Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
26,219
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 7

JAM di pergelangan tangan kiri dikerling. Masa kian berputar. Seminggu telah berlalu. Semenjak pulang dari kampung tempoh hari, Sally sentiasa menghilangkan diri.

Tingkah lakunya berubah secara drastik. Kebiasaannya, Sally akan menelefon Farhad untuk berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Tapi situasi sekarang berubah.

Farhad berasa ralat. Straw minuman disedut. Air tebu membasahi tekak. Sedap apabila minum air sejuk pada panas terik begini.

Sekali lagi jam tangan dikerling. Berapa lama Sally nak biarkan dia menunggu di tasik ini berseorangan? Kulit kepala Farhad kian terbakar.

“Kalau sampai 5 saat dia masih tak datang, lebih baik aku balik,” gumamnya lalu menghitung saat.

Satu.

Dua.

Tiga.

“Far.”

Kiraan Farhad terhenti. Orang yang dinanti telah datang. Dia bangkit dari duduk. Peluh yang merenik di dahi segera diseka.

Sally membisu seribu bahasa. Dia maju selangkah ke arah Farhad.

You okey? Seminggu you menyepikan diri, tahu-tahu nak jumpa I hari ni. You ada masalah?”

Farhad bertanya kerana prihatin.

Angguk.

I ...” Sebutan Sally agak meleret.

“Nak air tebu? Nah, I ada beli dua.”

Geleng.

Farhad menarik semula pelawaan. Diletakkan semula minuman ke atas kerusi.

“Kenapa ni?” soal Farhad seraya merenung tunak seraut wajah yang keruh itu.

“Far ... I nak bagitahu you something.

Gulp!

Farhad mengecup air liur. Sally memanggilnya dengan nama penuh? Ke mana hilangnya gelaran 'baby'?

“I nak putus.”

Dia terkedu.

Putus?

“Sebab?” tanya Farhad serius.

“Sebab ... I dah jumpa lelaki yang lebih baik daripada you. Handsome, kaya dan yang paling penting ... setaraf dengan I,” ucap Sally dengan penuh berkeyakinan.

Seminggu menyepikan diri, tahu-tahu hari ini meminta putus? Farhad masih tergamam. Berdoa bahawa semua ini cuma ilusi.

I doakan, you dapat jumpa perempuan yang lebih baik. Dan yang paling penting sekali, kakak you dapat sukakan perempuan tu.”

Nada suara Sally terdengar sinis. Terlepas satu beban di dada. Bukannya susah untuk meminta putus.

“Tak! I tak boleh terima alasan you,” tukas Farhad. Diraih jari-jemari Sally.

“Ish!” Sally mendengus.

“Takde angin, takde ribut. Tiba-tiba je you minta putus? Apa hal? Siap cakap dah jumpa pengganti I! Wow! Dalam seminggu je dah jumpa pengganti?”

Rahang Farhad bergerak-gerak. Mengapa harus meminta putus di saat hatinya telah mencintai?

“Cermin diri you. I ni anak Tan Sri, sementara you? Anak penoreh getah. Perbezaan kita macam langit dengan bumi,” bisik Sally dekat ke kuping telinga Farhad.

Farhad ketap gigi.

“Sejak balik dari your village haritu ... I rasa kalau kita kahwin, I memang takkan ada masa depan dengan you. Kebetulan pula pada suatu one day tu, I terjumpa dengan seorang anak Dato'.”

“Jadi? You rasa yang you ada masa depan dengan dia?” Farhad memotong kata-kata Sally.

Bibir mungil Sally tersungging sinis. Betul, itu adalah perihal yang dia ingin sampaikan.

“Kalau macam tu ... pergilah. I doakan yang terbaik buat you dari jauh. Semoga berbahagia,” ujar Farhad sejurus memusingkan badan. Punggungnya kembali direbahkan ke atas permukaan kerusi.

Thanks, Far. I balik dulu.” Ini merupakan perbualan terakhir antara mereka berdua.

Kasut tumit tinggi 4 inci yang dipakai oleh Sally, berderap sepanjang melangkah pergi.

Farhad menghamburkan tangis menghadap tasik. Air pancut memancut ke udara. Sedemikian pula air mata jantannya tumpah membasahi wajah.

Dia reda dengan ketentuan Allah. Akan ada hikmah di sebaliknya.




BERMULA dari peristiwa makan malam itu, Isya gagal mengesan jejak langkah Zafran. Sudah seminggu Zafran tidak hadir ke kuliah. Tiada khabar dan berita yang kedengaran.

Terus terbayang detik-detik Zafran melayangkan tamparan ke pipi mulusnya. Perit.

Ayahandanya sendiri tidak pernah menampar mukanya, namun tunangannya dengan sewenang-wenang menampar pipinya. Siap di hadapan mata Tengku Aariz pula itu!

Berani sungguh.

“Jangan pernah sesekali engkau dekat dengan anak aku! Mulai hari ni, putus tunang!”

Masih terdengar-dengar di telinga Isya iaitu amaran keras daripada Tengku Aariz. Sejujurnya pada hari tersebut, bukanlah kali pertama tangan Zafran ringan menampar pipinya.

Mungkin sudah masuk kali kedua?

Ataupun ketiga?

“Isya?”

Tersentak. Dia berhenti dari melengung. Seseorang menegurnya di tempat perhentian bas.

“Zaf?” Isya mengucap panjang. Terkejut. Sekonyong-konyong Zafran memunculkan diri.

“Jom, Zaf hantarkan Isya balik?”

Zafran datang mendekat. Dari jarak sejauh 2 meter sahaja, bau alkohol sudah menusuk ke hidung. Manakala pakaian bekas tunangnya itu juga terlihat serbah-serbih.

“Zaf, minum lagi ke?” tanya Isya biarpun sudah tahu jawapan sebenar.

“Taklah. Mana ada.” Zafran menidakkan walaupun bau alkohol yang keluar dari mulutnya semakin kuat.

“Isya ... Isya tunggu ayah jelah. Takut kalau ayah marah Isya nanti,” ujar Isya bergetar.

“Isya tak rindukan Zaf?” Dengan intonasi manja, Zafran bertanyakan soalan kepada Isya. 

Isya mati akal. Dia mengetap bibir. Melihat keadaan Zafran yang tidak lagi terurus, cukup meluluhkan hatinya.

“Isya rindukan Zaf,” katanya jujur.

Zafran mengorak senyum kucing.

“Kalau macam tu, ikut Zaf.”

Jejaka itu tetap memaksa.

“Baiklah,” balas Isya tanpa berfikir panjang.

Dia berlalu masuk ke dalam perut kereta. Pintu ditutup perlahan. Tetapi berbeza pula dengan Zafran, pintu kereta dihempas.

Bergegar jadinya kereta BMW M5 itu.

Isya menggosok dada sebaik sahaja mengenjutkan kedua-dua bahu.

“Zaf, kenapa hempas pintu macam tu? Kan boleh tutup elok-elok?”

“Zaf sengaja. Nak bergurau,” jawab Zafran sewajarnya. Nadanya kedengaran psiko. Dia memandang ke arah Isya. Senyumannya melebar.

Kereta itu akhirnya meluncur di atas lebuh raya. Had kelajuan seperti biasa. Tidak terlalu laju atau terlalu lambat.

“Nak air?” soal Zafran. Sebelah tangan meraba, mencari botol. Jus oren dihulurkan.

Orange juice, your favourite right?

“Ha ... ah,” jawab Isya teragak-agak. Dia berasa was-was, namun tetap menerima pemberian tersebut. Penutup botol dibuka hanya dengan sekali pemusingan.

“Zaf dah buka botol air ni?” tanya Isya, hendakkan kepastian.

Zafran membungkam. Seperti sedang berfikir.

Yes. Zaf nak bagi Isya minum, jadi Zaf bukakan awal-awal. Orange juice kan favourite Isya.” Berpatah-patah perkataan ulasan Zafran. 

Isya mati kutu. Bonda, tolong Isya. Hanya hatinya yang mampu bersuara. Andai masa boleh berputar, pasti dia akan menolak pelawaan Zafran.

“Apa lagi yang Isya nak tunggu? Minumlah.”

“Balik nanti Isya ...”

“Minum sekarang,” suruh Zafran tegas.

“Tak nak!” Isya memprotes.

Lahar di hati Zafran sedang menggelegak. Pemanduan berjeda di kaki lima. Kereta yang lalu-lalang sedikitpun tidak mengendahkan mereka.

“Buka mulut! Minum!” 




DIA meletakkan perlahan-lahan jasad itu ke atas katil. Satu jarinya mengambil kesempatan, jari telunjuk itu mengelus pipi gebu Isya. Pipi yang dia tampar kelmarin.

“Maafkan Zaf,” suara pria itu, separuh sesal.  Zafran melabuhkan punggung di tepi katil. Ditenung tunak roman wajah Isya yang sedang tidur lena.

“Isya nak tahu tak? Sejak kes malam tu, mommy halau Zaf keluar dari rumah. Mommy marah dan mengamuk sebab Zaf tampar Isya. Kat sinilah tempat Zaf berteduh sekarang. Hotel bajet. Setiap malam, Zaf akan pergi kelab malam. Huh, Zaf ni memang lelaki tak guna kan?”

Zafran inginkan perhatian daripada Isya saat ini. Namun Isya masih belum sedarkan diri. Tangan naik menyentuh kepala Isya yang masih dibaluti selendang coklat.

“Maafkan Zaf sekali lagi ya?”

Niat Zafran mulai terpesong ke arah yang tidak baik. Pin selendang itu mahu dicabut.

Tok! Tok! Tok!

“Argh! Setiap kali aku nak buat jahat, masa tulah ada saja gangguan!” rungut Zafran, serentak berdiri.

Dengingan ketukan pintu semakin jelas kedengaran kencang. Sel-sel otak Zafran gagal menebak siapa gerangan itu. Dikuak pintu tersebut.

Buk!

Satu buku tangan mendarat ke pipi kirinya. Zafran terjelepok. Tidak cukup dari itu, disusuli satu lagi tumbukan padu hinggap ke pipi kanannya.

“Engkau bangun! Bangun!”

Dia bangun seperti yang diarahkan. Tiada ruang pernafasan yang diizinkan oleh Tengku Aariz. Tiada belas kasihan.

Tersandar badannya ke dinding.

Kolar pakaian Zafran dicengkam.

“Apa yang kau dah buat dengan anak aku? Cakap! Cakap cepat!” jerkah Tengku Aariz. Kewarasan beliau diuji.

“Saya tak sempat buat apa-apa, tengku. Saya hanya bagi dia ubat tidur,” kata Zafran dengan pandangan berkaca-kaca.

“Penipu!”

“Sumpah, tengku!”

Halkum Tengku Aariz bergerak setiap kali meneguk air liur. Kedua-dua tangannya melepaskan kolar baju itu.

“Ali, bawa dia ke balai polis,” arah Tengku Aariz kepada pemandu peribadi yang sedari tadi menjadi perisik untuk Isya.

Pak Ali melaksanakan arahan.

“Tengku, tolong ... saya merayu. Jangan bawa kes ni sampai ke pihak polis,” pinta Zafran sebelum terlambat.

“Engkau dah tampar anak aku, hari tu. Dan sekarang? Engkau culik dia, siap bagi ubat tidur! Tahu pun takut, kalau aku bawa kes ni ke pihak polis?” Tubir bibir Tengku Aariz ternaik.

“Tolong kesiankan mommy, saya. Saya merayu, tengku,” lirih Zafran seraya melutut di hadapan lelaki itu.

Perasaan serba-salah menyusup masuk ke dalam sanubari. Tengku Aariz mengelih sekilas muka Pak Ali.

Pak Ali sendiri tiada jawapan untuk permohonan rayuan tersebut.

Tengku Aariz berfikir masak-masak.

“Ini adalah kali terakhir, aku lepaskan kau. Dan ini juga adalah kali terakhir, kau berjumpa Isya. Jangan sesekali dekati dia lagi. Kalau aku dapat tahu yang kau masih berhubungan dengan Isya, nahas kau.”

Tengku Aariz memberi peringatan untuk kali paling terakhir. Dia memegang dagu Zafran yang sedang mendongak membalas retinanya. 

Tiada lagi peluang yang akan diberikan jika lelaki ini menyakiti puterinya lagi.

Dagu itu dilepaskan. Lalu dia berjalan ke arah sekujur badan yang tidak sedarkan diri. Secara perlahan, dia mendukung puterinya yang sudah besar panjang itu. Sambil lalu, Tengku Aariz menggendong anaknya menuju ke kereta. Pak Ali mengikuti dari belakang.

Zafran berpagut lutut. Kepala disandarkan ke dinding. Seandainya aku pandai menghargai, mustahil aku akan kehilangan Isya. Terdetik rasa kesal di hatinya.






























Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey