Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,451
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 22

SEBULAN KEMUDIAN...

HAURA mematikan dapur gas sebaik sahaja loceng di luar rumah kondominiumnya kedengaran. Segera dia mencapai selendang yang tersidai di sofa seraya membuka grill rumah. Kelihatan seorang penghantar barang yang sedang mengangkat kotak di hadapannya. Haura rasa pelik dengan barangan yang diterima. Masuk minggu ini sudah lima kali dia menerima barangan tanpa nama. Barangan produk kesihatan seperti makanan berkhasiat dan juga buku-buku agama yang berkenaan dengan panduan mendidik anak menjadi anak yang soleh.

             Setelah mengucapkan terima kasih kepada si penghantar barang, Haura menanggalkan selendangnya. Dia melabuhkan duduk di atas sofa seraya menanggalkan plaster yang menutup kotak tersebut. Kali ini terdapat dua pasang baju bayi berwarna biru dan hijau serta dua tin susu bersaiz besar untuk ibu mengandung sepertinya. Itu warna kegemarannya Haura. Dia tersenyum sendiri dengan barangan yang diterimanya. Entah mengapa dia merasakan seseorang sedang memerhatikannya dari jauh. Siapa? Adakah Athar sedang menjaganya dari jauh? Teringat akan hal itu Haura jadi sebak. Namun, cepat-cepat dia menenangkan dirinya. Dia sendiri tidak tahu khabar Athar. Dia ada menghubungi suaminya itu namun Athar menukar nombor telefon. Bukannya Haura tidak mahu menghubungi Hazrul, tapi dia tidak mahu orang lain tahu masalah yang menimpanya bersama Athar.

              Sedang Haura larut dengan lamunan, telefonnya berdering di atas meja. Lantas dia mencapai dan tertera nama Fina dalam talian. Segera dia menyentuh punat hijau dan menjawab panggilan sahabatnya. "Mummy to be kau buat apa?"

             "Kau ni tak ada salam terus serbu aku je kan," omel Haura. Dia mengeluarkan barang yang terdapat di dalam kotak tersebut. Masih kelihatan baharu pakaian-pakaian tersebut.

             "Ye. Assalamualaikum, Puan Haura Ilyana. Aku nak ajak kau keluar hari ni. Hazrul pula sibuk tak ingat dunia sejak kebelakangan ni. Aku pun tak faham apa projek dia dengan laki kau tu hah," keluh Fina. Geram pula memikirkan kesibukan Hazrul sejak tiga minggu ini. Tapi dia pelik kenapa Haura kelihatan biasa-biasa saja. Tidak mengesyaki sesuatu.

            Entah mengapa mendengar keluhan Fina membuatkan Haura sedikit senang. Kalau Athar tidak hilang daripada Hazrul maka Haura tidak payah berasa khuatir kerana ada yang menjaga suaminya itu. Namun, masih tidak sama dengan dia. Menjaga Athar itu sudah tugasnya sebagai seorang isteri. Tapi, Haura juga tidak mampu berbuat apa-apa apabila Athar sendiri tidak menginginkannya lagi.

          "On ke tak mummy to be?!"

           "Haah! Ya... ya boleh," jawab Haura. Kaget dengan suara lantang Fina.

           "Apa yang haah boleh tu mummy? Kau mengelamun sebab apa? Huh? Fikirkan Athar juga ke? Tulah aku nak jumpa kau ni sebab aku nak cakap pasal benda ni. Pelik je laki kita berdua ni. Macam ada simpan sesuatu," omel Fina lagi. Haura hanya menjadi pendengar dengan omelan Fina bersama dengan senyuman di bibir. Begitulah Fina kalau ada perkara yang dia tak puas hati. Omelannya tidak bisa dihentikan.

"KAU dengan Hazrul dah kenal lama tau. Dari zaman kita universiti lagi kau dah kenal laki kau tu. Tak baiklah kau nak tuduh dia melulu macam tu. Mungkin dia orang ada projek kat bengkel kut sebab tu dia busy sejak akhir-akhir ni," kata Haura selepas dia mendengar omelan Fina.

          "Kau tak syak sesuatu ke pasal laki kau? Lagi satu kenapa kau duduk lama sangat kat rumah mak kau? Kau ada masalah dengan Athar ke? Ada kaitan dengan kesibukan laki aku ke? Baik kau cakap dengan aku dan jangan sorok-sorok," bidas Fina. Kecil besar saja dipandangnya Haura yang seolah-olah orang yang kelihatan tenang.

          Soalan bertubi-tubi daripada Fina membuatkan Haura tersenyum sendiri. Terlalu banyak perkara yang dirahsiakan daripada Fina termasuklah perihal Athar mahu menceraikannya sebaik sahaja dia melahirkan anak mereka. "Aku rindu mak aku. Lagi pun aku dah lama biarkan mak aku seorang kat sana. Sebab tu aku balik! Lagi pun sebab Athar sibuklah aku buat keputusan berlama-lama dekat rumah mak aku," helah Haura.

          Fina mencebik. Begitulah Haura. Orangnya sentiasa tenang walaupun badai menimpa hidupnya. Jarang sekali Fina melihat Haura bersedih. Bahkan, ketika ayahnya meninggal dunia juga Haura tidak mengalirkan air mata. Bagi Fina, Haura sentiasa bersedia dengan segala perkara yang terjadi dalam hidupnya. Bahkan, orangnya terlalu positif sehingga Fina yang sudah lama mengenali Haura sejak mereka kecil lagi susah untuk mengetahui adakah Haura baik-baik saja ataupun tidak.

          "Eh jom kita cari baju untuk baby kau. Tak sabarnya aku nak tengok dia lahir! Kau dengan Athar dah rancang ke nak bagi dia nama apa? Athar nak anak lelaki ke anak perempuan?" kata Fina seraya menarik tangan Haura memasuki sebuah butik yang menjual pakaian bayi di pusat membeli-belah itu.

            Haura hanya kelu dengan soalan bertubi-tubi daripada Fina. Entah Athar menginginkan anaknya ini atau tidak pun Haura tidak tahu. Kalau Athar menginginkan anak mereka, kenapa Athar membuat hidupnya seolah-olah gantung tak bertali? Kalau pun Athar mempunyai masalah peribadi kenapa masalah itu harus disimpan sehingga menjejaskan hubungan mereka? Memikirkan hal itu membuatkan Haura hanya mampu bersedih saja. Kerana itu Haura tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dia perlu menjadi seorang yang positif agar anak dalam kandungannya juga kuat dan sihat.

          "Haura! Alamak macam mana ni." Suara Fina kedengaran lagi. Dia mencengkam lengan Haura yang ligat membelek sarung tangan bayi.

         "Hah kenapa?"

         "Hazrul! Dia ajak aku makan. Kau join sekali okay? Aku rasa bersalah tinggalkan kau kat sini."

          "Eh apa pula ajak aku! Kau pergilah. Lagi pun tadi kita gerak asing-asing so kau jangan risau. Aku okay! Kau juga yang dari tadi mengomel Hazrul sibuk. Sekarang dia dah ajak kau makan. Takkan aku nak kacau," kata Haura sambil menepis tangan Fina dari mencengkam lengannya.

        "Kau ni. Jom..."

       "Tak nak! Dah kau pergi," tegas Haura.

       "Okay! Apa kata kau call Athar. Suruh dia temankan kau kat sini. Lagi pun..."

         "Kau ni mencabar kesabaran aku betullah! Kalau aku kata aku okay maksudnya aku okay! Kenapa kau nak desak-desak aku ikut kau sekali? Aku tak nak kacau Athar dan jangan paksa aku. Aku nak balik dululah. Jangan risau pasal aku!" tegas Haura seraya melangkah keluar dari butik tersebut. Emosinya tidak stabil. Masakan tidak, Fina tidak henti-henti menyebut perihal Athar. Hatinya jadi sesak serta merta.

         Haura menghampiri kereta yang diparkir dengan hati yang bercampur baur. Sekejap dia rasa marah sekejap dia rasa sedih. Haura benar-benar buntu dengan emosi sendiri. Namun, langkahnya terbejat apabila dia merasakan seseorang sedang memerhatikannya di kotak parkir yang lenggang itu. Haura terus melilau mencari si empunya diri. Malangnya hanya sebuah kenderaan yang sedang memasuki parkir sahaja yang kelihatan. Aneh sekali gerak hatinya sejak kebelakangan ini.

"KENAPA?!"

         Hazrul mengurut pelipisnya sebaik sahaja suara Fina kembali lancang. Beberapa pasang mata sudah memerhatikan mereka di dalam restoran. Kaget apabila si isteri tiba-tiba menengking suaminya yang kelihatan serba salah.

         "Athar tak nak buat Haura sedih. Tapi keadaan dia makin parah. Abang dah tak tahu nak buat apa lagi untuk tolong dia sebenarnya. Abang takut abang hidup dalam keadaan serba salah sebab tu abang bagi tahu Fina. Athar terlalu degil orangnya. Dia tak sedar dia dah sakitkan dua hati yang saling memerlukan antara satu sama lain. Abang tahu dia perlukan Haura. Tapi dia ego! Sebab tulah, abang kena temankan dia walaupun dia menegah. Abang dah anggap dia macam adik sendiri," kata Hazrul sebaik sahaja dia memberitakan mengenai penyakit Athar kepada isterinya.

          Sungguh, Fina sebak mendengar pengakuan itu. Dadanya terasa sesak memikirkan nasib sahabatnya. Patutlah Haura tiba-tiba marah apabila dia terus menerus menyebut nama Athar. Pasti Haura sudah memendam duka yang terlalu perih selama ini. Lebih-lebih lagi keadaan Haura yang berbadan dua. Dalam diam, Fina memuji sahabatnya. Haura memang orang yang kuat. Semangatnya terlalu tinggi.

         "Fina faham. Dia dah tolong abang dulu. Abang terhutang budi dengan dia. Kalau dia tak tolong abang waktu abang kena rompak tu entahlah apa yang akan jadi dengan abang. Sebab tu abang ikutkan saja apa yang Athar mahukan. Dahtu macam mana dengan Athar sekarang?"

        "Dia hampir mati lepas dia kena serang dengan kumpulan kongsi gelap dia dulu. Tapi ALLAH masih bagi dia waktu untuk jadi pelindung Haura. Tapi tulah, dia tak mampu berhadapan dengan Haura dalam keadaan dia yang makin sakit. Sekarang ni kalau Fina nak tahu dia tu bagaikan penjaga Haura dari jauh. Athar tahu Haura dah balik dari rumah mak dia jadi Athar perhatikan segala gerak geri Haura," kata Hazrul sambil menggelengkan kepalanya. Haura pula tidak menghubunginya seolah-olah merahsiakan masalah dengan Athar. Tapi semuanya terbongkar setelah kejadian Athar ditikam oleh bekas ketuanya.

          "Kita tak boleh biarkan dia orang macam ni. Kita yang pandai-pandai jodohkan dia orang dan sekarang kita kena satukan mereka semula," nekad Fina. Dia mengesat lembut air mata yang mengalir ke pipinya. Menguatkan semula semangat yang jatuh sebentar tadi. 

nota penulis: terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ kalau tertarik dan nak baca bab lagi laju boleh baca kat dalam wattpad saya dan ya harini saya akan upload bab terakhir dalam wattpad... https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa