Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
1,022
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

"SEBENARNYA tok ketua, kami pernah ke Kuala Lumpur mencari kakak beberapa bulan lalu," jelas Syakir tiba-tiba. 

"Benarkah apa yang anak kau cakap ni, Kur?" tanya Tok Ketua Mahat. 

"Ya benar, tok. Sebenarnya aku berat hati nak pergi, tapi itu permintaan akhir Zawiyah yang beria-ia meminta aku membawa Liya pulang. Maka, aku terpaksa ke sana," jelas Syukur. 

"Hah! Ada kau jumpa anak kau?" tanya Tok Ketua Mahat. 

"Ada. Malangnya, pertemuan itu tidak berjalan dengan baik," jelas Syukur. 

"Apa maksud kau?" 

"Dia tak mahu ikut balik, tok! Lebih teruk lagi dia marah dan maki hamun kami. Perempuan itu arahkan kawan-kawannya pukul Akir dan ayah. Dia tak mengaku yang kami keluarganya! Kami dihalau macam kucing kurap. Tok tengoklah pipi ayah dipijak perempuan tu sampai berlubang. Dia memang tak guna! Akir bencikan dia!" ujar Syakir dengan wajah penuh kemarahan. 

Tersentak Tok Ketua Mahat mendengar kata-kata Syakir. 

"Benarkah apa yang anak kau katakan?" 

"Ya tok," jawab Syukur dengan wajah keruh. 

"Cis! Aku tak sangka anak perempuan kau sanggup buat begitu. Dia benar-benar melampau, perangainya tak pernah berubah," ujar Tok Ketua Mahat. 

"Aku sebenarnya sedih, tok ketua. Jika Aliya tidak mahu mengakui aku ini ayahnya, aku boleh terima. Jika dia memaki dan memarahi aku pun, aku terima. Tetapi ini permintaan akhir ibunya. Ibunya ingin sangat berjumpa dengan dia. Bertahun-tahun dia meninggalkan kami begitu saja. Tidak pernah dia hubungi kami, apatah lagi pulang menjenguk ibunya. 

Dia tahu ibunya nazak dan penyakit barah ibunya semakin memburuk, tapi sampai hati dia tak menghiraukan ibunya.Aku terkilan, anak sedarah sedaging tidak mahu melihat dan bertemu ibunya hanya kerana sakit hati dengan aku. Ibunya benar-benar rindukan dia. Tapi dia tetap tak pulang menjenguk jasad ibunya. Dia benar-benar membuang kami," jelas Syukur dengan nada sebak. 

"Ayah! Akir tak akan lupakan apa yang dia buat pada kita. Selagi parut pada tubuh Akir ini ada, selagi itu Akir tak akan maafkan dia," ujar Syakir. 

"Sudahlah, Akir. Dendam akan merosakkan kamu seperti barah yang akan memakan diri kamu tanpa sedar. Kakak kamu telah memilih jalan hidupnya. Kita doakan moga satu hari nanti ALLAH menjentik rasa dalam hatinya dan dia kembali ke pangkal jalan," ujar Syukur perlahan. 

"Aku ni ... tak tahulah dengan kau ni! Kalaulah anak aku buat perangai macam tu, separuh mati aku kerjakan. Memang kurang ajar dan tak sedar dek untung. Apa jenis manusia kau ni, Kur? Macam-macam anak kau buat pada kau, kau tetap melayan dia dengan baik," ujar Tok Ketua Mahat sambil menggeleng. 

"Entahlah, tok ketua. Ini mungkin kifarah atas dosa-dosa silam yang aku lakukan. Aku orang berdosa, tok. Jika inilah pembalasannya, aku terima dengan reda." 

"Sabar sungguh kau ni, Kur. Aku tak pernah jumpa orang yang begitu sabar seperti kau. Hidup hanya untuk membahagiakan orang lain," ujar Tok Ketua Mahat perlahan. 

Dalam diam Syukur mengakui, sejak dia berkahwin dengan Zawiyah hidupnya tidak pernah tenang. 

"Ini ujian untuk aku ... terlalu kecil berbanding dengan ujian orang lain." 

"Baguslah begitu, Kur ... orang baik akan sentiasa diuji untuk mengukur setakat mana kebaikan yang ada dalam dirinya. Aku nak beransur dulu. Nanti majlis tahlil kita buat di masjid. Aku dah minta Siak Bahari dan anak murid persilatan aku untuk uruskan semuanya. Kau pun jangan berlama-lama di sini," ujar Tok Ketua Mahat. 

"Baik, tok ... terima kasihlah kerana menguruskan semuanya. Aku terhutang budi pada tok ketua." 

"Hisy! Kau ni ... kita ni kawan. Susah kau, susah aku juga. Akir, pergi balik dulu. Sebelum Maghrib, pergi ke masjid," arah Tok Ketua Mahat.Syakir memandang ayahnya. 

"Tak apa, Akir balik dulu ... ayah nak duduk di sini sekejap," jelas Syukur perlahan. 

Senja semakin berlabuh, mentari mula meninggalkan cahaya kemerahannya di kaki langit. Syukur memandang batu-batu nisan berceracakan. Tiada rasa takut dalam hatinya. Tanah perkuburan adalah tempat yang paling mendamaikan. Semua penghuni di situ sedang tidur menanti saat dibangkitkan. 

Kematian adalah satu tidur yang panjang. Syukur merenung kubur di depannya. Jika dikumpulkan seluruh harta di dunia ini, tidak sama nilai kasih dan cintanya pada wanita itu. Tangan tua yang berkedut seribu itu menyentuh kayu pancang nisan. Perlahan air mata mengalir ke pipi. 

"Yah! Kenapa begitu cepat Yah tinggalkan abang? Abang sunyi, Yah. Abang rasa kosong. Abang rindukan Yah. Kenapa begitu pantas semua ini berlaku? Banyak perkara yang belum sempat kita lakukan. 

Ada banyak kenangan yang mahu kita ciptakan. Ya ALLAH! Sungguh berat dugaan yang ENGKAU berikan kepadaku. Aku tidak kuat untuk menanggungnya. Sesungguhnya, isteriku inilah yang menjadi penguat semangatku. Aku rindukan dia, ya ALLAH," luah Syukur dengan air mata mengalir deras.

Dia melepaskan semua rasa yang terbuku dalam hatinya.Hatinya hancur saat melihat isterinya menghembuskan nafas terakhir. Jiwanya merana walaupun menyedari itulah pilihan terbaik untuk isterinya. 

Kesakitan yang ditanggung isterinya selama ini berakhir saat dia menghelakan nafas terakhir. Syukur menyembamkan mukanya di atas tanah kubur sambil menangis semahunya. 

"Yah! Maafkan abang ... abang tak sanggup kehilangan Yah. Abang tak bersedia. Sampai hati Yah tinggalkan abang sendirian. Bagaimana abang nak meneruskan hidup ini? Ya ALLAH ... tolong aku," rintih Syukur dalam tangisan. 

Dalam senja semakin kelam, terdengar esak tangis seorang lelaki tua yang amat mencintai isterinya. 

"Yah ... abang ini suami yang tak berguna. Abang tidak menjaga Yah sebaiknya. Ampunkan abang ... abang halalkan segala-galanya. Yah! Abang akan sentiasa mendoakan Yah di alam sana. Abang janji akan membawa Liya pulang bersujud di depan kubur Yah walau betapa tinggi harganya pun. Abang tak akan benarkan anak kita terus tersesat. Jika nyawa abang jadi taruhan, abang tetap akan lakukan. Inilah janji abang pada Yah," luah Syukur dengan penuh tekad. 

Syukur merenung kubur isterinya. Lapan tahun Zawiyah terlantar sakit disebabkan kanser payudara dan selama itulah juga Syukur menjaga isterinya dengan penuh kasih sayang. Tidak sekalipun dia mengeluh saat menjaga dan menguruskan isterinya. Penyakit dihidapi isterinya itu merentap kebahagiaan keluarga kecil mereka. 

Sikap liar dan kurang ajar anak sulung Syukur menyebabkan kesihatan Zawiyah semakin merosot. Kemuncak konflik keluarga itu apabila Aliya mengambil keputusan meninggalkan rumah dan sejak itu semangat hidup Zawiyah terus pudar. Isterinya membawa rasa rindu dan kesal pada anak perempuannya itu hingga ke alam barzakh. 

Itulah perkara yang sangat Syukur kesalkan. Dia tidak berjaya menunaikan satu-satunya harapan isterinya. Dia lelaki gelandangan yang terbuang. Tidak sangka di kampung kecil dan terpencil ini, dia menemui sesuatu yang sudah lama hilang dalam dirinya ... kasih sayang. 

Pertemuan dan perkahwinannya dengan Zawiyah melengkapkan hidupnya. Tetapi, kini ALLAH telah mengambil sesuatu yang dia sayangi. 

"Yah ... abang minta maaf. Abang gagal membawa Liya pulang melawat Yah buat kali terakhir. Maafkan abang, Yah," keluh Syukur perlahan. 

Dia memandang ke langit yang semakin kelam.Kenangan tiga tahun lalu bermain di mindanya semula. Hari yang mengubah segalanya, hari yang menyebabkan isterinya kehilangan anak kesayangannya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.