Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,206
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 4

Suatu hari aku bangun, aku dapati ada loceng tambahan tumbuh di hadapanku.

 

Loceng apa pula ini? Apakah aku perlu meniup ke dalam dua loceng pula?

 

Selepas setahun di sini, aku asyik meniup lima kali sehari. Untuk mendapatkan biskut, aku perlu meniup sepuluh kali. Untuk naik pangkat kepada Khadam Kiri, aku perlu meniup lebih dari sepuluh kali. Kala itu aku akan diberi ganjaran piza. Selepas engkau naik Khadam Kiri, engkau boleh naik Khadam Kanan jika meniup sekurang-kurang dua puluh kali. Dan jika engkau mampu tiup lebih dari dua puluh kali, engkau naik Khadam Besar. Pada ketika itu, rantaimu akan lebur dan perlahan-lahan engkau akan diselaputi kulit pokok dan beransur menjadi pokok penuh seperti Nahmaran. Selepas engkau menjadi pokok penuh, engkau tidak perlu lagi meniup. Kerja engkau hanyalah mengarahkan dan memastikan pekerja lain meniup.

 

Aku boleh berbangga dengan sejarah Nahmaran jika dia memang bermula dari bawah, dari peringkat Marhaein, meskipun aku amat membenci perangainya terhadapku. Sekurang-kurangnya masih ada sesuatu yang mewajarkan aku menghormatinya. Namun selepas aku mendengar sejarahnya dari Isytrok, aku tambah menyampah. Nahmaran dibawa masuk oleh Manhaman entah dari mana. Dia diletakkan mengawasi kami dan tidak melakukan sebarang kerja selain dari membebel dan membebel. Aku fikir apa wajarnya meletak satu tin kosong atau pasu bunga di antara kami dengan Manhaman? Apa wajarnya meletak seorang pengawas sedangkan engkau mampu mengawasi sendiri pekerjaanmu? Apakah dia sebagai sekadar hiasan meja begitu?

 

Dan aku tambah menyampah pabila aku menyedari Nahmaran hanya berdiam diri tatkala Isytrok tidur! Aku genggam penumbuk, geramnya. Andai aku mampu leburkan rantai ini aku akan tumbuk muka bedebah ini bertubi-tubi. Setiap kali aku melihat Isytrok tidur, aku akan mengejutkannya sebelum Manhaman perasan. Setiap kali itulah juga aku menjaga punggung Nahmaran dari dimarahi. Oh ya dimarahi? Huh, jauh sekali! Aku menjaga punggung Isytrok dari dimarahi sebenarnya. Manhaman langsung tidak memarahinya mahupun menjeling, dia hanya menjeling ke arah Isytrok sahaja. Manhaman seolah-olah gentar dengan Khadam Besar ini.

 

Selepas melangsaikan tugas meniup lima kali pada hari itu, seperti biasa aku akan mendapat titisan nektar yang sungguh menyegarkan dari dahan pokokku di atas. Meski begitu, aku makin muak. Tiada makanan lainkah? Aku ingin benar biskut. Aku dengar dari Isytrok biskut itu seperti biskut mentega yang selalu dijual di Texas Fried Chicken. Memikirkannya membuatkan air liurku meleleh.

 

Keinginan mendapatkan biskut mentega membuatkan aku berusaha keras meniup sepuluh kali sehari. Kini aku tahu apa fungsinya loceng kedua di hadapanku itu. Aku manfaatkan sepenuhnya loceng itu. Satu loceng hanya menerima lima kali tiupan. Aku manfaatkannya, aku berusaha sehari-hari. Dari tujuh, aku kerah ke lapan. Dari lapan aku perah keringat hingga sembilan. Dari sembilan aku paksa hingga ke sepuluh. Dan pada hari di mana aku berjaya mencapai sepuluh tiupan, biskut mentega digugurkan dari atas. Aku menelannya dan air mataku mengalir.

 

Aku tidak pernah rasa sebegini puas hati daripada usahaku sendiri. Bukan setakat dapat merasa biskut mentega, bahkan aku telah berjaya mencapai sepuluh tiupan, sesuatu yang aku fikir amat mustahil dicapai selama aku berkecimpung dalam kerjaya tiup-meniup ini. Ini kerja yang jujur. Aku tidak menipu. Aku diupah bersesuaian dengan usahaku. Aku tidak berpura-pura bekerja dengan membuat bising tanpa perlu.

 

“Tahniah.” Ucap Isytrok. “Sedap kan?”

 

“Hah. Dah lama aku tak makan biskut ini. Dulu kat dunia selalu order di Texas Fried Chicken.”

 

“Oh, aku selalu pergi sana dengan abangku.”

 

“Eh Isytrok. Kenapa kau kena penjara di sini?”

 

“Aku jual dadah.” Selamba dia mengaku, seolah-olah aku seperti mendengar dia berkata, “Aku sapu sampah.”

 

“Eh, bukan ke kau patut dah kena gantung?”

 

“Laa, kau tak tau ke kerajaan Malaysia dah mansuh hukuman mati untuk kesalahan edar dadah?”

 

“Tak tahu.” Aku mana sempat baca surat khabar. Aku sibuk dua puluh empat jam. Ahad pun masih dipanggil bos mesyuarat.

 

“Aku kena hukuman penjara lima tahun. Macam biasa, kerajaan tak mahu sumbat dalam penjara sebab dah penuh, dia bagi pil itu. Yang bagi aku telan ialah mak aku sendiri. Polis kat luar rumah tengah tunggu je.”

 

“Erk...”

 

“Rileks. Mak aku dah tahu lama dah. Hari itu dia nekad nak tidurkan aku.”

 

“Sebut pasal tidur, aku nak tanya kau ni, jangan marah ok. Kenapa kau kuat tidur Isytrok?”

 

“Aku memang suka tidur. Dulu time jual dadah, kalau aku dah dapat RM200,000, aku tak kerja berbulan-bulan dan tidur saja.”

 

Aku hairan mengapa Nahmaran tidak ambil pusing langsung jika Isytrok tidur. Dan loceng di hadapan Isytrok sudah ada tiga. Dengan tiga loceng dia sudah sepatutnya boleh meniup lima belas kali dan sudah boleh naik pangkat kepada Khadam Kiri dan dapat makan piza. Aku tahu sebabnya hanya dengan melihat. Dia bukan tiup sangat pun. Banyak tidur saja. Patutlah pangkatnya tak naik-naik. Seperti di dunia dahulu, seorang pegawai boleh kekal di peringkat eksekutif meskipun pelbagai tawaran tersedia di depan mata, terbatas oleh sikapnya sendiri yang tidak mahu mengembangkan diri dan selesa di takuk semasa. Comfort zone, kata mereka.

 

Aku juga melihat seorang lagi Marhaein dalam jabatan kami. Meskipun tanahnya di sebelah Isytrok, dia agak jauh dari tanahku. Namun kabus merah yang menutup tempatnya diikat sudah beransur pudar. Dan dia semakin jelas.

 

Aku menegurnya. Namanya Kinatiao. Dia juga dipenjara di sini selama lima tahun. Aku lihat ada dua loceng di hadapannya. Barangkali dia masuk ke sini sekitar masa aku dimasukkan. Loceng itu tumbuh bermasa, bukan berdasarkan pencapaian engkau. Ia peluang menambahbaik diri dalam kerjaya tiup-meniup ini. Loceng kedua tumbuh selepas genap setahun engkau di sini.

 

Aku ramalkan selepas aku berborak-borak dengan Kinatiao, aku pasti akan dibentak Nahmaran lagi. Aku tidak kisah, aku sudah lali dibentak tanpa alasan munasabah. Aku tegarkan saja telingaku, apa yang penting aku cuma mahu membina hubungan dengan rakan baru.

 

Aku toleh, dan mendapati Nahmaran sedang tidur. Lega aku. Ya tidurlah lama-lama dan jangan bangun-bangun lagi. Engkau tidur pun sungai masih mengalir.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov