Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
1,164
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Tiga tahun lalu
Jun 2021

USAI solat isyak, Syukur berdoa panjang seperti selalu. Sebaik sahaja meraup wajahnya, dia berpaling memandang Syakir yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya. 

 "Akir dah makan?" 

 "Dah ayah," jawab Syakir sambil memandang ayahnya. 

Ketika ini kehidupan mereka agak sempit, sudah beberapa minggu dia tidak dapat ke laut kerana ombak besar. Nasib baik pendapatan hasil mengajar anak-anak kampung mengaji dapat menampung sedikit belanja seharian. 

Dia memandang isterinya yang terbaring di atas tilam nipis. Dada Zawiyah berombak, kuman barah semakin rakus membaham tubuh isterinya. Rumah ini sudah lama hilang serinya sejak isterinya sakit. 

Syukur menghampiri isterinya, lalu mengambil tuala kecil dan mengelap renik-renik peluh di dahi isterinya. Zawiyah membuka lemah kelopak matanya. 

"Yah, kita makan sikit ya," ujar Syukur lembut. 

Syukur segera ke dapur, dia mencedok bubur di dalam periuk. Lebih banyak air daripada nasi. Dia terpaksa mengikat perut demi memastikan anak dan isterinya makan. Diambil botol kicap, dia lihat isi kicap sudah tidak bersisa. 

Syukur membuka tutup botol kicap, lalu menuang sedikit air suam. Digoncang-goncang botol itu, lalu dituang kicap yang bercampur air itu ke dalam pinggan. Syukur berjalan ke ruang tamu dan bersila di sisi isterinya. 

Dengan lembut, dia menegakkan tubuh Zawiyah dan melapik belakang isterinya dengan bantal. Zawiyah yang kurus cengkung merenung suaminya dengan hati rawan. Dia tahu lelaki itu menyimpan derita dalam hati dan semua rasa dalam diri. 

"Kita makan sikit ya," ujar Syukur lalu menyua bubur nasi. 

Zawiyah membuka mulutnya. Perlahan dia mengunyah bubur. Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu makan apa-apa. Selera makannya sudah lama mati. Tetapi, demi suami yang disayanginya itu, dia memaksa dirinya. 

"Abang dah makan?" tanya Zawiyah perlahan. 

"Dah ... abang dan makan tadi." 

"Abang tipu Yah, ya? Yah tahu, abang tak makan lagi. Sudah berminggu-minggu abang tak ke laut. Beras pun dah habis kan," ujar Zawiyah perlahan. 

Tangan Syukur yang sedang memegang sudu terhenti.  

"Yah minta maaf, bang. Yah banyak susahkan abang. Sepatutnya abang tak berkahwin dengan Yah. Hidup abang menderita kerana Yah ...." 

Belum sempat Zawiyah menghabiskan kata-kata, Syukur meletakkan jarinya ke bibir isterinya.

"Yah! Sudah beribu kali abang ulang. Tiada langsung rasa kesal dan kecewa dalam hati abang. Abang sayangkan Yah dan anak-anak lebih daripada diri abang sendiri. Yah bukan menyusahkan tetapi membahagiakan abang," ujar Syukur dengan mata bergenang. Gugur air mata Zawiyah mendengar kata-kata suaminya. 

"Ya ALLAH, Yah bersyukur dikurniakan lelaki sebaik abang. Tiada siapa yang Yah inginkan lagi kecuali abang," doa Zawiyah. 

Syakir yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya memandang kedua-dua insan yang sangat dia sayangi. Syakir bersyukur kerana dikurniakan seorang ayah seperti itu. 

Ayahnya tidak pernah merungut walaupun sepanjang hari menjaga ibunya. Sikap ayahnya membuatkan Syakir mengagumi lelaki kurus itu. Hari demi hari, sakit Zawiyah semakin memberat dan Syukur sedar tiada apa yang boleh dilakukan lagi. 

Syukur hanya mampu membawa isterinya berubat dengan cara kampung disebabkan kos rawatan di hospital terlalu tinggi.Kuman barah telah menjalar ke seluruh tubuh Zawiyah. Ketulan kecil yang ditemui pada payudaranya lima tahun dahulu adalah tanda barah telah menghuni tubuhnya. 

Dia yang kurang ilmu tentang kesihatan tidak menghiraukan tanda-tanda itu. Setelah bertahun-tahun, kanser jahanam itu akhirnya telah merebak dan merosakkan tubuhnya. 

Saat menerima berita kansernya di tahap akhir, Zawiyah menangis semahu-mahunya. Dia terasa bagaikan batu besar menghempap dirinya dan dia hilang semangat untuk hidup. Namun, suaminya tenang menerima berita sedih itu. 

 "Yah, sudah tersurat. Penyakit ini adalah ujian untuk Yah dan keluarga kita. ALLAH sedang menguji. DIA mahu meningkatkan darjat kita. Yah mesti bertahan dan melawan. Tiada penyakit yang tiada ubat. Abang akan sentiasa di sisi Yah." 

 Suaminya bukan hanya berkata sekadar menyedapkan hati Zawiyah, tetapi lelaki itu benar-benar membuktikan kata-katanya. Sejak Zawiyah disahkan sakit dan terlantar tidak berdaya, Syukurlah menjaganya dengan penuh perhatian. 

Tetapi keadaan sebaliknya berlaku pada anak perempuan sulungnya. Aliya sukar menerima kenyataan, dia merasakan semua ini berlaku disebabkan ayahnya. Sama sepertimana dia meletakkan punca kemiskinan hidup mereka sekeluarga kepada Syukur. 

Sejak kecil lagi dia tidak suka dengan lelaki tua itu. Baginya, lelaki itu punca keluarga mereka hidup melarat. Kerana pilihan ibunya itulah membuatkan Aliya membenci ayahnya. Sejak ibunya sakit, kebencian dan kemarahan pada lelaki itu semakin membara. 

Aliya tidak lagi segan silu memarahi dan memaki ayahnya. Bahkan, dia tega memukul orang tua itu.Tetapi walaupun diperlakukan seperti itu, Syukur tetap berdiam diri. Tidak pernah dia melawan apatah lagi meninggikan suara, dia tetap bersikap lembut pada anaknya.

Zawiyah tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menangis melihat sikap anaknya. Syakirlah yang sering memarahi dan bertengkar dengan kakaknya. Dia tidak suka dengan sikap kakaknya yang tidak menghormati ayah mereka. 

"Apa yang Yah menungkan tu?" ujar Syukur.Zawiyah tersentak. 

"Eh! Tak ... tak ada apa abang." 

"Hisy! Takkan tak ada apa-apa. Macam nak tembus dinding tu Yah renung," ujar Syukur. 

"Syakir beritahu Yah, abang pinjam beras daripada Tok Ketua Mahat," ujar Zawiyah. 

Syukur tersentak mendengar kata-kata isterinya. Dia menjeling ke arah Syakir. Anaknya tunduk sambil mengangkat buku melindungi mukanya.

'Hisy, budak ni!' omel Syukur dalam hati. 

"Alah, abang pinjam sikit saja. Nanti bila ada duit, abang gantilah balik." 

Zawiyah merenung lelaki itu. Dengan perlahan, air matanya mengalir. Sejak dia sakit, air matanya mudah betul mengalir. 

"Abang, maafkan Yah kerana susahkan hidup abang dan anak-anak. Yah tak berguna, Yah meragut semua kebahagiaan keluarga kita," ujar Zawiyah dalam tangisan.

"Hisy, Yah ni! Yah tak pernah dan tak menyusahkan abang dan anak-anak. Selagi abang bernyawa, tidak sekali-kali abang menyerah. Kita akan berusaha dan mencari jalan untuk Yah pulih seperti dulu. Jangan sekali-kali menyerah! Manusia yang kalah adalah manusia yang lemah semangat juangnya. Kami perlukan Yah! Yah mesti terus kuat dan bangkit semula," ujar Syukur dengan nada suara bergetar. 

Zawiyah menangis mendengar kata-kata suaminya. Di saat dia lemah dan terasa bersendirian, lelaki itulah yang akan menguatkan dia.

"Kenapa ya ... Yah yang kena penyakit ni? Adakah sebab Yah berdosa pada Abang Rahim? Adakah ini pembalasannya?" soal Zawiyah perlahan. 

"Yah! Sakit tu ciptaan ALLAH. Bukan untuk mendera apatah lagi menganiaya. Jika kita melihatnya sebagai hukuman, ia akan menjadi satu hukuman. Jika kita lihat sebagai satu kesusahan, ia akan menjadi kesusahan. Jika kita melihatnya sebagai satu ujian, ia akan menjadi satu ujian dan jika kita lihat sebagai satu anugerah maka anugerahlah jadinya. 

Manusia yang diuji lebih dicintai ALLAH daripada manusia yang tidak teruji. Jika kita menerima dan merelakan sebagai satu ujian, maka ALLAH akan meningkatkan darjat kita. ALLAH mahu melihat bagaimana kita menghadapi setiap ujian yang diberikan. 

Abang tahu, Yah tidak dapat menerima apa yang abang cakap ni. Tapi percayalah, ALLAH tidak akan memberi ujian melebihi kemampuan kita. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. 

Ujian ini tidak ada kena-mengena dengan Rahim atau sesiapa pun. Ujian ini sudah disuratkan sebelum kita dilahirkan lagi. Sabar adalah ubat untuk segala kerusuhan jiwa. Jika kesakitan dan penderitaan yang Yah tanggung ini boleh abang ambil, abang akan ambil semuanya. Abang tak sanggup melihat Yah menderita seperti ini," luah Syukur dalam nada sebak. 

Zawiyah menangis mendengar kata-kata suaminya. 

"Abang, benar apa yang abang cakapkan. Apabila diberi musibah dan kesakitan barulah kita mengerti betapa bernilainya erti sihat. Macam apa yang abang cakap sebelum ini, sakit adalah pembersih dosa. Mungkin saat Yah sakit ni, semua dosa Yah gugur satu per satu," luah Zawiyah dengan sedikit senyum tawar. 

Syukur tersenyum lebar mendengar kata-kata isterinya. Dia menunduk dan mengucup lama dahi isterinya. Setitis air matanya jatuh ke rerambut wanita yang sangat disayanginya itu. Tiba-tiba terdengar suara Syakir mendeham. Syukur tersentak lalu berpaling memandang ke arah anak lelakinya itu.

"Ayah ni ... kalau nak buat drama tu janganlah depan orang. Segan tau," ujar Syakir sambil mencebik. 

Syukur tertawa. Zawiyah tersenyum manis memandang anak lelakinya. 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.