Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
32,278
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Pintu bilik terkuak. Salleh menjenguk ke dalam bilik sambil tersengih-sengih, memandang Andi yang duduk di atas katilnya. Bilik tempat mereka berdua menginap terletak di tingkat 5 Blok B, Kediaman Bersatu Jaya (KBJ), salah satu dari dua asrama kediaman siswa di KST.


Kalau diikutkan, majoriti rakan sekelas mereka semuanya duduk di aras sama. Blok B dan C, kedua-duanya blok asrama lelaki. Bukan hanya mereka yang sama kursus, malah rakan dari kursus Diploma Senibina pun tinggal di aras itu. Namun, mereka hampir tidak pernah terserempak kerana pelajar Senibina jarang balik ke bilik. Terlampau sibuk dengan tugasan sampai bantai tidur di studio!


"Telefon buah hati pengarang jantung ke tu?" Salleh, yang baru sahaja balik dari koperasi blok C, menegur Andi yang baru sahaja menamatkan perbualan telefon dengan seseorang. Andi tersengih.


"Telefon Dr. Fitri la. Buah hati apa bendanya," kata Andi. "Nak minta postpone appointment je."


"Ha, yalah. Appointment kau jatuh pada hari terakhir site visit tu, kan?"


Andi mengangguk. Salleh letak barang yang dibelinya di atas meja, tarik kerusi dan duduk bertentangan dengan rakan sebiliknya itu.


"Tapi, bukan kau dapat pelepasan tak perlu join site visit ke?" Salleh bertanya. Yalah, Puan Zu, penasihat akademik batch mereka sendiri yang berikan pengecualian itu selepas dihubungi Dr Fitri. Maklumlah, masalah Andi ini 'istimewa' sikit. Boleh huru-hara satu kolej kalau tidak dapat dikawal.


"Semester lepas tak dapat ikut. Apa salahnya saya pergi semester ini?" 


"Kau tahu kan, kenapa kau dapat pelepasan tu." Salleh mengecilkan matanya, masih memandang Andi yang tidak berganjak.


Andi diam seketika, berfikir. "Tahu. Tapi, banyak benda yang saya tak tahu sebab tak ikut site visit sebelum ni. Setakat tengok gambar rajah dalam buku, bukannya faham pun."


Pada semester lepas, mereka pergi lawatan tapak ke Wadi Ilmu, sebuah bandar rancangan yang masih dalam pembinaan. Bandar itu bakal menempatkan cawangan universiti dan kolej terkemuka dunia, maka pembinaannya pun bukan calang-calang. Banyak input diperolehi mereka yang turut serta.


Sudahnya, apabila En. Azri buat pop kuiz berdasarkan apa yang diperolehi sewaktu site visit lepas, Andi langsung tak dapat jawab, walaupun isinya ada dalam buku.


"Aku faham maksud kau. Masalahnya sekarang, kalau kau ikut serta, kau boleh ke kawal 'mereka' dari ikut menyibuk?"


Andi diam sambil hela nafas berat.


(...)


Cuaca di luar kelihatan mendung, namun tiada tanda hujan akan turun. Seorang lelaki duduk di kerusi, termenung jauh. Komputer riba di atas meja dibiarkan terpasang. Perisian Microsoft Word terpapar di skrin monitor, manuskrip novel yang sudah separuh siap dilihat sekilas. 


"Buntu betul nak habiskan novel ni," gumamnya perlahan. Kertas-kertas yang terlakar idea dan jalan cerita di atas meja dikemaskan, lalu dia keluar dari biliknya. Tekaknya tiba-tiba terasa haus.


Turun sahaja dia di ruang tamu, telinganya menangkap bunyi televisyen terpasang. Tentu itu Raz, abang sulungnya, yang baru sahaja pulang dari universiti. Dia terus melangkah ke dapur, mengambil mug kegemarannya lalu menuang air.


"Mayat sekumpulan lelaki ditemui dengan badan penuh kesan tikaman dan leher terputus di lorong kawasan perindustrian Bandar Saujana..."


Matanya tiba-tiba terbeliak. Dengan pantasnya dia letak mug di atas meja dan berlari ke ruang tamu, matanya tertancap pada skrin televisyen. Raz yang sedang duduk di sofa terus mengalihkan pandangannya ke arah adiknya yang kelihatan sedikit pucat.


"Kenapa dengan kau ni, Syam? Tiba-tiba lari macam nampak hantu ni?" Raz menegur, sedikit terkejut dengan tingkah laku adiknya itu. Dah kenapa lari-lari dalam rumah sendiri?


Dia hanya diam, menonton berita itu sehingga habis. Dia kemudian pergi ke biliknya, meninggalkan abangnya yang masih terpinga-pinga.


(...)


"Takkanlah..."


Tangannya menggeletar menggerakkan manuskrip novelnya dalam Microsoft Word itu. Muka surat terakhir manuskrip novel yang ditaipnya kelmarin dibacanya berulang kali. Sama. Keadaan mayat. Lokasi mayat dijumpai. Jumlah mayat. Punca kematian.


Semuanya sama.


Dia gigit kuat bibirnya. Agaknya kalau tajam giginya itu, dah luka bibirnya dikerjakan.


"Mana perginya benda tu," bebelnya perlahan. Dia cuba kawal emosi yang sudah bercelaru, tidak mahu abangnya perasan. Dia ke almari baju, mencari sesuatu. Tiada.


Dia kemudian melihat bawah katilnya. Nafasnya dihela lemah. Jumpa juga akhirnya. Tangannya terus menarik keluar sesuatu yang panjang dan berbalut kain dari situ. Dia duduk bersila di atas lantai. Kain yang membungkus barang panjang itu dibuka dengan tergesa-gesa. Dia kemudian membelek-belek benda itu.


Itu sebilah pedang samurai. Ya. Pedang samurai sebenar, diimport dari Jepun. Jangan tanya bagaimana boleh lepas kastam.


Hulu pedang ditarik, sarung pedang ditanggalkan. Nafasnya terasa sesak. Ada darah kering tersisa di mata pedang itu. Walhal bilah pedang itu bersih berkilat sewaktu kali terakhir dia periksanya beberapa hari lepas.


Sisa darah itu... Kelihatan seperti darah manusia.


"Tak mungkin..."

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.