Home Novelet Seram/Misteri CINCIN BERDARAH
CINCIN BERDARAH
AD Rahman Ahmad
8/3/2015 01:23:39
9,451
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Bab 1.

Sunyi, seperti selalu. Aku saja yang ralit menyiapkan kerja di kala waktu telah pun menginjak jam dua pagi. Keluhan berdetasan. Pandanganku mula menyoroti ke pintu gelangsar. Angin sepoi-sepoi bahasa mengulit langsir. Aku leka memerhati sehingga pendengaran menangkap bunyi sesuatu.

Aku diam sejenak dan membetulkan dudukku. Bulu roma mulai naik menegak. Semua deria semakin peka. Bau semerbak menyusuk rongga hidung. Arghhhh `Dia’ datang lagi. Datang untuk menguji. Namun aku tidak bisa menyembunyikan gentar di hati.

Aku bangkit. Langkahku atur hala ke balkoni. Niat di hati ingin menutup pintu gelangsar. Namun kelibat sesuatu meruntun keberanianku. Ingin mengundur tidak terdaya. Lampu di dapur yang terpasang tiba-tiba terpadam. Cahaya yang tadi terang-benderang kini menjadi malap, hanya cahaya lampu jalan kelihatan.

Berdesir suara seakan menyapa. Mata terbuka hanya mampu melihat. Wajah yang tidak kelihatan. Rambutnya yang panjang berjurai serta ketawa yang mengilai-ngilai. Aku jadi panasaran. Takut! Hilai tawanya mengepam dengupan jantungku. Deras, keras.

Aku kuatkan hati, pandangan tetap terjurus kepada lembaga itu. Segala keringat aku tumpahkan dengan ungkapan `Bismillahhirrahmannirrahim’ disambung dengan bacaan Surah Yassin. Suara yang mengilai semakin lama semakin lemah dan akhirnya terus hilang. Bau wangi yang mengganggu sebentar tadi juga turut lenyap. Cahaya yang malap kembali cerah. “Alhamdulillah… dahlah, janganlah dok muncul lagi,” pintaku.

Aroma dingin masih membaluti tubuhku. Kerja yang tadi terbengkalai ingin segera disambung. Namun sekali lagi tubuh ini kaku berdiri apabila berpaling, segera mataku menangkap satu lembaga melintas begitu pantas di hadapan. Tanpa berlengah, aku segera berlari ke arah bilik tidur. Namun bukan bilik tidurku, tetapi bilik tidur orang tuaku. Tombol pintu biliknya segera aku pulas, terkuak sedikit pintunya. Tanpa peduli keizinan emak, aku segera menyelinap masuk dan merebahkan tubuhku di sebelahnya.

Emak seakan mengerti lalu memberi ruang untuk aku berada di sisinya. Segera aku memeluk emak. Namun deria pendengaranku masih bisa menangkap satu suara yang mendayu-dayu memanggil namaku. Aku perhatikan keadaan emak, tidurnya begitu nyenyak. `Apakah hanya aku saja yang mendengar suara itu? Tapi mengapa aku?’ bisik suara hatiku. Sekali lagi kedengaran suara itu memanggil-manggil. `Ya ALLAH, dugaan apakah ini…” ratapku sambil bibirku tidak lekang dari membaca Ayat Kursi.

Namun, `dia’ seakan menduga. Sejurus aku berhenti dari membaca Ayat Kursi, dengan begitu pantas kembali kedengaran dengusan halus berbisik di cuping telingaku. `Siti… siti… pandanglah aku, ikutlah aku…’ rayu suara itu. Kedengaran suara itu, membujukku berulang kali. Aku kumpulkan segala kekuatan, dengan segera aku berpaling mencari suara yang memanggil-memanggil namaku. Namun tiada sesiapa pun di belakangku.

Geram! Tanpa lengah aku terus bangun dari pembaringan. Duduk seketika di birai katil sambil kembali teringat pesanan arwah ayah suatu ketika dahulu. Ketika itu umurku belasan tahun. Seingat aku, aku sering diganggu makhluk-makhlus halus. Ayah tidak mengerti mengapa hanya aku yang sering menerima gangguan itu. Lalu ayah mengajarku membaca enam ayat terakhir dari Surah Yassin lalu disambung dengan Ayat Kursi. Tanpa membuang waktu, segera aku menuju ke arah suara yang memanggil itu.

“Ya ALLAH,” lafaz bibirku. “Innahu minsulaiman wainnahu bismillahhirrahmannirrahim…” lalu kupanjangkan bacaan enam ayat terakhir dari Surah Yasin serta Ayat Kursi. Aku mempunyai iktikad bahawa tidak kira apa jua bentuk syaitan yang berada di muka bumi ini adalah hamba ALLAH. Aku juga percaya malah umat Islam juga turut percaya ayat `A’uzubillahhiminassyaitannir rajim, yang mana kita semua sedar syaitan itu wujud untuk mengganggu anak-anak Adam.

Entah dari mana datangnya keberanian aku, sepenuh tenaga aku bangun dan melangkah keluar dari bilik dengan penuh perasaan ingin tahu. Peluh dingin sudah mulai terbit dari liang-liang romaku. Aroma dingin yang menerobos melalui balkoni menambahkan gerun di dalam diri. Semakin bibir ini terkumat-kamit dengan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran, semakin kuat aroma dingin itu menyapa pipiku.

Semakin lama, bacaanku semakin jelas dan lancar. Begitu juga suara lembaga itu merengus dan semakin kuat hilaiannya. Aku dan `dia’ seakan beradu suara. Aku tidak akan mengalah sehingga engkau yang mengalah. Itu nekadku. Renungan bola matanya yang kemerahan sedikitpun tidak menakutkan aku. Dapat aku lihat, air matanya seperti darah pekat yang mengalir lambat di pipinya.

Tanpa membuang masa, aku menghentakkan kaki kanan dan serentak itu juga sekali lagi “Innahu minsulaiman wainnahu bismillahhirrahmannirrahim…” lalu kupanjangkan bacaan enam ayat terakhir dari Surah Yasin serta Ayat Kursi. Sebaik habis sahaja ayat yang terakhir, bergemalah suara yang nyaring mengilai dan sekaligus lembaga itu juga turut menghilang.

Aku yang melihat kejadian itu lantas menadah tangan tanda syukurku. Masih lagi terasa ketakutannya, tetapi naluri hati ingin tahu apakah `dia’ benar-benar sudah pergi. Aku berlari anak menuju ke balkoni dan mengintai-ngintai sekitarnya. Tiada apa yang dapat dilihatkan cuma kedengaran suara sang cengkerik berdendang sayang.

Kembali semula ke ruang tamu, duduk kembali mengadap komputer ribaku sambil anak mata menjeling ke arah petunjuk waktu di bawah sisi kanan skrin komputer. `Ermmm, dah hampir jam empat pagi. Tidur jelah jawabnya.,’ rungutku. Lantas aku menekan punat `off’ komputerku dan menyusun semula kertas-kertas serta buku-buku rujukanku dan menyimpannya ke dalam beg sandang berjenama Nike, kegemaranku. Kisah yang berlaku tadi aku biarkan saja tanpa memikirkannya. Bimbang andai si `dia’ datang kembali.

Aku kembali ke bilik emak. Belum sempat aku merebahkan badan di samping emak. Tubuh emak sedikit bergerak, aku lihat kelopak matanya sedikit terbuka. Sambil tersenyum memandang aku. Belum sempat emak bersuara, aku terlebih dahulu menegurnya.

“Emak ni, yang tersenyum pandang orang tu kenapa? Buat orang cuak je…” rungutku.

“Kenapa pulak tak boleh senyum. Kau ingat mak kau ni… hantu apa?” soal emak. “Bukan tadi kau dah tidur sebelah emak ke, Siti? Ni… masa bila pulak kau bangun,” tegur emak sekali lagi. Tangannya segera menarik selimut yang melorot di hujung kakinya.

“Pergi `off’ kan komputer tu mak. Tadi terlupa… dah terbaring baru teringat,” bohongku.

“Emmm, dahlah. Tidur…”

Aku ikut cakap emak. Segera aku meluruskan tubuhku di tilam empuk emak. Aku peluk emak erat-erat. Aku pejam mataku rapat-rapat.

“Siti… siti…” kedengaran suara halus emak memanggil aku.

“Eh… orang tua ni! Ngigau ke apa?” hatiku menyoal. Aku buka mata dan tatap wajahnya. Aku lihat emak begitu polos tidurnya. Helaan nafasnya turun naik. `Isk…’ rungutku.

“Siti… Siti, tak tidur lagi? Mak laparlah Siti,” keluh emak. Dengusannya berdesah. Dadanya berombak. “Mak nak makan…” pintanya tiba-tiba.

Aku terpinga-pinga dengan permintaan emak. Belum sempat aku membuka mulut bertanyakan hal yang lebih lanjut, emak kembali bersuara.

“Siti… telinga kau. Mak nak makan telinga kau…” suara mak bertukar daripada lembut menjadi nyaring. Aku yang mendengar terloncat dari pembaringan.

“Telinga?”

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.