MALAM gelita.
Dipinggir hutan nipis Emily memugar langkah. Dia Ke kiri dan ke kanan dengan
pandangan yang berkelana. Dikelilingi pohon-pohon teguh menggapai langit,
berceracak lurus bagaikan besi penjara. Dedaun merimbun menutup cahaya
cemerlang sang bulan. Akibatnya, penglihatan hampir buta. Pokok-pokok renek
tersangkut dicelah jari jemari kaki sepanjang langkah yang berlainan tempo.
Kadangkala Emily hampir tersandung.
Mersik angin menyapa ruang wajah
Emily yang terpancar kegelisahan. Dia dibius rasa takut. Dia dimana? apa sebab
dirinya tercampak dikawasan sepi dan terperangkap di hutan hitam bukat ini?
Dihujung lorong pendengaran,
mendayu-dayu suara getir seseorang mengerang kesakitan. Emily berhenti
melangkah. Suara itu amat dikenalinya. Ketakutan yang dirasai mula berkurangan
sedikit. Tanpa bertangguh, Emily berlari deras menghala satu arah yang diyakini
punca suara. Ya, semakin jelas erangan itu.
Langkahnya terhenti dengan
semena-mena. Dihadapannya seperti ada dua susuk tubuh sedang bergelut. Dia
percaya susuk itu milik dua orang lelaki. Namun dia tidak dapat mengagak yang
mana satu pemilik suara yang amat dikenalinya itu kerana kegelapan masih
menyerkup hutan nipis ini.
Walhal kawasan itu sedikit lapang. Emily mendongak ke dada langit. Bulan
diselimuti gugusan awan hitam. Hanya sebentar-sebentar rembulan keluar dari
kepungan gemawan. Emily berdengus perlahan.
Ketika perhatian beralih semula
pada detik pergaduhan tadi, tidak kelihatan susuk seorang lagi. Ia diganti
dengan tubuh langsing seorang wanita. Kelihatan mereka sedang berbicara. Lelaki
tadi menyeranah wanita tersebut. Kemudian menampar wanita itu sebelum beredar
pergi. Menggogoi perempuan itu sendirian sebelum berhati-hati menjenguk
sesuatu. Perkiraan Emily, di sebelah sana pastinya tebing. Mungkin ada cerunan
tinggi atau gaung.
"Kenapa kau tolak
dia?" Wanita itu separuh menjerit.
Benarkah? lelaki yang
dikenalinya itu ditolak? Emily tersentak dan berasa susah hati. Dia menyelak semak
yang menjadi birai perlindung pandangan orang-orang di sana. Dia berhati-hati
memijak perlantaian. Serakkan cahaya kembali berleluasa di tanah lapang itu
apabila gugusan awan hitam beredar sebentar dari memeluk rembulan.
Renungan Emily tersapa pada wajahnya
dengan jelas. Kulit wajah wanita itu sangat mulus. Bibirnya beroles gincu merah
menyala namun nampak pudar kerana pencahayaan yang berbalam. Dagunya berlekuk.
Rahang kecil sesuai dengan bentuk hidung seperti seulas oren mandarin. Dahinya
sedikit luas, berhias kening lurus. Sepasang mata kecil kelihatan sayu. Ada
kegalauan melayur wajahnya kini.
Sesekali hujung selendang berwarna oren yang membalut helaian rambut disapu
ke pipi yang basah dengan air mata. Emily mengemam bibir. Dia mengenali wanita
itu!
Prakk... jantung Emily berdegup
kencang. Kayu kering yang dipijak menjengah ke lorong telinga. Perempuan muda
itu dengan cepat menangkap kelibat Emily. Kini mereka saling berpandangan.
“Hey, sudahlah! Kau nak balik
atau tidak?” jerkah lelaki itu dari kejauhan.
"Ya," Wanita itu
menoleh sekejap pada lelaki tadi sebelum menumpahkan fokus pandangan pada Emily
semula.
“Kau tengok apa tu?” kaki
menghayun deras. Lelaki itu berpatah balik.
Emily gelabah. Bergetar tubuhnya
kini. Wanita itu bersilih ganti mengalih pandangan antara Emily dan lelaki itu.
Lantas jari telunjuk melekap di bibir, tanda meminta Emily diam. Isyaratnya
juga meminta Emily pergi. Emily mengangguk perlahan. Tahulah dia bahawa wanita
itu cuba melindunginya.
“Kau tengok apa?” Dia disoal
lagi.
“Tak ada apa-apa,” berkali-kali
wanita itu menggeleng.
Lelaki kasar itu tidak berpuas
hati. Berceruak prasangka apabila wanita di depannya mempamerkan riak yang amat
dikenali jika menipu. Emily yang sedia menyorok di belakang pohon besar tiga
pemeluk bersandar bisu dan memejamkan mata. Banir yang tersembul dipermukaan
tanah melindungi tubuhnya yang kecil. Lama juga lelaki itu meninjau
persekitaran sebelum berpatah balik. Tangan kiri wanita itu direntap dan
menariknya pergi.
Wanita tadi menahan langkah yang
dipaksa. “Tak akan kau nak biarkan dia di bawah sana. Manalah tahu kalau dia
masih bernyawa.”
“Biarkan dia mereput. Kalau kau
bocorkan rahsia, aku bunuh kau pula,” lelaki itu berdengus.