Bella Rosa
II
“ Bila
keluar?” Izz menyoal perlahan. Kopi panas yang dihidangkan oleh Adni sudah
hampir kosong namun tidak banyak perkataan yang keluar dari bibir kedua-dua
mereka. Dia dapat merasakan Dzar melirik memandangnya dan dalam sekelip mata
juga, pandangan itu beralih arah.
“ 8
bulan lepas,” jawab Dzar dengan lebih perlahan sekali gus menyebabkan mata
helang Izz tidak semakin merenungnya tajam.
“ Damn it Dzar!” Izz ingin menyumpah kuat
namun suaranya hanya kedengaran bertambah dalam.
“ Dah 8 bulan kenapa baru beritahu aku?”
Soalnya lagi dengan rasa tidak puas hati. Dia masih ingat lagi pertemuan
terakhir mereka. Dia berpegang pada janjinya tetapi bagaimana Dzar boleh...?
Izz menggeleng penuh kesal.
“ Bila kau cakap jangan datang...aku ikut
cakap kau. Aku hormat kehendak kau. Aku terima walaupun aku tak setuju. Aku
pegang janji bila kau cakap kau akan cari aku. Tapi...!” Kata-katanya terhenti
di situ sebelum dia menyambung kembali.
“ Aku
pegang janji, Dzar. I keep my words,”balasnya
bersungguh-sungguh.
Dzar
hanya tertunduk malu. Dia tahu sememangnya dia yang bersalah dalam perkara ini.
Bukan dia tidak tahu manusia bernama Izz Karami ini cukup berpegang pada
janji-janjinya. Tetapi bagaimana harus dia jelaskan kepada lelaki yang sudah
dia anggap seperti saudaranya ini? Izz yang masih belum puas melontarkan amarah
menjadi kendur seketika apabila melihat sesuatu pada wajah itu.
Jelas
sekali Dzar Thalha itu sedang berperang dengan perasannya. Mirror image..desis hatinya tatkala air muka itu dijamahnya. Sama
seperti wajahnya dahulu. Dan ketika itu Izz sedar bahawa, apa pun segala hantu
demon yang melanda dan menyebabkan kekacauan jiwa lelaki di sampingnya ini
masih belum berakhir. Kisah silam itu masih belum luput lagi nampaknya.
“ Kau
ok?” Soalnya dengan penuh berhati-hati. Dzar menoleh ke sisi dan berkira-kira
sama ada dia harus berterus-terang sahaja. Namun memikirkan itu Izz, jadi dia
hanya akur sahaja. Tidak perlu berbohong. Izz tentu tidak akan percaya. Izz
terlalu mengenali dirinya untuk dia berbohong.
“ I’m in my darkest place, Izz...” akuinya
jujur.
Izz
mengeluh perlahan. Dengan hanya enam patah perkataan itu sesungguh dia
benar-benar memahaminya.
“ Kau
dah balik rumah?” Perbualan diteruskan kerana ini sahajalah peluang dia untuk
memahami isi hati lelaki yang pernah akrab dengannya dahulu.
Dzar
menggeleng. “ Belum.”
“ Jadi
keluarga kau tak tahu kau dah keluar? Atau kau dah beritahu cuma kau tak
balik?” Izz kaget. Bukan dengan dia
sahaja Dzar berahsia rupanya.
“ Dia
orang tak tahu. Aku tak pernah jumpa mereka selama ni, Izz.” Perlahan dan jauh
sahaja nada suaranya ketika menuturkan ayat itu. Entah apa yang sedang
difikirkan dengan riak wajah sebegitu, Izz tidak dapat menelahnya cuma dia
tergamam mendengar jawapan yang diberikan. Dzar tidak berguraukah? Dia tidak
serius bukan? Masakan...? Izz bingung.
“ Kenapa
Dzar?” Dia menyoal kesal. Tidak menyangka keputusan ini yang diambil oleh
sahabatnya. Dahulu semasa mereka sama-sama menghuni tirai besi itu, dia sedar
tak ada sesiapa pun yang pernah datang melawat Dzar. Bukan tidak ada yang
datang cuma Dzar enggan untuk berjumpa dengan sesiapa. Fikirnya, mungkin Dzar
memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharunya. Namum
lama-kelamaan dia akan mengalah juga bila rindu hadir dalam jiwa. Tetapi
sungguh dia tidak menyangka...Dzar tegar dengan keputusannya.
“ Bila
aku dah sedia nanti...aku akan balik. Tapi bukan sekarang.” Putus Dzar tegas
menandakan perbualan mereka itu sudah berakhir. Izz tidak terkata apa-apa. Dia
tahu jika dia terus mendesak, keadaan akan bertambah keruh. Buat masa ini,
dibiarkan sahaja Dzar mencorak hidupnya sendiri.
Vila Akasia, Shah Alam
“ Hah dah balik
pun kau.” Belum sempat dia memegang tombol, pintu kayu itu sudah terbuka dari
dalam dan suara ibu tirinya itu melengking kedengaran. Ara mendongak seketika
sebelum dia kembali menundukkan wajah.
“ Orang banyak kerja hari ni,” jawabnya terus berlalu
masuk tanpa mempedulikan Zahrah yang sedang berdiri mencekak pinggang
memandangnya dengan geram. Jawapan itu ternyata membuatkan Zahrah semakin
berang. Ara yang sedang mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas ditariknya
kasar.
“ Aku kan dah cakap, hari ni kau kena balik awal. Dah
berpuluh-puluh kali aku pesan aku ada appoinment
hari ni. Sekarang sebab kau, temujanji aku kena batal. Kau tahu tak?” Zahrah
seperti singa kelaparan memuntahkan kemarahannya. Mendengar kata-kata itu, Ara
mengangkat mukanya merenung wajah ibu tiri yang menggantikan tempat arwah
ibunya semenjak 20 tahun yang lalu.
“ Orang kan dah cakap, orang memang tak boleh balik awal.
Orang nak kena siapkan tempahan kat kedai. Majlis dia esok, Mak Da. Dah
berpuluh kali jugak orang cakap, tapi Mak Da yang tak nak dengar,” balasnya
dengan nada yang lebih lembut tetapi tegas. Dia tidak mahu menerima kesalahan
dalam perkara ini.
Dia sememangnya tidak bersalah. Lagipun untuk apa dia
perlu pulang awal sedangkan tiada siapa yang perlu dijaganya. Dan sudah
berkali-kali dia menyatakan minggu ini dia sibuk dengan urusan tempahan kek di
kedainya, jadi sememangnya dia tidak boleh melakukan apa yang diminta. Lagipun Mak
Da mempunyai kenderaan sendiri, jadi kalau mahu ke mana-mana pergi lah saja.
Tidak perlu menunggu dia pulang bukan?
Zahrah yang dipanggil Mak Da itu semakin merah muka.
Entah mengapa dia cukup berbulu dengan anak tirinya yang seorang ini. Kalaulah
dia mempunyai kuasa, mahu sahaja dilenyek-lenyek Ara ini hingga mati. Baru puas
hatinya.
“ Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Ara. Ingat aku
ni siapa? Kalau aku suruh kau balik awal..balik awal sajalah. Kenapa banyak
sangat alasan kau ni. Kau tahu tak betapa malunya aku bila aku terpaksa
batalkan appointment aku tadi?”
“ Appointment
dekat spa kan Mak Da?” Perli Ara sehingga Zahrah buntang biji matanya. Menggigil
jemarinya yang ditunjukkan ke muka Ara. Marah sangat gamaknya kerana pecah
tembelangnya.
“ Tiap dua minggu sekali Mak Da ada je appointment dengan spa tu kan? Orang
rasa kalau tak pergi sehari pun tak apakan?” Sambungnya lagi dengan sengaja
mahu menaikkan darah wanita yang hanya tua 17 tahun daripadanya ini. Wanita
yang berjaya mencuri hati bapanya yang ketika itu bersedihan kerana kehilangan
isteri buat selama-lamanya.
Azra Qaireena melihat Zahrah mengurut dada dan mengipas
dirinya. Dalam hati dia menahan senyum dan rasa ingin ketawa. Mungkin Mak Danya
ini tidak menyangka dia akan jadi seberani ini. Sebelum apa-apa lebih baik dia
masuk ke bilik dulu. Ibu tirinya ini bukan boleh dilayan dan dilawan. Kelak
sampai esok hari pun leteran dan makiannya tidak akan habis.
“ Malam ni kau jangan ke mana-mana. Zahar nak datang,” jerit
Zahrah sambil tersenyum kemenangan apabila melihat langkah Ara mati tiba-tiba
di atas anak tangga. Dengan perlahan Ara menoleh memandang wajah yang seperti
opera cina itu.
Dia beristighfar di dalam hati. Ya ALLAH...berikanlah aku
kesabaran dan ketenangan jiwa dalam menghadapi semua ini. Bukankah sudah
diterangkan beribu-ribu kali bahawa dia tidak mahu ada kaitan dengan mana-mana
lelaki terutamanya lelaki yang bernama Zahar itu.
“ Kalau dia nak datang sini pun ada apa kena mengena
dengan orang?” Balasnya selamba sekali gus mematikan senyuman di wajah Zahrah. Ara
tahu dia bersikap kurang ajar namun walaupun sudah beratus kali dia berazam
mahu berubah namun sebaik sahaja berhadapan dengan Zahrah, azamnya terbang
melayang. Yang pasti, dia sememangnya suka mencari fasal dengan ibu tirinya
ini.
“ Malam ni abah kau balik. Buatlah perangai kau yang
senonoh tu. Tunjuk kat orang tua tu biar dia tahu macam mana perangai sebenar
anak kesayangan dia yang tak guna satu sen ni pun,” cemuh Zahrah tidak
henti-henti.
“ Abah balik?” Ara terkejut. Bukankah abah hanya akan
balik minggu depan. Ini tidak sampai lima hari abah mahu pulang ke sini.
Secarik senyuman bahagia terpacar pada wajahnya. Abah balik! Hatinya menyanyi
riang. Mood yang menjunam sebentar tadi berubah serta-merta melayang tinggi
menerjah ke angkasa.
Kalau benar abah
pulang malam ini, jumpa dengan seribu Zahar pun dia sanggup. Tanpa berkata
apa-apa lagi, dia berlari ke biliknya. Zahrah yang melihat wajah ceria itu
mencebik bibir. Hatinya penuh dendam kesumat. Senyumlah engkau selagi mampu.
Senyumlah kau sepuas-puasnya sebab satu hari nanti, semua itu akan aku
lenyapkan daripada hidupmu.
Ara membuka album di hadapannya. Lama dia menatapi kulit
album yang berwarna hijau muda itu. Album yang sebolehnya tidak mahu dilihat
lagi. Bukan kerana benci tetapi memori yang terdapat di dalam album itu masih
tersemat kukuh di dalam kotak ingatannya. Helaian pertama diselak dan matanya
menjamah wajah seseorang. Buat seketika matanya terpejam menahan rasa pilu yang
tiba-tiba sahaja bertamu dalam jiwa. Wajah ibu yang sudah tiada itu ditatap
sepenuh jiwa.
“ Ibu, kalau ibu ada macam mana agaknya hidup kita
sekeluarga? Hidup kita pasti bahagia, dan abah pula tak akan jadi asing seperti
ini lagi. Banyak yang Ara mahu ceritakan ibu tapi Ara tak tahu kepada siapa
yang sudi mendengar cerita Ara. Abah, walaupun sudah berkahwin lain tapi Ara
tahu perasaan kasih dan rindunya tetap ada untuk ibu.” Sedang dia mengelamun
sendirian itu, pintu biliknya diketuk dan ditolak dari luar. Wajah Tengku
Tengku Hanafi tersembul dari luar sekali gus menyebabkan Ara melompat turun
dari katilnya.
“ Abah!” Jeritnya penuh kegembiraan. Tubuh lelaki yang
menghampiri separuh abad itu dirangkul kemas. Rindunya dia kepada lelaki itu
hanya ALLAH sahaja yang tahu. Tengku Tengku Hanafi hanya ketawa melihat tingkah
anaknya itu.
“ Kalau abah tahu macam ni excited Ara jumpa abah, lepas ni makin banyaklah abah out station ya...” Usiknya membalas
pelukan anaknya dengan mesra. Tanpa sedar jawapannya itu sekali gus menyebabkan
senyuman Ara mati dibibir.
“ Abah jangan nak mengada tau. Dalam bulan ni saja berapa
hari je kita dapat jumpa. Sudah-sudahlah dengan sibuk abah tu. Arakan dah
kerja. Ara boleh jaga abah,” pujuknya tanpa putus asa walaupun dia tahu abahnya
tidak akan lut dengan pujukannya. Dari dahulu lagi Tengku Tengku Hanafi itu
sudah terkenal dengan sikap ‘workaholicnya’ dan dia tahu, selagi ayahnya belum
bersedia, selagi itulah ayahnya tetap akan meneruskan kerjayanya.
“ Abahkan masih muda lagi...abah masih belum bersedia nak
berhenti. Lagipun kalau abah duduk sahaja, abah akan bosan. Bila abah
bosan..abah akan jadi teringat pada...” Kata Tengku Tengku Hanafi mati di situ
dan dia tidak berniat mahu menyambungnya. Rasanya Ara sendiri tahu apa yang
ingin dikatakan. Dan ternyata anaknya itu cukup memahami. Ara mengangguk. Ya
dia faham. Abah masih belum dapat melupakan ibu walaupun 17 tahun sudah
berlalu.
“ Mak Da cakap Zahar nak datang ya kejap lagi?” Tengku
Tengku Hanafi mengubah topik perbualan. Sesungguhnya bercakap mengenai kisah
silam itu akan membuatkan hati dan jiwa mereka lebih bertambah luka. Ara hanya
mengangguk. Mati sudah rasa seronoknya apabila mengingatkan kedatangan yang
tidak pernah diundang itu. Tengku Tengku Hanafi yang menyedari perubahan pada
wajah Ara mengajak anaknya duduk.
“ Kenapa ni hmmm? Masih tak dapat terima Zahar?” Ara
merenung wajah di hadapannya. Mungkin inilah peluang yang terbaik untuk dia
berterus-terang tentang apa yang dirasakan selama ini. Dengan sedikit
teragak-agak dia bersuara.
“ Abah...boleh Ara tanya sesuatu?”
“ Apa dia, sayang?” Tengku Hanafi menepuk bahu Ara dengan
penuh kasih sayang. Sudah besar dan dewasa anaknya ini. Namun jika Ara sudah
bercucu cicit sekalipun, anak ini tetap anaknya yang manja dan manis.
“ Tentang ibu!” Soal Ara pendek dan perlahan. Dalam
sekelip mata dia melihat ayahnya seperti tergamam. Mungkin tidak menyangka
bahawa itu yang hendak ditanyakan kepadanya. Setelah beberapa minit, dan
setelah Ara menunggu dengan debaran di dada, barulah dia mengangguk.
“ Tanyalah..,” balasnya dengan nada perlahan. Ara yang
mendapat keizinan itu seperti dihembus sedikit kekuatan.
“ Bila...bila pertama kali abah jumpa ibu, apa yang abah
rasa? Abah masih ingat lagi perasaan tu?” Soalnya dengan penuh berhati-hati.
Dia tahu soalan yang ditanya itu cukup sensitif dan mungkin juga akan
membuatkan ayahnya murung berhari-hari. Namun dia terpaksa bertanyakan itu
juga. Dan mudah-mudahan jawapan kepada soalannya itu mampu membuatkan ayahnya
lebih faham tentang keinginan hatinya.
Tengku Hanafi terdiam seketika. Dalam sekelip mata,
kenangan 26 tahun dahulu menyelak langsir ingatan. Memori silam terbayang di
mata seumpama layar filem sedang dimainkan. Dan ketika itu wajah Tengku Suhana si manis 17, menyapa pandangan.
Dia masih ingat sehingga ke hari ini. Tidak pernah terlupa walapun sesaat.
Walaupun si manis itu sudah pun pergi meninggalkan dunia
ini buat selama-lamanya. Tengku Hanafi membuka mata dan wajah Ara ditatap
dengan penuh perasaan. Dia tahu mengapa Ara bertanyakan soalan itu. Tangannya
mengusap rambut Ara dengan penuh perasaan kasih.
“ Abah rasa abah faham apa yang Ara cuba sampaikan. Dan
abah boleh terima. Cuma Mak Da yang beria-ia benar mahu bermenantukan Zahar
itu. Mungkin kalau Ara mampu buatkan Mak Da faham perasaan sebenar Ara, mungkin
Mak Da tarik balik keinginannya itu.”
Ara hanya ketawa
mendengar saranan ayahnya itu.
“ Nak cakap dengan Mak Da? Abah tahukan dia dengan Ara
macam mana?”
Tengku Hanafi mengangguk sambil mengeluh kesal. Sehingga
kini mereka berdua masih belum berbaik-baik lagi walaupun segala usaha sudah
dilakukan untuk menjernihkan kembali hubungan yang keruh itu.
“ Abah harap Ara dapat bersabar dengan Mak Da. Abah tahu
kadang-kadang Ara tak boleh tahan dengan dia, tapi abah harap sangat yang Ara
boleh tahan dan tabah. Entahlah...abah nak cakap pun tak tahu. Kadangkala abah
rasa abah ni gagal menjadi suami yang baik. Suami yang tidak mampu mendidik
isterinya. Maafkan abah, Ara,” luahnya telus mengakui kesilapan diri.
Ara merenung dengan wajah simpati. Terasa kesal kerana
menyebut nama ibu tirinya itu sehingga menyebabkan ayahnya ini bermuram durja.
Dia tidak pernah menyalahkan ayahnya atas apa yang berlaku. Sungguhpun
kehidupannya tidak dipenuhi dengan warna-warna ceria namun tidak pernah
terlintas dia mahu membebankan ayahnya di atas segala kejadian yang telah
berlaku.
“ Abah, jangan macam ni. Bukan salah abah kalau Mak Da
yang sendiri tidak pandai menghargai. Tak apa abah. Manusia ni bukan tak boleh
berubah. Kita sama-sama doakan Mak Da. Mungkin satu hari nanti, Mak Da akan
berubah.”
Tengku Hanafi mengangguk. Memang benar kata-kata anaknya
itu. Dia sebagai suami dan bapa benar-benar berharap agar keduanya dapat
berbaik-baik semula seperti masa lalu. Dahulu...semuanya indah dan serba-serbi
menyenangkan sehinggalah berlaku peristiwa itu yang merubah segala-galanya.
Semenjak itu keluarga mereka tidak seperti dahulu lagi. Kepada siapa yang harus
dipersalahkan sedangkan dia tahu, kedua mereka tidak mempunyai kuasa untuk
memulihkan kembali keadaan.
“ Dahlah..tak nak cakap fasal benda ni lagi. Lekaslah
bersiap. Nanti Zahar datang, Ara tak sedia lagi, Mak Da bising pula.” Tengku
Hanafi bangun untuk beredar daripada situ. Namun suara Ara mematikan
langkahnya.
“ Abah, tak nak jawab soalan Ara tadi?” Dia perlahan menoleh
apabila mendengar soalan daripada anaknya itu.
“ Bila Ara dah jumpa ‘dia’, Ara akan tahu apa jawapan
abah,” jelasnya berteka-teki dan terus belalu dari situ. Ara terlopong
mendengarnya. Kata-kata ayahnya itu berterusan menganggu fikiran. ‘ Bila dah jumpa ‘dia’. Bila dah jumpa
‘dia’.’Ara menjungkit bahu. Malas memikirkan perkara yang tidak
diketahuinya lagi. Siapakah si ‘dia’ itu? Dan bilakah mereka akan bertemu?