Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,207
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 10

“Engkau Farid anak Tan Sri Aman?”

 

“Kau nak tempah perisa apa?” Langsung soalan bisnes diajukan.

 

“Namaku Abuyo. Abuyo bin Abuzen.” Abuyo menghulur tangan. Farid menyambutnya acuh tak acuh.

 

“Aku nak maklumat dari engkau, Farid. Aku nak selamatkan seseorang.”

 

“Erm. Bro, tak ada apa di dunia ni yang bukan bisnes. Aku boleh bagi, dengan syarat – ”

 

“ – apa syaratnya?! Aku sanggup bayar apa saja.” Laju Abuyo memotong.

 

“Sungguh?”

 

Mereka kini sedang makan di Pizza Hut. Abuyo mengambil sepotong piza berkerak keju selepas dipelawa Farid. Dia teringat bapanya dan memori makan piza bersama. Sudah lama benar mereka tidak makan bersama.

 

“Oh, tadi kau kata nak tahu syarikat apa yang bapa aku handle kan? Aman Biotech.”

 

“Siapa pembeli produk korang?”

 

“Oh, untuk itu kau kena bayar lebih.”

 

“Kau dah kaya pun masih pow orang!” Abuyo mulai geram.

 

“Bukan aku yang kaya, yang kaya tu bapak aku. Aku kena cari duit sendiri kalau nak bayar yuran universiti. Sebab tu aku jual benda-benda tu, bapak aku benarkan, tapi dia tak akan bagi duit cash. Kau nak bayar aku ke tak?”

 

“Okey okey aku bayar.” Abuyo mengalah, ada keluhan di hujung ayat. Farid senyum lebar seperti psikopat.

 

Abuyo mengikut Farid ke 7-Eleven. Farid pinta, “Aku nak rokok Peter sekotak. Kau merokok tak?”

 

Abuyo menggeleng kepala.

 

Mereka melepak di tepi tasik. Berkepul-kepul asap Peter keluar dari mulut Farid yang duduk di sebelah Abuyo di sebuah bangku panjang mengadap tasik.

 

“Kami ada kontrak jangka panjang dengan Jabatan Perisikan.” Farid menghembus asap rokok ke muka Abuyo. Kurang ajar betul.

 

“Jabatan Perisikan?”

 

“Aku tak tahu apa kaitan jabatan itu dengan inisiatif angkasa lepas negara kita. Tapi diorang nak beli, so kami juallah.”

 

“Lagi, apa lagi yang korang jual?”

 

Jap, haus pulak.” Tangan Farid menadah meminta wang lebih daripada Abuyo sedang wajahnya memandang deretan kenderasaji di kawasan parkir taman yang menjual pelbagai minuman dan makanan. Kemudian dia menyeringai memandang Abuyo. “Lepas minum aku beritahu.”

 

Selepas membeli minuman, Farid menjelaskan, “Pil. Untuk menidurkan angkasawan bertahun-tahun untuk persediaan misi ke planet-planet jauh. Lain jenis pil, lainlah mimpi angkasawan tu. Kalau nak mimpi bersenggama sepanjang masa dengan bermacam gadis, ada. Kalau nak mimpi makan sepanjang masa, ada pilnya. Pil penjara macam yang bapa kau makan pun ada.”

 

“Erk, mana kau tahu pasal bapa aku?”

 

“Adalah.” Farid sengih saja.

 

Abuyo bingkas bangun.

 

“Weh, kau nak ke mana?”

 

“Apa lagi kau nak?”

 

Service charge. Lepas tu SST enam peratus.”

 

Abuyo menghulur not RM10. “Yang SST tu pergi mampus.”

 

Farid menyeringai sambil melaung, “Jumpa lagi kawan!” sambil melambai tangan. Abuyo sudah jauh dari pandangan.

 

**

 

“Dah bermacam dah peguam kita usahakan, Abuyo. Dah tiga tahun bapa kau dipenjara. Ibu rasa kita dah tak ada harapan lagi. Tunggu ajalah Abuyo, lagi tujuh tahun. Lagi tujuh tahun bangkitlah bapa kau tu.”

 

“Ibu, Buyo akui memang kita tak ada bukti abah diperangkap. Memang ada tangan-tangan kayangan yang cuba kambinghitamkan abah. Tapi kita boleh paksa mereka buka mulut.”

 

“Maksud engkau Abuyo?”

 

Abuyo tersenyum, “Mak tahu siapa timbalan ketua pengarah perisikan?”

 

“Rozemy Salim. Mengapa dengan dia?”

 

Abuyo mengeluarkan dari begnya cetakan A4 hasil penyelidikan di internet. Dia baru sahaja mengambil cuti dari universiti demi mengendalikan kes bapanya. Di sebelah mereka Abuzen masih terlantar ‘koma’ dengan drip bag berperisa piza dipasang bergantungan di atasnya.

 

Adila mengambil helaian-helaian itu dari tangan Abuyo seraya membacanya.

 

“Rozemy Salim punya kepentingan dalam syarikat pembekal Rozmey Resources. Syarikat ini bekal pil dan drip bag yang digunakan ke atas abah. Rozmey Resources dapat semua ini daripada Aman Biotech, syarikat pembuat ubat dan makanan angkasawan.”

 

“Cuba mak tengok ni.” Abuyo menghulur dokumen yang menghuraikan struktur pegangan saham dan kepentingan dalam syarikat Rozmey Resources. Ada lencana badan penyiasat pada hujung atas kanan muka depan dokumen itu. Badan scrutiny bebas atas talian.

 

“Rozemy Salim tak pegang Rozmey Resources secara langsung. Ada lapisan. Rozmey Resources dipegang syarikat luar yang berpangkalan di Cayman Islands, nak elak dari bayar tax. Pemegang terbesar syarikat di Cayman tu Madeline Coopers, isteri kepada Rozemy yang menetap di Amerika Syarikat.”

 

Mata Adila membeliak memandang hasil mahsul penyelidikan anak tunggalnya itu.

 

Sambung Abuyo lagi, “Rozmey Resources beli pil dan drip bag itu daripada Aman Biotech kemudian membekalkannya kepada Jabatan Perisikan untuk tujuan penjara maya para banduan baru. Pendek kata Rozmey Resources buat untung atas angin dari jualannya. Aman Biotech buat untung langsung dari kontrak dengan Rozmey.”

 

“Abuyo buat extra research lagi dan dapati penjara maya tak diletakkan bawah Jabatan Penjara tetapi bawah Jabatan Perisikan a.k.a. jabatan ‘spy’. Tujuannya kerana Perisikan nak cari mana-mana banduan yang boleh fight kesan pil tu. Jika abah berjaya melepasinya abah mungkin akan direkrut mereka ibu.”

 

“Macam mana Buyo tahu buat semua ni Abuyo? Mana kau belajar?”

 

“Buyo budak gen-Y bu. Generasi ibu mana arif bab-bab scrutiny ni. Buyo ada kawan yang langgan laman web scrutiny syarikat-syarikat, laman web tu dikendalikan badan online dengan lencana kat atas hujung kanan dokumen tu. Buyo guna akaun dia. Lagi satu sekarang ada Google ibu. Semua hujung jari.”

 

Adila mengesat air mata kegembiraan. “Sudah lama bapa kau dianiaya.” Dia memeluk Abuyo.

 

“Ibu, Buyo akan bawa mereka yang mengkhianati abah ke muka pengadilan. Perancangan Buyo, kita akan paksa Rozemy Salim buka mulut. Dia pasti sedang pegang dan menahan semua bukti.”

 

Abuyo menekankan perancangannya.

 

“Ibu, kita akan blackmail dia. Kita akan paksa dia ‘berbisnes’ dengan kita. Lagipun, tiada apa yang bukan bisnes di dunia ini bukan?”

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov