Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 7

Bang! Bang! Bang!

TEMBAKAN dilepaskan secara bertubi-tubi membuatkan Indira gagal mengesan siapa gerangan-gerangan yang menyerang mereka. Qarizh masih lagi memegang lengannya erat sepertinya tiada tanda-tanda mahu lepas.

"Sampai bila kita nak bersembunyi belakang ni? Dia orang boleh kesan. Kita kena blah dari sini," ujar Indira memberi idea kepada Qarizh.

"Masalahnya sekarang ni, sorang kena balas serangan dan sorang lagi kena tunggang motor. Macam mana?"

Indira menggolengkan matanya. Sisi kepala Qarizh ditunjalnya selamba. Sudahlah bahu lelaki itu cedera, sempat lagi dia menunjal kepala Si Qarizh.

"Kau lupa siapa sebelah kau ni, kan? Kau cakap nak upah aku jadi penjaga adik kau. Mana kepercayaan kau dekat aku?" Indira melepaskan keluhan panjang. Selamba saja dia menyeluk poket sisi seluar Qarizh untuk mencari kunci motorsikal lelaki itu.

"Kunci dekat lubang kunci motorsikal aku. Aku tak sempat nak hidupkan enjin dah kena serang." Qarizh menarik tangan Indira yang berada di dalam kocek seluarnya. Perempuan di sebelahnya ini memang benar-benar berani. Cukup selamba.

"Kau cover aku."

Indira terus berdiri lalu menghidupkan enjin motorsikal berkuasa tinggi itu. Qarizh menggelengkan kepala seraya merentap Glock 19 dari dalam poket jaket kulitnya. Beberapa tembakan dilepaskan ke arah si penyerang.

Vroommm! Yamaha MT-25 Qarizh menjerit nyaring memecahkan keheningan di sekitar kawasan situ. Qarizh melompat di belakang Indira lalu gadis itu memecut motorsikalnya dengan kadar laju yang sangat tinggi. Terkejut juga Qarizh dibuatnya. Sungguh dia tidak menyangka yang Indira mampu menunggang motorsikal berkuasa tinggi ini. Sangat mengagumkan! Tak silap dia memilih Indira untuk dijadikan penjaga kepada Qasrina.

"Dia orang larikan diri, bos!" jerit salah seorang anak buah di hujung talian.

"Bengap! Lembap! Kejarlah dia orang, setan!" amuk si ketua.

"Ba... baik, bos!" Si anak buah lantas mengajak ahli-ahli kumpulan yang lain untuk mengejar Qarizh dan Indira menggunakan kereta.

"Kita nak pergi mana ni?" soal Indira sambil mengerling Qarizh yang berada di belakangnya melalui cermin sisi.

"Hah?" Qarizh terpaksa meninggikan sedikit ton suaranya itu memandangkan Indira menunggang motorsikalnya dengan laju sehingga suara gadis itu tenggelam timbul tidak berapa dengar.

"Kita nak pergi mana?" Kali ini Indira menjerit. Mahu tercabut anak tekaknya.

"Rumah kau!" balas Qarizh.

Indira tidak menyahut sebaliknya dia meningkatkan lagi kadar laju motorsikal itu supaya cepat sampai ke rumahnya. Dalam hati dia berharap agar penyerang-penyerang mereka tadi sudah kehilangan jejak mereka.

YAMAHA MT-25 Qarizh diberhentikan di hadapan pagar rumah Indira. Kelihatan Izz sedang mengambil barang dari dalam keretanya. Indira turun dari motorsikal lalu helmet dicabut. Qarizh menghidupkan semula enjin motorsikalnya membuatkan gadis itu memandangnya dengan kerutan yang berlapis-lapis pada dahi.

"Kau nak pergi mana? Bahu kau tu kena rawat. Nanti kena jangkitan kumanlah."

"Ya, aku tahu. Motor aku ni kena parkir secara sembunyi. Nanti dia orang cam. Faham?" balas Qarizh dengan nada suara perlahan. Bahunya terasa menyengat. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit.

"Parking motor ni kat dalam garaj rumah aku senang." Indira menolak pintu pagar rumahnya lalu menuding jari ke arah garaj yang terletak di sebelah rumahnya.

"Eh, kenapa ni?" soal Izz sambil menjinjit beg laptopnya. Dari atas sehingga bawah, dia mengimbas Indira dan Qarizh.

"Nanti adik cerita. Lana dah tidur?"

Izz sekadar menganggukkan kepala. "Angah tunggu dalam."

Indira angguk lalu melangkah mendekati Qarizh yang tercegat di sisi motorsikalnya sambil membelek bahunya yang tercedera itu.

"Okey tak?" Indira menolak jaket Qarizh perlahan. Luka pada bahu Qarizh diperiksanya dengan penuh berhati-hati.

Qarizh tidak menjawab. Matanya terpaku pada wajah manis milik Indira yang berada di hadapannya.

"Jomlah, aku tolong kau rawat." Indira menarik semula jaket itu menutupi bahu Qarizh.

Qarizh membuntuti langkah Indira sehingga masuk ke dalam rumah. Gadis itu menyuruhnya duduk di sebelah Izz sementara dia mendapatkan kotak First Aid kit yang berada di dapur.

"Kau okey, Qarizh?" sapa Izz sebaik saja Qarizh melabuhkan punggung di sebelahnya.

"Kena shot tadi. Aku dengan Indira kena serang," jawab Qarizh. Belikatnya disandarkan sepenuhnya pada kusyen sofa. Kepalanya didongakkan ke atas seraya matanya dipejam. Mahu melepaskan lelah yang ditanggungnya sejak tadi.

"Kita orang kena serang lagi, angah. Tapi, tak pasti sama ada orang yang sama atau tidak. Adik makin musykil sebenarnya ni. Adik rasa kita ni sering diperhatikan. Belum pernah perkara ini terjadi sepanjang kita hidup."

Kotak First Aid kit dibuka lalu isi di dalam kotak itu dikeluarkan untuk memulakan sesi rawatan bahu Qarizh. Disuruhnya lelaki itu membuka jaketnya. Agak mudah sedikit untuk dia merawat memandangkan Qarizh hanya mengenakan singlet hitam di dalam. Dengan ilmu yang dia ada, peluru yang terkurung di dalam bahu Qarizh selamat dikeluarkan. Izz sekadar memerhatikan adik perempuannya manakala Qarizh memejamkan mata seraya berkerut menahan sakit yang menyengat.

"Thanks," ucap Qarizh kepada Indira sebaik saja gadis itu menutup kotak First Aid kit.

Indira menganggukkan kepala. Dia meminta diri untuk ke dapur. Tinggallah Izz dan Qarizh berdua di ruang tamu. Suasana kembali sunyi.

"Hmm... kau tahu siapa yang attack korang berdua?"

Qarizh mendiamkan diri. Tidak mungkin dia mahu membocorkan identiti keduanya itu. Tak boleh sama sekali. Kalau Izz Benazir dia merupakan seorang ketua mafia, semestinya lelaki ini tidak mengizinkan dia berkawan dengan Indira. Apatah lagi mahu mengupah Indira menjadi penjaga adiknya.

"Tak. Aku tak tahu. Langsung tak nampak muka dia orang sebab pakai topeng muka penuh warna hitam."

"Topeng yang macam nak merompak tu ke?"

Qarizh angguk.

"Entah-entah dia nak merompak korang tu. Haih... bahaya betullah orang zaman sekarang. Dekat tempat awam pun selamba saja diserangnya." Izz menggeleng-gelengkan kepalanya. Sudah banyak cerita seperti ini yang dia dengar melalui radio, siaran televisyen dan juga mulut-mulut rakan sekerjanya.

Qarizh diam. Dia membiarkan saja Izz membuat andaian seperti itu. Walhal, dia tahu siapa yang menyerang dia dan Indira sebentar tadi. Pastinya musuh-musuhnya. Tidak sepatutnya Indira terbabit sekali. Mereka memang berani mati. Tanpa sedar, Qarizh mengenggam sebelah tangannya sehingga urat hijau timbul.

"Bang, aku ada nak cakap sikit. Aku harap kau bagi keizinan," ujar Qarizh setelah lama mendiamkan diri.

"Apa dia?"

"Aku nak upah Indira jadi penjaga adik aku. Kiranya aku nak dia bekerja dengan aku."

Izz menoleh ke sisi. Seraut wajah tampan Qarizh direnungnya lama. Pemuda ini mahu mengambil adiknya untuk dijadikan sebagai penjaga?

"Aku tak kisah kalau kerja tu halal. Kalau Indira setuju, aku ikut saja. Janji dia gembira. Aku tak nak dia bersedih lagi. Kau faham, kan? Aku rasa kau pun faham seorang abang yang mahukan adiknya sentiasa gembira dan bahagia."

Qarizh angguk sekali. Dia sangat faham. Tak perlu diterangkan naluri seorang abang kepada adik kandungnya.

"Aku janji, bang. Dia jadi penjaga untuk adik aku. Pada masa yang sama, aku akan jadi penjaga dia. Tak ada siapa yang boleh sentuh dia orang berdua."

Izz senyum sambil tangannya menepuk-nepuk perlahan lengan Qarizh.

"Aku percaya kau."

Qarizh diam. Begitu mudah sekali Izz Benazir memberikan kepercayaan kepadanya. Dia membawa pandangannya ke sisi. Kelihatan Indira sedang mengeluarkan bungkusan makanan mereka tadi untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk supaya tidak cepat basi.

SEPERTI biasa, pada waktu malam yang sepatutnya menjadi waktu istirahatnya. Namun, matanya langsung tidak memberi kerjasama. Ternganga saja kelopak matanya. Sekiranya dipejam, dirinya dihurung dengan perasan resah-gelisah yang melampau. Semuanya jadi serba tidak kena.

"Apa masalah dengan aku ni? Tak akanlah tak boleh nak tidur langsung. Boleh jadi gila macam ni."

Indira melepaskan keluhan panjang lalu mengubah posisinya daripada baring kepada duduk. Dara Alana yang sedang lena di sebelahnya, dikerling seketika sebelum selimut yang membaluti dirinya ditolak ke tepi. Dia menjejakkan kakinya ke atas karpet bulu yang terbentang di dalam biliknya.

Rambutnya diramas penuh tidak puas hati. Selipar bilik bertelinga kucing disarungkan pada kedua-dua belah kakinya. Diseret langkahnya dengan penuh kemalasan keluar dari biliknya untuk menuju ke dapur. Tekaknya tiba-tiba saja terasa haus. Tiba-tiba dia terfikir mahu melepaskan tekanannya pada punching bag waktu malam begini memandangkan dia tidak boleh melelapkan matanya.

"Fuh! Nikmatnya air sejuk ni bila mengalir dekat tekak aku." Indira memejamkan matanya sambil menggelengkan kepalanya perlahan. Betul-betul menikmati air sejuk yang sedang mengalir pada tekaknya.

"Ya Allah, terkejut aku!"

Indira melompat kecil, terkejut melihat Qarizh yang berdiri di singki sambil membasuh tangannya. Sejak bila lelaki itu muncul pun dia sendiri tak tahu. Tup-tup saja ada depan mata. Nasib baik tak tersembur air di dalam mulutnya.

"Ish, kau ni. Gugur jantung aku. Aku ingatkan hantu manalah yang tegap sangat badan dia. Pakai singlet je pulak tu," ujar Indira sebelum menghabiskan air minumannya itu.

