Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,445
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 10

"ABAH dah tak ada Haura."

               Bukan ucapan selamat pagi yang Haura terima saat kakinya melangkah masuk ke dalam bilik ibu bapanya. Malahan, kata yang keluar dari mulut ibunya yang membuatkan dia kaku di hadapan sekujur tubuh abahnya yang terlantar di atas katil. Wajah abahnya kelihatan begitu tenang dengan senyuman. Seolah-olah abahnya sudah bersedia untuk pergi dari dunia yang fana ini. Tangisan Puan Suria seolah-olah runut bunyi yang meluluhkan hati Haura.

               "Abah..." panggilan itu tak putus-putus keluar dari mulut Haura. Pandangannya berubah kosong. Sesekali dia memandang ibunya yang sedang memeluk tubuh abahnya. Sesekali dia memandang wajah abahnya. Haura buntu. Kedatangan Athar ke dalam bilik itu juga membuatkan Haura tidak mempunyai sebarang respons. Dia hanya berdiri kaku di hadapan bilik tanpa membantu. Kehilangan. Itu sahaja yang dia rasakan saat itu sehingga dia tidak mampu bergerak. Semuanya terasa lumpuh.

               Bahkan, usai pengebumian dan majlis tahlil juga Haura masih begitu. Ucapan salam takziah yang diberikan oleh tetamu hanya dibalas dengan ucapan 'terima kasih' dan anggukan sahaja. Saat itu, Haura merasakan hanya jasadnya sahaja yang berdiri. Rohnya melayang entah ke mana. Tatkala wajah sembap Puan Suria berada di depan mata, dia hanya mampu menenangkan ibunya dengan sebuah pelukan. Berharap agar kesedihan itu mengalir ke dalam tubuhnya.

                Melihat keadaan Haura membuatkan Athar berasa khuatir. Ingin sekali dia menerpa dan bertanyakan keadaan Haura. Namun, kesibukan menguruskan jenazah dan majlis tahlil ayah mertuanya membantutkan segalanya. Athar bangga menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Dari pagi hingga ke malam, tetamu tidak putus-putus mengunjungi rumah Encik Mahmud. Memberikan penghormatan terakhir. Jelaslah, keluarga ini merupakan keluarga yang baik. Buktinya, peribadi Haura yang tulus dan lembut itulah yang menjelaskan semuanya. Berbeza dengan Athar yang hidup dalam suasana yang penuh dengan dosa. Itu pun, Haura masih mahu menerimanya tanpa mempersoalkan kisah silamnya.

              "Kau perlukan rehat," suara Hazrul kedengaran. Athar tersentak dari lamunannya seraya memandang sahabatnya yang sedang melipat sejadah usai mereka solat Isyak berjemaah.

                 "Aku risaukan Haura."

                  Hazrul berhenti dari melakukan pekerjannya. Dia memandang raut wajah Athar yang sedang tersandar di belakang dinding sebelum berakhir ke laman wajah Haura yang sedang duduk bersama isterinya dan Puan Suria. Jelas, wajah Haura juga nampak keletihan.

                    "Kau dah bagi tahu situasi kau pada dia?"

                      Athar menggeleng.

                     "Sampai bila kau nak rahsiakan? Dia berhak tahu keadaan..."

                      "Aku tak mampu. Abah dia sakit dan takkan aku nak bagi tahu dia yang suami dia ni dah tak banyak masa untuk jadi pelindung dia? Sekarang, abah dia dah tak ada. Aku tak sanggup nak buat Haura makin bersedih. Aku terlalu sayangkan dia lebih dari diri aku sendiri. Aku tak nak hilang dia dan aku tak nak sakitkan dia," kata Athar. Keluhan berat terlepas dari bibir. Melepaskan beban yang dipikul di bahunya.

                   Hazrul tersenyum nipis dengan omongan Athar. Jelas, sahabatnya itu terlalu mencintai Haura. Dia nampak kekuatan cinta itu di sebalik anak mata Athar yang tunak merenung wajah Haura dari jauh. Seolah-olah tidak mahu melepaskan pandangannya dari memandang wajah Haura. Hazrul melabuhkan duduk di sebelah sahabatnya lalu menepuk bahu Athar. "Lambat laun dia akan tahu pasal hal ni juga. Aku harap kau boleh bagi tahu dia secepat yang mungkin. Kau orang dah menikah. Dia berhak tahu pasal kau. Jangan sorokkan apa-apa daripada isteri kau sendiri," pesan Hazrul.

                "Aku pun berharap yang aku boleh bagi tahu dia keadaan aku secepat yang mungkin. Aku dah tak banyak masa lagi. Buat masa sekarang, apa yang aku tahu aku nak bahagiakan dia seperti yang aku janjikan dekat arwah abah. Arwah abah terlalu sayangkan Haura sampai terlalu banyak pesanan yang dia tinggalkan pada aku," ujar Athar. Sungguh, hatinya sebu teringat akan pesanan terakhir ayah mertuanya semalam. Patutlah ayah mertuanya tidak berhenti berbicara dengannya. Seolah-olah tahu bahawa masanya sudah tinggal sedikit.

                 Hari demi hari berlalu sehingga genap hampir dua minggu pemergian Encik Mahmud. Haura masih begitu. Bahkan, Haura berubah menjadi seorang yang pendiam. Hanya Puan Suria sahaja yang mula menunjukkan bahawa wanita itu sudah redha dengan pemergian suaminya. Tiada siapa yang tahu apa yang difikirkan oleh Haura. Namun, mereka merasakan bahawa Haura masih tidak mampu menerima pemergian abahnya. Jelas, kadangkala Haura masih membuatkan air buat abahnya. Kadangkala, Haura juga akan tidur di katil abahnya dan duduk di kerusi rehat abahnya sehingga dia tertidur. Sama seperti malam itu.

                "Athar, mak nak cakap sikit," kata Puan Suria ketika Athar baru sahaja masuk ke dalam rumah dan ingin membawa Haura masuk ke dalam kamar.

              "Ada apa mak?"

               Puan Suria memandang raut wajah Athar yang nampak sugul sebelum meneguk segelas air suam. Berat hatinya untuk mengatakan perkara itu. Namun, dia tidak mahu Haura terus-terusan bermurung seperti itu. Anak tunggalnya itu sudah tidak seceria seperti dahulu lagi. Mahu mendengar suara Haura juga begitu sukar.

             "Adik kamu macam mana? Mak bersalah sangat dengan kamu sebab tak dapat jenguk adik kamu kat asrama. Mak minta maaf," ujar Puan Suria.

             "Tak ada apalah mak. Amin tu dah selesa tinggal kat asrama tu. Berkat dari pujukan Haura, kalau boleh dia dah tak nak balik rumah kami lagi. Dia dah ada ramai kawan kat sana. Lagi pun, cikgu-cikgu kat sana selalu pantau keadaan mereka dengan baik," ujar Athar. Dia tersenyum nipis mengenangkan Amin yang baru sahaja menghubunginya sebentar tadi. Mendengar suara ceria Amin tahulah dia bahawa Amin semakin gembira di tempat itu.

              "Baguslah kalau macam tu. Senang hati mak dengar Amin baik-baik sahaja. Mak rasa, dah masanya kamu balik ke Kuala Lumpur sana. Bawa Haura balik. Selagi dia kat rumah ni, selagi tulah dia macam tu. Dia perlukan suasana baharu. Lagi pun, sejak kamu menikah dengan Haura, kamu tak pernah lagi balik sana," kata Puan Suria.

            Senyuman Athar mula terasa janggal mendengar permintaan ibu mertuanya. Wajah Haura yang sedang tertidur pulas di hadapannya di pandang sekilas lalu sebelum dia memandang wajah Puan Suria. "Mak macam mana? Mak ikut kami balik, ya?"

             "Tak apa! Mak okay kat sini. Lagipun mak aktif berpersatuan dalam kawasan kejiranan rumah mak ni. Jiran-jiran mak ada tengok-tengokkan mak. Dah, mak rasa dah tiba masanya kamu bawa isteri kamu tu balik. Mak risau tengok Haura diam macam tu je. Dia masih tak mampu nak terima pemergian abah dia. Abah dengan mak, mana-mana je dia pergi ke dia ada masalah ke mesti cari abah dia. Dia orang terlalu rapat," ujar Puan Suria. Memujuk Athar yang kelihatan serba salah untuk meninggalkannya bersendirian.

             Tatkala pujukan itu menyapa halwa telinga, Athar hanya mampu mengangguk. Tiada bantahan lagi yang mampu dia keluarkan. Saat itu juga, Athar mula memikirkan cara untuk membuat Haura kembali tersenyum. Dia rindukan keceriaan Haura seperti dulu. Telatah Haura yang sering kelam kabut. Saat itu juga, wajah Haura menjadi tumpuannya. Entah berapa lama dia duduk di ruang tamu sambil memerhatikan wajah Haura juga dia tidak tahu.

           "Abah..."

           Athar bangun dari duduknya tatkala Haura mula meracau. Begitulah Haura sejak kebelakangan ini. Tidurnya tidak lena. Keadan itulah yang membuatkan Athar tidak bisa lena. Dia dapat rasa sesuatu yang disimpan oleh isterinya. Kesakitan. Ya, kesakitan Haura kehilangan abahnya seolah-olah meresap ke relung hati Athar. Dia juga pernah kehilangan seorang ayah. Jadi, dia tahu perasaan Haura saat ini.

          "Semuanya akan baik-baik saja, Haura. Aku janji, semuanya akan kembali seperti dulu," ujar Athar seraya mencempung tubuh Haura melangkah masuk ke dalam kamar. Itu janji untuk dirinya dan diri Haura. Dia tidak akan sesekali membirkan Haura terus dalam kesedihan yang berpanjangan. Selagi dia diberikan waktu, selagi itu Athar akan mencuba untuk terus membahagiakan Haura. 


ps:// terima kasih kerana sudi menjadikan karya ini sebagai bahan bacaan kalian. Jemputlah datang ke wattpad saya https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa kerana saya akan upload bab dengan lebih cepat dalam wattpad tu ^__^

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa