FATIN menyusun
semula kertas-kertas peperiksaan yang baru selesai ditanda. Semuanya disusun
elok-elok lalu diletakkan di atas fail yang akan dibawa ke sekolah esok. Apa
pun yang berlaku, tugasnya sebagai seorang guru tetap dijalankan juga. Itulah
sahaja punca rezekinya sekiranya apa-apa terjadi kepada perkahwinannya dengan
Luqman.
Dalam kelesuan,
dia padamkan lampu bilik yang kini menjadi tempat kerjanya saban malam. Bilik
itu juga menjadi bilik bacaan dan bilik belajar Wani. Namun sebelum itu, bilik
itu adalah bilik tidur Amran, anak sulungnya yang sudah meninggal dunia sejak
dua tahun yang lalu.
Dari bilik itu dia
singgah sebentar di bilik tidur Wani. Melihatkan wajah Wani yang begitu polos,
air matanya bergenang. Betapa dia berharap keluarganya seperti keluarga yang
lain juga. Bahagia, mesra dan saling ambil berat. Namun dia sedar, tiada perkahwinan
yang tidak diduga dengan masalah. Setelah perasaannya lega sedikit, dia
berjalan perlahan ke bilik tidurnya sendiri.
Sewaktu dia tiba, Luqman
sudah lama lelap. Malah sesekali kedengaran bunyi dengkuran yang kuat. Dengan
perlahan-lahan, diangkat kedua belah kaki yang sudah membengkak ke atas tilam. Diurut-urut
sebentar sebelum merebahkan kepala di atas bantal.
Nafas dihela panjang.
Cuba dipujuk hatinya yang sedih namun perasaannya bagai dibuai-buai. Akhirnya
air mata menitik juga di pipi. Baru hendak diseka, seekor lalat hinggap di pipi
kiri.
Dia segera
menguisnya tetapi lalat itu tetap menghurung kepalanya sambil mengeluarkan
bunyi dengung yang aneh.
Spontan Fatin
mengangkat kepala. Dia pandang ke sekeliling bilik yang hanya diterangi oleh
lampu tidur, namun lalat itu tidak kelihatan lagi. Dia hempas nafas lega lalu
berbaring semula. Baru hendak memejamkan mata, bunyi berdengung kedengaran
lagi. Malah kali ini lebih kuat sehingga dirasakan seolah-olah memenuhi satu bilik.
Apabila dia mendongak ke atas, matanya terbeliak.
Siling bilik
tidurnya dipenuhi sekawan lebah sehingga membentuk setompok warna hitam. Belum
sempat dia menyebut apa-apa, lebah-lebah itu meluru turun dan mengerumuninya
dari kepala hingga ke kaki.
Fatin menjerit dan
meronta-ronta.
Bisa sengatan
lebah itu terasa seperti cucuhan api yang berbisa. Dia ingin bangun tetapi
tidak mampu. Kaki dan tangan membengkak dan keras bagaikan batu. Dia ingin
memanggil Luqman namun lidahnya kebas. Akhirnya dia pasrah, mengharungi
detik-detik yang sungguh menyakitkan itu sambil terketar-ketar tubuhnya menahan
seksa yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Dalam keadaan
tidak berdaya dan mamai, Fatin hanya ingatkan ALLAH. Dia memohon agar walau apa
pun yang berlaku; nyawa Wani dan anak dalam kandungannya selamat. Sayangnya
semua itu mengakibatkan, perutnya menjadi bertambah senak seperti dihempap
sesuatu yang besar lagi berat.
Nafasnya jadi
sesak. Mulutnya ternganga. Namun penderitaannya belum habis setakat itu. Beribu-ribu
ekor lebah pula berebut-rebut masuk ke dalam mulutnya; menyengat dan menggigit
dinding tekak hingga ke dalam perut. Natijahnya, darah membuak-buak keluar dari
mulut, hidung dan telinga.
Nafas Fatin
bertambah nipis. Dia menanti ajal dengan pasrah.
“Fatin! Fatin!”
Luqman menggoyang bahu Fatin beberapa kali tanpa menyedari yang dia telah
menyelamatkan nyawa Fatin pada malam itu.
*****
“UHUK! UHUK!”
Fatin terbatuk
kuat diselang-seli helaan nafas yang payah. Ternyata tekaknya masih lagi rasa
tersumbat dan sakit. Dia tercungap-cungap mencari nafas setakat yang terdaya.
Sedar-sedar sahaja baju yang dipakai basah lencun. Peluh menitik dari kulit
kepala hingga ke hujung kaki.
“Kenapa ni?”
Luqman berkerut dahi. Selama ini tidak pernah pula Fatin berkelakuan begitu.
“Fatin diserang
lebah, bang!” Fatin bertempik sebaik sahaja dapat melontarkan suara semula.
“Lebah?” Kerutan
dahi Luqman semakin rapat. Dia memandang ke sekeliling tetapi tidak melihat
apa-apa walaupun seekor nyamuk. “Mana ada lebah?”
“Ada tadi.” Fatin
menangis. Dia geram kerana dirinya tidak dipercayai Luqman.
“Mimpi saja tu.”
Luqman tolak selimut ke hujung kaki.
“Bukan mimpi! Tapi
betul-betul.”
Kali ini Luqman
mengeluh. Sikap Fatin semakin hari semakin pelik.
“Kalau betul ada
lebah, takkanlah hilang sekelip mata,” katanya sambil berdiri di tepi katil. Dia
terjaga tadi kerana terasa mahu buang air. Tidak semena-mena itu pula yang dia
lihat.
“Tadi ada.”
Fatin menggigil di
bawah selimut. Tadi terasa panas kini dia terasa sejuk sampai ke tulang sumsum.
Dia tidak berani memandang siling.
“Tak ada.” Suara
Luqman meninggi. Dia mula bosan dengan sikap Fatin yang dirasakan keanak-anakan
demi meraih perhatian dia. Makin lama makin meluat pula dengan sikap Fatin.
“Ada. Lebah tu
banyak. Dia bersarang pada siling kita. Tadi lebah tu terbang serang Fatin.”
Air mata Fatin
sudah merembes keluar. Setiap kali dia cuba menyakinkan Luqman, setiap kali
kali juga dia teringatkan segala apa yang dilalui tadi. Malah masih terasa-rasa
sakit di dalam mulut dan perutnya.
Luqman terus
mendongak memandang siling. Apa yang dilihat ialah sebuah kipas yang sedang
berpusing laju dan siling berwarna putih. Tidak langsung dilihatnya walau seekor
lebah. Ternyata semua itu hanyalah khayalan atau mainan mimpi Fatin. Akhirnya
dia mengeluh dan menggeleng sambil melenggang ke bilik air.
Melihatkan Luqman
tidak mempercayai ceritanya, Fatin menangis tersedu-sedu di bawah selimut.
Malam itu menjadi
satu malam yang sangat memeritkan buat Fatin.
Sampai ke pagi, dia tidak tidur kerana setiap kali matanya terpejam, dia
akan terdengar bunyi dengung di sekeliling dia.