Home Novelet Cinta Aku bukan ‘Playboy'
Bab 5 – ‘Ukiran Jiwa’

Aku bukan ‘Playboy’

Bab 5 – ‘Ukiran Jiwa’


Liza hanya seorang teman wanita sementara sahaja. Dia datang dan pergi dalam hidup ku. Umpama aku melalui kaunter tol – ‘touch and go’. Hubungan aku dengannya tidak serius mana. Berbanding aku dengan Siti Azlina.


Sikap keterbukaannya yang membuat aku lebih serius dalam perhubungan ini. Namun jodoh Siti bukan dengan aku. Dia telah dirancangkan untuk dijodohkan dengan pilihan keluarga angkatnya. Iaitu abang angkatnya sendiri.


Aku yang baru mengetahui hal ini terus bertanya kepada Siti. Di waktu pagi sebelum masuk ke pintu pejabat. Aku tak hiraukan kakitangan lain yang bergegas masuk ke pejabat ketika itu. Bagi aku yang penting, penjelasan dari mulut Siti sendiri.


Dengan nada serius aku bertanya kepada Siti, “Kenapa awak tak bagitau hal ini lebih awal kepada saya? Saya tak sangka awak serius dengan abang angkat awak. Kenapa dia?”.


Siti dengan bergenang airmata menjawab dengan perlahan, “Saya tak plan awak. Ini pilihan keluarga angkat saya. Awak tau kan, saya terhutang budi banyak kepada mereka. Saya tak dapat kasih sayang seorang ibu dan ayah. Hanya kepada mereka tempat saya mengadu. Dah abang angkat saya tu yang bagitau dia nak memperisterikan saya. Apa yang boleh saya buat awak? Saya terhutang budi kepada mereka semua. Awak faham?” Terus Siti menangis.


Aku terdiam mendengar penjelasan Siti. Betul juga apa yang dikatakan Siti. Memang keluarga angkatnya itu yang menjaga dirinya setelah mak dan ayahnya bercerai. Aku pun simpati dengan kehidupan Siti.


Bukan aku nak merampas kebahagian mereka. Tapi kenapalah abang angkat dia ni tak reti cari orang lain? Dah buat jadi adik angkat. Apahal nak kahwin pulak. Itu yang buat aku bengang sangat. Ini yang buat aku tak percaya main ‘adik angkat’, ‘abang angkat’ last-last memang ‘terangkat’ betul.


Ketika itu, Siti menangis teresak-esak. Kami melakonkan 'theater percuma' betul-betul di depan pintu masuk pejabat. Memang menjadi tumpuan orang ramai dan kakitangan yang lalu lalang di situ.


Aku tak peduli itu semua. Namun kesedihan Siti sama seperti kesedihan yang aku rasa. Bezanya Siti dapat meluahkan dengan airmata. Tapi aku? Lelaki. Takkan nak menangis depan pejabat ni.


Demi menamatkan drama cinta pagi itu, aku pun bersuara, “Tak apa lah awak. Kalau dah itu jodoh awak. Dan kalau itu yang awak pilih. Saya terima ajelah. Walaupun pahit untuk ditelan. Semoga awak bahagia hendaknya. Terima kasih untuk segalanya.”


Itulah kata-kata terakhir aku kepada Siti. Bukan aku nak salahkan dirinya, tetapi memang perpisahan itu pahit untuk diterima.


Semenjak hari pementasan 'theater percuma' itu, aku dan Siti tak pernah bertegur sapa di tempat kerja. Masing-masing membuat hal masing-masing walaupun tidak sesibuk mana pun kerja kami.


Mungkin inilah maksud Pak Andak aku dulu. Waktu bercinta memang sedap. Tapi bila putus cinta. Makan tak lalu. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Semua tak kena saja.


Seingat aku, waktu itu aku pernah tak makan selama 3 hari. Hanya minum air saja. Sampai aku dimasukkan ke hospital kerana disyakki sakit ‘Apendiks’. Rupanya gastrik sebab aku tak makan selama 3 hari. Berat badan aku ketika itu turun 15kg dalam masa sebulan selepas perpisahan kami.


Masa berlalu amat pantas. Lebih kurang sebulan setengah selepas aku dan Siti ‘putus’, Siti pun melangsungkan perkahwinan dengan abang angkatnya. Aku terpaksa mengambil cuti selama seminggu bagi merawat jiwaku yang terluka.


Rupanya beginilah rasa putus cinta. Mungkin kerana Siti merupakan cintaku yang pertama dan teman wanita yang amat memahami jiwaku. Walaupun aku tiada rancangan nak berkahwin dengannya. Tetapi aku tak sangka pula dia akan berkahwin dalam usia semuda 25 tahun ini.


Bagi wanita mungkin 25 tahun waktu wajib mereka berkahwin. Tapi bagi aku tidak. Belum sampai seru aku lagi.


Waktu frust macam inilah sesuai menjiwai watak Awie dalam filem 'Sembilu'. Naik motorsikal 'Chopper-easy rider' diiringi lagu ‘Ukiran Jiwa’ yang bait-bait liriknya seperti ini,


“Kedamaian yang kucari, masih belum terbukti, jauh lagi perjalanan ini. Jiwa tak pernah tenteram, kasih lama tenggelam di lubuk hati yang paling dalam. Berlumutlah ukiran impian, entah berapa lama. Harus ku nanti sinar kasih sayang, menyinari kembali. Dengan nada lagu dan irama. Ku luahkan jua rasa kecewa. Semoga kau dapat mendengarnya. Semoga terbuka, pintu cintamu. Yang pasti hujan, tak berterusan. Matahari kan tetap, terus bersinar. Kini terbukti apa yang dinanti. Dengan rela kulepaskan kau pergi.......”


Tapi aku teringat pesan bapaku. Dia pernah berkata, “Zul. Lelaki tak boleh menangis. Lelaki kena kuat. Dalam hati menangis tak apa. Tapi air mata tak boleh keluar. Barulah namanya laki. Kalau tak nanti orang kata pondan.”


Demi mengingat pesan bapaku itulah aku tak mengalirkan airmata. Walau apa pun sebabnya. Hati menangis tak siapa tahu.


Mungkin hatiku belum kuat untuk bermain cinta. Cinta pertama bagi ku amat pahit penamatnya. Tak apa. Orang putih kata, “Practice make perfect”.


Jadi untuk menjadikan hati aku kuat. Maka aku perlu bercinta dan putus cinta, agar hati aku menjadi kuat dan lali dengan semua cinta. Akan aku uji hipotesis ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.