Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,202
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 12

Syarikatku dengan Danielle Lam ialah syarikat yang menguruskan pembayaran dan pemindahan wang atas talian. Aku pengurus di situ, dan Danielle Lam ialah pengurus besar. Meski pangkat kami berbeza, pengalaman kerja dan umur kami sama.

 

Hanya kami berdua yang diarahkan CEO untuk menguruskan satu transaksi berjumlah RM1.2 billion. Dengan transaksi ini, kami membantu sebuah syarikat bernama Rozmey Resources menjual produk pil mimpi dan gel makanan ‘drip bag’ pelbagai perisa kepada NASA. CEO Rozmey Resources, Idris Halim meminta kami menyembunyikan transaksi ini daripada pengetahuan Bank Negara yang memantau aliran wang besar mencurigakan keluar masuk negara. Idris memberitahu ia arahan dari pemegang saham terbesar syarikatnya iaitu Madeline Coopers.

 

CEO kami menerangkan ini projek rahsia dan hanya kami bertiga yang mengetahuinya. Aku dan Danielle Lam menggunakan kepakaran IT bertahun yang diasah untuk melakukan sendiri re-routing aliran wang sehingga ia jadi ‘bersih’. Kami perlu memecah-mecahkan jumlah RM1.2 billion itu dan mengalirkannya ke server berlainan di serata dunia, dan setelah ‘dibersihkan’ oleh server-server di Rusia dan China, akan dibawa masuk ke Malaysia melalui pelbagai server di sini dan kemudian ke pelbagai bank akaun dalam negara yang sebenarnya milik syarikat kami. Dari situ, kami akan menyalurkannya ke Rozmey Resources sehingga semuanya berjumlah RM1.2 billion. Rozmey Resources pula akan mengupah kami 1% dari jumlah itu, atau RM12 juta.

 

Tujuan Rozmey ialah demi menyembunyikan jualannya kepada NASA daripada kerajaan. Semua pil dan drip bag itu dihantar ke pembeli di NASA secara berperingkat dan mereka menutup mulut kastam kita dengan wang yang kami bantu bawa masuk. Aku tidak tahu apa sebabnya dia mahu berselindung dari kerajaan, barangkali kerana soal cukai.

 

“Banyak lagi ke Danielle?” Aku cuba memeriksa bahagian Danielle.

 

“Sikit lagi. Hei Abuzen, bini kau tak marah ke balik lewat?”

 

“Tak. Dia faham.”

 

“Kalau tak balik langsung, macam mana?” Danielle memanjakan suaranya. Semacam saja aku dengar.

 

Aku mula meremang bulu roma. Hanya aku dan dia dalam pejabat waktu itu. Imej peha putih di balik skirt hitamnya terbayang-bayang, melintas menjentik nafsu. Mataku mula merayap mencari peha, namun aku pantas cubit pipi.

 

“Danielle, tu soalan apa?”

 

“Tak saja tanya. Abaikan.” Dia sambung kerja.

 

Aku cuba mencari idea agar perbualan kami bertumpu pada benda lain. Dalam berbual itulah aku terbongkarkan rahsia isteriku yang ada tanda-tanda nyanyuk. Setiap kali nafsu aku cuba menguasai fikiran aku cepat-cepat cubit pipi dan menumpu pada kerja. Kerja kami banyak amat. Bayangkan hanya kami berdua yang memindahkan jumlah sebesar RM1.2 billion. Namun pulangan RM12 juta itu sudah cukup lumayan. Aku mahu berpindah ke luar negara bersama Adila dan Abuyo dan memulakan hidup baru. Itu sasaran dan doronganku memenuhi projek terakhir ini, sebelum aku merancang untuk meletak jawatan.

 

Selepas projek itu berjaya, aku tidak mendengar khabar dari Rozmey Resources. Kami mendapat upah yang dijanjikan, iaitu RM12 juta. Namun tidak semena-mena aku ‘diangkut’ ke alam merah ini.

 

**

 

Antidot telah disuntik. Abuzen perlahan-lahan membuka mata. Sebaik mata terbuka, pantas dia diterkam Adila yang sudah tiga tahun tidak dilihatnya. Abuyo duduk di sisi katil hanya memerhati.

 

“Maafkan Adila abang. Maafkan Adila kerana bagi abang pil tu.” Adila menangis dalam memeluk suaminya di perbaringan.

 

“Adila, macam mana aku boleh pulang?”

 

Adila menceritakan segala-galanya. Abuyo tersenyum memandang bapanya. Bapanya membalas senyum. “Abuyo, terima kasih.”

 

“Bagaimana dengan Danielle?”

 

“Siapa Danielle?”

 

“Bos abang. Dia turut diberi pil sama.”

 

“Saya tak tahu.”

 

“Oh, Cik Danielle masih koma di hospital.” Peguam Abuzen memberitahu.

 

“Siapa yang menjaganya?”

 

“Dia sebatang kara Abuzen.”

 

“Dia belum diberikan antidot bukan?”

 

“Belum.”

 

“Baiklah. Azfar, aku perlukan pertolonganmu. Jangan beri antidot itu dahulu.” Abuzen berkata kepada peguamnya.

 

“Kenapa?”

 

“Biarkan dia lama sedikit di alam mimpi.” Aku mahu mengajar psikopat itu.

 

**

 

Doktor Halim membuka surat rasmi itu.

 

Ia arahan dari Jabatan Perisikan agar Danielle Lam dipindahkan ke rumah Abuzen bin Zen selaku kenalan atau acquaintance yang sanggup menjaganya. Di dalam surat itu Jabatan Perisikan mengatakan bahawa Abuzen mengenali Danielle dan menepati syarat-syarat yang diperlukan untuk menjadi penjaga.

 

Petang harinya, Danielle Lam yang masih koma dipindahkan bersama katil wadnya masuk ke rumah Abuzen. Pihak hospital lagilah suka jika ‘penjara maya’ ini dilakukan di rumah sesiapa yang boleh menjaganya kerana ia bakal mengurangkan kos hospital menjaga ‘banduan’ ini dan memberi ruang kepada pesakit yang lebih memerlukan rawatan.

 

Abuzen yang masih berkerusi roda duduk merenung Danielle yang kini terlantar koma di hadapannya. Abuzen tersenyum sinis.

 

“Aku serahkan kepadamu Abuzen, dia sepenuhnya di bawah tangggungjawabmu mulai hari ini. Ini surat rasmi pemindahan hak penjagaan.” Doktor Halim menyerahkan sepucuk surat ke tangan Abuzen, seraya beredar. Abuzen meletakkan surat itu ke atas meja dan merenung Danielle yang kaku di perbaringan.

 

Aku tidak pernah menyangka Danielle sungguh psikopatik. Selepas masuk ke dunia merah itu aku kini jelas dengan belangnya. Biarkan dia lama sedikit di sana. Biarkan. Psikopat sepertinya harus diajar cukup-cukup. Namun sikap psikopatnya itu telah mengubahku.

 

Dalam seksaan mulutnya yang macam haram di alam merah itu aku sengsara, Danielle sungguh berkesan sebagai penyeksa. Dia menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada demi mengawalku. Psikopat sepertinya akan menampakkan belang tatkala ruang yang sesuai kunjung tiba seperti alam merah itu. Aku tidak jelas mengapa dia tidak begitu psikopatik ketika di syarikat lama di dunia nyata. Mungkin kerana tiada peluang dan ruang, kerana aku bekerja bersama-samanya demi mencapai sasaran bersama, maka dia kurang bersemangat membuli dan mengeluarkan belangnya. Namun di alam merah itu, dia memang dibenarkan menyeksa psikologiku. Ia peluang yang jelas. Tiada peraturan yang menghalang. Hanya peraturan yang membenarkan.

 

Alam merah itu adalah persekitaran yang subur untuk persona seperti Nahmaran yang dipakai dan dipaksakan ke atas Danielle. Aku tidak akan melupakannya. Dan sekarang adalah giliranku menyeksamu, Danielle!

 

TAMAT

Previous: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov