CERPEN BERTAJUK : PAK ULIT
Argh. Melepas lagi. Angin betul aku. Joran yang aku sentap tiada
hasil. Dah 4 kali macam ni. Ikan-ikan ni semua tak nak makan umpan di mata
kailjoranku. Agaknya sebab budak-budak ni bising. Dua kanak-kanak lelaki.
Berlari ke sana sini. Menjerit-jerit sesama sendiri. Sambil memasang umpan baru
di mata kail, aku menjeling ke arah kedua kanak-kanak itu bermain.
Kolam mancing ni takde la besar mana. Lebih kurang besar padang
bola futsal je. Sepatutnya dah 5 6 ekor ikan aku dapat ni. Kolam ikan air tawar
je. Bulan lepas aku mancing sini dapat jugak 8 ekor talapia merah dan 2 ekor
patin aku bawak balik. Cukup la buat lauk seminggu kat umah.
Hari ni aku monteng keje dan datang mancing sini. Kolam mancing
Tasik Kesuma. Sebab hari hujan pagi tadi. Aku terlewat bangun. Alang-alang
lewat biar ‘Emergency Leave – E.L’ je. Aku mula mancing sini dari jam
10.00pagi. Ni jam tangan ku dah menunjukkan jam 11.30pagi. Sepatutnya dengan
skill aku mancing, dah 5 ekor ikan aku dapat ni. Ini ‘port’ ketiga aku pindah
dari mula mancing tadi. Separuh kolam dah aku tukar tempat. Dengan matlamat
agar mudah ikan makan umpan pancing aku.
Tapi aku tak sedar rupanya ‘port’ ketiga yang aku pilih untuk
pasang joran aku ni rupanya betul-betul sebelah seorang lelaki tua. Pakcik ni
daripada aku mula mancing tadi, memang dia duduk sini je. Sekali aku tengok dia
masukkan ikan dalam jaring ikannya, lebih kurang 3 ekor ikan talapia merah dah
dia dapat.
Aku menarik nafas dalam bersama asap rokok nusantara yang aku baru
nyalakan. Walaupun aku agak tak puas hati dengan pakcik yang duduk dalam jarak
50meter daripada ku, tapi aku tetap membuahkan senyum sewaktu memandang ke arah
pakcik itu.
Cuba menunjukkan sopan kepada orang tua, aku menegur pakcik itu,
“Berapa ekor dapat dah pakcik?”
Pakcik itu membalas senyuman dan menjawab, “Ada la 5 ekor yang dah
tarik. Tapi 2 ekor tadi kecik. Aku lepaskan balik. Ni ade 3 ekor je. Talapia
merah.”
Pakcik itu lantas melontarkan semula mata kail ke dalam kolam
selepas umpan cacing dipasang tadi. Sambil membetulkan tempat duduk, dia
menghidupkan sebatang rokok dan meletakkan dibibirnya. Dari kedudukan aku ini,
dapat aku lihat kotak rokoknya. Jenama Gudang Garam. Memang ‘favourite’
orang-orang tua jenama keretek Gudang Garam ni.
“Nama kamu siapa?” Pakcik itu bertanya dari kejauhan.
“Saya Zulkefli. Panggil Zul je.” Jawab ku.
Walaupun aku cuba berlagak sopan. Tapi aku sebenarnya jugak dengan
pakcik ni. Manakan tidak. Dua budak lelaki yang berlari ke sana sini bermain
tepi kolam dan menjerit-jerit ni, aku agak cucunya. Sebab budak-budak tu
kejap-kejap datang ke tempat pakcik ni duduk.
Pakcik ni kelihatan seperti telah berusia pertengahan 60-an . Tapi
tubuh badannya tegap. Rambut pendek. Tapi penuh dengan uban di kepala. Misai
halusnya kelihatan hitam disulami putih sedikit. Kulitnya nampak kekeringan dan
berkedut. Warna cokelat kegelapan. Mungkin kerana kuat berjemur orang tua ni.
Atau dia bekas askar. Memang biasa kawad bawah matahari.
“Panggil aku Pak Ulit je.” Tetiba pakcik itu bersuara. Walaupun
aku tak tanya namanya.
“Oh, Pak Ulit.” Jawab aku. Sedikit pelik dengan nama pakcik ni.
“Tu budak-budak tu cucu Pak Ulit ke?” Tanyaku kembali kepadanya.
Pak Ulit memandang ke arah dua orang budak lelaki yang lari
berkejaran sekeliling kolam ni. Kemudian memandang kepada ku. Tersenyum dan
menganggukkan kepala.
Tepat seperti jangkaan ku. Rokok nusantara yang aku hisap sudah
setengah batang terbakar. Seperti hatiku yang juga terbakar kerana umpan
pancing ku tidak dimakan ikan. Mungkin kerana cucu-cucu Pak Ulit yang bising di
sekeliling kolam ini.
Walaupun tak puas dalam hati. Luaran, muka ku tetap tersenyum
kerana menghormati Pak Ulit ini. Lantas aku bertanya lagi, “Biasa ke Pak Ulit
mancing sini?”
Dalam hela nafas yang ditahan dalam bersama sedutan asap rokok,
Pak Ulit masih boleh menjawab, “Jarang jugak. Kolam ni, anak aku punya. Tapi
aku jarang datang sini.”
Tetiba hati aku yang tak puas hati tadi jadi tenang sedikit. Sebab
aku ni sedang berbual dengan bapak kepada tauke kolam mancing ni. Padanlah
cucu-cucu dia berlari sana sini, kolam ni memang bapak budak-budak ni punya.
Sedang aku fokus memandang ke hujung tali joran, tetiba aku tengok
Pak Ulit dengan pantas menarik dan menggulung tali jorannya. Wah hebat orang
tua ni, dah kali 6 ekor ikan makan umpan pancing dia ni.
Dengan muka selamba, aku menggulung tali joran ku dan cuba beralih
tempat duduk hampir dengan tempat duduk Pak Ulit. Cuba berkongsi rezeki ikan
jika ada. Kot lubuk Pak Ulit pilih ni memang lubuk senang dapat ikan.
“Pak Ulit. Tumpang dok sini ye. Kot leh dapat ikan. Dari tadi saya
try dah banyak tempat. Tak dapat.” Aku mohon izin Pak Ulit.
Sambil memasukkan ikan ke dalam jaring ikannya, Pak Ulit menjawab,
“Rezeki ada di mana-mana. Duduklah. No problem. Hehehe” Pak Ulit gelak kecil.
Setelah melontar mata kail. Aku memacakkan batang joran dekat
dengan tempat duduk aku. Selang 10 langkah ke tempat duduk Pak Ulit. Sambil itu
aku lihat ade 5 orang lagi pemancing lain di sekeliling kolam ini. Tapi yang
aku perasan, paling tidak, sekor ikan dah menjadi habuan mata kail mereka. Tapi
aku dah dekat 2 jam mancing ni masih tak dapat sekor ikan pun.
Tak adil pulak aku nak salahkan dua orang cucu Pak Ulit ni sebab
aku tak dapat ikan. Mungkin ‘Luck’ aku takde hari ini. Ke balasan tuhan terhadap
aku sebab aku monteng keje hari ini. Hahahaha. Nasib la. Aku memang malas keje.
Dah la lambat. Punch kad asyik merah je sebab lewat. Sekali sekala biarlah
punch kad tu suci bersih lak daripada apa-apa tulisan.
Namun aku perasan, ada jugak 2 3 orang pemancing kat kolam ni, dah
geleng-geleng kepala memandang cucu-cucu Pak Ulit. Kerana bising berlari
sekeling kolam mancing ni. Agaknya mereka pun tak puas hati sebab ikan tak nak
makan umpan pancing bila dengar suara bising.
Aku secara sopan, cuba menegur kelakuan cucu-cucu Pak Ulit dengan
bersuara, “Pak Ulit. Maaf la nak tanya. Ni cucu-cucu Pak Ulit tu lari sana-sini
bising-bising tu. Tak pe ke? Takut orang kat kolam ni marah lak. Pasal ikan tak
makan umpan ni. Hehehehe. “
Sekali lagi, Pak Ulit memandang cucu-cucunya lantas tersenyum
lebar. “Elok lah bebudak tu gembira. Aku pun senang hati tengok mereka
gembira.” Pak Ulit menyalakan sebatang lagi rokok kretek Gudang Garamnya.
“Hehehe. Bebudak tu gembira bagus Pak Ulit. Tu orang yang
memancing tu banyak yang geleng-geleng kepala je tu saya tengok Pak Ulit.”
Alasan ku. Kerana yang tak dapat sekor ikan hanya aku seorang je.
Pak Ulit merenung jauh ke sekalian pemancing yang memancing di
kolam ini. Lebih kurang 4 orang pemancing tidak termasuk kami berdua. Seorang
pemancing tadi aku perasan telah bangun beredar balik dari kolam ini. Tapi
dapat jugak dia hasil sekor ikan untuk dibawa balik. Tapi tak berbaloi juga tu.
Nilai sekor ikan tu kiranya RM10 la. Sebab sekali mancing sini Rm10 untuk 3
jam. Patut dengan 3 jam dan nilai RM10 tu boleh dapat 5 ekor talapia
sepatutnya.
“Tak tergamak aku nak tegur cucu-cucu aku ni, Zul.” Kata Pak Ulit
kepadaku.
“Oh kalau Pak Ulit tak sanggup nak tegur. Saya boleh tolong tegur
bebudak ni suruh mereka diam, Pak Ulit. Kot dengan saya, mereka takut lak ke.
Senyap sikit nanti.”Kataku.
“Bukan begitu. Mereka bukan tak takut dengan aku. Aku yang tak
sanggup. Tak tergamak nak berhentikan kegembiraan mereka. Biarlah mereka
bergelak ketawa sepuasnya.”
“Nape lak gitu Pak Ulit. Kang lari semua orang yang mancing ni.
Kosong lak kolam ni Pak Ulit.”Aku cuba memahami apa maksud Pak Ulit.
“Biarlah kolam ini kosong daripada segala pemancing. Jika itu
boleh memberi kegembiraan di hati-hati cucu aku berdua ni.”
Pulak dah orang tua. Dia faham tak maksud aku? Aku yang nak
bebudak ni senyap sikit. Jangan lari-lari sana sini. Sebab aku belum dapat ikan
lagi. Adui. Apa la caranya lagi nak bagi Pak Ulit ni faham.
“Kenapa Pak Ulit cakap camtu? Kosong kolam. Takde lah income untuk
anak Pak Ulit nanti. Pak Ulit kata kolam ni anak Pak Ulit yang punya.” Aku cuba
memahami situasi.
“Memang kolam ni anak aku punya. Ayah kepada budak berdua tu. Yang
tinggi sikit tu namanya Epol. 10 tahun. Yang rendah sikit gelap sikit tu, Edy
namanya. 8 tahun. Mereka dua beradik je yang tinggal.” Sambil jari telunjuk Pak
Ulit menunjukkan ke arah cucu-cucunya.
“Oh anak tauke kolam rupanya. Tak apa la gitu. Hahaha. Saya memang
tak tau tauke kolam ni ade anak-anak kecik.” Kata aku. Padan muka aku. Nak
sound bebudak tu, rupanya anak tauke kolam.
“Ayah bebudak ni memang jarang datang kolam sini. Aku tinggal
dengan ayah dan ibu budak-budak ni di Semban. Kolam ni, pekerja yang jaga dan
uruskan.” Jelas Pak Ulit.
“Oh, padanlah tak kenal tauke kolam ni. Saya pun baru 2 3 kali datang
Kolam Tasik Kesuma ni.”
“Sebab tu aku tak kisah kalau kolam ini kosong daripada pemancing.
Asalkan cucu-cucu aku ni gembira bermain.”Kata Pak Ulit.
“Yelah. Tak apalah. Dah kolam ayah mereka punya.” Tambah ku pula.
“Bukan sebab itu Zul. Bukan sebab kolam ni kepunyaan ayah mereka.
Tapi sebab aku tak tergamak berhentikan teriakan gembira mereka berdua. Dah
lebih 5 hari aku tidak mendengar suara mereka. Tidak mendengar gelak ketawa
mereka.” Sambil menekan puntung rokok di tanah tempat duduknya.
“Oh baru baik sakitkah , cucu-cucu Pak Ulit ni?” Tanya aku
kembali.
“Bukan. Mereka tinggal dua beradik je sekarang dengan aku. Sebab
ayah dan ibu mereka telah tiada.” Pak Ulit menegangkan sedikit tali jorannya.
Lalu menambah, “Anak aku dan isterinya telah kembali ke Rahmatullah dalam
kemalangan jalan raya minggu lepas.”
“Innalillah.....”Jawab ku.
“Ketika kemalangan, anak aku tu bersama isterinya menuju Kuala
Lumpur seawal 5 pagi. Cucu-cucu aku ni masih tidur ketika itu, jadi arwah
tinggalkan untuk aku jaga di rumah. Tak sangka, itu kali terakhir mereka pergi
meninggalkan kami buat selama-lamanya.”
Tambah Pak Ulit, “Semenjak ayah dan ibu mereka meninggal dunia,
cucu-cucu aku ni jadi pendiam. Tak dengar suara mereka apatah lagi gelak
ketawa. Sebab itulah, bila kamu mintak aku tegur untuk mendiamkan mereka tadi,
aku tak sanggup. Tak tergamak mendiamkan mereka.”
Baru lah aku faham kini, dua orang kanak-kanak itu telah menjadi
anak-anak yatim piatu dalam usia sekecil itu. Rasa geram dan bengang aku tadi
bertukar menjadi sayu dan sedih memikirkan kehidupan mereka. Aku hanya terdiam.
Joran yang aku pacakkan tadi, aku biarkan saja. Entah dimakan ikan atau tidak.
Aku biarkan saja. Aku memandang Pak Ulit. Menunggu dia menyambung cerita.
“Biarlah kolam ini kosong daripada pemancing semua. Asalkan hati
cucu-cucu aku terisi dengan kegembiraan. Terisi dengan gelak pekik suara
mereka. Bergurau senda sesama mereka dua beradik. Apa saja mereka nak, aku
sanggup buat. Asalkan mereka kembali gembira dan dapat meneruskan kehidupan
ini. Asalkan mereka terlupa seketika dengan kejutan kesedihan akibat kehilangan
ayah dan ibu mereka.” Pak Ulit tersenyum walaupun aku faham kesedihan yang
melanda hatinya.
“Maafkan saya Pak Ulit. Saya tak tau kisahnya begini. Kalau saya
tau, awal-awal lagi saya tak hirau budak-budak ni main. Orang lain yang mancing
di sini pun tak tau, Pak Ulit. Maafkan kami semua ye.” Aku memohon maaf bagi
pihak semua pemancing di sini, walaupun aku tak kenal mereka semua.
“Tidak mengapa Zul. Mereka tidak tahu. Betul la budak-budak tu
bising. Main. Biarlah mereka tak nak datang kolam ini lagi sebab tak dapat
ikan. Asalkan aku dapat tengok cucu-cucu aku gembira.”
Pak Ulit menyalakan lagi sebatang rokok kreteknya. Lalu meneruskan
cerita, “Dulu, cucu-cucu aku ni pernah bergembira dengan ayah dan ibu mereka di
kolam ini. Sewaktu arwah baru mula mengusahakan kolam ini. Di tempat aku duduk
inilah, arwah memasang joran dan mengajar anak-anaknya cara-cara memancing.
Budak-budak ni penggeli dengan cacing sebenarnya. Tu yang arwah selalu usik
mereka dengan cacing dan anak-anaknya akan menjerit lalu berlari-lari. Agaknya
kenangan itu yang kembali ke dalam ingatan cucu-cucu aku ni, sampai mereka
berlari-lari dan menjerit sekitar kolam ni.”
“Yelah Pak Ulit. Biarlah mereka gelak ketawa dan gembira.”
Tiba-tiba aku perasan tali joran Pak Ulit ditarik ikan dan joran
Pak Ulit bergerak-gerak. Mungkin besar jugak ikannya itu. Aku yang geram sebab
tidak dapat menarik ikan daripada tadi, memohon izin Pak Ulit,“Pak
Ulit, saya tolong tarik ye.”
Belum sempat Pak Ulit menjawab, aku telah menarik joran Pak Ulit
dan menggulung tali jorannya. Wah rezeki Pak Ulit lagi. Dapat aku melepaskan
gian menarik joran. Kali ini ikan yang menjadi mangsa joran Pak Ulit ialah Ikan
Talapia Merah seberat lebih kurang setengah kilo. Besar jugak saiznya.
“Wow Pak Ulit. Rezeki cucu-cucu Pak Ulit ni.” Kata ku kepada Pak
Ulit sambil tangan ku mencabut mata kail daripada mulut talapia ini.
Pak Ulit menyerahkan jaring yang berisi ikan-ikan yang telah
ditangkap tadi. “Zul, masukkan ikan-ikan tu dalam jaring ikan ni. Lepas tu kau
bawak balik ikan-ikan ni. Masak. Makan.” Arahan Pak Ulit kepada ku.
“Hah? Pak Ulit bagi saya ke semua ikan-ikan ni?”
“Ambik lah. Aku tak makan ikan darat Zul. Mancing ni saje
suka-suka je.” Jelas Pak Ulit.
“Cucu-cucu Pak Ulit lak. Mesti makan ikan-ikan ni kan?”Tanyaku.
“Mereka makan apa yang aku makan.”Pak Ulit tergelak kecil. “Kau
ambil aje bawak balik. Rezeki kau hari ini.”Tambah Pak Ulit.
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak Pak Ulit.” Aku menghulur
tangan bersalam dengan Pak Ulit dengan perasaan gembira.
“Aku pun nak balik ni Zul. Dah dekat masuk Zuhur dah. Dah terik
matahari ni. Nak balik Semban lak lepas ni. Kang joran ni kau kemas bagi kat
pondok budak jaga tu. Dia punya tu. Aku pinjam je.”Tunjuk Pak Ulit ke kaunter
bayaran kolam mancing ni.
“Yelah Pak Ulit. Nanti ada masa datang la sini lagi Pak Ulit.
Boleh saya dengar kisah Pak Ulit dan cucu-cucu lagi.”
“In Sha Allah.”Jawab Pak Ulit. Dia melangkah ke arah cucu-cucunya
yang telah duduk kepenatan di pondok berhampiran kolam ini. Kepenatan sebab
berlari-lari tadi agaknya. Penat gelak ketawa. Tak kisah lah sebab apa pun.
Asalkan anak-anak yatim ini kembali gembira. Seperti sewaktu ayah dan ibunya
masih ada.
Hati aku pula, separuh gembira. Separuh sedih. Sedih kerana
mendengar kisah cucu-cucu Pak Ulit yang menjadi anak yatim piatu. Sedih kerana
mereka telah 5 hari senyap tanpa suara. Trauma agaknya dengan kehilangan ayah
dan ibu mereka. Tapi aku juga gembira, kerana hari ini, mereka telah kembali
gelak ketawa. Aku juga gembira kerana kesabaran aku memancing hari ini berbaloi
dengan ikan-ikan yang dihadiahkan Pak Ulit ini. Betul kata Pak Ulit, rezeki ada
di mana-mana.
Semoga arwah anak Pak Ulit dan isterinya ditempatkan di tempat orang-orang
beriman. Al-fatihah...
Cerpen karangan:-
-Masterzaki-
17 Disember 2014.