Home Novelet Seram/Misteri Chalet
Chalet
NaimTamdjis
19/7/2017 21:05:14
25,325
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Fattah berjalan seorang diri menuju ke arah chalet. Setelah turun dari teksi sapu yang disewanya enggan menghantarnya ke tempat di tuju Dhujung Chalet.. Dia tengah panas mentari yang tegak di atas kepala, haba panas benar-benar memanaskan hati Fattah. Sudahlah terasa panas dengan pemandu teksi sapu yang enggan menghantarnya. Sedangkan tambang sudahpun dibayar. Kata pemandu teksi tidak sampai 300 meter lagi chalet yang ditujunya. Pemandu itu memberikan alasan ada perkara mustahak dan hanya dapat menghantar Fattah di simpang menuju ke chalet.

Tapi dia benar-benar bengang. Bukan 300 meter dia sudah berjalan. Tapi sudah hampir setengah kilometer. Bajunya sudah basah dengan peluh. Tapi bangunan chalet tidak kelihatan. Malah sepanjang dia berjalan kaki, tidak nampak kelibat penduduk kampung yang lalu lalang. Ada beberapa biji rumah di sepanjang jalan tetapi semuanya seperti ditinggalkan.

"Siot betul pemandu tu. Kata 300 meter. Ini sudah 500 meter aku berjalan. Ke aku sesat? Tapi pemandu tu kata ikut je jalan ni. Nanti sampai. Bukan kata chalet, orangpun tak nampak. Kenderaan lagilah. Sepatah haram takde. Ke pemandu tu kenakan aku? Ini kalau kena rompak memang sia-sia," omelnya.

Dia ternampak pondok usang di tepi jalan. Fattah pantas melajukan langkahnya. Dia mahu rehat sebentar. Kakinya sudah lenguh. Setelah sampai Fattah segera mengambil beg yang disandang di belakang lalu diletakkan di pondok. Fattah melihat jam tanganya. Waktu menunjukkan pukul 5 petang. Kedengaran bunyi ombak menghempas pantai semakin kedengaran. Angin laut menyapa tubuhnya.

Fattah mengambil nafas. Matanya ditutup. Disedutnya dalam-dalam. Tenang. Fikirannya lapang. Matanya dibuka perlahan-lahan.

"Disebabkan aku nak siapkan novel terbaru ini.. terpaksa aku bertukar Angin. Encik Mat Ali tu tak sabar-sabar nak manuskrip baru. Katanya nak lebih baik dari Kak Mawar yang meletup tu. Kalau boleh tapau jualan Kak Mawar. Bapak susah nak beat Kak Mawar yang sudah 10 cetakan. Dok rumah serabut aku. Baik bercuti sambil siapkan novel," omelnya lagi.

Itulah tujuannya ke sini. Menyiapkan manuskrip yang masih tertangguh. Mengambil keputusan untuk mengambil angin baru. Tidak mahu duduk di hotel. Sebaliknya mengambil chalet yang agak terpinggir. Mahukan suasana tenang. Setelah digoogle. Fattah merasakan tempat ini sesuai untuk mencari ilham.

“Sedap betul angin laut ni,” katanya perlahan.

Fattah mengambil begnya lalu dijadikan bantal. Fattah berbaring. Niatnya hanya mahu berehat sebentar sambil melepaskan lelah. Perlahan-lahan matanya terkatup.

 

 

Fattah perlahan-lahan membuka matanya. Hari semakin gelap. Dia segera bangun dan melihat jam.

“Nok haram. Sudah dekat pukul 7. Aku tertidur,” kata Fattah panik.

Dia segera mengambil beg. Lalu kembali berjalan. Fattah meraba poket begnya. Lampu suluh kecil dikeluarkan.

“Berapa lama aku kena berjalan ni. Harap sempat sampai sebelum gelap,”

Fattah mula berjalan. Langkahnya di lajukan. Seperti tadi hanya dia seorang diri yang berjalan. Keadaan sekitar mula terasa sunyi. Angin laut mula menderu menyapanya.

Baru 60 meter, dia terdengar bunyi sesuatu. Seolah-olah orang berjalan. Fattah mencari dari mana datangnya bunyi tersebut. Lampu suluh diarahkan ke tepi jalan di belakangnya. Belukar terhuyung hayang seolah-olah ada yang merauknya. Fattah mula panik. Takut babi liar yang keluar dari belukar. Dia mula mengambil bersedia untuk mengambil langkah seribu.

“Siapa tu?” soal Fattah.

Maka keluarlah sesusuk tubuh lelaki tua yang bongkok dari celahan rumput panjang. Wajahnya berkedut tanda lelaki tersebut sudah terlalu tua. Langkahnya perlahan dibantu oleh tongkat yang dipegang oleh tangan kirinya. Lelaki tersebut memakai semutar yang lusuh.

“Pakcik nak,” kata lelaki tersebut perlahan.

Fattah berasa lega. Dia menghampiri lelaki tua tersebut.

“Assalaimualaikum pakcik,” sapa Fattah lalu menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Lelaki itu tidak menjawab salam tetapi menyambut huluran tangan Fattah. Fattah terasa tangan lelaki itu dingin. Sedingin ais. Tangan lelaki tersebut mengigil.

“Pakcik buat apa di dalam semak?”

“Rumah pakcik dalam tu nak.”

Fattah melihat ke arah ditunjukkan oleh pakcik tua tersebut. Hanya nampak sayup-sayup bumbung rumah yang agak uzur. Tidak dapat sebarang cahaya dari dalam rumah.

“Nama pakcik siapa?”

“Nama pakcik Goos.”

“Goos?” ulang Fattah inginkan kepastian.

Pakcik Goos mengangguk perlahan.

“Mujur saya jumpa pakcik. Saya ingat kampung ini tidak ada orang. Dari tadi saya berjalan jangan kata orang. Kenderaanpun tiada.”

Pakcik Goos hanya tersenyum sumbing.

“Banyak penghuni sudah tiada. Pakciklah yang paling tua nak,” jawab Pakcik Goos.

“Pakcik Goos tinggal seorang diri? Anak tiada? Berapa umur pakcik” soal Fattah bertalu-talu.

“Dia sibuk. Ya pakcik sudah biasa tinggal seorang diri. Cuba teka umur pakcik. Kalau nak tahu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi nak,” kata pakcik Goos selamba.

Dahi Fattah berkerut. Eh orang tua ni bergurau pula. Tahulah aku ada kat Melaka. Kata hati Fattah.

“Hahaha. Kamu anggap pakcik ni bergurau ya. Pakcik tahulah kata hati kamu.”

Amboi. Kata hati akupun dia tahu? Agaknya orang tua ni nyanyuk. Lupa makan ubat kot.

“Mana ada nyanyuk. Pakcik ingat lagilah walaupun lama dah pakcik hidup,” celah pakcik Goos.

“Yelah yelah,” jawab Fattah.

Dia malas mahu melayan pakcik Goos. Lagi lama, lagi lambat dia mendaftar masuk. Hari semakin gelap.

“Jalan ini menuju ke Dhujung Chalet?” soal Fattah inginkan kepastian.

Pakcik Goos mengangguk.

“Saya beransurlah dulu. Hari sudah semakin gelap,” Fattah meminta diri.

Fattah menghulurkan salamnya. Sambil itu diselitkan wang rm 20. Itulah kebiasaannya. Memberi sedekah kepada mereka yang kurang upaya dan warga tua. Pakcik Goos tersenyum. Kemudian dia berlalu pergi. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam semak. Orang tua itu meraduk belukar lalu menghilang. Fattah kembali meneruskan perjalanannya.

Keadaan jalan semakin gelap dan sunyi. Fattah melajukan langkahnya. Kemudian dia terlihat papan tanda kayu yang usang Dhujung Chalet yang menunjukkan lagi 200 meter akan sampai ke destinasi. Fattah mempercepatkan langkahnya. Selang beberapa pokok di tepi jalan. Pakcik Goos bergayut di salah satu dahan dan memandangnya tajam.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.