Malam itu, hujan turun dengan lebat. Kilat sesekali membelah langit Kluang, memantulkan cahaya ke tingkap makmal rahsia yang tersembunyi di bawah tanah. Di dalamnya, seorang lelaki berdiri di hadapan skrin holografik, memerhati deretan kod yang bergerak pantas mengalir seperti arus elektrik dalam wayar terbuka.
Dr. Johan menarik nafas panjang. Tangannya menggenggam pemacu data kecil. Kunci kepada sesuatu yang tidak sepatutnya wujud.
“Inilah pengakhirannya,” bisiknya.
Tiba-tiba, pintu makmal berbunyi. Ada seseorang yang cuba ingin masuk. Dia tidak punya banyak masa. Dengan pantas, dia menekan beberapa butang di skrin, menghantar fail terakhir ke satu destinasi yang hanya dia tahu di mana. Kemudian, tanpa ragu-ragu, dia menekan butang DELETE ALL.
Seketika kemudian, seluruh makmal bergelap. Semua data hilang dalam sekelip mata.
Pintu akhirnya terbuka dengan kasar. Beberapa lelaki berpakaian hitam meluru masuk. Tetapi Dr. Johan sudah tiada. Hanya skrin yang masih berkelip dengan satu mesej terakhir:
“Masa depan bukan milik sesiapa. Masa depan ialah rahsia yang menunggu untuk ditemui.”
Di tempat lain, jauh dari makmal itu, telefon bimbit seorang remaja berbunyi dengan mesej yang tidak dikenali.
Pengirim Tidak Dikenali:
“Adakah kamu bersedia untuk kebenaran?”
Dan kisah ini pun bermula.