Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 18

PUNGGUNG dilabuhkan di atas sofa single lalu kaki kirinya diangkat diletakkan di atas paha kanannya. Jari-jemari bertaut sesama sendiri. Wajahnya dingin. Susuk tubuh seseorang yang berada di hadapannya langsung tidak dipandang. Hatinya sebal ketika ini. Entah kenapa semakin ramai musuh yang berani-beraninya menyentuh darah dagingnya itu.

"Dia orang nak apa sebenarnya? Asal adik aku jadi sasaran?" Bengis wajah Izz Benazir ketika bertanya kepada orang kanannya yang setia sejak dulu lagi.

"Indira menjadi sasaran kerana budak lelaki bernama Qarizh tu. Kiranya dia kena tempias Qarizh."

"Kau rasa-rasa benda yang terjadi semua ni berkaitan dengan arwah along aku ke?"

Kizo hanya menganggukkan kepalanya. Izz Benazir meraup wajahnya kasar. Dengusan marah dilepaskan kuat. Pemegang sisi sofa dihentaknya sekali. Nampak sangat dia tengah marah sekarang ni.

"Dulu attack along aku, sekarang adik aku pulak. Memang cari malapetaka dia orang ni. Aku nak kena aktifkan balik kumpulan ni. Kau kena kumpul semula anak-anak buah tu balik. Aku dah tak boleh duduk diam lagi."

Kizo akur. Kepala dijatuhkan sekali menandakan dia menerima arahan yang keluar dari mulut Izz.

"Ada satu lagi info yang aku nak bagi tahu kau."

Izz yang baru saja hendak mengangkat punggungnya terbantut dek Kizo yang tiba-tiba saja bersuara. Kepalanya didongak perlahan. Lama dia merenung sepasang mata milik orang kanannya itu.

"Apa dia?"

"Ketua musuh yang selalu attack Indira dengan Qarizh sebenarnya dekat-dekat mereka saja. Dan aku boleh dapat rasa, lelaki itu akan jadi rapat dengan Indira nanti. Tu firasat aku. Biasanya firasat aku semuanya betul-betul terjadi."

Sepi.

"Dan ketua musuh tu juga yang singkirkan ketua lama aku."

Dahi Izz berkerut seribu. "Kau tahu siapa?"

Kizo angguk sekali.

KERETANYA diberhentikan di bawah sebatang pokok yang lebat daunnya. Tidak terlalu jauh dari sebuah rumah bungalow dua tingkat. Dia berjaya menjejak langkah Hilmi sehingga ke sini. Setahu dia ini rumah keluarga Tengku Yazir. Sepupu yang tidak terlalu rapat begitu juga dengan Qarizh. Dari kecil dia hanya rapat dengan Qarizh saja.

"Kenapa Hilmi datang rumah Yazir?" soalnya pada diri sendiri. Dagunya diletakkan di atas stereng sambil anak mata meliar memerhatikan suasana sekeliling. Kelihatan Hilmi sedang menunggu seseorang dengan tubuhnya disandarkan pada badan kereta.

"Sampai pun Abang Hilmi. Terima kasih sebab sudi datang sini semata-mata nak hantar barang Qas yang tertinggal dekat rumah. Abang Hilmi memang terbaik!" ucap Qasrina sebaik saja dia keluar dari pintu pagar rumah Tengku Yazir.

"Ala, small matter. Untuk Qas, semuanya abang boleh buat. Qas macam mana duduk sini? Okey? Ada apa-apa masalah?"

Qasrina menggelengkan kepalanya. "Okey aje. Macam biasa. Cuma bosan. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Qas terperap dalam bilik aje. Rindu pulak dekat abang dengan Kak Dira. Dia orang masih bersama?"

Bibir Hilmi terjongket sebelah. Kepala diangguk sekali. "Macam biasa. Sejak Qas tak ada, abang Qas tu asyik nak mengamuk saja."

"Mesti abang selalu kena marah, kan? Aduh... maafkan Qas. Sebab kepentingan Qas semua orang kena tempias. Tak patut abang buat macam tu." Dahi Qasrina berkerut-kerut. Sebal pula hatinya dengan perangai Qarizh yang semakin baran.

"Biasalah. Macam tak kenal abang Qas tu macam mana. Dulu Qas ada, tak adalah dia berani sangat nak tunjuk baran dia tu. Sekarang ni, makin kerap pula. Nak tak nak, kena hadaplah."

Qasrina mencebik. Kemudian dia melepaskan keluhan kecil sekali gus kepalanya tergeleng-geleng mengenangkan perangai Qarizh sekarang.

"Oh, Hilmi rupanya. Aku ingatkan siapa kau jumpa malam-malam depan rumah ni. Buat aku curious je," tegur Yazir yang baru saja balik ke rumah. Sudah dua hari dia tidak balik ke rumah. Entah ke mana saja dia merayau sehingga tidak ingat nak balik. Mestika Royal Holdings langsung tak dijenguk. Qarizh mengamuk, bukan dia makan saman pun.

"Ya saya, Tengku." Hilmi tunduk hormat dengan senyuman kecil terlakar pada bibir nipisnya.

"Tak payahlah nak bertengku sangat. Panggil Yaz je. Ada apa ni?"

"Qas mintak tolong dia ambilkan barang dekat rumah. Tertinggal."

"Untung ada orang yang nak ambilkan, ya. Ada abang sendiri pun macam tak boleh harap. Memang tak kisah adik dia duduk dekat sini. Dah syok sangat berdua-duaan dengan wanita idaman dia, kan." Yazir sengaja memerli. Biar hati Qasrina semakin panas. Memang dia suka melihat kemesraan dua beradik itu semakin renggang.

Qasrina terdiam begitu juga dengan Hilmi. Sama sekali tidak memberi sebarang respons kepada Yazir.

"Aku masuk dululah. Berlengas pulak badan aku. Qas jangan lama-lama kat luar. Nanti JAIS datang, percuma saja korang berdua kahwin." Yazir tersengih seraya mengorak langkah masuk ke dalam rumah.

"Mulutnya celopar habis. Mengalahkan perempuan," marah Qasrina.

Hilmi hanya tertawa kecil. Terusik hatinya melihat wajah marah milik Qasrina. "Tengok Qas marah terus terhibur hati abang. Kalau tak, tertekan abang sepanjang hari."

"Alahai, kesian. Abang-abang yang lain semua kat rumahlah ni? Hadap singa buas tu?"

Hilmi angguk. "Dah tu nak pergi mana lagi. Dah itu kerja dia orang. Abang ni pun tadi main keluar aje, tak cakap dengan dia. Ini kalau dia cari abang, mahu bertambah mengamuk dia."

"Hmmm... tak apalah. Abang baliklah. Karang kena marah lagi, kesian pula. Apa-apa kita chat, okey? Thanks tau sebab sudi hantarkan barang Qas."

Hilmi angguk dengan senyuman sebelum meloloskan dirinya ke dalam perut kereta.

"Sah memang ada benda tak kena ni. Kenapa Hilmi tak ceritakan hal sebenar? Dan macam mana Yazir kenal Hilmi?" Dari tadi, dia memerhatikan sekali gus mencuri-curi dengar perbualan mereka di sebalik tembok dinding yang tidak jauh dari situ. Setiap omongan mereka menyusup masuk ke dalam gegendang telinganya.

"Tak akan Hilmi pembelot?"

"Kenapa Qas ni bodoh sangat percaya bulat-bulat? Dah bertahun-tahun duduk dengan abang sendiri pun, masih tak percaya. Memang menguji kesabaran betul budak perempuan ni."

Berteka-teki dengan diri sendiri. Sebal di hati hanya dia saja yang tahu. Marah betul dia pada Qasrina. Entah apa yang merasuk fikiran gadis itu sehingga lebih percayakan orang luar berbanding abang kandungnya sendiri.

"Ini kalau Qarizh dengar semua ni, aku rasa isi dalam bumi ni meletup keluar. Aku kena terus siasat Hilmi ni. Tak boleh dibiarkan. Hati aku kuat mengatakan ada benda yang tak kena. Dan ada yang berlaku pada masa akan datang," ujar Airiel pada dirinya sendiri.

INDIRA memerhatikan Izz yang sepertinya termenung jauh. Sejak kebelakangan ini, rajin sungguh Izz Benazir ini termenung. Entah apa yang difikirkan dalam kepala otak abangnya itu. Tak akanlah fasal pekerjaan sampai termenung macam tu sekali. Silap-silap hari bulan boleh tembus dinding rumahnya ini.

"Ayah ngah, tengok lukisan Lana ni. Cantik tak?"

Izz yang terasa pahanya disentuh dengan tangan kecil, berdeham kecil sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Alana yang berdiri di hadapannya dengan muka comel. Kertas lukisan yang berada di tangan Alana ditenungnya dengan senyuman tipis.

"Pandainya Lana lukis. Cantik, sayang." Kepala anak saudaranya itu diusap lembut. Kemudian, tubuh kecil itu diangkat lalu dipangku di atas ribanya.

"Apalah yang angah termenung jauh tu? Macam dah tak wujud orang sekeliling angah tu, ya?" Jujur Indira rindu dengan gurauan angahnya itu. Memang boleh dikatakan, mereka jarang bersua muka kerana masing-masing sibuk dengan pekerjaan sendiri.

"Tak ada apalah. Biasalah. Macam tak kenal angah ni macam mana. Angah fikir pasal kerja."

Indira angguk sekali. "Betul pasal kerja? Bukan ada benda lain yang menganggu fikiran angah? Angah tak akan berahsia dengan adik, kan?"

Izz sedikit tersentak dengan ayat Indira yang terakhir. Sekali gus, hatinya berdebar-debar. Ya, dia ada rahsia yang selama ini disimpan rapi. Alongnya sendiri yang menyuruh dirinya simpan rahsia itu. Indira langsung tak tahu kerja kedua yang diambil alih sejak Ilman Renaldi meninggal dunia. Selama ini pun, dia ada terlibat juga dengan kerja-kerja itu tetapi tidak seaktif ini.

"Ish, mana ada angah berahsia. Angah nak rahsia apa? Tak adalah. Pasal kerja angah tu, hah. Ada menimbun-nimbun projek abang kena buat draf sebelum projek tu dirasmikan. Macam tulah kalau jadi arkitek."

Indira diam. Dia faham akan penat lelah yang ditanggung oleh Izz. Kalau diberi cadangan supaya angahnya berhenti pun. Belum tentu Izz setuju. Sayang sangat Izz pada kerja hakikinya itu.

"Kerja, kerja juga angah. Kesihatan tu kena jaga. Semua yang ada dekat angah tu nak kena pakai lama. Kalau tak jaga, macam mana nak teruskan kerja. Betul tak?"

Izz mengukirkan senyuman sambil kepalanya diangguk sekali. "Ya, angah tahu. Angah tahu adik angah ni risau sangat dekat angah. Angah selalu jaga diri. Jangan risau. Adik tu yang selalu angah risau tau."

Indira mencemik. Ingat dia budak kecil lagi ke? Kalau dia macam Alana, tak apalah juga nak risau lebih. "Adik dah besarlah. Dah pandai jaga diri. Angah takut yang kemurungan adik serang balik ke?"

Izz sekadar menggelengkan kepalanya.

"Adik yakin. Adik boleh kawal diri adik. Adik dah sihat. Angah jangan risau. Kita kena tumpukan lebih dekat Lana."

Alana yang dari tadinya menjadi pendengar setia hanya tersenyum sambil bermain jari-jemari bapa saudaranya itu. Sudah lama dia tidak bermanja dengan Izz. Sibuk betul ayah ngahnya yang seorang ini.

"Ya, angah tahu. Dua-dua angah sayang sangat. Dua-dualah angah kena risau. Korang ibarat nyawa angah. Angah tak nak apa-apa jadi dekat korang. Tu salah satu amanah yang arwah along tinggalkan dekat angah."

"Ya, adik faham." Indira hanya tersenyum saja. Sejak kecil lagi, dirinya sudah dilindungi dengan dua orang abang yang terlalu sayangkan dirinya.

"Adik nak naik atas jap. Nak check telefon. Takut Si Qarizh tu ada pesan apa-apa."

"Angah nak pesan. Jangan percayakan orang lain selain Qarizh. Dan angah tak nak adik kawan dengan lelaki lain selain dia. Adik boleh faham, kan?"

Indira terdiam sebelum kepalanya diangguk sekali.

"Ada sebab angah buat semua ni." Sambung Izz dengan nada perlahan. Tapi sayang, Indira tidak dapat mendengarnya kerana gadis itu sudah mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas.

"Kenapa angah pesan macam tu, eh? Tak pernah-pernah dia pesan dekat aku macam tu. Macam ada benda tak kena aje," omel Indira pada dirinya sendiri dengan dahinya berkerut-kerut. Kononnya memikirkan pesanan yang diberikan oleh Izz kepadanya.

Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik Izz. Dahinya semakin berkerut-kerut. "Ai, tak pernah angah tak kunci pintu bilik dia."

Perlahan dia menolak pintu bilik Izz yang tidak terkunci itu. Sejak dulu lagi, angah melarang dia masuk ke dalam bilik. Jengah sedikit pun langsung tak diberi peluang. Kadang-kadang dia tertanya juga, kenapa Izz melarang dia masuk ke dalam bilik? Sama seperti arwah along. Dua-dua melarang dirinya masuk ke dalam bilik mereka. Ada apa, ya?

Suis lampu bilik Izz ditekan perlahan. Entah kenapa, tergerak hatinya mahu melihat suasana bilik abang keduanya itu. Jakun dibuatnya. Kemas dan bersih saja. Semua barang disusun dengan kemas.

"Wah, tak sangka angah kumpul komik. Banyak betul komik. Kalau aku tahulah, boleh aku pinjam." Indira tertawa kecil. Semakin ligat tangannya menyentuh setiap barang yang ada di dalam bilik Izz Benazir itu.

Buk!

"Aduh!" Segera Indira menekup mulutnya agar jeritannya tidak kedengaran sehingga ke tingkat bawah. Dia baru saja nak meneroka suasana bilik angahnya itu.

"Kotak apa ni? Asal tak masuk betul-betul dekat bawah katil. Haish, nasib baik aku tak tersungkur. Kalau tak, dahi aku bercium dengan bucu meja komputer angah ni."

Sambil-sambil membebel, tangannya mencapai kotak bersaiz sederhana berwarna hitam itu. Perlahan dia menolak penutup kotak itu. Ketika itu juga, dirinya bagaikan dibadai gempa bumi. Terasa lemah lututnya ketika itu.

"Ke... kenapa benda alah ni ada dalam bilik angah?" Tergeleng-geleng kepalanya melihat objek berbahaya yang berada di dalam kotak itu.

"Angah tipu adik ke? Kenapa... kenapa banyak angah simpan benda ni? Ada rahsia yang adik tak tahu yang angah sembunyikan ni." Tak semena-mena air matanya tumpah. Dari tadi, kepalanya tidak berhenti menggeleng.

Lekas-lekas dia menutup kembali kotak itu lalu ditolak masuk ke bawah katil. Suis lampu bilik dimatikan sebelum pintu dirapatkan sedikit sama seperti tadi. Matanya terpejam seketika sekali gus nafas dihembus panjang. Semakin lebat air matanya apabila objek tadi terimbas kembali di dalam ingatannya.

"Angah... apa angah dah buat?"


Previous: BEM 17
Next: BEM 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza