Vila Akasia, Shah Alam
“ Esok Ara pergi kedai ke?” Ara pangku kepala. Dahinya
berkerut mendengar suara yang lembut itu. Dia memandang ke belakang memikirkan
Zahrah bercakap dengan orang lain namun apabila memikirkan Mak Danya itu
menyebut namanya, bermakna tutur kata penuh lembut dan berhemah itu ditujukan
kepadanya.
Ara pelik. Sesungguhnya dia pelik. Dia sedia maklum
Zahrah hanya akan melembutkan kata dan suara ketika Tengku Hanafi ada bersama
sahaja. Tetapi kini...dia memerhati sekeliling mencari ayahnya. Tiada. Wajah
Zahrah dipandang dengan penuh rasa curiga.
“ Cuti. Kenapa?” Jawabnya dengan suara malas. Remote
dicapai dan saluran HBO ditekan. Wah...ada cerita best. Hatinya melonjak girang
sebaik sahaja matanya terpandang wajah Shrek dan Donkey tengah bergaduh. Tengok
cerita kartun seribu kali pun dia tidak pernah berasa bosan.
“ Esok Mak Da nak buat tahlil dan doa selamat. Nak jemput
orang surau buat kat rumah. Mak Da ingat nak masak sendiri. Kalau Ara cuti,
boleh tolong Mak Da masak.” Zahrah menjelaskan.
“ Kenapa tak ambil katering je. Kan lebih senang?” Cadang
Ara yang tiba-tiba rasa lemah jiwa. Hari cuti adalah hari yang diperuntukkan
untuknya berehat. Berehat dalam erti kata yang sebenar. Dan menolong Mak Da
memasak di dapur untuk kenduri tahlil itu bukan namanya berehat. Malah akan
membuatkan dia bertambah penat. Tetapi kalau dia tidak menolong, memang sungguh
tidak patut. Mak Da sanggup bercakap baik-baik dengannya bermakna memang Mak Da
memerlukan bantuan daripadanya.
“ Ara tahukan Mak Da lebih suka masak sendiri. Lagipun
esok abah pun cakap nak tolong sekali. Boleh kan?” Zahrah menyoal separa memujuk.
Dia sememangnya lebih suka memasak sendiri daripada mengupah katering. Walaupun
kelihatan renyah dan memenatkan tetapi semua itu mendatangkan kepuasan peribadi
bagi dirinya. Setakat memasak untuk 20-30 orang, memang cukup dengan hanya Ara,
suami dan bibik menolong.
Lagipun dia sudah merancang sesuatu. Rancangan rahsia
yang disembunyikan dari pengetahuan sesiapa. Tidak kepada Tengku Hanafi...malah
jauh sekali untuk dia memberitahu Ara. Walau apa pun yang berlaku, dia mahu Ara
berada di rumah pada esok hari. Dia tidak boleh mengambil risiko sekiranya Ara
menolak. Rancangannya harus berjaya. Walau apa pun yang berlaku, dia mesti
mendapat apa yang dia inginkan.
“ Bolehkan Ara?” Dia mengulangi soalan itu lagi.
Ara hanya mengangguk sahaja. Dia tidak berdaya menolak.
Tidak sampai hati sebenarnya walaupun mereka kerap tidak sependapat. Walaupun
masih terasa was-was dengan apa yang sedang berlaku, namun diturutkan juga
mengenangkan ada ayahnya bersama.
Bella Rosa II
Dzar meletakkan segala
tool yang digunakan ke dalam ‘tool box’. Cukuplah untuk hari ini. Bekerja
tanpa henti selama sebulan lebih benar-benar membuatkan dia keletihan. Walaupun
sudah ditegah dan dihalang, namun dia yang degil. Dia yang rela membiarkan
segala rasa penat dan lelah itu menghuni tubuhnya. Seperti yang dikatakan
kepada Izz, dia lebih rela melakukan apa yang dibuat dari duduk diam tidak
berbuat apa.
Kerana ruang masa itu akan membuatkan dia teringatkan
kenangan silam yang cuba dilupakan dari ingatan. Walaupun beberapa tahun sudah
berlalu, namun segala-galanya masih jelas difikiran seolah-olah ia baru sahaja
berlaku semalam. Ia umpama mimipi ngeri yang sentiasa akan mengekori ke mana
sahaja dia pergi.
“ Balik dulu, Dzar.” Awang berlalu sambil mengangkat
tangan ke arahnya. Dia hanya mengangguk. Dia senang bekerja dengan anak muda
itu. Walaupun baru berusia lapan belas tahun, namun hasil kerjanya amat
mengagumkan dan tidak dapat dinafikan dia banyak belajar daripada anak muda
itu.
Chalet yang hampir siap itu dipandang tanpa rasa. Jika
mengikut perkiraannya, dua tiga hari lagi siaplah segala tugasnya di situ.
Selepas ini mungkin dia boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti snorkel dan
scuba yang akan diperkenalkan di resort ini.
Dengan langkah sedikit malas dia bergerak pulang ke bilik
yang terletak di belakang pejabat Bella Rosa. Mujur juga dia tidak perlu
berkongsi bilik dengan pekerja yang lain. Dia tidak kisah tidur di mana-mana
sebenarnya. Jika Izz menyuruhnya tidur di dalam khemah di tepi pantai sekalipun
dia sanggup. Dia tidak kisah kerana kesudian Izz dan Adni menerima kehadirannya
di sini benar-benar dihargainya. Sudah banyak yang mereka lakukan untuk dirinya
dan dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membalas segala jasa baik yang
dicurahkan kepadanya.
“ Kerja elok-elok..kumpul duit..settle down...kahwin. Mungkin itu yang boleh membahagiakan kau.”
Kata-kata Izz itu tiba-tiba menerjah fikiran. Kahwin. Dia hanya ketawa
mendengar saranan itu. Adakah definisi bahagia bagi temannya itu dengan hanya
berkahwin. Adakah ini bermakna jika seseorang itu tidak berkahwin ia tidak
bahagia? Pendapat Izz itu pendapat yang tidak boleh diterima.
Ajal maut jodoh semuanya di tangan ALLAH. Dan jika ALLAH
mentakdirkan dia akan bersendirian sepanjang hayat, adakah dia perlu hidup
dalam kesedihan buat selama-lamanya? Adakah dia perlu merajuk dan meratap hiba
apabila nasib tidak berpihak kepadanya? Itu yang dikatakan kepada temannya. Izz
memandangnya lama sehingga dia sendiri terpaksa mengalihkan pandangan. Dia tahu
makna pandangan itu. Dia tahu apa yang ingin dikatakan. Tidak perlu meneka
kerana Izz benar-benar mengatakannya.
“
Then..live your life, Dzar. Be happy. Don’t be a stranger. A drifter. Kau tahu semuanya di tangan ALLAH tapi kau tetap
memilih hidup macam ni.”
“ Hidup macam mana?”
“ Terasing...menyendiri. Kau jauhkan diri daripada semua
orang. Kubu kau terlalu kebal, Dzar. Sekali-skala...kau perlu benarkan orang
lain masuk juga. Orang yang kau percaya. Dan mungkin kau akan benar-benar
bahagia.”
Adakah memang benar dia yang menyebabkan dirinya
terhalang dari mengecapi bahagia? Sekali-skala...kau
perlu benarkan orang lain masuk juga. Orang yang kau percaya.”Kata-kata
itu berterusan menghantui dirinya. Orang yang dia percaya? Tetapi siapakah dia?
Vila Akasia, Shah Alam
Ara terpana. Dia benar-benar terkejut. Tiada perkataan
yang dapat menggambarkan apa yang sedang dirasakan ketika ini. Dia merenung
wajah di hadapannya dengan harapan mereka hanya bergurau sahaja. Namun tiada
senyuman yang dilihatnya. Masing-masing kelihatan begitu serius dan tekad dengan
keputusan masing-masing. Tiba-tiba dia berasa dirinya terperangkap dalam
situasi yang langsung tidak pernah dijangkakan.
“ Apa?”
“ Auntie Moon dengan Uncle Mohamad datang merisik Ara
hari ni. Jadi, dah alang-alang kita buat kenduri ni, Mak Da dan abah cadang nak
tunangkan Ara dengan Zahar sekali gus.”
“ Apa?” Hanya perkataan itu sahaja yang mampu keluar
daripada mulutnya. Dia benar-benar tidak menyangka sama sekali ini rancangan
ibu tirinya. Tetapi macam mana pula dengan abah? Adakah abah terlibat sama. Ara
mencari wajah ayahnya dan sebaik sahaja pandangan mereka bertemu, hatinya
luluh. Berkecai jiwanya saat itu. Abah tahu. Abah tahu dan sengaja merahsiakan
perkara ini daripadanya. Ara menggeleng perlahan. Sampai hati abah!
Ara merenung kurung moden bewarna putih krim yang sedang
disarungkannya. Patutlah Mak Da beria-ia benar memintanya memakai baju itu.
Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dan dia....dia menjadi terlalu bodoh dan
tertipu dengan lakonan palsu mereka.
“ Ara tak nak. Berapa kali Ara nak cakap yang Ara belum
sedia lagi.” Kata-kata itu diluahkan kepada ayahnya. Dia sengaja memilih untuk
tidak bercakap dengan Zahrah kerana dia takut dia akan mengamuk ketika dan saat
itu juga.
“ Mak Da bukan suruh kahwin sekarang. Bertunang aje dulu.
Semua tu nanti kita bincang kemudian.” Zahrah menyampuk.
Ara hanya tersenyum sinis.
“ Berbincang konon. Yang jadi sekarang ni, dah bincang
dengan orang ke?” Suara Ara semakin naik. Dengan Zahrah dia memang lebih selesa
membahasakan dirinya sebagai ‘orang’.
“ Sampai hati abah tak beritahu Ara. Sampai hati buat Ara
macam ni,” luahnya penuh kesal. Itu yang membuatkan dia ralat sangat. Jika
semua ini perbuatan Zahrah, dia tidak akan terkejut sangat kerana dia tahu
bagaimana orangnya ibu tirinya itu.
Tengku Hanafi menggeleng perlahan. Dia tidak tahu
bagaimana mahu membela dirinya sendiri. Haruskah dinyatakan bahawa dia juga
tidak menahu akan perkara ini? Dia juga terkejut namun sudah terlambat untuk
membatalkan majlis yang sudah dirancang secara teliti dan penuh rahsia itu.
Bezanya dengan Ara, dia tahu awal dua jam sebelum anaknya itu.
Itu pun secara tidak sengaja dia mendengar perbualan
telefon antara Zahrah dengan Munirah. Dia sudah meminta penjelasan dan meminta
Zahrah membatalkan hasratnya itu namun ketibaan teman-teman Zahrah yang datang
lebih awal membuatkan perbincangan mereka terpaksa dihentikan. Dia gentar
menghadapi reaksi anaknya nanti. Dia tahu bagaimana penerimaan Ara nanti namun
nampaknya itu tidak menghalang Zahrah dengan keputusannya.
“ Ara...abah minta maaf kalau Ara rasa tertekan dengan
perbuatan kami ni, tapi buat masa ni boleh tak kalau Ara setuju. Uncle Mohamad
dan Auntie Moon dah datang tu. Tak baik kalau kita hampakan harapan orang.
Lagipun mereka datang pun atas jemputan kita. Takkan kita nak batalkan pula.
Tolong ya Ara...” Tengku Hanafi memujuk anaknya. Kesal kerana terpaksa
menyebelahi isterinya ketika ini.
“ Harapan orang? Tapi macam mana dengan harapan Ara,
abah? Abah tahukan apa yang Ara mahukan?” Ara masih berdegil dengan keputusannya.
Tidak ada sesiapa yang dapat memaksanya melakukan perkara tanpa kerelaannya
sendiri.
Zahrah yang mula berasa cemas mengeluarkan senjatanya
yang terakhir. Dia tahu selepas ini Ara pasti tidak akan mampu menolak. Ara
akan berterusan mengikut kehendaknya.
“ Ara...kalau Alin masih ada, Mak Da takkan paksa Ara
ikut kehendak Mak Da. Kalau Alin masih ada...Ara bebas buat apa yang Ara mahu.
Tapi masalahnya Alin dah tak ada. Alin tak akan kembali lagi...Mak Da...Mak Da...”
Kata-katanya mati di situ apabila mengenangkan Alin yang telah lama pergi.
Zahrah menyapu air mata yang kian laju menuruni wajahnya. Bercakap mengenai
Alin sentiasa akan menuntut air matanya. Tengku Hanafi menepuk bahu isterinya
perlahan. Dia juga terkesan dengan kesedihan itu. Dia tahu betapa sayangnya
Zahra terhadap Alin.
“ Ara!” Tengku Hanafi memanggil anaknya perlahan.
Ara merenung ayahnya dengan mata bermanik-manik. Lalu dia
tercebik seketika kerana tidak mampu mengeluarkan sepatah kata pun. Dikuisnya
air mata yang jatuh setitik di atas pipi. Dengan perlahan-lahan dicubanya
mencari sedikit kekuatan untuk berkata-kata, namun semakin kuat dia mencuba,
semakin bergetar dadanya. Hanya air mata sahaja yang laju meniti pipi. Ya ALLAH
bantulah aku dengan berikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“ Baiklah, Ara
setuju.” Sesungguhnya dia hanya mampu pasrah dan menyerah nasih pada ALLAH swt.