Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,869
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 24

PUKULAN yang datang dari belakang sempat dipatahkan oleh Athar saat dia berpusing dan menghayunkan tendangannya ke lengan si penyerang yang sedang memegang baseball. Kemudian, dia mencengkam belakang baju si penyerang lalu dihentak ke belakang dinding dengan kuat. Si penyerang rebah dengan ketangkasan Athar. Dia ingin bangun, namun Athar tangkas memijak belakangnya sebelum tangannya dikilas ke belakang oleh lelaki itu.

            PRAK!

           Seiringan dengan bunyi itu, lelaki itu mengerang kesakitan apabila tangannya dipatahkan oleh Athar. Turun naik nafasnya apabila kesakitan itu meragut seluruh kekuatannya. Lelaki ini bukan mudah untuk ditumbangkan walaupun sudah lama dia tidak menghadapi sebuah pertarungan!

          Athar mengeluh berat. Dia semakin lelah mempertahankan dirinya dari sekumpulan lelaki yang diarahkan untuk mencelakainya. Dia tahu mereka ini pasti musuh-musuhnya dahulu. Kadang-kadang Athar juga lali dengan segala malapetaka yang menimpanya. Dia sudah keluar dari dunia gelap itu tetapi bayang-bayang lama masih mengejarnya. Athar tahu, pengakhirannya hanya dengan kematiannya sahaja.

         Di hadapannya kini tinggal tiga orang lelaki yang masih gagah berdiri. Athar merenggangkan tangannya sambil mengelak daripada serangan mereka. Sesekali, dia menunduk seraya melibas kaki lawannya. Athar juga semakin kelelahan membalas serangan mereka. Masakan tidak, dia baharu sahaja menumbangkan sepuluh orang lawan. Saat ini dia berhadapan dengan tiga orang lelaki lagi.

         "Kau memang akan mati dalam tangan aku bajingan!" jerkah seorang lelaki seraya mengeluarkan sebilah pisau dari kasutnya. Athar mengeluh berat lagi apabila dia diugut dengan menggunakan senjata. Dua orang lawan yang masih tersisa dipandang silih berganti. Dia harus menjatuhkan lawan yang tidak mempunyai senjata terlebih dahulu sebelum menjatuhkan lawan yang terakhir.

          Maka, Athar kembali menyusun strateginya. Dia berundur setapak demi setapak ke belakang sebelum dia melompat ke atas sebuah tong yang basah dengan titisan air yang jatuh dari bumbung. Saat itu juga si lelaki yang tidak memegang senjata turut melompat ke atas tong tersebut. Mereka berdua saling membalas pukulan. Sesekali, Athar memandang si lelaki yang memegang senjata sambil menghayunkan tendangannya. Dia kini berada di tengah-tengah. Apabila dia berjaya menjatuhkan si pemegang senjata, dia kembali dengan si lelaki yang bertubuh sasa dan begitu sukar untuk dijatuhkan.

         Sesekali, perut Athar dihenyak dengan lelaki itu. Saat itu juga Athar merasakan rusuknya seolah-olah dipatahkan. Sakitnya bukan kepalang! Dengan tenaga yang hanya tinggal sedikit, Athar terus berusaha membalas serangan daripada lelaki berbaju hitam itu. Sungguh, terlalu lama dia tidak menggunakan skil dalam mempertahankan dirinya semenjak dia keluar dari dunia gelap itu. Lantas, apabila si lelaki menghayunkan tumbukannya lagi Athar tangkas mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan si lelaki dan menghayunkan tendangannya ke perut lelaki itu. Lantas, lelaki itu terundur ke belakang. Dia tersenyum sinis dengan serangan hendap Athar. Kemudian, dia meluru ke arah Athar yang masih dalam posisi bersedia untuk menyerang. Namun, Athar tangkas mengelak dengan melompat turun dari tong tersebut. Lelaki itu terus terjatuh dan Athar terus mengambil kesempatan dengan menghayunkan baseball ke kaki lelaki itu bertubi-tubi. Erangan lelaki itu memenuhi lorong gelap itu apabila kakinya dipatahkan oleh Athar.

         Athar masih belum rasa selamat. Dia kalih ke belakang apabila masih ada seorang lawan yang belum ditumbangkan. Namun, lelaki itu lebih cepat menyerang dan menghunus pisau ke perut Athar sebelum ditarik kuat. Athar tersandar ke belakang dinding. Nafasnya turun naik akibat kesakitan yang maha hebat. Dia melihat si lelaki sudah tertawa sinis sambil mengenggam pisau yang mengalir dengan darahnya Athar. Sekali lagi, lelaki itu menjerit seraya meluru ke arah Athar. Kali ini, Athar tangkas mengelak. Dia tidak akan sesekali membiarkan mereka membunuhnya. Wajah Amin terbias di memorinya. Dia perlu melindungi adiknya! Maka, dengan semangat itu dia terus mengelak dengan menggenggam pergelangan tangan lawan yang mahu menghunuskan pisau ke dadanya. Sesekali, perutnya dihenyak dengan lutut si lawan. Namun, Athar hanya menahan kesakitan itu.

       Sedang mereka asyik bergelut, saat itu juga Athar merasakan belakangnya dipukul dengan pukulan kuat. Dia dapat melihat dari ekor matanya bahawa seorang daripada penyerangnya kembali sedarkan diri dan cuba mencederakannya lagi. Pandangan Athar semakin lemah dengan pukulan yang datang dari belakang. Tangkas, dia memulas tangan si pemegang senjata dengan kuat seraya menghayunkan tendangannya ke tubuh lelaki itu. Si pemegang senjata tersandar di belakang dinding.

       Namun, belum sempat Athar mahu menyerang lelaki yang berada di belakangnya saat itu juga dia ditusuk dari sisi lagi. Kali ini, tusukan itu seolah-olah begitu dalam sehingga dia terduduk berhampiran tong sampah. Si pemegang senjata terus menarik pisau yang dihunus ke perut Athar. Athar terbatuk-batuk sehingga darah terpercik keluar dari mulutnya. Si lelaki yang memegang senjata duduk mencangkung di hadapannya seraya mencengkam rambut Athar. Buku limanya digenggam erat sebelum dihayunkan ke wajah Athar yang semakin lemah.

       "Kau akan mati! Dunia ni bukan..."

        Tiba-tiba, bunyi siren kedengaran. Lantas, lelaki itu dan seorang rakannya melarikan diri. Takut kalau-kalau mereka diberkas oleh pihak polis. Namun, kereta polis langsung tidak kelihatan. Dengan pandangan yang samar-samar, Athar melihat seorang gadis berbaju kurung dan bertudung selendang krim menghampirinya dengan wajah yang keresahan. Jelas, ketakutan terserlah di sebalik wajah gadis itu. Telefon di tangan si gadis itu cukup menjelaskan bahawa gadis itu sengaja menakutkan musuh-musuh Athar dan membuatkan mereka lari.

        "Awak! Awak dengar tak?" suara lembut itu terus menerus menusuk telinga Athar. Entah mengapa Athar merasakan ketenangan apabila gadis itu duduk di sisinya. Matanya hampir terpejam rapat. Namun, dia masih mahu menatap wajah gadis itu. Penyelamatnya. Pemandangan di hadapannya ini terlalu indah sehingga membuatkan Athar tak mahu memejamkan matanya.

       "Awak jangan pejamkan mata! Sekejap je lagi ambulans datang. Awak dengar cakap saya ni!" kata si gadis lagi sambil mengoyakkan sedikit hujung baju kurung kapasnya. Tatkala tangan si gadis menekup luka Athar dengan cebisan kain, Athar mengerang kesakitan. Dahinya berkerut menahan perih yang seolah-olah ingin meragut nyawanya. Lantas, dia menggenggam erat pergelangan tangan si gadis yang sedang menekup lukanya. Nafasnya turun naik menahan sakit. Serta merta dia hampir rebah. Namun, si gadis cepat-cepat menyandarkan tubuhnya di belakang dinding semula. Si gadis mencapai tangan Athar lalu membiarkan Athar menekup darah yang mengalir di sebalik baju pemuda itu.

       "Saya minta maaf. Saya kena tekup luka awak. Kalau tak awak akan kehilangan banyak darah. Awak bertahanlah. Awak tak boleh mati kat sini! Awak kena kuatkan semangat awak," pujuk si gadis lagi sebelum siren ambulans kedengaran. Saat itu juga Athar mula merasakan sesuatu tatkala si gadis terus menerus berada di sisinya. Bahkan tatkala dia berada di dalam ambulans tangannya masih mengenggam tangan gadis yang dia sendiri tidak akan menjangkakan akan menjadi pendamping hidupnya. Ya, gadis bernama Haura Ilyana. Si pemberani yang sudah menyelamatkannya.

"DAH siap!" suara Haura yang lantang serta merta mematikan lamunan panjang Athar mengenai detik pertama dia bertemu dengan Haura. Dia bagaikan tersentak dari kisah setahun yang lalu saat Haura sengaja memukul luka di belakangnya yang sudah siap ditampal dengan plaster. Athar kalih ke belakang seraya membetulkan pakaiannya.

         "Maaflah sebab tinggikan suara. Sebab saya rasa awak dah jauh sangat mengelamun sampai saya panggil pun awak tak dengar. Dah, sekarang ni masa makan tengah hari! Hari ni kita ada banyak aktiviti yang kita nak buat," kata Haura seraya bangun dari duduknya. Wanita itu terus mengikuti Amin yang sedang menjamah makan tengah hari. Sesekali celoteh Amin kedengaran. Memuji masakan sambal petai dan ayam gulai masakan Haura. Melihat senyuman di bibir Haura membuatkan Athar tersenyum sendiri. Haura tidak pernah berubah. Sebulan mereka berenggang, isterinya itu masih kelihatan manis.

        "Jadi kita nak pergi mana hari ni?" soal Athar seraya melabuhkan duduk di sebelah Amin.

        Haura meletakkan sepinggan nasi di hadapan Athar. Begitulah Athar sejak tumornya makin membesar. Athar sering lupa akan kata-kata atau rancangannya sendiri. Tapi Haura mengerti. Kesihatan suaminya semakin hari semakin terjejas. Apa yang Haura hanya mampu buat ialah memberi sokongan dan terus berada di sisi Athar sahaja.

        "Lepas makan ni, kita solat berjemaah. Lepas tu Amin kata dia nak main layang-layang kat taman petang ni. Tapi sebelum tu kita kena hantar Amin ke rumah Hazrul dan saya akan teman awak buat kemoterapi. Itu perancangannya wahai encik suami," jelas Haura dengan nada yang ceria. Sungguh, dia merindukan suasana mereka bertiga tanpa sebarang persengketaan.

        "Dah tu bila aku boleh temankan kau buat pemeriksaan pula?"

        "Dua hari lagi baru temu janji saya dengan Doktor Tiana. Awak jangan risaulah. Selagi awak nampak saya bertenaga selagi tu anak kita ni sihat dalam kandungan saya," ujar Haura. Dia tersenyum apabila riak wajah Athar kelihatan resah. Barangkali risau sejak mengetahui bahawa kandungannya lemah. Semuanya hanya disebabkan Haura itu mempunyai anemia dan kekurangan zat besi dalam badan. Disebabkan hal itulah kandungan Haura boleh terjejas.

        Athar tertunduk memandang perut Haura. Perlahan-lahan, dia mengusap lembut kandungan isterinya. Tergaris senyuman di bibir saat dia terkenang akan impian yang ingin dibina bersama Haura. Melihat wajah Athar yang manis dengan senyuman membuatkan Haura senang hati. Lantas, dia mengenggam erat tangan Athar.

        "Kau rasa sempat ke aku nak azankan atau iqamatkan anak kita?" soal Athar. Buat seketika, dia saling berpandangan dengan Haura.

        "Kita kena banyak berdoa. Selain tu awak kena selalu kuatkan diri awak untuk terus lawan sakit. Awak jangan risau. Saya akan sentiasa berada di sisi awak sambil jaga kandungan saya. Saya tak akan tinggalkan awak, Athar. Saya ikhlas menjadi suri dalam hidup awak. Lagi pun, doktor kata emosi saya terkait dengan anak kita. Jadi, saya kena sentiasa positif untuk awak, Amin dan juga anak kita. InsyaALLAH, awak akan terus diberikan kekuatan untuk belai anak kitani," ujar Haura. Memberikan semangat kepada suaminya yang sering sensitif sejak kebelakangan ini.

        "Abang sakit ke?" soal Amin sambil memandang wajah abangnya dengan pandangan sayu.

         Athar dan Haura tersentak. Mereka memandang wajah Amin. "Kenapa Amin tanya abang macam tu?"

         "Sebab haritu orang-orang jahat tu pukul abang. Lepastu abang tidur lama sangat. Bila abang bangun abang gunting rambut abang sampai abang dah tak ada rambut sekarang ni. Amin rasa abang macam sakit," kata Amin. Nada suaranya kedengaran sayu di halwa telinga mereka.

            Tak semena-mena, hati Athar sebak melihat wajah muram adiknya. Dia ketawa kecil menyembunyikan kesedihannya dan mengembalikan mood Amin. "Abang nak buat stail barulah sebab tu abang botakkan rambut abang," kata Athar seraya menjamah makan tengah harinya.

         "Amin pun naklah! Boleh?"

        "Tak boleh! Amin dah kacak dengan rambut so Amin tak boleh ikut abang Amin ni hah! Amin jangan risaulah pasal abang. Amin doakanlah abang Amin supaya dia selalu sihat, okay?" pujuk Haura. Dia menaikkan ibu jarinya sambil tersenyum lebar menampakkan gusinya.

         "Okay!" balas Amin sambil menaikkan ibu jarinya juga. Dia terus berdoa agar Athar diberikan kesihatan yang baik sebelum memeluk erat tubuh abangnya. Entah mengapa walaupun dia tidak mengerti namun dia merasakan bahawa abangnya sedang dalam kesusahan.

         Melihat telatah Amin dan Athar membuatkan Haura tergelak kecil. Dia hanya mahu membuat suasana jadi ceria. Hanya itu sahaja yang mahu diberikan kepada Athar. Namun, siapa tahu jauh di sudut hatinya dia sebak. Dia masih mencuba untuk menerima bahawa dia akan kehilangan suaminya seperti mana dia kehilangan ayahnya. Saat ini, hanya doa dan kekuatan sahaja yang mampu menemaninya.

BARU sekali Haura menemani Athar, dia sudah tidak mampu menahan kesedihannya melihat Athar kesakitan. Berkali-kali dia mengusap belakang Athar yang sedang memuntahkan isi perutnya ke dalam bakul kecil. Peluh merintik-rintik di dahi suaminya. Sungguh, Haura sesak melihat kesakitan Athar. Namun, masih ada kekuatan di dinding hatinya untuk terus berada di sisi Athar. Apabila Athar kembali tenang, dia membiarkan Athar berkumur-kumur sebelum mulut Athar yang basah dilap dengan tuala kecil. Senyuman di bibirnya masih kelihatan.

            "Aku minta maaf. Aku dah tak kuat untuk jadi pelindung kau lagi, sayang. Sebab tu... sebab tu aku buat semua tu. Aku tak nak susahkan... kau. Aku tak nak buat kau sedih. Aku minta maaf," rintih Athar sebelum dia tertunduk. Sungguh, dia tidak sanggup melihat wajah Haura. Dia malu. Dia sedih. Malu apabila Haura melihat dia sudah tidak segagah dahulu. Sedih apabila Haura terpaksa hidup bersama dengan pesakit kanser sepertinya walhal isterinya sedang hamil.

          "Athar, pandang saya," pujuk Haura seraya duduk di sisi Athar. Dia mengusap lembut pipi Athar. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Haura mengesat lembut air mata yang mengalir ke pipi suaminya.

         "Semua ni ujian yang ALLAH berikan untuk kita supaya kita terus menjadi orang yang kuat. ALLAH, tak akan uji umatNYA kalau umatNYA tak mampu menghadapi ujian tu. Awak kena ingat ni sampai bila-bila. Kalau awak lupa, saya akan tetap ingatkan awak setiap hari. Saya yakin awak orang yang kuat. Dah setahun awak lawan sakit ni. Sebab tu awak kena percayakan diri awak yang awak kuat! Awak nak tengok anak kita, kan?" pujuk Haura. Lembut saja tutur bicaranya ketika memujuk Athar.

         "Mestilah. Anak aku. Aku nak jaga dia. Aku nak belai dan bagi kasih sayang pada dia," kata Athar.

          "Kalau macam tu awak kena janji dengan saya yang awak kena semat kat hati awak ni, awak akan bertahan sampai anak kita lahir," kata Haura sambil meletakkan tangannya di dada Athar. Saat itu, Athar tersenyum dengan ketegasan Haura. Dia mengangguk sambil menjentik dahi isterinya. Melihat wajah cemberut Haura yang sedang mengusap dahi membuatkan Athar tertawa kecil. Hatinya kembali tenang melihat ketenangan Haura.

           "Suka betul kan jentik dahi orang!" tegas Haura.

           "Sebab aku suka tengok muka cemberut kau bila kau geram dengan aku," kata Athar. Masih ada sisa tawanya dan tawanya terus disambut oleh Haura. Athar sudah tidak merasakan sakit lagi saat Haura menemaninya. Berbeza dengan kemoterapi sebelum ini. Haura, dulu hingga kini memang sering membuatkan dia berasa tenang.

            "Aku minta maaf sebab sakitkan kau dulu. Aku..."

            Athar kematian kata tatkala Haura meletakkan jari telunjuk di depan bibirnya. Haura menggelengkan kepala. "Perkara yang dah lepas, janganlah kita ungkit lagi. Apa yang penting sekarang kita kena selalu ada antara satu sama lain. Lagi satu, Athar yang saya kenal tu ganas tau orangnya. Bukan cry baby macam ni. Tak malu ke kalau Amin tengok abang dia yang garang ni menangis?" giat Haura sambil ketawa kecil. Dia mencubit pipi Athar seperti anak kecil. Sengaja mahu menghiburkan Athar agar suaminya tidak rasa sakit menjalani kemeoterapi saat itu.

          Tatkala melihat keceriaan Haura, tatkala itu juga Athar tidak berhenti dari tersenyum. Indah, pemandangan di hadapannya ini sentiasa indah. Hatinya terasa sejuk dengan setiap senyuman dan tawa Haura. Benar kata Haura, mereka harus sentiasa bersama. Bukan lari dari masalah. Sungguh, khilafnya Athar kerana membazir masanya selama sebulan. Menjauhkan Haura dari hidupnya. Walhal saat ini, Hauralah yang paling kuat di antara mereka berdua.

PETANG itu, cuaca kelihatan begitu redup dan menenangkan. Angin sepoi-sepoi membuatkan kawasan tasik itu kelihatan damai. Sesekali, kedengaran suara pengunjung yang sedang beriadah di kawasan taman. Terdapat juga beberapa buah keluarga yang sedang berkelah di tepi tasik. Melihat telatah Amin dan Athar yang sedang bermain layang-layang membuatkan Haura tersenyum sendiri. Haura bahagia melihat mereka bertiga berkumpul seperti dulu. Di depannya saat ini, seolah-olah Athar itu sihat dan tidak menghidap penyakit yang bisa meragut nyawa.

            Sedang Haura ralit memerhatikan mereka, sepasang suami isteri yang sudah dimamah usia duduk di bangku bersebelahan dengan bangku yang diduduknya. Sesekali, si suami mengusap bahu si isteri apabila si isteri terbatuk-batuk. Air mineral dihulurkan kepada si isteri yang kelihatan sakit. Mereka kelihatan seperti sepasang suami isteri yang baru berkahwin sahaja. Tampak manis di pandangan Haura. Wanita itu tertarik melihat telatah warga emas itu.

             "Kau sedang membayangkan kalau kita tua nanti ke?" suara yang tiba-tiba kedengaran di sebelah Haura membuatkan dia tersentak. Dia kalih memandang Athar yang sudah duduk di sebelahnya.

            "Mana ada," helah Haura. Dia berdeham menyembunyikan rasa segannya setelah ditangkap sedang memerhatikan pasangan warga emas itu.

              Athar tersenyum sambil menjentik dahi Haura apabila wajah isterinya sudah cemberut. "Aku tahu kau sedang membayangkan hari-hari tua kita, kan? Kalau tak... tak adalah muka kau merah lepas aku tegur," giat Athar.

               Haura diam. Dia tidak bisa menipu lagi kalau Athar sudah mula membacanya. Sesekali, dia memandang pasangan di sebelahnya sebelum berakhir ke laman wajah Athar. Tangan Athar dicapai lalu digenggam erat. Saat dan detik ini, dia hanya mahu duduk di sisi Athar tanpa melepaskan suaminya itu dari pergi. Tapi, waktu mereka hanya tinggal sedikit. Athar tiada harapan untuk sembuh dan barangkali tiada harapan untuk mereka menghabiskan hari-hari tua bersama-sama seperti pasangan warga emas itu.

            "Awak ni... janganlah buat aktiviti lasak sangat. Awak baru je lepas kemoterapi. Awak kena berehat. Jangan paksa diri awak untuk ikutkan permintaan Amin kalau awak tak sihat. Lagi satu, Amin perlu tahu abang dia ni sakit. Jangan buat dia tertanya-tanya macam yang awak buat pada saya," ujar Haura.

            "Ya. Aku minta maaf sebab buat kau risaukan aku. Tapi selagi aku diberikan tenaga selagi tu aku akan turutkan apa saja permintaan Amin. Dia satu-satunya adik aku. Aku cuma nak bagi kasih sayang pada dia. Kau tahulah, dia jadi macam tu sebab mak aku asyik nak gugurkan dia saja. Dia tak pernah rasa kasih sayang seorang ibu. Lainlah dengan aku. Walaupun aku cuma dapat rasa kasih sayang mak aku selama lapan tahun, tapi sekurang-kurangnya aku masih rasa walaupun selebihnya hanya perkara yang menyakitkan," kata Athar. Ada kekesalan di sebalik nada suaranya apabila bercerita mengenai ibunya yang tidak bertanggungjawab.

            Haura tersenyum dengan kata-kata Athar. Pandangannya yang begitu tajam membuatkan jantung Athar berdebar kencang. Senyuman dan pandangan Haura benar-benar menusuk ke relung hatinya yang paling dalam. Buat seketika, tangannya diangkat lalu menjentik dahi Haura. Wanita itu ketawa kecil sambil mengusap dahi yang terasa perit.

          "Kenapa kau pandang aku macam tu?"

           "Sebab saya bangga dengan suami saya. Saya bangga yang anak saya ni mempunyai seorang ayah sebaik awak. Walaupun baran awak ni pernah memeningkan saya tapi jauh di sudut hati awakni sebenarnya dilimpahi dengan kasih sayang. Sesuai dengan nama awak yang bermaksud suci. Jadi, kita nak namakan anak kita apa?"

          Kata-kata Haura membuatkan Athar tersenyum sendiri. Pelipis yang tak gatal digaru. Dia berdeham seraya memaut bahu Haura. Tasik yang terbentang luas di hadapannya menjadi tatapannya. Otaknya sudah ligat memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak yang berada dalam kandungan isterinya berdasarkan bacaannya selama ini.

        "Kau nak lelaki ke perempuan?"

        "Saya tak kesah."

        "Okay. Kalau aku... aku nak lelaki supaya ada yang boleh lindung kau dan jaga kau dengan baik. Aku nak namakan dia Athif yang bermaksud belas kasihan. Aku nak dia jadi orang yang lembut tapi tegas. Aku tak nak anak aku jadi macam bapa dia yang baran ni. Apa macam?"

        Haura pandang wajah Athar yang kelihatan manis dengan senyuman. "Maksudnya awak dah cari nama untuk anak kitalah?" soal Haura dengan nada yang teruja. Tidak menyangka bahawa Athar sudah lama memikirkan nama untuk anak mereka.

        "Sudah tentunya! Ini anugerah terindah dalam hidup aku. Pengikat kasih di antara kita berdua. Tanda yang kita saling mencintai antara satu sama lain. Jadi, ok tak nama yang aku cadangkan tu?"

         Haura mengangguk. "Nama tu cantik! Muhammad Athif bin Athar. Gabungan maksud dirahmati, belas kasihan dan suci. Saya rasa nama tu indah sangat-sangat dan disebalik nama ni pun ada doa yang tersemat," kata Haura. Dia tersenyum lebar menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

            Athar mengusap lembut kepala Haura yang kelihatan ceria. Pucuk hidung Haura dicuit lembut. Sungguh, Athar bahagia dengan anugerah yang diberikan oleh ALLAH kepadanya. Andai saja dia bisa mengawal waktu, dia tidak akan menjadi Athar yang lari dari masalah seperti dulu. Namun, apa yang Athar tahu saat ini dia masih tidak terlambat untuk memberikan kesenangan kepada orang yang dicintai. 

nota penulis: ada dalam tiga bab lagi sebelum bab akhir. Terima kasih sudi memilih karya saya sebagai bahan bacaan korang ^_^ nak baca cepat-cepat sampai tamat boleh baca kat wattpad ye
https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu


Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa