BAB 4 - MUNCULNYA BAYANG-BAYANG MALAIKATUL MAUT
“Siapa tu, Azim?” Kedengaran
suara ibu dari ruang tamu.
“Isma...” aku menjawab lemah.
Lemah kerana aku diserang perasaan sedih secara mendadak. Keakraban Isma dengan
Putri, membuatkan aku semakin terkenangkan arwah adikku itu.
Ibu muncul di dapur. Ibu berkerut
dahi memandang Isma.
“Kenapa datang ke sini, Isma? Ada
apa-apa yang berlaku?” Ibu memandang Isma dengan wajah sayu. Sudah pasti, Ibu
terkenangkan Putri. Putri sudah anggap Isma seperti seorang kakak. Ibu sangat
maklum tentang hal itu.
Isma teragak-agak untuk menjawab.
“Kau jawab soalan ibu aku, Isma.”
Suara aku kedengaran tegas. Aku tahu, hati aku masih marah, tidak puas hati
dengan Isma. Ternyata, aku masih kalah dengan emosi. Sifat Isma yang
teragak-agak itulah, barangkali penyebab kematian Putri. Ops! Azim, sabar.
Sabar, Azim. Suara hatiku memujuk lagi.
“Kami kehabisan makanan.”
“Dan kau datang ke sini, nak
habiskan makanan kami pula?” Pantas, aku mempersoalkan tindakan Isma. Azim,
jangan begitu, Azim. Suara hatiku ternyata bertentangan dengan amarahku. Aku
sebenarnya sedang teragak-agak. Aku langsung tidak memberi peluang kepada Isma
untuk menerangkan apa yang berlaku pada hari itu dengan jelas.
“Okay... tak apalah, kalau macam
itu. Maaf sebab datang mengganggu.” Isma tunduk, sedikit terkilan.
“Isma, emak kamu sihat?”
Tiba-tiba Ibu bertanya.
“Emak sakit sedikit, sejak ayah
tak pulang dua hari lepas.” Isma menggigit bibir.
“Sakit apa?” Ibu merenung tepat
ke wajah Isma. Ibu memang prihatin. Setidak-tidaknya Ibu amat menghargai
hubungan Isma dengan Putri.
“Sakit biasa. Demam. Mungkin
sebab tak cukup tidur.”
“Ayah kamu pergi ke mana?”
Bertalu-talu soalan daripada Ibu.
“Ayah tidak balik sejak pergi
bekerja tempoh hari.”
“Kamu tak tahu tempat mana dia
pergi?”
“Ayah sepatutnya ke Dubai.”
“Dia tak pesan apa-apa untuk kamu
sebelum pergi?”
Isma menggeleng. Wajahnya tampak
bertambah risau.
Ibu menarik dan kemudian
menghembuskan nafas. Dia berjalan
mendekati Isma.
“Ayah kamu tentu selamat. Dia
pasti akan pulang.” Ibu menepuk bahu Isma.
Ibu membuka almari. Terdapat
sedikit bungkusan plastik berisi biskut.
“Ambil ni. Untuk seketika. Semoga
bencana ini cepat tamat.” Ibu mengunjukkan bungkusan plastik tersebut kepada
Isma.
Isma serba-salah mahu
mengambilnya. Namun, Ibu terus memujuk. Isma mengalah.
“Terima kasih.”
Isma berpusing, menghadap pintu
dapur. Kemudian dia berpaling semula ke arah Ibu.
“Makcik... saya minta maaf...
sebab saya... Putri...” Suara Isma tersekat-sekat. Sebak.
“Tak perlu kata apa-apa, Isma.
Ajal maut di tangan Tuhan.” Ibu membelai pipi Isma. Mata Ibu bergenang.
“Kita semua rindukan Putri,
tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Kita terpaksa terima...”
Aku tiba-tiba rasa berat di dada.
Sebak. Putri satu-satunya adik perempuanku. Apabila Ibu berkata demikian, aku
mula terasa kehilangannya. Suara Putri terngiang-ngiang di telingaku. Senyuman
Putri, mengusik pandanganku. Abang Azim! Suara Putri seakan-akan bermain-main
di sekelilingku.
“Terima kasih, Makcik.”
Aku menolong membukakan pintu
untuk Isma. Aku langsung tidak mahu memandang Isma. Aku rasa aku belum
betul-betul memaafkan Isma.
“Hati-hati,” pesan Ibu.
Isma mengangguk. Isma menjenguk
ke luar pintu, menoleh dan mengintai ke kiri dan ke kanan sebelum keluar.
Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan
sedang menekup mulutnya dengan tangan. Mata Ibu terpejam. Ibu sedang
menenangkan diri. Kehilangan Putri memang satu kehilangan besar. Semua orang
rindukan dia. Apa lagi sejak ketiadaan ayah. Dulu keluarga ini ada tiga orang.
Aku, Ibu dan Putri. Kini, cuma tinggal aku dan Ibu. Ayah dah bertahun-tahun tak
ada. Rumah semakin sunyi dan terus sunyi.
Aku mengeluh. Menghembuskan
nafas, cuba melegakan rasa berat dan sebak di dada. Aku menarik kerusi, dan
duduk. Tunduk.
Rumah Azim. Malam.
Jeritan seorang gadis mengejutkan
aku dan Ibu. Aku tahu, itu suara Isma dan emaknya. Kedengaran juga suara garau
mengaum. Itu bunyi Jin Galah! Kedengaran bunyi perabot terbalik dan benda
pecah.
‘Kita kena buat sesuatu!’ Itulah
saranan suara hatiku. Namun aku kelu. Mati akal. Aku tidak tahu apa nak dibuat.
Rumah Isma kira-kira 50 meter dari sini. Itu jarak yang sangat dekat.
Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan
seperti sedang berdoa.
Aku menjenguk ke celah-celah
papan di tingkap. Nampaknya ada seekor Jin Galah sedang cuba masuk menerusi
salah satu tingkap di rumah Isma. Sayang sekali rumah ini tak ada senapang.
Aku melihat apa-apa yang boleh
digunakan. Aku ternampak botol. Minyak. Ya, pemetik api. Aku boleh buat bom dan
baling kepada Jin Galah. Aku tak pasti apa akan berlaku ke atas aku selepas
itu. Ada kemungkinan Jin Galah akan marah dan menyerang rumah kami pula. Apa
pilihan yang aku ada sekarang? Terus membiarkan Jin Galah menyerang Isma dan
emaknya yang sedang sakit, atau menyerang Jin Galah dan kami menjadi mangsa
seterusnya? Ini memeningkan kepala. Kami semua terdesak sekarang.
Jeritan Isma dan emaknya tidak
lagi kedengaran. Barangkali mereka bertindak mendiamkan diri. Namun Jin Galah
bukanlah makhluk yang bodoh. Sedangkan Jin Galah sendiri bijak menyamar sebagai
pokok untuk menunggu mangsanya. Jika Jin Galah tahu ada orang di dalam rumah
itu, ia akan terus mencari dan mencari
sehingga bertemu mangsanya.
Aku nampak Jin Galah sedang cuba
mengopak tingkap rumah Isma. Kuat sungguh tenaganya. Nasib baik rumah Isma
diperbuat daripada batu-bata. Badan Jin Galah yang besar dan tinggi tidak muat
untuk masuk ke dalam rumah Isma menerusi tingkap itu. Terdapat jirai-jirai besi
yang melindungi rumah Isma.
“Oh, tidak!” Aku ternampak Isma
dan emaknya sedang keluar senyap-senyap dari pintu dapur rumahnya.
‘Jangan! Jangan!’ Aku sendiri pun
tidak tahu apa hendak dikata. Isma dan emaknya sudah nekad untuk meninggalkan
rumah itu. Aku yakin, mereka bercadang untuk datang ke mari.
“Ibu, saya jaga pintu dapur. Isma
dan emaknya mungkin akan ke mari! Mereka sedang menyorok di belakang rumah
sekarang!”
Ibu terpinga-pinga. Selepas
berfikir seketika, Ibu mengangguk.
Aku sudah membuka kunci dan
penghadang pintu dapur. Aku bersiap sedia untuk berteriak jika perlu.
“Isma dan ibunya sedang berlari
ke mari,” kata Ibu. Nada suaranya kedengaran cemas.
“Baik.” Aku mengintai dari celah
papan tingkap yang terdekat dengan pintu dapur.
Aku ternampak kelibat Isma dan
emaknya. Mereka tidak mahu ke rumahku! Aku tersilap anggar. Mereka mahu pergi
ke arah kereta. Mereka mahu melarikan diri dari kawasan ini!
Isma dan emaknya selamat masuk ke
dalam kereta. Namun, mereka masih gagal menghidupkan enjin kereta. Jin Galah
sudah sedar, mangsa-mangsa buruannya sudah tidak ada lagi di dalam rumah. Jin
Galah menghampiri kereta tersebut. Isma dan emaknya pasti mati kali ini! Jin
Galah menghampiri kereta dari depan. Mengaum sekuat-kuatnya di cermin depan.
Aku yakin, Isma dan emaknya sedang terkencing di dalam seluar. Mereka
betul-betul dalam bahaya.
Aku rasa aku tidak ada pilihan.
Botol berisi minyak petrol. Pemetik api. Aku harus membakar Jin Galah itu. Aku
sudah hilang akal agaknya. Aku tiba-tiba jadi berani. Aku membuka pintu dapur,
keluar dari rumah, dan terus menghampiri Jin Galah. Aku tidak ingat apa-apa
lagi. Apa yang ada dalam fikiran aku, aku mahu cuba menarik perhatian makhluk
ganas itu dari terus mengancam Isma dan emaknya.
Jin Galah kelihatan bingung.
Berang dengan tindakanku. Makhluk itu bergerak dan berjalan terhenjut-henjut ke
arahku sambil mengaum. Mata hijaunya bulat menonjol keluar. Rahangnya ternganga
luas menampakkan barisan gigi berduri dan lendiran air liur berwarna hitam
pekat. Lidahnya sesekali terjelir keluar seperti lidah biawak. Badannya
berwarna hitam umpama daun teh hitam yang dikisar. Atau barangkali seperti
padang rumput yang terbakar. Itulah rupa fizikal Jin Galah.
Tangannya yang kurus panjang
dengan jari-jari yang besar dan runcing dihayunkan ke arahku. Aku mengelak. Aku
berundur sedikit demi sedikit. Kemudian aku memusingkan badan, membuka langkah
dan berlari membelakanginya.
“Azim!!!!” Isma menjerit dari
dalam kereta.
Ya. Aku tahu keadaan aku sekarang
sangat bahaya. Aku berlari mengelilingi rumah Isma.
“Isma. Cepat lari!”
Isma tidak menjawab. Bunyi enjin
kereta sedang dihidupkan kedengaran beberapa kali. Kereta itu kereta lama.
Sudah lima hari tidak dihidupkan enjinnya. Baterinya sudah tentu menjadi lemah.
Ini satu lagi masalah!