Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
101,594
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 15

"AMIN, tiuplah lilin tu. Nanti kek tu cair, Amin juga yang rugi tak dapat makan kek coklat. Kak Haura letak bahan istimewa tau. Ada almond dalam tu."

           Amin menggelengkan kepalanya. Dia memandang rakan-rakan yang sedang mengelilinginya di dalam kelas. Emosinya kembali tidak stabil petang itu. Bagaimana dia mahu meniup lilin jika pelindungnya tidak kelihatan? Selama ini, hanya Athar dan dia sahaja yang sering menyambut hari kelahirannya berdua.

           "Amin..."

          "Tak nak! Amin nak abang. Abang Amin mana? Kenapa dia tak datang? Abang... nak abang!" Tak semena-mena, Amin mula memberontak. Dia merempuh rakan-rakannya seraya menghamburkan pinggan dan cawan kertas yang sudah di susun di atas meja. Melihatkan itu, Haura jadi sebak. Dia sendiri tidak mengerti dengan perasaannya yang sering berubah kebelakangan ini.

           Lantas, Haura mencapai telefonnya lalu menghubungi Athar. Malangnya panggilannya tidak dijawab. Bukannya dia tidak mengingati Athar bahawa hari ini merupakan ulang tahun Amin. Malahan, ketika kejutan hampir dilakukan juga Athar tidak menjawab panggilannya. Tapi, Haura beranggapan sahaja bahawa Athar mempunyai pekerjaan yang banyak sehingga terlupa akan rancangan mereka untuk memberikan kejutan ulang tahun Amin.

         Kejutan itu serta merta gagal. Haura membuat keputusan untuk membawa Amin pulang ke rumah hari itu. Mujur sahaja Amin berjaya ditenangkan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. Aneh. Bagaimana Athar bisa lupa bahawa hari ini merupakan ulang tahun adiknya? Bukankah persiapan telah mereka rancang? Sekali lagi, Haura mula tertanya-tanya. Apa mungkin sesuatu yang buruk berlaku pada Athar lagi? Lantas, Haura melajukan pemanduannya pulang ke rumah.

         Keanehan semakin bermain di fikiran Haura saat dia sampai ke rumah. Sebuah kereta MYVI putih diparkir di halaman rumah. Bagaimana Athar bisa pulang awal dari mereka hari ini? Amin terus melangkah keluar dari kereta. Dia masih tidak berpuas hati kerana tidak menyambut ulang tahun bersama abangnya. Cepat-cepat Haura menyambut sebungkus hadiah yang belum diberikan kepada Amin. Dia mahu Athar yang memberikan hadiah itu kepada adiknya.

      "Amin!"

      "Kenapa abang tak datang sekolah tadi? Abang lupa ke hari jadi Amin?" soal Amin. Dia menolak tubuh Athar yang mahu memeluknya. Athar terkebil-kebil melihat kemarahan di wajah Amin sebelum pandangannya bersatu dengan Haura.

      "Bukan hari jadi Amin..."

       "Awak lupa ke? Kita dah rancang nak bagi kejutan untuk Amin. Takkan awak lupa apa yang awak dah rancang?" bidas Haura. Dahinya berkerut tatkala Athar kelihatan bingung.

       Saat itu juga, riak wajah Athar berubah tegang. Senyumannya menyambut kepulangan si adik mati. Wajah Amin dan Haura dipandang silih berganti sebelum dia tersengih kelat. Dia semakin pelupa orangnya. Malahan, pelupanya bisa membawa impak yang buruk kepada diri sendiri. Patutlah sejak kebelakangan ini Hazrul sering menegurnya agar dia berehat. Dia turut melakukan kesalahan dalam membaiki kereta pelanggannya. Lain yang disuruh baiki, lain yang Athar buat. Semuanya disebabkan dia terlupa.

      "Abang sibuk. Banyak sangat kereta yang abang kena baiki. Abang minta maaf Amin. Tapi abang janji nanti abang belikan hadiah untuk Amin," pujuk Athar sambil tersengih kelat. Belakang kepala yang tak gatal digaru.

      "Amin nak sekarang!"

       "Ala..."

        Athar kematian kata saat Haura menghulurkan sebungkus hadiah kepadanya. Wanita itu mengangguk. Menyuruh Athar menyambut huluran hadiah tersebut. Lambat-lambat Athar menyambut seraya memandang wajah Amin dan kotak hadiah yang berada di tangannya. Dia cuba mengingati isi yang berada di dalam kotak tersebut. Semuanya samar-samar. Apa yang dia ingat isi di dalam kotak ini dibeli bersama Haura.

      "Selamat hari jadi, adik abang yang cerdik! Abang minta maaf sebab abang tak sambut hari jadi dengan Amin hari ni. Ini hadiah daripada abang dengan Kak Haura. Tapi Amin kena buka esok. Malam ni dah lewat sangat. Masa untuk tidur. Abang tidurkan Amin sambil ceritakan tentang haiwan teladan dekat Amin. Nak?" pujuk Athar sambil mengusap lembut kepala Amin. 

      "Nak! Nak! Amin rindu sangat dekat abang. Jadi malam ni Amin nak tidur dengan abang. Kak Haura tidur seorang malam ni, boleh?"

       Haura ketawa melihat keceriaan di sebalik wajah Amin. Tercuit hatinya tatkala adik iparnya menyuruhnya untuk tidur seorang diri. "Boleh. Akak pinjam abang Amin ni lama sangat. Malam ni akak pulangkan semula. Tapi akak masih perlukan abang Amin, tahu!" ujar Haura seraya melangkah masuk ke dalam kamar. Namun, langkahnya terbejat tatkala pinggangnya dirangkul dari sisi. Buat seketika, pandangannya bersatu dengan Athar.

      "Suka tidur seorang?"

      "Saya kena mengalah. Dahlah! Jangan buat macam ni. Tak malu ke Amin tengok," ujar Haura sambil menepis tangan Athar dari merangkul pinggangnya. Tak semena-mena, dahinya dijentik oleh pemuda itu. Athar terus memimpin tangan Amin masuk ke dalam kamar yang bertentangan dengan kamarnya. Tambah melebar senyuman Haura saat Athar menggiatnya dengan kenyitan mata bersama senyuman yang melebar.

         Haura bahagia. Itu sahaja yang dia rasakan saat ini. Athar memang bijak memainkan peranan agar keresahannya hilang begitu sahaja.

P:S// terima kasih kerana sudi membaca karya saya ^_^ jemput komen kat ruangan yang disediakan juga...

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa