Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
32,284
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

"Lepaslah woi!"


Teriakan seorang budak perempuan memecahkan kesunyian hutan yang gelap, basah dan sedikit lembap udaranya dek hujan yang baru berhenti. Kelihatan seorang lelaki berbadan besar seperti ahli gusti memikul seorang budak perempuan yang sedang meronta-ronta dengan mata ditutup dan kaki serta tangannya diikat. Jeritan dan tengkingan kanak-kanak itu langsung tidak dihiraukan. Langkah lelaki itu berhenti di hadapan sebuah pondok kecil di tengah hutan itu.


"Turunkan aku!" Ainul menjerit lagi. 


"Okey."


Sid terus mencampakkan kanak-kanak itu ke atas tanah dengan selamba. Menangis Ainul dibuatnya disebabkan belakang badannya terasa sakit yang teramat, dek terhempas di atas tanah keras itu.


Zack berjalan keluar dari pondok, menghampiri kanak-kanak yang sedang dalam ketakutan itu lalu mencangkung di hadapannya. Namun Ainul tidak menyedari kehadiran lelaki itu. Yalah, matanya masih bertutup.


"Adik, adik jangan harap adik dapat lepas. Putus asa sajalah, ya," kata Zack dengan bersahaja. "Lagipun, di sini hutan tebal. Tiada sesiapa yang dengar jeritan adik tu, tak kira bertapa kuat pun."


Ainul menggeleng. Giginya diketap kuat. 


"Apa... Apa yang kau nak buat pada aku hah?"


Zack senyum sinis. "Exotika."


Ainul tergamam. Nampaknya mereka tahu dia mencuri dengar perbincangan antara mereka dan Abah Aza beberapa hari lepas. Mereka sudah menduga yang dia tahu kebenarannya. Tahu apa itu 'Exotika'. Dan, itulah sebab sebenar dia di sini sekarang ini. 


"Adik yang comel ni dah tahu satu rahsia. Adik tahu tak apa itu 'Exotika', dan kenapa benda itu sepatutnya jadi rahsia?"


Ainul menggeletar apabila dia merasakan sesuatu yang tajam dimain-mainkan di antara leher dan abdomennya. Macam pisau belati, sebab terasa tajam dan bergerigi pada masa yang sama. Rasa panik menyelubunginya. 


"Kalau namanya rahsia, sepatutnya tiada sesiapa pun boleh tahu," kata lelaki itu sambil ketawa.


"Ya ALLAH, tolong selamatkan aku," gumamnya perlahan. Nafasnya kencang.


Entah kenapa dia terdengar bunyi libasan sesuatu dan terasa ada cecair suam dan pekat terpercik pada badannya. Bunyi sesuatu yang berat jatuh ke tanah pula kedengaran selepas itu. Kemudian suasana jadi senyap. Sepi.


Ikatan matanya tiba-tiba dibuka seseorang seketika kemudian. Matanya terkedip-kedip, cuba membiasakan matanya dengan persekitarannya yang memang sedia gelap. 


Ainul tergamam apabila menyedari seseorang berjubah hitam dengan hud dan topeng muka menutupi wajahnya, sedang berdiri di hadapannya dengan sebilah pedang samurai yang berlumuran darah terhunus di tangan kanannya. Dua orang lelaki berhampirannya masing-masing sudah terbaring, dibasahi darah dan... 


Hilang kepala.


Dek terlalu terperanjat, pandangan Ainul terus gelap. Pitam.


(...)


Naufal, yang berjalan menuju ke arah Zack selepas memastikan lokasi sekeliling tiada orang, melopong apabila menyaksikan Zack dan Sid dipancung seseorang bersenjatakan pedang samurai dari kejauhan. Tanpa berlengah, dia terus buka langkah seribu. Panik menguasai mindanya. Van yang diparkir di tepi jalan berhampiran hutan itu terus dihidupkan, dan terus memecut meninggalkan tempat itu.


"Siapa tu? Macam mana orang itu boleh ada kat sana pula? Dia ke yang bunuh Datuk Fareez sebelum ni?" Naufal membebel, tangannya di stereng menggeletar kuat. Pedal minyak ditekan kuat. Habis segala lampu isyarat dilanggar dek ketakutan. Mujur juga tiada kenderaan di tengah jalan.


Sampai sahaja di bilik, dia terus masuk tidur. Langsung tidak berkata apa-apa. Nazmi yang masih duduk di hadapan tingkap pula kehairanan dengan sikap abangnya itu.


(...)


"Hausnya... Kafe dah tutup pula malam-malam ni."


Seorang doktor pelatih berjalan menuju ke arah mesin vending yang terletak tidak jauh dari zon kecemasan bangunan hospital itu. Niatnya mahu membeli sebotol air mineral untuk menghilangkan perit di tekak. Tugas yang diamanahkan kepadanya menyebabkan dia tidak cukup masa, walau untuk ke tandas sekalipun. Mahu makan pun tidak sempat, mahu solat pun kadang-kadang terpaksa jamakkan dek terlampau sibuk. Rehat? Entahlah.


Langkahnya terhenti apabila menyedari seorang kanak-kanak perempuan terbaring di atas lantai, betul-betul di hadapan pintu masuk zon kecemasan. Niat membeli air terus terbantut. Dengan segera dia berlari mendekati kanak-kanak itu.


"Adik, bangun, dik." 


Digoncang bahu kanak-kanak itu. Tiada respons. Nadi dan nafas segera diperiksa. Masih ada. Matanya tertancap pada sehelai kertas berlipat yang diletakkan di atas dada kanak-kanak itu. Kertas itu dikutip dan dimasukkan ke dalam sakunya, kanak-kanak itu pula dikendong masuk ke dalam hospital.


Dari kejauhan, lelaki serba hitam bertopeng itu memerhati gelagat doktor itu sebelum menghilang dalam pekat malam.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.