Qarizh hanya membisu. Dia mengelap tangannya menggunakan kain yang sememangnya dikhaskan untuk lap tangan sambil merenung Indira dengan renungan kosong. Bagaikan patung bernyawa saja setiap kali dia memandang gadis itu.

"Kau tak boleh tidur juga ke?"

Gelas dicuci terlebih dahulu sebelum diletakkan di atas rak pinggan-mangkuk. Dia menahan sikunya pada bibir singki sambil memandang Qarizh yang berdiri statik di sisinya. Kepala dibawa geleng sekali.

"Perangai kau memang macam ni, eh? Senyap aje. Lepas tu, suka tenung orang macam nak telan. Heartless betul kau ni."

Qarizh masih menayangkan reaksi wajah yang sama.

"When it hurts but it hurts so good...." Indira menyanyi dengan penuh nada pasrah apabila Qarizh seolah-olah tidak melayani dirinya itu. Tangga didakinya satu per satu, meninggalkan lelaki itu seorang diri di dapur.

"Cakap macam dengan patung hidup. Dengan muka creepy macam tu. Nak tengok dia senyum pun sikit punya payah. Agaknya masa dia lahir pun, tak menangis. Mata besar lepas tu tenung orang macam nak telan. Uish, sangat menyeramkan!" kutuk Indira selamba.

Dia mengambil tempat di hadapan punching bag kesayangannya. Ditarik dan dihembus perlahan nafasnya seraya matanya dipejamkan seketika. Kedua-dua belah tangannya menggenggam penumbuk lalu dihalakan di hadapan punching bag tersebut.

Buk! Buk! Duk! Dia melepaskan tumbukan dan juga tendangannya dengan sepenuh hati. Tekanan yang terpendam dilepaskan melalui punching bag biarpun tangan dan kakinya akan berasa sakit sekiranya ditumbuk dan ditendang secara bertubi-tubi dengan tempoh masa yang agak lama.

Qarizh yang dari tadinya mengekori Indira secara senyap, berdiri di muka pintu bilik gym itu. Dia ralit memerhatikan gadis itu sedang menumbuk punching bag. Langsung tidak berkerdip matanya menonton aksi-aksi gadis itu yang langsung tidak memandang kiri dan kanan ketika menumbuk punching bag. Seolah-seolah Indira sedang berdepan dengan musuh-musuhnya.

"Kenapa kau tercegat dekat situ? Nak tumbuk punching bag juga?" tegur Indira membuatkan Qarizh kembali berpijak ke alam nyata.

"Boleh?"

Indira menganggukkan kepalanya. Dia mengundur ke sisi punching bag untuk memberi ruang kepada Qarizh.

"Kau biasa tak punching tak guna sarung? Aku dah biasa. Kalau tak biasa, kau boleh ambil sarung tangan tu dekat dalam almari."

Qarizh sekadar menggelengkan kepalanya. Dia tidak perlukan semua itu. Dulu dia pernah lakukan aktiviti ini. Cuma sekarang, sudah lama dia tinggalkan aktiviti itu. Rutin hariannya yang begitu sibuk menguruskan syarikat keluarganya sekali gus aktivitinya yang lagi satu sehingga dia tidak ada masa untuk dirinya sendiri.

Buk! Buk! Buk!

Indira bersandar pada dinding bilik sambil tangan dibawa silang ke dada. Telapak kaki kanannya dilekapkan pada dinding. Matanya ligat memerhatikan setiap tumbukan yang dihasilkan oleh Qarizh. Bersungguh-sungguh lelaki itu menumbuk punching bag tersebut sehingga keringat-keringat halus mula mengalir dari kepalanya.

"Kau stres?" soal Indira dengan nada bersahaja.

Qarizh menghentikan tumbukannya seraya mengawal nafasnya yang sedikit laju. Mendengarkan pertanyaan Indira membuatkan dirinya seperti balik semula ke dunia realiti. Perlahan dia menoleh ke sisi dengan peluh yang sedang mengalir pada wajahnya.

"Stres tak pernah lari daripada hidup kita," balas Qarizh sambil mengesat keringatnya menggunakan kekura tangannya.

"Jangan kesat peluh macam tu," ujar Indira lalu mendekati Qarizh. Tuala kecil yang berada di tangannya dibawa kesat pada wajah lelaki itu.

Qarizh terdiam. Dia memandang wajah Indira yang selamba saja mengelap wajahnya. Tangannya naik memegang pergelangan tangan Indira kemudian ditolaknya lembut. Dia berasa janggal dirinya dilayan seperti itu.

"Aku boleh buat sendiri." Perlahan tapi masih dapat didengar oleh Indira. Tuala kecil tadi sudah bertukar tangan.

Indira mengemam bibirnya. Kenapa dia boleh bertindak seperti itu? Miring sudah kepala otaknya ke? Tak fasal-fasal dia sendiri menahan malu. Sepatutnya tuala itu diberikan kepada lelaki itu. Bukannya baik sangat, lapkan muka Si Qarizh itu.

"Sorry," ucap Indira perlahan. Dia melabuhkan punggung di atas sofa berangkai dua yang terletak di belakang punching bag. Sikunya ditongkat di atas pemegang sofa. Kepalanya diletakkan di atas telapak tangannya. Letih.

"Kau tak tidur?" soal Qarizh sambil mengelap wajahnya dengan tuala kecil tadi.

"Dah beberapa hari ni, aku tak boleh nak tidur lena macam dulu. Kau tahu tak betapa sedihnya aku? Aku rindu zaman aku dapat tidur dengan begitu lena sampai terlajak ke waktu tengah hari. Angah pun masa tu dah penat nak sound aku."

Qarizh sekadar mendengar saja luahan hati Indira itu. Punggungnya dihenyakkan di atas sofa bersebelahan dengan gadis itu.

"Kau kena insomnia."

Indira angguk. Dia menguap besar, pantas tangannya menekup mulutnya yang sedang ternganga luas itu. Nampak sangat yang dia sedang menahan kantuk yang melampau. Kedua-dua belah matanya langsung tak kasihan pada dirinya itu.

"Jadi, macam mana dengan keputusan untuk jadi penjaga adik aku?"

"Aku setuju. Bila boleh mula?" Indira sudah mula tersengguk-sengguk. Matanya sudah berair dek beberapa kali dia menguap besar.

"Esok."

Indira menganggukkan kepalanya. Matanya sudah semakin layu. Baru sekarang kenal erti mengantuk matanya ini.

"Adik aku dekat rumah. Dia tak pernah pergi mana-mana tanpa keizinan aku. Dia duduk terperap saja dekat rumah tu. Tu sebab..."

Kroh.... Kroh....

Qarizh menoleh ke sisi. Kelihatan Indira sudah tertidur. Adakah suaranya mampu mendodoikan Indira sehingga gadis itu terlena?

"Tu sebab aku upah kau jadi penjaga adik aku."

Qarizh menyambung percakapannya yang terhenti tadi. Tangannya disilangkan ke dada. Lama dia memerhati wajah Indira yang sedang sambil menongkat kepalanya sendiri.

"Adakah kau orang yang selama ini aku cari, Indira? Kau dengan dia banyak persamaan. Terutamanya keberanian kau. Ketangkasan kau."

Rambut Indira yang menutupi dahi diselaknya perlahan agar lena gadis itu tidak terganggu. Tanpa sedar, dia mengukirkan senyuman tipis. Dalam hati berharap agar dia bertemu dengan seorang gadis yang selama ini dia mencari. Langsung tak pernah jemu menanti kehadiran gadis itu muncul dalam hidupnya kembali walaupun sudah 10 tahun berlalu.


Previous: BEM 6
Next: BEM 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza