesra kat sini. Apa kata Sofea picit bahu abang yang lenguhni," kata Encik Talib dengan suara meleret manja. Bahu yang terasa lenguh ditepuk-tepuk.

"Mengada!" marah Puan Sofea seraya menurut perintah suaminya. Masih tersisa lagi geramnya apabila anak bongsunya yang manja itu sering memberontak setiap kali ditegur.

GEBAR ditarik menutup tubuh kecil Dina yang sudah tertidur sambil memeluk patung beruang milik Afrina. Segaris senyuman terukir di bibir gadis itu melihat wajah polos Dina yang kelihatan penat sudah dibuai mimpi setelah Afrina mengusap ubun-ubunnya sambil mengalunkan zikrullah. Namun, Afrina yang tidak bisa lelap saat ini. Masih ada sisa ketakutan yang masih tersimpan di lubuk hatinya yang paling dalam. Bunyi tembakan yang dilepaskan petang tadi seolah-olah ancaman yang membuatkan Afrina merasakan dia kini diancam bahaya.

"Aku tak akan lepaskan kau! Kau faham tak!"

Ketika tengkingan Hud terngiang di telinga, ketika itu juga fikiran Afrina semakin terasa kusut. Masih terasa hingga ke lubuk hati apabila ditengking oleh pemuda itu. Masih terasa genggaman tangan Hud di pergelangan tangannya dan masih tersisa rasa pijar pada tapak tangannya setelah menghayunkan tamparan buat pemuda yang sudah menyelamatkan nyawanya hari ini. Kalau Hud terlambat, bisa sahaja dia yang ditembak di perkarangan kotak parkir itu! Ya, Afrina terhutang budi.

"Kau dah lupa ke aku ni siapa Aidan?" desis Afrina. Dahinya berkerut apabila mengingati setiap pertemuan di antara dia dan Hud selama tiga bulan ini. Pemuda itu seolah-olah bukan lagi pemuda yang pernah menghancurkan zaman remajanya 14 tahun yang lalu. Hud seolah-olah melupakan sejarah hitam yang membuatkan Afrina bertindak bodoh.

Semuanya berlaku setelah Hud Aidan menyelamatkannya daripada sekumpulan remaja lelaki yang hampir mencederakannya kerana salah faham. Sama seperti hari ini. Kerana kejadian itulah, Afrina mulai menaruh perasaan buat Hud Aidan ketika zaman sekolahnya dahulu.

14 tahun yang lalu...

Dia hanyalah pemuja rahasia seniornya. Setiap hari, si gadis yang baru menginjak ke usia 15 tahun itu akan meletakkan bekalan makanan seperti sandwich, mee goreng, biskut, kek dan pelbagai lagi jenis makanan setiap kali waktu rehat di atas meja Hud Aidan. Dengan harapan, orang yang disukai itu dapat menikmati hasil yang dibuat dengan tangannya sendiri. Selama sebulan juga, senior tingkatan lima itu tidak pernah menangkapknya menjadi pemuja rahasia. Namun, Afrina sedar bahawa dia tidak setanding dengan Hud Aidan yang diminati oleh ramai gadis. Masakan tidak, pemuda itu handal dalam sukan seni mempertahankan diri seperti taekwando dan juga karate. Bahkan, sering mewakili sekolah menjadi atlet. Paras rupanya yang menawan juga sering menjadi kegilaan gadis remaja. Hanya seorang sahaja yang berjaya bertakhkta di hati Hud Aidan. Seorang gadis merangkap model sambilan bernama Nisha Adriana.

Namun, suatu hari setelah sebulan dia menjadi pemuja rahasia semuanya terbongkar apabila Afrina jatuh dalam perangkap Hud dan rakan-rakannya. Entah kesilapan apa yang Afrina lakukan sehingga dia akhirnya bukan lagi si pemuja rahasia. Teruk dia diperlekehkan, dihina dan dibuli di hadapan senior di dalam kelas Hud Aidan. Bahkan, jiran kelas sebelah juga turut menyaksikan penyeksaan mental ke atas Naurah Afrina.

"Sebelum kau hantar surat untuk Aidan, kau tak cermin dulu ke muka kau ni? Ke cermin mata kau ni tak cukup power lagi?" sindir Naim sambil mengunyah sandwich yang dibekalkan buat sahabatnya yang hanya duduk di atas meja sambil merenung wajah gadis yang hanya tertunduk menekur lantai.

"Sedap doh sandwich ni. Wei, tak acilah kau bagi sandwich ni untuk Aidan saja. Lain kali bagilah kawan-kawan dia ni sekali. Kau ni pun layak jadi bibik kat rumah aku kau tahu! Dahlah selekeh. Tudung senget, muka gelap macam periuk mak aku, muka jerawat sana sini... ada hati nak sukakan kat prince charming kat sekolah ni. Stupid!" cemuh Arshaf sambil menunjal dahi Afrina. Tak semena-mena, pelajar yang mengelilingi mereka ketawa terbahak-bahak melihat cemuhan Arshaf ke atas junior mereka. Malahan, ada sesetengah remaja perempuan yang sudah menolak-nolak tubuh Afrina sehingga gadis itu tersandar di belakang dinding.

"Sudahlah! Aku tak hina dia seteruk itu yang kau orang nak lebih-lebih ni kenapa? Jealous ke tak ada orang nak bagi bekal dekat kau orang? Jangan jahanamkan sangat hidup junior boleh tak!" jerkah Hud Aidan seraya turun dari meja. Keluhan berat terlepas dari bibir apabila gadis yang sudah menjadi mangsa buli itu tersedu-sedan sambil menekup bibirnya menahan tangis.

Beberapa orang pelajar sudah terpinga-pinga apabila Hud Aidan seakan-akan mempertahankan gadis malang itu. Setapak demi setapak lelaki itu menghampiri Afrina. Dia seolah-olah seorang putera raja yang diberikan laluan dan dengan kuasa autoriti membuatkan suasana kelas menjadi senyap setelah suaranya dilaung kuat. Gadis yang masih tertunduk sambil bermain dengan kuku diperhatikan dari bawah sehingga ke atas. Tergaris senyuman di bibirnya melihat gadis yang ketakutan itu.

Perlahan-lahan, dia mencuit dagu Afrina sehingga pandangan mereka saling bersatu. Tangkas, Afrina menepis kasar tangan Hud yang gatal menyentuh dagunya. Jantungnya semakin berdegup kencang tatkala figura orang yang disukai dalam diam berdiri di hadapannya. Perlahan-lahan, Afrina berganjak. Tangkas, Hud mencengkam lengan Afrina lalu menghempaskan tubuh gadis itu ke belakang dinding. Kekasaran Hud itu membuatkan Afrina bertambah takut. Lengan yang terasa perit dengan cengkaman pada kuku Hud diusap lembut.

"Kau sukakan aku?"

Senyap.

Hud tertawa sinis apabila Afrina hanya tertunduk sambil tersedu-sedan. Tak semena-mena, tumbukan dilepaskan ke meja sehingga gadis itu terdongak memandang wajah tegang Hud. Lantas, Hud menanggalkan kaca mata Afrina lalu dihempas ke atas lantai. Laju sahaja kakinya memijak kuat kaca mata tersebut sehingga berderai pecah. Buat seketika, Hud tunduk mencapai semula kaca mata yang hanya tinggal bingkai itu. Malahan bingkai juga sudah dipatahkan oleh Hud Aidan. Apabila kaca mata itu dipakaikan semula ke Afrina dia ketawa terbahak-bahak diikuti oleh pelajar yang senyap sebentar tadi.

Kemudian, sandwich telur bersalut mayonis, salad dan tomato yang masih tersisa di dalam bekas ditonyoh ke wajah Afrina. "Aku paling pantang bila aku tanya orang tak jawab! Ni, kau ingat ni sampai kau mampus. Kau tu tak padan dengan akulah perempuan! Aku patahkan cermin mata kau ni dah kira baik dari aku patahkan tangan kau tu hah! Kau ingat sedap ke semua makanan kau bagi tu? Kalau kau nak tahu, aku jijiklah nak makan makanan dari orang yang tak berani nak berdepan dengan aku. Mana tahu kau letak racun ke, ubat guna-guna supaya aku sukakan kau ke?" cemuh Hud Aidan bersama dengan sisa tawanya.

Sungguh ketika itu, tiada lagi perasaan sayang mahupun cinta yang terzahir di sukma hati seorang Naurah Afrina buat pemuda bernama Hud Aidan. Hinaan itu benar-benar menghiris hatinya dengan dalam. Darah yang mengalir dari hirisan itu bagaikan sebuah kesakitan yang meninggalkan parut yang paling dalam. Dia memandang orang sekeliling yang ligat  mentertawakannya sebelum Nisha muncul bersama dengan gunting.

"Sayang! I pun nak join sekalilah," ujar Nisha sambil menarik tudung Afrina. Gadis itu sudah teresak-esak apabila auratnya menjadi tontonan umum. Malahan, rambutnya yang panjang paras pinggang terus digunting oleh Nisha sebelum satu tamparan kuat ditujahkan ke pipi gadis malang itu. Afrina terus terduduk sambil teresak-esak apabila rambut yang dijaga rapi sudah digunting sehingga pendek. Bahkan, mereka hanya meninggalkannya setelah puas menghina dan mencemuhnya. 

Sebulan Afrina dicemuh dan dihina, gadis itu nekad untuk menghapuskan nyawanya. Dia sanggup bertindak gila agar kesakitan ini tidak akan dirasai lagi. Suatu petang setelah dia ditolak ke dalam longkang oleh Nisha dan rakan-rakannya, dia nekad untuk berdiri di tengah jalan raya dan membiarkan sahaja tubuhnya dirempuh oleh kereta yang dipandu laju. Dia mahu kematian kerana kematian ini mampu menyelamatkannya dari penyeksaan ini.

 Akibatnya, Afrina koma selama dua minggu. Kecederaannya yang parah hampir sahaja meragut nyawanya. Kerana kejadian itu juga doktor mengesahkan bahawa Afrina mengalami kemurungan sehingga nekad untuk membunuh diri. Afrina juga dipindahkan ke kawasan kampung dan tinggal bersama nenek dan atoknya. Di kampung itulah dia bersekolah dan mulakan hidup yang baru. Dia belajar seni mempertahankan diri agar tiada lagi yang akan mencemuhnya. Di situlah juga, titik permulaan dia bertemu dengan arwah tunangnya. 

Bersambung...

Sedutan bab 17 

"Ni bukan Hud Aidan yang aku kenal. Kenapa dengan kau ni? Kau dah mengalah? Kau dah gila ke biarkan dia orang belasah kau sampai macam ni sekali! Kenapa? Kau nak mati..."

"Kalau kematian aku ni boleh puaskan dia orang, kenapa tidak? Kalau kematian aku ni boleh kembalikan keamanan dalam hidup Afrina dan tebus semua kesalahan aku pada dia, aku sanggup! Aku sanggup mati kalau kematian aku ni boleh selamatkan nyawa Afrina yang tak bersalah! Sebenci mana sekali pun dia pada aku, aku akan tetap lindungi Naurah Afrina selagi aku masih bernyawa!" jerkah Hud sebelum menolak kasar tubuh Ibrahim yang sedang mencengkam bajunya. Nafasnya turun naik melepaskan kemarahan apabila Ibrahim asyik memprovokasi dengan apa yang sedang dia lakukan demi seorang Naurah Afrina.  

NOTA PENULIS: Hi korang ^_^ terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan korang. Maaf sebab syaf jarang sangat update bab seterusnya dalam portal ilham ni. Tapi, kalau korang nak baca bab selanjutnya cepat-cepat tekanlah link akaun wattpad syaf tu. Syaf dah update sampai bab 19 dalam wattpad ^_^ https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa



Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa