Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
7,197
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

BAB 1: KEDATANGAN DI KLUANG

Kereta api KTM Intercity dari Kuala Lumpur meluncur perlahan memasuki Stesen Kluang. Dari tingkap, bandar kecil itu kelihatan tenang. deretan kedai lama, cahaya lampu jalan yang kekuningan, serta suasana yang jauh lebih damai berbanding hiruk-pikuk kota. Aiman menutup bukunya dan menguap kecil.

“Selamat datang ke Kluang, rakan-rakan,” ujar Liam sambil merenggangkan tubuhnya.

“Akhirnya! Sampai juga kita. Bolehlah minum kopi Kluang sekejap lagi,” kata Risa sambil menghayun beg galasnya ke belakang.

Aiman, Zara, Liam, Nico dan Risa baru sahaja tiba untuk menghadiri Persidangan Pelajar Kebangsaan 2008 yang diadakan di Kluang. Mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Kluang. Tetapi berdasarkan apa yang mereka jumpa di Yahoo! Answers dan satu dua forum serta blog kembara, bandar ini terkenal dengan sejarahnya, pemandangan gunung yang cantik dan kopi yang jadi buah mulut sejak entah bila.

Ketika mereka berjalan menuju ke tempat menunggu bas, suasana bandar itu terasa sedikit ganjil. Beberapa batang pokok besar tumbang di tepi jalan, seolah-olah baru sahaja dilanda ribut, walaupun cuaca ketika itu kelihatan sangat baik. Tiang lampu di seberang jalan pula berkelip-kelip, seakan-akan ada gangguan elektrik.

“Hmm... Macam ada sesuatu yang pelik,” ujar Nico sambil mengambil gambar pokok tumbang itu dengan telefon bimbit Nokia N95 miliknya.

“Mungkin ada ribut semalam?” Zara meneka.
Mereka menaiki bas mini yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Di dalam bas, pemandunya, seorang lelaki berusia lewat lima puluhan, sesekali mengintai mereka melalui cermin pandang belakang.

“Ini kali pertama kamu semua datang ke Kluang?” tanyanya dengan nada perlahan.

“Ya, betul,” jawab Aiman sopan. “Kami datang untuk persidangan pelajar, pakcik. Tetapi sejak sampai tadi... tempat ini rasa lain macam. Macam ada sesuatu yang tidak kena, susah dijelaskan.”

Lelaki tua itu mengangguk perlahan, tetapi riak wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan.

“Kluang sememangnya sebuah pekan yang tenang, tetapi sejak dua atau tiga minggu yang lalu... ada banyak kejadian aneh berlaku,” katanya dengan suara rendah, seakan-akan khuatir jika ada yang mendengar.

Liam, yang duduk di belakang, segera menegakkan badannya. “Kejadian aneh yang macam mana?”

Pemandu bas itu tidak segera menjawab. Dia menggigit bibirnya sebelum memandang ke arah jalan.

“Banyak lampu-lampu di sekitar bandar terpadam tanpa sebab, pokok-pokok tumbang walaupun tiada angin kencang... dan kadang-kadang, orang mendengar bunyi pelik dari arah Gunung Lambak.”

Mereka saling berpandangan. Gunung Lambak adalah destinasi mereka keesokan harinya bagi aktiviti luar.

“Bunyi pelik seperti apa?” tanya Risa, lebih teruja daripada takut.

Lelaki itu menelan air liur sebelum menjawab, “Seakan-akan bunyi mesin yang sedang berfungsi... tetapi di dalam hutan. Pada waktu malam, ada yang ternampak cahaya hijau berkelip-kelip dari gunung.”

Kesemua mereka terdiam. Angin malam yang menyelinap masuk melalui tingkap bas terasa lebih dingin daripada biasa.

“Mungkin ada kerja pembinaan?” teka Nico, tetapi nadanya sendiri kedengaran ragu-ragu.

Bas terus bergerak melintasi sebuah kawasan yang agak gelap, apabila tiba-tiba Bzzz! Lampu jalan di tepi mereka padam serentak.

Zara tersentak. “Okey, itu... agak menyeramkan.”

“Kalau ini babak dalam Supernatural, Sam dan Dean akan sampai dengan kereta Chevrolet Impala di sini,” kata Liam, cuba mengurangkan ketegangan.

Pemandu bas hanya mengeluh perlahan. “Aku harap kamu semua tahu apa yang kamu lakukan di sini.”

Mereka terdiam lagi. Tiada siapa berani membalas. Hanya bunyi enjin bas dan lagu No Air Jordin Sparks yang perlahan-lahan bermain dari radio.

Dan bas itu terus bergerak ke dalam kegelapan malam.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.