Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
26,216
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 6

RIAK wajahnya kosong. Bahagia tidak, marah pun tidak. Tiada keceriaan, sedangkan dapat balik ke kampung tanpa bersusah payah. Dia tidak perlu lagi hirau tentang tiket bas. Dan dia tidak perlu lagi berpanas-panasan menunggang motosikal hanya semata-mata untuk pulang ke kampung.

Namun mukanya tetap mencuka.

Farhad berpeluk tubuh sambil bersandar selesa. Kesejukan pendingin hawa kereta berjaya mengalahkan kepanasan suasana di luar. Matahari membahangi bumi Malaysia.

Sally di samping kiri sedari tadi menyigung lengannya. Seraya tersengih bak kerang busuk. Apa lagi yang dia nak pun Farhad tak faham. Teruja sangat melihatnya dapat balik ke kampung halaman Farhad.

Mungkin sudah tidak sabar untuk mengenali bakal ahli keluarga, getus Farhad.

Pak Anas memerhati keadaan di belakang melalui cermin. Dia tersenyum simpul sejurus tidak sengaja memandang gelagat majikannya.

Lebuh raya lekas sungguh sesak pada hari minggu pagi ini. Lebuh raya berlainan arah sama-sama dipadati pelbagai jenis kenderaan. Antaranya kereta, motosikal, lori dan bas. Masing-masing berlumba hendak cepat.

“Kamu ... memang nak balik hari ke? Pak Anas tengok jalan raya bukan main sesak hari ni,” ujar Pak Anas. Kesesakan mungkin akan berlarutan hingga malam nanti.

“Ya, Pak Anas. Esok saya ada kelas. Lagipun, saya yakin yang orang sebelah saya ni takkan betah duduk kampung lama-lama,” seloroh Farhad serta tergelak kecil.

You perli I?” soal Sally lalu tersenyum kanyur.

Farhad dan Pak Anas sederap mengemam mulut.

I bukan apa ... takut you yang tak selesa. Kat kampung I tu banyak nyamuk dan ... kakak I garang tau.”

Mulut Sally buat-buat ketawa. Garang? Jadi dia perlu gementar? Adakah begitu maksud Farhad?

Farhad mengerling sedikit ke arah Sally yang membuang pandangan ke luar tingkap. Tak percaya sudah, desis Farhad darihal petunjuk yang diberi baru sahaja tadi.

Kereta Audi A6 tersengguk-sengguk di atas permukaan jalan. Bila nak sampai kalau begini gayanya?

Lebih baik aku tidur, suara hati Farhad. Disandarkan kepalanya. Bukan selalu dapat merasa jadi 'bos'.

Mereka berdua yang duduk di bahagian penumpang mulai kantuk. Tanpa disedari sama-sama mereka melelapkan mata.

Pak Anas geleng kepala.

“Aku yang memandu, diaorang yang mengantuk,” gumam Pak Anas berasa hairan.


PANCARAN cahaya matahari menerobos ke dalam kelopak mata. Merah. Gesit dia terjaga. Penglihatan dilarikan dari arah tingkap kenderaan.

Dia mendengus. Perlahan-lahan dia membelalakkan mata.

“Dah nak sampai?” tanya dia kepada diri sendiri. Dia menggesek kelopak mata. Orang sebelah dipandang sejenak. Enak metah Sally diulit mimpi.

“Ha, bangun pun. Sekarang ni nak belok mana?” soal Pak Anas yang sejak tadi hanya mengharapkan bantuan GPS. Audi A6 itu bertegun setagal.

“Belok kanan, Pak Anas.”

Pak Anas anggukkan kepala. Stereng dipusingkan.

“Nanti kat depan sana ada rumah warna hijau, Pak Anas belok kiri,” kata Farhad awal. Nanti kalau terlajak, sudah dikira menyusahkan Pak Anas pula.

Empat tayar meluncur ke hadapan dengan had sederhana. Sebelah kiri menjadi tumpuan. Mata memandang sebuah demi sebuah rumah kampung. Setiap rumah mempunyai jarak sekurang-kurangnya 20 meter.

Kereta membelok ke kiri. Bergerak perlahan melepasi jambatan. Syukur, mereka telah selamat tiba di destinasi.

Setelah 2 jam tersekat dalam kesesakan lalu lintas, akhirnya mereka sudah sampai di Kuala Kangsar. Banyak ujian yang mendatang ketika dari Kuala Lumpur ke Perak.

Salah satunya, terdapat banyak kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan trafik sesak.

Seorang wanita berkerudung mengelih tepat ke arah kereta yang  memasuki halaman rumahnya. Orang kaya datang dari mana pula ni? Wanita itu tertanya-tanya.

Secara perlahan menapak mendekati kereta mewah tersebut. Kegelapan tingkap memayahkan untuk dia mengintai siapakah gerangan di dalamnya.

“Kak! Had balik!”

Sergahan tersebut menyebabkan wanita itu kaget. Hampir sesak deruan nafas Hana.

“Had! Apa ke he mike balik tak kabor kat akak?” gusar Hana.

“Teman memang nak buat kejutan pun .... Teman balik ni tak seorang diri kalau kak nak tahu. Ni ha, ada orang dari KL ikut sekali...”

“Orang dari KL?” soal Hana seakan tak percaya.

Pintu kereta terpelangah. Seorang perempuan berpakaian seksi melangkah keluar. Terbeliak biji mata Hana.

“Hai, kak. Apa khabar?” Sally bersikap terbuka, sebaliknya sikap Hana berlawanan dengannya. Dia menghulurkan tangan.

Hana tidak mengacuhkan perjabatan tangan itu.

“Apalah. Kereta je besar tapi pakaian tak cukup kain,” komen Hana tak berlapik. Sakit matanya apabila melihat gadis berpakaian menjolok mata di kampung ini.

Sally berang. Tidak boleh terima mengenai komen pedas tersebut. Matanya dengan mata Hana tajam berbalas renungan.

Pantas Farhad membawa langkah menuju ke pintu sebelah. Dia harus menghalang dua figura itu daripada berbalah.

“Kak, aboh mana?”

“Aboh kat dalam rumahlah, apa lagi,” bidas Hana seraya menjegilkan mata.

Farhad menyengih. Disenggol lengan Sally berkali-kali, mengajak perempuan itu masuk ke dalam kediamannya yang tak seberapa.

“Yang ni pula siapa?” tanya Hana baru menyedari kemunculan Pak Anas.

“Ini drebar, Sally ... Pak Anas yang tolong hantarkan teman balik. Kalau tak, tak adalah teman sampai Kuala ni naik kereta,” seloroh Farhad serta tangan kanan dan kiri menjinjit beg pakaian. Boleh tahan beratnya, padahal mereka tidak menginap di sini pun.

“Jemputlah masuk.” Hana menyilakan tetamu-tetamu itu acuh tak acuh.

“Kakak you macam tak suka I je,” suara Sally berbisik. Dia dan Farhad masih ketinggalan di belakang, manakala Hana dan Pak Anas sudah berlalu masuk ke dalam rumah dua tingkat itu.

“Kan tadi I dah cakap? Kakak I tu garang. Itulah you, siapa suruh tak percaya cakap I?” sindir Farhad lalu melangkah.

Sally memutarkan bebola mata. Sejurus itu, ia pun berjalan mengikuti langkah Farhad.

Hana memicingkan mata. Tajam cara dia merenung Sally. Ketidakpuasan berpijar-pijar dalam hati.

“Assalamualaikum, aboh.”

“Waalaikumussalam ... Had? Mengapa tak kabor nak balik?” Haji Ramli bangkit dari perbaringan. Timbunan ubat-ubatan tersusun di sebelah tilam.

Haji Ramli telah dimasukkan ke hospital selama 3 hari disebabkan paru-paru berair dan baru dibenarkan pulang semalam.

“Maaf, aboh sebab Had baru sempat balik melawat aboh. Assignment banyak bebenor,” tutur Farhad. Dia berasa kesal kerana tidak dapat menemani sekaligus menjaga Haji Ramli sepanjang di hospital.

“Tak apa. Aboh okey. Yang dua orang ni siapa?” tanya Haji Ramli terhadap dua orang tetamu itu. Rupa mereka macam orang dari bandar.

“Itu Pak Anas, tuan drebar. Yang ini pula Sally, girlfriend awok.”

Sally tersipu-sipu duduk di sisi Farhad.

“Hai, uncle... Apa khabar?” sapa Sally.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah, pak cik sihat,” balas Haji Ramli kurang berdaya namun tetap mengukirkan senyuman.

Bibir Sally melorekkan segaris senyum nipis. Semua yang dia buat, pasti ada saja yang tidak kena di mata keluarga ini.

“Jemput minum. Saya dah hidangkan minuman dan sedikit kuih kat dapur,” pelawa Hana usai menghidangkan makanan.

Wajarlah kakaknya tiba-tiba menghilang, ternyata sibuk menyediakan hidangan untuk para tetamu. Salah Farhad juga, balik secara mengejut.

Pak Anas dan Sally mengorak sila lalu menyusun langkah ke tingkat bawah. Di mana terletaknya dapur dan bilik mandi. Kini cuma Farhad yang menemani Haji Ramli di ruang tamu.

“Itu kekasih kamu?”

Farhad senyum-senyum siput sembari menganggukkan kepala.

“Jaga batas pergaulan. Itu anak dara orang. Kalau ada perkara buruk yang berlaku, mike harus bertanggungjawab. Sentiasa ingat tuhan,” pesan Haji Ramli diakhiri batuk kecil.

“Baik, aboh. Awok balik kejap je ni. Esok awok ada kelas.”

Haji Ramli dengan lesu mengangguk. Dia sangat memahami tugas Farhad sebagai seorang pelajar. Farhad pulang melawatnya sahaja, dia sudah lebih dari bersyukur.

Kendatipun gembira dengan kepulangan Farhad, rasa bersalah tetap bersarang dalam sanubarinya.


“TAK, Isya dan Zafran takkan putuskan pertunangan. Lagipun, Zaf dah janji nak berubah. Kan, Zaf kan?” Beria-ria Isya membela nasib tunangnya. Zafran tidak menunjukkan sebarang reaksi. Isya berhenti daripada terus bermonolog.

Setarek Tengku Aariz meminta mereka agar memutuskan ikatan pertunangan, hanya Isya yang bercakap tak henti-henti.

Lelaki yang rambutnya sudah dilebati uban itu, sekadar tersenyum sumbing. Keliru, sama ada anak perempuannya itu seorang yang lembam atau lurus bendul.

“Berubah kepada yang lebih jahat atau kepada yang lebih baik?”

Zafran mengepal penumbuk. Dari anak matanya saja boleh menggambarkan bara amarahnya. Setiap butir sindiran Tengku Aariz bagaikan das tembakan.

Bertalu-talu.

Isya mengeluh. Ayahandanya benar-benar sudah melampaui batas.

“Ayah ... sudahlah,” minta Isya yang sedari tadi hanya bersabar. Tengku Aariz tanpa henti menghentam Zafran. Bukankah itu perbuatan yang kejam?

“Ayah dengan Zaf makanlah dulu. Isya nak pergi tandas kejap,” tutur Isya seraya bangun dari kerusi. Dia melangkahkan kaki menuju ke tandas.

Rancangan Isya pada mulanya, sekadar mengajak Tengku Aariz dan Zafran datang ke restoran mewah ini untuk perbaiki hubungan tapi lain pula yang berlaku.

Semakin mengeruhkan keadaan!

“Tinggalkan Isya. Kamu tak layak untuk puteri saya,” ujar Tengku Aariz senada. Garpu dilepaskan jatuh ke pinggan. Chicken chop tidak dijamah.

“Apa dosa saya dengan tengku? Sehinggakan tengku benci sangat dengan saya?” Giliran Zafran untuk bersuara.

“Saya dah tak sanggup untuk melihat anak perempuan saya terseksa. Kamu memang dari keluarga berharta. Tapi saya tak pandang semua tu. Saya mahukan lelaki yang boleh membimbing anak saya berubah ke jalan yang lebih baik.”

Zafran membingkas. Sudah cukup penghinaan untuk hari ini. Dia menghentak meja sebelum berlalu pergi.

Dia berjalan tegak tanpa menoleh ke belakang. Anak tangga dipijak. Dia turun dengan laju. Pintu kaca utama ditolak.

“Zaf! Zaf!”

Ketika berjalan menuju ke tempat letak kereta, namanya dijerit.

“Apa lagi yang Isya nak? Ha!” bentak Zafran di pinggir jalan.

“Tolong maafkan ayah, Isya? Please Zaf,” rayu gadis itu dengan linangan
air jernih di tubir mata.

“Maafkan ayah, Isya? Puih! Jangan haraplah!” Zafran meludah. Langkah yang tertangguh kembali disambung.

“Zaf ... tolong jangan tinggalkan Isya ...” Dia lantas memaut tangan Zafran.

“Kau nak apa lagi? Tak serik-serik!” Sebelah tangan Zafran terangkat. Ingin melayangkan tamparan ke pipi gadis itu.

“Zafran!”











Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey