500 tahun dahulu
Di sempadan
wilayah Kanchanaburi
DI HUJUNG jambatan
yang merintangi Sungai Chao Phraya, Ply Kaew menghentikan kuda putih yang
ditunggang. Dia menoleh ke belakang sebentar untuk memerhati kota yang baru
ditinggalkan. Pada saat itu rasa kecewa, marah dan malu menghempas-hempas dada.
Ternyata segala
bakti dan taat setianya selama ini belum cukup untuk raja mempercayai dirinya.
Segala pengorbanan meninggalkan isteri dan ibu, segala penat lelah, darah dan
peluh di medan perang hanya dibalas dengan penghinaan dan seratus kali sebatan
yang hampir memisahkan daging dari tulang. Dan kini dia dihalau pergi dari
tempat lahirnya sendiri.
Ketika itu bulan
mengambang penuh. Setelah penat menunggang kuda tanpa henti, Ply Kaew berhenti
di tepi sebatang sungai yang jernih. Ditambat kuda yang ditungganginya pada
sebatang pokok lalu dia merebahkan diri di gigi air sambil melontar jauh
pandangan matanya ke arah biasan cahaya bulan yang menari-nari di atas air.
Keindahan malam
itu cuba dinikmati namun fikirannya tetap tidak tenteram. Rasanya lebih baik
dia mati di medan perang daripada hidup dalam keadaan yang memalukan itu.
Dia berfikir di
mana silapnya dan apa yang boleh dilakukannya lagi. Akhirnya dia membuat satu
kesimpulan. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, dia perlu menjadi yang
terbaik walau dengan apa cara sekalipun. Dia perlu membuktikan dirinyalah yang
terbaik dari segi apapun.
Hanya dengan itu
dia dapat membalas dendam dan mendapatkan semula semua yang telah dirampas dari
hidupnya.
Dia langsung
terbangkit dan duduk semula. Sambil merenung air sungai yang mengalir deras,
dia teringat akan segala ilmu yang pernah dituntut dari Sami Kong; seorang
pakar ilmu hitam di Kanchanaburi. Mungkin sudah sampai masanya dia menggunakan
segala apa yang dia tahu.
*****
MASA berlalu, Ply
Kaew masih tinggal menyendiri di hutan itu. Namun dendam dan azamnya masih
membara. Setiap hari dia menekuni tiga buah buku yang pernah diserahkan kepada
dia semasa belajar di Kuil Pailalai dahulu. Satu demi satu ilmu hitam ditekuni.
Dia mula menyediakan dirinya sedikit demi sedikit.
“Neraka menjadi
saksi, aku bangkitkan roh Sri Mok yang sakti!” Mantera itu dibaca sambil
mencurahkan darahnya yang ditadah di atas sehelai daun ke muka kuda
tunggangannya.
Kudanya terlompat
dan berdiri tegak. Kakinya menguis-nguis angin. Matanya menjadi merah seperti
biji saga. Serentak dengan itu, hutan diterpa angin hitam yang kuat. Kuda Ply
Kaew meringkik dan meronta-ronta. Akhirnya tali pengikat terputus, lalu kuda
Ply Kaew menerjah anak sungai dan lari jauh ke dalam hutan.
Ply Kaew cuba
mengejar namun gagal. Hanya setelah hampir pagi kudanya pulang mencium kaki.
Akan tetapi kudanya yang pulang itu sudah tidak sama lagi.
“Sri Mok,” panggil
Ply Kaew.
Dia sedar ilmu
hitamnya berjaya. Sri Mok bukan kuda biasa. Sri Mok, kuda yang boleh berlari
kencang bagaikan terbang di atas angin. Sri Mok juga tidak lut senjata dan
sangat berani.
Dia gembira
memiliki Sri Mok; akan tetapi dia juga tidak lupa satu perkara. Lantas dia
pergi memburu binatang liar. Darah dan daging binatang itu disajikan kepada Sri
Mok kerana itulah makanan Sri Mok mulai sekarang.
Sejak itu, dia dan
Sri Mok, terus mengembara untuk melengkapi diri dengan ilmu hitam. Semakin hari
semakin ramai yang tunduk dan gerun kepada dia. Akan tetapi hatinya tetap tidak
berasa puas.
Ada satu lagi ilmu
hitam yang ingin dikuasainya. Ilmu hitam yang belum pernah dikuasai oleh
mana-mana sami sebelum ini. Ilmu hitam yang sangat ampuh di medan perang iaitu
gumanthong.
Masalahnya, sudah
puas dicari, sudah puas ditelek setiap kali bertemu dengan wanita hamil, namun
belum diketemukan dengan seorang bayi yang mampu dipuja rohnya. Bayi yang
istimewa dan memenuhi syarat-syarat ilmu tersebut.
Sehinggalah satu
hari dia melepaskan penat di tepi sebuah sungai. Takdir menemukan dia dengan
apa yang dia cari.
*****
“KAMU siapa?”
Sebilah pedang berwarna kuning kehijauan mencucuk pangkal leher Ply Kaew yang
sedang tertidur di atas sebuah batu lebar.
Dia yang masih
kepenatan terpinga-pinga. Apabila diperhati ke sekeliling Sri Mok sudah entah
ke mana. Namun dia tahu kalau begitu keadaannya, dia telah termasuk ke dalam
satu kawasan yang dikuasai sesuatu kumpulan penjahat. Dia dianggap penceroboh.
“Bangun! Kamu
siapa? Buat apa di hutan ini?” tempik seorang lelaki yang bertubuh gempal.
Garang wajahnya.
Ply Kaew bangun
perlahan-lahan. Berhadapan dengan musuh bukan perkara asing malah dia tidak
sedikit pun gentar walau dikelilingi oleh enam orang lelaki berwajah bengis.
Namun selama tidak ada yang mengenali wajahnya; dia tidak rasa terhina.
Bagaimanapun lelaki yang menangkapnya itu berlembut sebaik sahaja bertentang
mata dengannya. Dia diterima dan dilayan dengan baik.
“Aku... Ply Kaew.
Engkau pula siapa?” jawab Ply Kaew tanpa rasa takut. Semua ilmu hitam yang
telah dipelajari diguna habis-habisan untuk menundukkan lawan.
“Aku, Moihun.
Ketua kumpulan di sini. Engkau telah masuk ke dalam kawasan kami.” Lelaki
bertubuh gempal tadi menjawab dengan tenang.
Ply Kaew tersenyum
nipis.
“Aku hanya
pengembara,” kata Ply Kaew lagi.
Dia harap Moihun
memahami yang dia tidak berniat jahat. Malah yang sebenarnya dia tidak tahu pun
di mana dia berada. Akhirnya Ply Kaew diterima baik dalam kumpulan itu. Dan
dengan kehebatan ilmu hitamnya dia telah membantu kumpulan Moihun merompak
sesiapa sahaja. Akhirnya hati Moihun terbuka untuk menjodohkan Ply Kaew dengan
anak gadisnya, Bialee.
*****
DARI sehari ke
sehari, Ply Kaew menjadi gelisah. Berkurung di hutan itu menjadikan dia
runsing. Dendamnya masih belum terpadam. Cita-citanya untuk menjadi yang
terbaik belum lagi tercapai sehinggalah pada satu malam dia bermimpi. Yang anak
dalam kandungan isterinya itulah janin yang dicari-cari.
Berhari-hari Ply
Kaew termenung dan membawa diri jauh dari kumpulan itu. Dia serba salah
memikirkan antara Bialee yang baik dan dendam kesumat yang masih beraja di
hati. Akhirnya pada satu malam yang gelap, dia pulang semula.
Melihatkan
suaminya pulang, Bialee menyambut Ply Kaew dengan kerinduan. Pada waktu itu
kandungannya sudah melepasi umur lima bulan dan dia dalam keadaan sihat.
Sayangnya Ply Kaew
berasa amat sakit hati. Dia rasa dikhianati apabila makanan yang dihidangkan
oleh Bialee mengandungi racun.
“Dari mana kamu
mendapat makanan ini?” Dia bertanya dengan hati-hati.
“Dari ayah,” balas
Bialee tanpa mengesyakki apa-apa.
Maka tahulah Ply
Kaew bahaya dirinya ditakuti. Namun semua itu juga membuatkan dia berubah hati.
Lalu pada malam itu dia mengajak Bialee menunggang Sri Mok.
“Kita hendak ke
mana?” tanya Bialee. Ajakan itu dirasakan aneh; tambahan lagi perutnya sudah mula
besar.
Ply Kaew tidak menjawab.
Dia bawa Bialee jauh dari tempat asalnya. Setibanya di suatu tempat; Bialee
dipukau dan ditidurkan.
Pada waktu itulah,
Ply Kaew membelah perut Bialee dan janin anaknya yang baru berusia lima bulan
direntap keluar.
Sejak malam itu.
Ply Kaew tidak ke mana-mana. Dia hanya duduk di situ meratib mantera dan memuja
janin anaknya yang disalai di atas api. Pada malam ke tujuh, janin yang dijamu
diterima. Maka terhasillah gumanthong yang pertama di dunia.
******
SETAHUN selepas
itu, Ply Kaew kembali semula Kanchanaburi. Kesalahannya telah diampunkan. Dia
diberi tempat semula dalam pasukan tentera dan diarahkan ke medan perang
memimpin satu pasukan.
Berbekalkan
keyakinannya kepada gumanthong yang kini disimpan dalam rantai yang dipakai,
juga kepada kehandalan Sri Mok yang tiada tolok banding dan kepada segala kuasa
ilmu hitam yang dipelajari; Ply Kaew pergi berperang dengan berani. Segala
serangan senjata dan ilmu hitam dipatahkan dengan mudah.
Sejak itu; satu
demi satu peperangan dimenanginya. Namanya semakin mahsyhur dalam kerajaan
Ayutthiya. Tidak ada yang dapat mengalahkan dia. Kawan dan musuh menjadi gerun.
Akhirnya; semua cita-cita yang diimpikan selama ini tercapai. Dia menjadi
pahlawan lagenda zaman berzaman.
Masa berlalu,
sepuluh tahun selepas itu Ply Kaew tidak lagi ke medan perang. Tempatnya
diganti anaknya, Ply Arm. Segala pengalaman berperang dan ilmunya diturunkan
kepada Ply Arm kecuali ilmu berkenaan gumanthong. Ia tetap menjadi rahsia
peribadi kerana, setiap kali dia menyentuh rantai di lehernya dia rasa sedih
dan bersalah.
Akhirnya dia
memutuskan untuk kembali semula ke
tempat pemujaan dijalankan. Di situ, dia membaca mantera dengan linangan
air mata. Janin anaknya yang kini sudah mengecut dan hanya tinggal sebesar
kotak mancis ditanam di sebelah kuburan kecil yang menempatkan sisa-sisa tulang
Bialee.
Dia harap,
usahanya itu menyatukan semula anak dan ibu yang telah terpisah secara paksa.
Tidak dia sangka,
segala perbuatannya diperhatikan seseorang. Setelah dia meninggalkan tempat
itu, janin itu digali semula dan dibawa ke Chiang Mai.
Di situ gumanthong
milik Ply Kaew... dihidupkan semula.