Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Maryani Zailani
11/11/2022 09:44:42
26,695
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Dahinya berkeringat deras, berkerut-kerut seperti menahan kesakitan. Bibirnya terkumat-kamit mengucapkan kata-kata yang tidak jelas lagak gaya seperti sedang meracau-racau dalam tidur. Beberapa saat kemudian, matanya mendadak terbuka luas. Dia terus duduk dan tercunggap-cunggap tidak cukup nafas.

Rambutnya dicekak kuat, mimpinya terasa seperti benar-benar pernah berlaku kepadanya. Pelbagai rupa manusia menakutkan muncul bersilih ganti dalam mimpinya disertai tawa yang tersangat bingit seakan-akan mengejeknya. 

“Argh,” dia mengadu kesakitan di saat mahu bangun meninggalkan katil.

Tindakannya terbejat, tidak jadi bangun meninggalkan katil kerana berasa tangan kirinya sakit mendadak. Lebam-lebam muncul membuatkan matanya terbuntang besar dan dahinya berkerut seribu mencuba menghadam situasinya sekarang. 

Fikiran dikerah hebat untuk mengingati peristiwa semalam yang boleh membawa kepada kemungkinan terjadinya lebam-lebam itu, akan tetapi hampa. Kosong sekali fikirannya ibarat alat penyimpan data digital yang masih belum digunakan oleh sesiapapun.

“Aku… bermimpi ke? Tak! Itu bukan seperti mimpi! Sesuatu telah berlaku tapi aku… aku tak ingat!” 

Terasa seperti mahu menghentak kepala berulang kali ke lantai kerana tidak mampu untuk mengingati sesuatu yang diyakini sebagai mimpi.

Ting! Pesanan masuk dari aplikasi Whatsapp mengejutkannya. Baru berpeluang melihat waktu ketika ini melalui skrin telefon pintar yang bernyala semasa pesanan masuk. Rupanya, sudah jam 7:40 pagi! Patutlah cahaya matahari menyinari bilik menyilaukan matanya. Nampaknya, hari ini dia terlewat bangun untuk bersiap ke tempat kerja.

Jarinya sempat membuka pesanan yang diterima dari group Whatsapp. Terlihat nama Aniq Zafran sebagai penghantar. Rakan sekerjanya menghantar pautan mengenai berita kejadian kecurian karya lukisan yang berlaku di sebuah galeri pada awal pagi.

‘Si penyibuk, pagi-pagi sudah hantar berita begini,’ kutuknya dalam hati dengan melihat tajuk berita.

Baru sahaja ingin membaca dengan lebih lanjut berita itu, tidak semena-mena kedengaran bunyi kuat. Bunyinya mirip seperti kereta api menggunakan arang sebagai bahan bakar sedang lalu di sebuah landasan.

Telinganya cuba menangkap dari arah mana bunyi itu. Ternyata dari arah dapur namun, bunyi itu tidak lama kerana ia menghilang begitu sahaja dibawa angin.

Tidak lama kemudian, deria baunya terhidu aroma kopi yang menjadi kegemarannya sepanjang masa. Tenang dan damai dapat menghidu bauan harum sebegitu di waktu pagi. Dia akan boleh berasa gembira sepanjang hari dengan baunan itu.

“Kopi?” 

Selalunya, dia sendiri akan membancuh minumannya lantaran tinggal bersendirian. Justeru, dia menjadi tertanya-tanya gerangan seseorang berbuat sedemikian di rumahnya. Berani-berani seseorang menyentuh barangan di rumahnya tanpa meminta izin.

Huk. Huk. Semasa ingin bangun dari katilnya, dia terdengar seseorang sedang berbatuk yang tidak diketahui dari mana puncanya. Bunyi itu sepertinya datang dari ruang tamu rumah. Aneh, siapa yang berada di dalam rumahnya selain daripada dirinya yang masih di bilik tidur?

Dia segera mengenepikan selimut dengan kasar lantas bingkas bangkit dari katilnya, berharap agar kediamannya tidak dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdetik dalam hatinya, menjadi suatu perkara baru jika benar pencuri yang memasuki rumah itulah membancuh kopi sama ada untuk si tuan rumah ataupun pencuri itu kehausan ketika sedang meneliti beberapa barangan menarik untuk dilarikan.

*************

Kosong - ruang tamu rumah tiada sesiapa malahan, langsir belum diselak di samping tingkap masih bertutup rapat. Biasan cahaya matahari pagi sedikit sebanyak menerangi ruang tamu melalui langsir yang tidak begitu rapat bertutup antara satu sama lain.

Langkah kaki diatur menuju ke tingkap, memerhati sejenak perkarangan luar rumah. Sunyi sepi sahaja kerana duduk berjauhan daripada kawasan kejiranan. Memang dia suka suasana begitu, tidak perlu mendengar jiran-jiran bergosip akan gaya hidupnya. Dia malas mahu membebankan fikiran dengan perkara yang membuang masa.

Tingkap dibuka sedikit, menghirup dalam-dalam udara segar awal pagi. Terasa tenang matanya melihat alam semula jadi menghijau waktu pagi. Kicauan burung menjadi halwa telinganya di samping bunyi kokokan ayam jantan kedengaran.

Dia menutup matanya seketika sebelum kedengaran bunyi guruh berdentum kuat.

*************

Awan mendung hitam tiba-tiba menghiasi dada langit dengan laju. Bunyi dentuman guruh kedengaran menghentam bumi secara mendadak mengejutkannya. Hujan turun dengan lebatnya disertai kilat memancar-mancar. Angin kuat menyapa tubuhnya sehingga hampir terundur-undur ke belakang. Semuanya berlaku dengan begitu drastik.

Tuk. Tuk. Tuk. Cuping telinga terdengar bunyi ketukan sayup-sayup dari pintu utama. Hampir sahaja tidak kedengaran. Sendirian di rumah membuatkan dia berhati-hati. Apabila terlihat sahaja penyapu jerami berhampiran, dicapai sebagai senjata untuk mempertahankan diri.

Telinga dilekapkan ke pintu. Sah! Ada seseorang mengetuk pintu dari luar bertalu-talu.

“Abang… abang. Buka pintu… abang.”

Terkejut apabila mendengar suara sayu seorang wanita berlawan dengan bunyi hujan menghentam bumi. Ketika itu, dia berasakan firasat tidak baik bakal menjadi kenyataan dalam masa beberapa saat lagi.

Tanpa teragak-agak lagi, pintu terus dibuka. Serentak itu, terbeliak matanya melihat seorang wanita tumbang betul-betul di hadapan sebaik sahaja pintu dibuka. 

“Sayang? Sayang? Kenapa dengan awak ni?” Suaranya cemas dan pada masa yang sama suara hati turut sama menidakkan peristiwa sedang berlaku di depan mata.

Namun, tindakan fizikal tidak selaras dengan penafian sebelah dirinya. Terus dia memangku wanita dalam keadaan lemah. Pecah air matanya, terasa ingin gila melihat wajah pucat lesi dan lebam-lebam di beberapa bahagian muka wanita itu. 

Wanita itu menyentuh pipinya dengan lemah seraya mencuba untuk senyum walaupun kelihatan pahit senyumannya.

“Sa… saya,” tiada tenaga untuk bercakap, tangannya terus terjatuh ke lantai lalu hilang kesedaran sambil matanya automatik tertutup sama. Nafasnya kedengaran berat seakan sukar untuk bernafas.

“Sayang?”

Berulang kali dia menggoncangkan badannya. Dia tidak ingin apa-apa perkara buruk berlaku terhadap perempuan itu. Air matanya jatuh jua ke pipi dengan deras.

Kilat sambar menyambar di luar sana. Bersama dengan lebatnya hujan dan kuatnya guruh, dia meraung sekuat hati. Hatinya begitu hancur melihat keadaan wanita itu. 

*************

Michael Angle bagai tersedar dari mimpi. Kelopak mata dibuka, dilihatnya langit pagi tidak mendung dan hujan seperti dalam situasi yang dianggap mimpi tadi.  

Telinganya pantas menangkap bunyi muzik klasik dari dalam rumah itu. Muzik klasik yang tidak asing untuk halwa pendengarannya. Dia harus mengakui bahawa dia sedang menikmati muzik yang berkumandang ketika ini. Kepalanya tergoyang-goyang perlahan mengikut irama muzik.

Bukan itu sahaja, hatinya digamit rindu dengan muzik itu bagai mempunyai kenangan tersendiri bersamanya cuma sahaja dia belum berjaya membongkar memori itu. Terbuai-buai dibuatnya, mungkin itu merupakan salah satu muzik kegemarannya. Agak lama juga sebenarnya halwa telinga tidak didendangkan dengan muzik itu. Dia sendiri tidak mengerti alasannya. 

“Beethoven Symphony No.9… ada sesuatu yang hilang dari aku. Aku hanya… tidak tahu apa itu,” luah Michael Angle, kecewa dengan diri sendiri.

Deria baunya terhidu bau kopi, baru dia teringat bunyi yang datang dari arah dapur. Tanpa membuang masa, dia melanjutkan langkahnya ke dapur.

Asap berkepul-kepul dari air kopi panas sudah bertuang ke dalam cawan yang selalu digunakan. Seteko air kopi O panas bersama dengan cekodok terletak elok di situ, hidangan kegemaran pada waktu pagi yang sudah lama tidak dinikmatinya kebelakangan ini. Sama seperti tadi, dia juga tidak tahu akan alasannya, serupa orang hilang ingatan.

Michael Angle menjeling cerek yang selalu digunakan untuk menjerang air di atas dapur, masih berasap. Mungkin, bunyi itu datangnya dari cerek itu menandakan air sudah masak.

“Kenapa tercegat lagi tu? Cepatlah makan… nanti terlambat!”

Ternyata dia terbayang seseorang sedang sibuk menghidangkan sarapan. Mungkin dia kesunyian dek tiada pasangan hidup menyediakan sarapan pagi sehingga terwujudnya bayangan sedemikian.

‘Aku dah gila? Betul-betul aku dah gila,’ detik hatinya, keliru bercampur dengan kecewa.

Sebak mulai bertamu dalam hati. Dia ingin menangis namun ditahan kuat. Dia tidak segera menurut suara yang menegurnya tadi malahan terus berwaspada. Mana tahu, itu helah terbaharu yang sukar diteka daripada individu licik memecah masuk rumahnya. 

“Sampai bila awak nak berdiri di situ?” Tegur suara itu lagi menyentak lamunannya.

Figura suara itu menoleh tetapi wajahnya tidak kelihatan, seolah-olah terhijab dengan sesuatu. Anehnya, dia dapat melihat senyuman memukau milik suara itu. Senyuman yang ingin ditatap dan seakan dirindui setiap hari. Jantungnya berdengup kencang, keliru dengan perasaannya sendiri. 

Hatinya sangsi tetapi tidak selari dengan tindakannya, menarik kerusi perlahan-lahan lalu duduk. Ketika mengunyah cekodok itu, ternyata air matanya gugur deras. Rasa yang sangat dekat dengannya bagai pernah menikmatinya sebelum ini.

“Aku… aku menangis?”

Air mata diseka, dilihatnya sendiri di telapak tangan. Tidak percaya dengan keadaan dirinya ketika ini. Mudah sekali air matanya gugur untuk sesuatu perkara yang tidak difahami akan sebabnya.

Seseorang yang dibayangkan tadi sudah tiada. Michael Angle berasa kecewa, begitu pantas sekali seseorang yang hanya wujud dalam bayangannya pergi. Paling membuatkan hatinya bertambah lara, bayangan itu tidak mampu terzahir di dunia realiti. Hidupnya terasa kesunyian dan seorang diri di dunia. Sampai bilakah keadaan ini akan berlanjutan? 

*************

Pemain piring hitam berputar memainkan Beethoven Symphony No.9 diusap-usap lembut dengan jari jemarinya. Apron dapur yang dipakai tadi semasa menyediakan sarapan pagi sudah terletak elok di atas sofa bersebelahan pemain piring hitam. Harum sahaja bauan badan seseorang itu seperti bauan berasaskan bunga mawar.

Dia mendongak memandang dinding dengan potret keluarga di atas pemain piring hitam. Pantas dia menyentuh permukaannya, memerhati di depan sekali terdapat seorang lelaki dan wanita separuh abad tentu sekali mereka merupakan pasangan suami isteri. Belakang mereka, seorang pemuda bersama dengan seorang wanita muda. Dia tahu, mereka merupakan anak dan menantu kepada lelaki dan wanita separuh usia itu.

Berlama-lama dia menyentuh foto lelaki separuh usia itu, air matanya menitik ke lantai. Aneh sekali, air mata jernih yang menitik bertukar menjadi merah gelap tidak lama kemudian. 

Jari jemarinya teralih pada wanita muda di belakang. Tanpa teragak-agak, kuku tajam hitamnya terserlah lalu menghempas jatuh potret keluarga ke atas lantai. Habis bertaburan kaca di atas lantai.

“Kau fikir dengan cara membawa aku keluar dari rumah ini, mampu menyingkirkan aku selamanya?” Katanya seseolah berbicara dengan wanita muda dalam gambar itu.

Foto wanita dalam potret keluarga dipijak dengan sekuat hati sampai meninggalkan kesan tapak kasut.

“Siap sedialah untuk menderita!”


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.