Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
26,219
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 3

“TENGKU PUTERI QALISYA? Cantik sungguh nama tu ... seperti tuannya. Kan, Zad?” Farhad cuba berinteraksi tapi rakan serumahnya itu sekadar berkelakuan bena tak bena.

Sibuk sungguh gayanya si Azad memasak mi segera. Farhad menghidu bau dari jauh. Nama yang tertera dalam diari itu dibaca untuk kali ke berapa sudah tidak terhitung.

“Tengku Puteri Qalisya? Azad, kau pernah dengar tak nama anak-anak raja dalam Malaysia yang nama dia sebiji macam ni?”

Terjegil biji mata Azad yang sedang duduk menanti maggi kari berubah lembut. Soalan sepandir inikah yang Farhad cuba tanya kepadanya?

“Kau ingat, dia sorang je ke anak raja dalam Malaysia ni?”

Terjebik Farhad di meja belajar. Dia mencuri baca isi kandungan diari itu.

“Hari demi hari, aku berasa cinta Zafran terhadap aku semakin pudar. Walaupun beribu kali dia menafikan, berjuta kali firasat aku merasakan hal itu.”

Mulut Farhad membaca setiap tulisan berangkai di dalam diari itu. Sedari tadi, tiada satu saat pun dia berganjak dari meja belajar.

“Nah. Aku dah masakkan maggi kari, special untuk kau. Makan,” arah Azad. Jelas dari nadanya sedang gusar.

“Macam tak ikhlas je buatkan maggi untuk aku?” Sengaja Farhad mengusik. Dia perasan yang sikap Azad selalu berubah sejak kebelakangan ini. Pasti ada masalah dengan teman wanita, duga Farhad.

“Aku ... stresslah Far,” luah Azad di meja sebelah. Seleranya untuk makan hilang sekejap.

Stress? Sekarang kau cerita kat aku, apa yang menyebabkan kau gundah-gulana semenjak dua menjak ni.”

Farhad meletakkan diari di atas meja. Maggi kari yang dihiasi telur mata itu cukup membuatkan dia terliur, namun masalah Azad lebih penting.

Girlfriend aku. Dia dah lain sekarang.  Aku ... takut kehilangan dia. Aku masih cintakan dia. Far, tolonglah aku ...” Kedua-dua belah bahu Farhad digoncangkan.

Farhad umpama terkena renjatan elektrik. Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Inikan pula badan manusia.

Pusing kepala Farhad. Azad memberhentikan perbuatannya. Namun penglihatan Farhad masih berpinar-pinar.

“Ya Allah ... pening kepala aku. Kau boleh relaks tak Zad?” suara Farhad sambil memicit dahi.

Azad memulakan sesi luahan. Mulutnya pot pet, pot pet mengatakan cinta hatinya seolah-olah telah berubah hati. Panggilan telefon tak dijawab, mesej tak dibalas. Azad di Kuala Lumpur, cinta hatinya di Pulau Pinang.

Wajarlah Azad runsing tak menentu.

Mi segera bertentangan mereka tidak berusik dari tadi. Kendatipun mi mulai mengembang dan dingin, Farhad layankan sahaja luahan hati tersebut.

Dia mengerti perasaan pria itu, tambah pula peperiksaan semakin hampir. Sekurang-kurangnya apabila Azad mencurahkan perasaannya yang rawan itu, hilang sedikit beban di dada.

Omongan Azad terhenti. Sudah tiba waktunya untuk Farhad si bijaksana memberikan cadangan yang bernas.

“Ujian bagi cinta jarak jauh adalah kesetiaan. Perjanjian, hanya sebuah lafaz. Kalau antara kau dan dia berlaku curang, itu maknanya tiada lagi kesetiaan. Seandainya dia ada lelaki lain, kau harus lepaskan dia, Zad.”


LOCENG rumah berbunyi beberapa kali. Lubang telinga ditutup dengan jari. Bising!

Lantas dia bangun menjengah jendela. Diselak kasar tirai berwarna krim itu. Retina mata Isya merenung tepat ke arah jejaka yang menekan butang loceng berulang kali.

Ugutan pengawal keselamatan langsung tidak mematahkan semangat Zafran. Tidak cukup dentingan loceng belasan kali, dia memekik melaung nama Isya.

“Isya! Keluarlah! Zaf tahu, Isya ada kat dalam!”

Isya berdengus seraya beredar keluar dari kamar. Setelah berjam-jam terperuk dalam bilik, muncul juga batang hidungnya.

“Isya, Zaf datang tu,” kata Che Puan Medina sebaik sahaja kelibat anak daranya menjelma.

Tiada segaris senyuman yang terbit di bibir Isya, sebaliknya keluhan yang terpacul. Che Puan Medina mendengar dengan jelas keluhan tersebut.

Pasti Isya dan Zafran tengah bertengkar.

Dentingan loceng terhenti. Isya merapatkan daun pintu sebelum berjalan menghampiri Zafran. Isyarat diberikan sambil berpeluk tubuh.

Pengawal keselamatan itu menurut perintah. Zafran diberi keizinan untuk masuk.

“Sayang,” panggil Zafran sambil melangkah masuk ke dalam perkarangan rumah banglo.

“Tak payah nak bersayang-sayang sangatlah,” suara Isya meluat.

Zafran tersenyum lebar seolah-olah dia tidak pernah melakukan dosa. Dia mengedangkan sejambak bunga kepada Isya. Hari ini sudah masuk kali kedua Zafran mengirimkan bunga.

“Ini bunga yang Zaf bagi kat Isya tadi, tertinggal kat dalam kereta.” Zafran tertawa sendiri.

Isya merengus geram. Dia fikirkan itu adalah sejambak bunga yang lain. Ternyata, itu adalah bunga siang tadi!

“Kenapa Isya tak balik dengan Zaf tadi? Isya balik naik apa tadi?” Lemah lembut pertanyaan Zafran. Bisa cair hati para gadis jika terdengar suara tersebut.

“Teksi,” jawabnya senada.

“Oh ... teksi,” ujar Zafran selepas mendengarkan jawapan daripada tunangnya. Jejaka tampan berdarah kacukan Inggeris itu tidak henti tersenyum.

“Kenapa tiba-tiba Isya bad mood dengan Zaf ni?” soal Zafran berasa hairan dengan tingkah laku Isya. Bukankah baru pagi tadi hubungan mereka berdua kembali berbaik?

“Zaf tanya dengan diri Zaf sendiri,” jawab Isya bersahaja. Ketika dia hendak mengorak langkah meninggalkan Zafran, sebuah kereta memasuki perkarangan kediaman. Gesit Isya berlakon seperti tiada masalah.

“Zaf, Isya. Buat apa kat luar ni?” tanya Tengku Aariz sejurus keluar dari kereta.

Bungkam. Isya terus berlalu masuk ke dalam rumah banglo tiga tingkat itu.

“Zafran, jemputlah masuk ke dalam. Sampai bila kamu nak tercegat kat situ?”

Zafran tersentak. Sungguh ralit dia memikirkan penyebab Isya tiba-tiba bersikap dingin dengannya. Sehinggakan namanya diseru pun dia tidak sedar.

“Kamu ada masalah dengan Isya kan?” cungkil Tengku Aariz. Paras rupanya dihiasi kerutan.

“Takdelah tengku,” sangkal Zafran.

Tengku Aariz dan Zafran berjalan beriringan.

“Masih sempat ni untuk solat Asar berjemaah. Zafran, kamu jadi imam. Boleh?”

Langkah Zafran menjadi berat. Terbelalak mata bundar jejaka itu. Solat berjemaah? Itu maksudnya ... dia perlu menjadi imam?


USAI makan malam di rumah Tengku Aariz, Zafran tergesa-gesa berhajat untuk balik. Macam tahu-tahu pula yang Tengku Aariz berkehendak mengajaknya solat Isyak berjemaah.

Isya menemaninya menuju ke kereta yang terparkir di luar kawasan rumah.

“Isya, terima kasih,” ucap Zafran berlapang dada.

Thanks for what?” tanya Isya pura-pura tak mengerti.

“Sebab Isya dah selamatkan Zaf tadi. Isya sendiri pun tahu kan? Zaf tak reti solat, apatah lagi nak jadi imam ...”

Bibir Isya tarik senyum sinis.

“Isya selamatkan Zaf tadi, demi nak tutup aib Zaf. Tapi ... pernah tak Zaf terfikir untuk tutup aib sendiri? Isya dah penat Zaf!”

Kaget Zafran tatkala Isya melengking. Hanya ditemani cahaya bulan purnama, Zafran melihat empangan air mata gadis yang sangat dia cintai pecah.

“Sampai bila Zaf nak teruskan kehidupan berfoya-foya dan kaki perempuan? Isya terlalu cintakan Zaf. Dan Isya takut ...”

“Takut apa?” tanya Zafran hatta menyilangkan tangan. Bingit gegendang telinganya mendengar esakan Isya.

“Isya takut kalau Zaf tak sempat nak bertaubat ... Isya tak nak Zaf masuk neraka. I love you so much, Zafran.” Isya menuturkan tentang ketakutan yang dirasai olehnya.

Dia sudah tidak tahan menyaksikan perihal hidup Zafran yang bergelumang dengan noda dan dosa.

Geli hati Zafran. Pria tersebut mengetawakan Isya ketika dia berada dalam keadaan serius.

“Zaf yakin, mesti video Zaf menari kat pub semalam dah tersebar sampai pengetahuan Isya kan? Hahaha!” Terbahak-bahak Zafran ketawa sambil menepuk tangan.

Mustahil kalau rakaman tersebut tidak sampai ke pengetahuan Isya, seluruh pelajar di institut pengajian tinggi itu sudah menerima rakaman video tersebut.

“Isya sendiri pun tahu kan? Papa Zaf, meninggal dalam keadaan mabuk. Dari kecil, mommy dan daddy tak pernah ajar Zaf pasal agama. This is my life. Isya kena belajar untuk terima diri Zaf seadanya,” ujar Zafran berserta renungan mata yang redup. Dia membuka pintu kereta dan melangkah masuk ke dalam perut kereta.

Tanpa ucapan selamat tinggal, dia berlalu pergi meninggalkan kesan luka di hati. Bukaan langkah Isya kelihatan letak. Sangat perlahan.

“Ayah dah dengar semuanya.”

Suara parau dari sebalik tembok memeranjatkan Isya. Anak mata Tengku Aariz mencerun tajam. Lantas dia menekur tanah.

“Kita kena berbincang tentang Zafran. Kamu masuk ke dalam sekarang!” arah Tengku Aariz, suaranya tinggi satu oktaf.

Bergegas Isya masuk ke dalam rumah. Tengku Aariz beristighfar memohon ampun kepada Allah. Dadanya sarat dengan amarah.

Lelaki separuh kurun itu mengayun langkah pantas mengekori puterinya. Mereka dua beranak melabuhkan punggung serentak di atas sofa.

Ketegangan kian terasa. Che Puan Medina menyibukkan diri di dapur. Dia malas hendak masuk campur urusan dua beranak itu.

“Patutlah masa solat Asar dan Maghrib tadi, kamu beria-ria halang Zaf jadi imam. Rupa-rupanya ... Zaf tak reti solat. Baru ayah tahu .... Ciri-ciri lelaki macam tu kamu nak buat jadi suami?”

Isya menundukkan wajah, menahan tangis. Tidak membantah.

“Dahlah kaki minum sama macam bapa dia. Silap-silap bila kamu dah kahwin dengan dia, jadi kaki pukul pula.”

Ketidakpuasan hati Tengku Aariz terlihat jelas. Sebenarnya, rakaman video Zafran menari di kelab malam semalam merupakan arahan daripadanya. Dia sanggup mengupah orang untuk mencari bahan bukti.

Hanya semata-mata untuk tatapan Isya.

“Ayah nak, kamu putuskan pertunangan dengan Zafran.”

Isya menggeleng. Dia tidak mahu. Dia dan Zafran saling mencintai sejak di bangku sekolah. Bukan mudah untuk mereka mempertahankan hubungan pertunangan yang terjalin sebaik sahaja mereka tamat sekolah.

Pelbagai liku-liku dan rintangan sudah mereka renangi. Tak mungkin semudah itu mereka putus? Janji kesetiaan masih terpateri.

Isya mengorak sila. Secara tiba-tiba, dia melutut di hadapan ayahandanya.

“Ayah, tolong bagi Zaf peluang ... Isya masih cintakan dia. He is my first love. Isya yakin, Zaf akan berubah. Isya akan pujuk dia untuk berubah. Tolong Isya, ayah ... Isya merayu ....”

Tangisan Isya bergaung menujah telinga ayahnya. Menjadikan sebab Tengku Aariz berasa serba salah.

Tidak lama kemudian, Isya memagut tangan Tengku Aariz. Menjujuh air mata membasahi kedua-dua pipinya. Merayu agar ayahnya mengubah keputusan. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey