Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
107,599
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 15

 KOTAK hitam berisikan Glock dan bangkai kucing yang diterima minggu lalu dihempas ke atas sebuah meja yang dipenuhi dengan daun terup dan wang ringgit. Empat orang lelaki yang ralit bermain judi kaget dengan kemunculan Hud. Lebih-lebih lagi permainan mereka diganggu oleh pemuda berjaket hitam itu. Segera mereka bangun dari duduk lalu mengepung Hud yang berwajah dingin.

Ya, Hud memang gila. Menjunamkan diri dalam bahaya yang ada di depan mata. Usai sahaja dia mendapat maklumat mengenai keberadaan penyerangnya, Hud lantas ke sebuah rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat perjudian. Kalau Ibrahim tak mahu berkompromi dengannya, Hud tidak kesah. Masih ada seseorang yang sudi berkongsi maklumat jenayah kepadanya. Kalau boleh, Hud mahu berhadapan sendiri dengan penyerangnya sekali gus mencari keberadaan 'lelaki misteri' yang mahu mencabut nyawanya itu.

"Kau siapa?" jerkah salah seorang daripada mereka. Anak matanya yang tajam tunak memandang raut wajah Hud. Ada amarah yang mula membakar dinding hati pemuda yang ralit mengaut keuntungan berdasarkan permainan judi. Dia terganggu!

Tak semena-mena, Hud ketawa sinis dengan soalan lelaki berketurunan cina itu. Dia memandang wajah lelaki-lelaki itu satu per satu sebelum tendangannya ditujahkan ke meja judi yang diperbuat dari plastik sehingga runtuh. Lantas, Hud menerkam dan mencekak kolar baju lelaki yang bertanyakan soalan sebentar tadi. Tak semena-mena, rumah judi itu jadi kecoh dengan kedatangan seorang Hud Aidan.

"Mana ketua kau!" jerkah Hud seraya menghempas tubuh lelaki itu ke belakang dinding. Tangannya digenggam erat cuba mengawal dirinya dari terus menyerang musuh-musuhnya itu. Tidak. Dia tidak boleh terus menujahkan amukannya. Harus ada ketenangan untuk dia berhadapan dengan musuh meskipun dia dalam keadaan yang penuh dengan amarah!

Renungan mata Hud yang semakin galak membuatkan lelaki bermata sepet itu mula memahami gerangan yang berada di hadapannya. Samar-samar kejadian minggu lepas berlayar di kotak fikiran. Tatkala fikirannya semakin jelas menganalisis wajah pemuda berwajah tegang itu tatkala itu juga senyuman sinis tersungging di bibirnya.

"Oh, kau! Berani betul kau datang sini lepas kita orang serang kau dengan awek kau hari tu. Kenapa? Nak buat pertarungan buat kali kedua pula ke?" soal si lelaki lantas menghentakkan lututnya ke perut Hud. Namun, Hud lebih tangkas mengelak dengan menujahkan tumbukan kuat ke rahang lelaki cina itu.

Tak semena-mena, lelaki itu melorot sambil menyeringai kesakitan akibat penangan kuat Hud. Tangannya menggosok tulang rahangnya yang seakan-akan dipatahkan walaupun dengan hanya satu tumbukan kuat sahaja. Dahinya berkerut memandang raut wajah Hud yang sudah mengelilingi kedai judi. Seakan-akan lelaki itu dalam keadaan berjaga-jaga apabila Hud menebarkan pandangannya ke sekeliling.

"Aku ada tawaran lagi tinggi daripada bos kau orang. Berapa kau orang nak? Aku akan bagi berapa saja yang kau orang nak asalkan kau orang cakap dengan aku siapa yang arahkan kau orang untuk bunuh aku!" tegas Hud sambil berpeluk tubuh. Dia melabuhkan duduk di atas sebuah kerusi plastik.

Hud Aidan memang berani mati. Tapi, tekadnya ini berlaku hanya disebabkan Hud tidak mahu Afrina menjadi mangsa ancaman ke atasnya. Gadis itu tiada kaitan dalam masalahnya. Apabila Hud mendapat maklumat daripada bekas rakan sepasukannya, tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku dia terus menemui penyerang dengan tangan kosong. Ya, semuanya demi Naurah Afrina.

Seorang lelaki bertindik di kedua belah telinga sekadar memberikan pandangan sinis dengan tawaran daripada Hud. Dari ekor mata sahaja dia mengarahkan rakan-rakannya untuk bersedia. Lantas, Hud sudah dikelilingi oleh enam orang lelaki yang sudah diberikan ganjaran untuk membunuhnya. Kekecohan mula berlaku apabila salah seorang daripada mereka membanting kerusi ke tubuh Hud. Pemuda yang sudah dari awal bersiap siaga itu terus mengelak dengan menyendengkan tubuhnya. Hud segera bangun dari duduk. Kerusi yang menjadi tempat duduknya sebentar tadi ditendang kuat ke arah musuh yang mula meluru dari hadapan.

Tempikan mula kedengaran apabila sebuah tendangan ditujah dari sisi Hud. Dia tangkas berpusing dan menghayunkan tendangannya ke wajah penyerangnya terlebih dahulu. Hud semakin tangkas menghayunkan tendangan demi tendangan ke arah lawan yang berpusu-pusu ingin mencelakainya. Fokus semakin ditumpukan pada setiap pergerakan lawan. Sesekali, dia mengelak dengan menunduk dan membentes kaki lawannya. Hud tersenyum sinis tatkala dia salah percaturan. Bukan wang yang dimahukan melainkan sebuah kesetiaan. Kesetiaan sehingga mereka nekad untuk membunuhnya!

Apabila ada lawan yang hampir memukul tubuhnya dengan kerusi, Hud tangkas mengelak dengan menujahkan tendangan ke lengan lawannya. Kerusi terus terpelanting jauh. Di hadapannya pula ada yang menyerangnya dengan sebilah parang. Hud terus mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan lawannya dengan kuat dan mengilas kuat tangan lawan ke belakang. Erangan si lelaki kedengaran apabila bahunya dipatahkan oleh Hud. Lantas, Hud menghayunkan tendangannya ke tubuh lelaki itu dari belakang sehingga lelaki itu terlentang di atas lantai.

Namun, serangan dari belakang yang tidak disedari oleh Hud membuatkan dia turut tersungkur. Terasa sakit tulang belakangnya akibat dihentak dengan sebatang kayu. Dia lantas berpusing dan sekali lagi hampir sahaja pukulan itu dihayunkan ke tubuhnya. Namun, Hud tangkas mengelak dengan menendang kuat lengan musuhnya. Apabila Hud kembali bangun, dia merenggangkan lehernya. Hanya tinggal tersisa seorang sahaja lagi.

Mereka saling beradu pandangan. Sesekali, lelaki itu melepaskan tumbukannya ke wajah Hud. Pemuda itu tangkas mengelak dengan menyendengkan tubuhnya. Tawa sinis terletus di bibir Hud untuk mencabar lelaki bertubuh sasa itu. Mereka saling mengelilingi antara satu sama lain. Hud hanya memasang kekudanya sambil memerhatikan lelaki yang sudah hilang kesabaran itu. Apabila tumbukan dihayunkan lagi ke tubuhnya, Hud tangkas mematahkan serangan lawan dengan mengenggam pergelangan tangan lelaki itu. Namun, lelaki itu lebih tangkas menujahkan tendangan ke tubuh Hud. Hud terundur beberapa tapak ke belakang akibat serangan itu.

Belum sempat Hud melawan, bunyi siren polis kedengaran. Hud mengeluh berat apabila pekerjaannya diganggu. Lantas, tanpa berlengah Hud meluru keluar dari rumah kedai itu meninggalkan lima orang lawan yang sudah mengerang di atas lantai. Hud tahu bahawa perkelahian ini akan memberikan impak negatif kepadanya. Semudah itu sahaja dia akan didakwa di atas kes pergaduhan. Tapi, Hud Aidan peduli apa. Dia memang sudah separuh gila memikirkan ancaman yang turut melibatkan Afrina itu.

SUASANA dewan yang malap dipenuhi dengan tepukan gemuruh daripada para penonton yang duduk di ruang auditorium. Hanya lampu di atas pentas sahaja yang menerangi persembahan yang dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak yang sedang melakonkan kisah mengenai 'Sang Kancil dan Raja Rimba'. Telatah sekumpulan kanak-kanak yang turut menyanyi membuatkan para penonton rasa terhibur. Termasuk Afrina sendiri. Sungguh, telatah Dina yang sedang melakonkan watak sang kancil mencuit hatinya. Senyuman yang sukar diukir itu jadi murah serta merta.

Klik!

Bunyi kamera yang kedengaran serta merta mematikan senyuman Afrina. Dia kaget. Lantas, dia kalih ke sebelah kanan memandang figura yang sedang mengambil fotonya dengan menggunakan telefon pintar. Serta merta, wajah Afrina naik membahang dengan tawa kecil daripada Hud. Sering sahaja pemuda ini mengganggu keseronokannya. Bila si Hud Aidan muncul pun dia tidak sedar kerana keseronokannya menonton persembahan Dina dan rakan sekelas yang lain.

"Sorry lambat cik misi. Aku ada hal yang tak dapat dielakkan tadi. Terima kasihlah sudi uruskan Dina hari ni," dalih Hud. Dia membetulkan rambutnya yang sedikit serabai seraya memasukkan semula telefon pintar di dalam poket jaketnya. Senyuman tak lekang terukir di bibir pemuda itu tatkala dia dapat mengenakan Afrina lagi.

"Apa hak Encik Hud nak ambil gambar saya?" soal Afrina dengan suara yang ditekankan. Giginya sudah saling berlaga menandakan kemarahan mula membakar dinding hati gadis berselendang kuning cair itu.

Buat seketika, Hud mengalihkan pandangannya ke wajah Afrina. Akal kembali ligat memikirkan kata-kata usikan buat gadis yang kembali berwajah dingin. Semuanya bagaikan automatik bagi seorang Hud Aidan. Berhadapan dengan Afrina sahaja membuatkan dia berubah menjadi seorang yang suka mengusik.

"Saja, nak buat koleksi cik misi Naurah Afrina yang sedang tersenyum. Yelah, sekurang-kurangnya kalau aku nak tengok kau senyum bolehlah aku tengok gambar ni balik. Betul tak?"

Afrina mengeluh berat dengan jawapan spontan daripada Hud. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi seraya pandangannya kembali tertancap pada persembahan kumpulan Dina. Tiada sudah keterujaan yang dirasakan melainkan amarah yang menyimbah dinding hatinya. Berhadapan dengan Hud tak pernah tak membuatkan Afrina naik darah. Menyesal akibat menerima jemputan Dina untuk menghadiri persembahan gadis kecil itu juga sudah tak bermakna lagi. Kerana tak mahu Dina kecewa sahaja Afrina terpaksa duduk menjadi penonton.

"Kau jangan benci sangat dengan aku. Orang cakap benci tu lama-lama boleh jadi suka. Tahu? Tapi kalau kau sukakan aku hah baguslah tu. Bolehlah kau senyum hari-hari bila..."

Hud kematian kata tatkala Afrina mencerlungkan mata ke arahnya. Dia dapat melihat kebencian yang berselirat di sebalik anak mata bundar gadis itu. Kalau orang lain pasti rasa gerun dengan pandangan yang seakan-akan mahu membunuh. Tapi bagi Hud pandangan tajam Afrina membuatkan dia terhibur. Lantas, tawa kecilnya terletus. Tengkuknya digosok-gosok dengan panahan mata Afrina.

"Janganlah pandang aku macam tu. Aku suka tengok mata kau. Cantik..."

"Encik Hud nak saya aturkan temu janji dengan psikologi tak? Saya boleh aturkan temu janji untuk Encik Hud lepas saya balik rumah nanti. Mungkin Encik Hud boleh belajar untuk faham personaliti orang? Boleh tak jangan nak ganggu hidup saya? Saya rasa Encik Hud dah cukup tahu yang saya tak suka dengan apa yang Encik Hud dah buat pada saya!" tegas Afrina. Namun, nada suaranya masih diperlahankan apabila penonton yang duduk di bahagian belakang mula menjeling ke arahnya dan Hud.

"Eh, tapi cik misi bukan belajar pasal psikologi juga ke masa kat kolej jururawat dulu? Hah apa kata aku buat temu janji dengan cik misi je. Lagi pun kita dah kenal selama lima bulan. Nanti bolehlah kita eratkan silaturahim sesama kita," usik Hud lagi. Dia tersengih apabila wajah Afrina semakin ketat pakej dengan jelingan maut. Tangannya terus menggagau telefon pintar yang berada di dalam poket jaketnya. Apabila wajah Afrina disuluh dengan lampu skrin, saat itu juga dia ketawa kecil lagi. Jelas, wajah Afrina merah seperti udang yang direbus!

"Marah-marah pun cantik. Patutlah Rahim dah macam syok kat kau. Nampaknya aku dah terlambatlah kan memandangkan cincin dah tersarung kat jari manis kau," desis Hud seraya bersandar di belakang kerusi. Pandangan kembali dialih ke arah pentas. Menyaksikan penutupan persembahan anak buahnya. Dia yang mengujarkan kata-kata yang hanya dia mendengarnya, dia sendiri juga yang merasakan hatinya seolah-olah retak seribu. Perasaan itu hadir tanpa diundang dan Hud masih keliru kenapa perasaan itu bisa hadir tanpa sebab

"DINA ni dah lima tahun. Pak cik kan dah ajar kalau makan jangan comot-comot," kata Hud sambil mengelap pipi Dina yang comot dengan sehelai tisu.

"Biarlah, Dina kan kecil lagi. Budak-budak memang selalu makan comot-comotlah. Mana ada budak-budak makan tak comot. Aiskrim coklat ni sedap sangatlah pak cik. Pak cik ni kedekutlah belikan Dina satu je. Ni mana cukup. Tadi sebelum Dina buat persembahan kakak ada belikan Dina dua aiskrim coklat lagi!" kata Dina sambil menjilat aiskrim kon berperisa coklat. Dua jarinya dinaikkan tanda penegasan sambil berpimpin tangan dengan Afrina.

Hud ketawa kecil dengan celoteh Dina. Pipi gebu Dina dicubit sebelum tangannya naik mengusap lembut rambut gadis kecil itu. Tercuit hatinya dengan kepetahan Dina berbicara. "Pandai eh menjawab."

"Mestilah pandai! Cikgu pun selalu puji lukisan Dina. Lepas tu kalau cikgu soal, Dina selalu bagi jawapan betul. Kakak, Dina pandai kan? Nanti besar Dina nak jadi macam kakaklah. Dina nak rawat pesakit," kata Dina. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Afrina yang hanya senyap seribu bahasa sejak mereka keluar dari ruang auditorium.

Omongan Dina membuatkan Afrina mengulum senyum. Dina sering sahaja membuatkan Afrina rasa senang. Ada sahaja kata-kata yang mencuit hati meluncur keluar dari mulut gadis kecil yang bersikap peramah itu. "Dina kenalah belajar rajin-rajin kalau nak jadi macam kakak. Dina kena jadi lagi hebat daripada kakak. Jadi doktor ke? Lepas tu nanti bolehlah rawat nenek Dina," kata Afrina. Lembut sahaja tutur bicaranya ketika berbicara bersama Dina. Tanpa dia sedar juga Hud ralit memerhatikan wajahnya yang kembali manis dengan sebuah senyuman kecil.

Kelembutan Afrina melayani kanak-kanak itulah yang sering membuatkan Hud Aidan semakin tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dalam. Bagi Hud, Afrina seolah-olah seorang ibu kepada Dina. Sering kali dia memerhatikan gadis itu melayani Dina dengan baik. Berbeza dengan layanan daripada ibu kandung Dina sendiri.

"Encik Hud, saya minta diri dulu. Lagi pun hal saya dah selesai. Petang ni saya ada syif..."

"Kenapa kau tukar pesakit dengan Khadijah? Kau memang dah tak nak bekerja dengan mama aku lagi ke?" pintas Hud. Nada suaranya yang penuh dengan autoriti itu membuatkan Afrina sedikit kaget. Tiada senyuman di wajah pemuda itu melainkan wajah yang berubah tegas.

"Saya tak nak terlibat dengan masalah bahaya encik tu lagi. Lagi pun, Khadijah tu misi yang sesuai untuk jaga Datin Khalida. Tak macam saya yang lancang dalam berkata-kata. Saya harap Encik Hud faham. Saya minta diri dulu," jawab Afrina. Seperti Hud, nada suaranya juga penuh dengan ketegasan.

"Dina, kakak balik dulu. Dina jangan nakal-nakal tau. Nanti kalau kakak cuti kakak jumpa Dina lagi. Bye!" tambah Afrina lagi sambil mencubit pipi gebu Dina.

Hud kaku. Akalnya seolah-olah beku untuk menghalang gadis itu dari pergi. Hanya sorotan matanya sahaja yang menghantar Afrina pergi dari perkarangan auditorirum. Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran Hud. Kenapa Afrina sering melayaninya seolah-olah dia sudah melakukan sebuah kesalahan yang besar? Dari awal pertemuan mereka sehinggalah kini masih sahaja Afrina melayaninya umpama seorang penjenayah.

Tiba-tiba, telefon yang diletakkan di dalam kocek jaketnya berdering. Lantas, Hud mencapai telefon pintarnya dan menyentuh punat hijau tanpa memandang nama pemanggil terlebih dahulu. "Dalam enam puluh saat, kalau kau tak bawa perempuan tu lari... orang-orang aku tak akan teragak-agak tembak perempuan tu. Satu, dua, tiga, empat..."

Tatkala ugutan itu diterima, Hud lantas mendukung tubuh Dina yang sedang mengelap bibirnya dengan belakang tangan seraya berlari menuju ke arah Afrina yang semakin hilang dari pandangan. Detak jantung Hud mula berdetak laju. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya. Dunianya serta merta menjadi gelap. Tiada lagi ketenangan seorang Hud. Matanya melilau mencari keberadaan Afrina di dalam lautan manusia. Tatkala matanya tertancap pada seorang gadis bertudung selendang kuning cair, dia terus menepuk bahu gadis itu. Namun, malangnya itu bukanlah Afrina!

Tiba-tiba, bunyi tembakan dilepaskan ke udara kedengaran. Hud semakin panik. Nafasnya terasa sesak apabila jeritan orang awam kedengaran. Ada yang bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila satu das tembakan kedengaran lagi. Hud seakan-akan kaku apabila nafasnya semakin terasa sempit.

"Pak cik, Dina takut..."

Tangisan Dina yang mula kedengaran membuatkan Hud semakin pusing. Namun, langkah masih diatur laju mencari keberadaan Afrina sehinggalah mereka tiba di sebuah kotak parkir. Hud mengeluh berat tatkala matanya tertancap pada figura yang separuh mati dicari-cari. Matanya sempat menangkap dua orang lelaki serba hitam dan memakai topeng sedang menghampiri Afrina. Lantas, Hud terus mencengkam pergelangan tangan gadis itu seraya kembali menyelamatkan diri.

Afrina yang kaget dengan tindakan spontan Hud ditambahkan pula dengan ketakutan dengan bunyi tembakan seakan-akan merasakan bukan kakinya yang berlari menyelamatkan diri melainkan langkah Hud yang sedang menyelamatkannya yang memberikan arah untuk mereka terus berlari. Bahkan, genggaman tangan Hud yang semakin mencengkam pergelangan tangannya dengan kuat membuatkan kotak memori Afrina mula mengimbas detik 14 tahun yang lalu. Situasi yang sama. Hud menyelamatkannya daripada sekumpulan lelaki yang salah sangka sehingga hampir mencederakannya. Itulah, detik dia mula jatuh suka dengan seorang Hud Aidan sebelum pemuda itu menghancurkan dan melumatkan sekeping hati Afrina.

Langkah mereka terhenti pabila Hud menghentikan langkah di sebuah lorong yang sempit. Nafas mereka sudah tercungap-cungap berlari dalam jarak yang terlalu jauh. Tangisan Dina yang semakin kuat membuatkan Hud tertekan lantas tubuh Dina dibenamkan ke dadanya sebelum pandangannya tertancap ke laman wajah Afrina yang sudah menggigil ketakutan. Sungguh, terasa mahu putus nyawa dibuatnya apabila Afrina hampir menjadi mangsa!

Sayup-sayup kedengaran siren polis di kawasan itu. Hud sudah mampu tersandar di belakang dinding. Tangannya masih mencengkam pergelangan tangan Afrina. Bahkan, saat Afrina ingin menarik tangannya Hud masih tak mahu melepaskan tangan gadis itu. Dia tidak mahu Afrina hilang dari pandangan mata. Hud takut. Ya, dia takut dengan perkara buruk yang akan berlaku kepada gadis itu.

"Encik Hud! Lepas..."

"Aku tak akan lepaskan kau! Kau faham tak!" tengking Hud tak semena-mena seraya menarik tubuh Afrina ke sisinya. Tiba-tiba, pipinya terteleng ke kanan akibat tamparan kuat Afrina. Tangan kanan Afrina serta merta terlepas dari genggaman pemuda yang sudah hilang ketenangannya itu.

"Jangan nak kurang ajar dengan saya Encik Hud! Saya berterima kasih sebab Encik Hud dah selamatkan saya tapi jangan sesekali nak sentuh saya macam tu!" tegas Afrina. Nafasnya turun naik melepaskan amarah. Fikiran Afrina jadi bercelaru. Kenapa hidupnya berubah drastik setelah bertemu dengan Hud? Ada sahaja perkara buruk berlaku yang membuatkan Afrina tertekan. Manakan tidak, nyawanya sering berada dalam keadaan bahaya!

Ketegasan Afrina membuatkan Hud tersenyum sinis. Hanya pandangannya sahaja yang tertancap ke laman wajah bengis Afrina. Kepalanya tergeleng dengan kebencian Afrina terhadapnya. Tiba-tiba sahaja Hud bukan lagi Hud Aidan yang seronok menerima kekasaran daripada Afrina. Kini, hanyalah sebuah kekecewaan. Kecewa kerana dia, Afrina terlibat dalam marabahaya.

"Hud!" suara yang muncul dari belakang terus menyentak Hud dari kekecewaannya. Dia kalih memandang figura yang menghampirinya. Terpampang wajah Ibrahim yang berseragam polis dengan wajah yang sugul. Apa pula masalahnya kali ini?

NOTA PENULIS: Terima kasih sudi membaca karya saya ^_^ maaf sebab lambat upload. Bagi pengetahuan para pembaca, karya ini juga boleh dibaca di dalam wattpad dan saya dah upload dalam wattpad sehingga bab 19

https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa